YADEA RS20: Skuter Elektrik Kompak Sesuai Untuk Kegunaan Harian.
Pasaran skuter elektrik tempatan semakin meriah dengan kemunculan model terbaharu daripada YADEA, iaitu RS20.
Pelancaran ini berlangsung bersempena pembukaan Mforce SmartShop W H S Motor Sdn. Bhd. di Banting, yang juga merupakan SmartShop ke-18 Mforce di Malaysia dan ke-5 di Selangor.
Ditawarkan pada harga RM4,998, RS20 terus diposisikan sebagai pilihan mesra alam dan praktikal untuk kegunaan harian.
Lebih menarik, model ini bakal layak menikmati rebat daripada inisiatif MARiiCas dalam masa terdekat.
Rekaan Ringkas YADEA RS20, Sporty & Praktikal
RS20 hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Khaki Grey, Roman Grey dan Grey yang menampilkan gaya kompak serta sporty, sesuai untuk kegunaan harian.
Panjang skuter ini adalah 1,820mm, lebar 666mm dan ketinggian boleh laras antara 1,130–1,290mm.
Ads
Tempat duduk setinggi 765mm memastikan mudah dikawal, manakala berat keseluruhan 114kg (72kg tanpa bateri) menjadikannya antara skuter elektrik ringan dalam kelasnya.
Prestasi YADEA RS20
Skuter ini digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 2,450W dengan tork puncak 107Nm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 51km/j.
Kuasa ini disalurkan melalui bateri Graphene 72V22Ah, yang boleh dicas dari 0–80% dalam masa 6 jam, atau penuh dalam 8 jam.
Dengan sekali caj penuh, RS20 mampu menempuh jarak sehingga 105km (anggaran), cukup untuk perjalanan ulang-alik bandar setiap hari.
Keselesaan & Kawalan YADEA RS20
RS20 menggunakan tayar bersaiz 90/80-12 tanpa tiub di depan dan belakang, dipadankan dengan fork teleskopik hadapan serta penyerap hentak berkembar di bahagian belakang.
Ads
Bagi sistem brek, ia menggunakan gabungan cakera + CBS di hadapan dan dram + CBS di belakang.
Ciri Pintar YADEA RS20
Menariknya, RS20 boleh menggunkan tiga kaedah membuka kunci iaitu kunci mekanikal, kawalan jauh dan aplikasi YADEA App.
Hanya imbas kod QR pada skuter, padankan dengan aplikasi (iOS/Android), dan pengguna boleh membuka kunci terus melalui telefon pintar.
Antara ciri-ciri lain:
Ads
Lampu penuh LED (depan, belakang & isyarat)
Paparan meter digital
Port USB Type-A
Fungsi gear undur
Dua mod tunggangan (Sport & Eco)
Ruang simpanan depan & bawah tempat duduk
Rak belakang
Suis keselamatan side stand
Jaminan & Sokongan
Setiap pembelian RS20 hadir dengan jaminan 2 tahun atau 20,000km (yang mana tiba dahulu).
Selain itu terdapat juga sokongan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
YADEA di Peringkat Global
Sejak ditubuhkan pada 2001 di China, YADEA kini beroperasi di lebih 100 negara dan muncul antara pengeluar skuter elektrik terbesar dunia.
Fokusnya adalah menyediakan mobiliti pintar mesra alam dengan kombinasi reka bentuk moden, teknologi pintar dan prestasi berkualiti.
Konklusi
Dengan harga mampu milik, rekaan moden, jarak tunggangan praktikal dan ciri pintar, YADEA RS20 jelas menjadi satu lagi pilihan menarik dalam segmen skuter elektrik kompak.
Untuk penunggang di kawasan bandar yang mengutamakan kelestarian, model ini dilihat mampu memberi saingan sengit dalam pasaran EV dua roda tempatan.
Lebih 80 Unit Pra-Milik Volvo Ditawarkan Bermula RM160,000!
Peluang keemasan untuk memiliki Volvo kini kembali sempena sambutan Hari Kemerdekaan!
Volvo Car Malaysia mengumumkan penganjuran semula acara jualan istimewa Volvo Executive Merdeka Sales, menampilkan lebih 80 unit Volvo Selekt Certified Used Cars dengan harga bermula serendah RM160,000.
Acara ini bakal berlangsung selama dua hari sahaja bermula 16 Ogos 2025 sehingga 17 Ogos 2025 di Symphony Square, Petaling Jaya.
Acara ini juga mempamerkan barisan model pra-milik yang dipilih khas daripada kenderaan korporat Volvo termasuk unit yang pernah digunakan oleh pasukan pengurusan syarikat sendiri.
Kualiti Terjamin Di Bawah Program Volvo Selekt
Setiap unit Volvo Selekt telah menjalani pemeriksaan menyeluruh 125-titik, dilengkapi perisian terkini, dan menggunakan alat ganti tulen yang dipasang oleh juruteknik bertauliah.
Malah, ada model yang hanya mencatat rekod perbatuan serendah 5,000km!
Kesemua kenderaan turut disertakan dengan baki jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun.
Selain itu bantuan kecemasan 24 jam, serta perkhidmatan digital Volvo untuk pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.
Barisan Model Menarik Dari SUV Kompak Hingga Sedan Premium
Acara tahun ini menampilkan pilihan model iaitu :
Volvo EX30 – SUV kompak elektrik yang padat dengan teknologi keselamatan dan prestasi, sesuai untuk pemandu bandar moden.
XC40 Recharge – SUV elektrik sepenuhnya dengan inovasi terkini dan prestasi lestari.
XC90 & XC60 – Pilihan ideal untuk keluarga yang mahukan kemewahan Skandinavia dan keselesaan maksimum.
S60, S90 & V60 – Model-model jarang dan bernilai tinggi yang ditawarkan dalam jumlah terhad secara first come, first served.
Pinjaman Menarik, Kelulusan Segera
Volvo turut menawarkan skim pembiayaan eksklusif melalui Volvo Car Finance dengan kadar faedah serendah 2% serta kelulusan pinjaman pada hari yang sama .
Maklumat Acara:
📅 Tarikh: 16 & 17 Ogos 2025 🕙 Masa: 10 pagi – 6 petang 📍 Lokasi: Aras 3A, Symphony Square – Menara Symphony, Petaling Jaya, Selangor
Impak selepas kerajaan mengumumkan penggunaan mandatori sistem Brek Anti-Kunci pada motosikal berkapasiti 150cc ke atas. Harga jualan motosikal keluaran baharu dijangka mengalami kenaikan antara RM100 hingga RM200.
Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata, bagaimanapun tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan itu.
“Kenaikan harga mungkin akan berlaku kepada model-model keluaran baharu tetapi tidak akan mengalami peningkatan yang banyak.
“Saya kira kalau naik pun, dalam RM100 ke RM200 tetapi banyak model motosikal di atas 150cc sebenarnya sudah dilengkapi ABS. Ini bermakna tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan harga,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut Hezeri berkata, usaha untuk mewajibkan penggunaan ABS pada motosikal sudah lama dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan kini menjadi mandatori untuk motosikal baharu dengan enjin di atas 150cc.
Menurutnya, ABS sangat penting untuk motosikal moden yang mempunyai prestasi enjin berkuasa tinggi dalam berdepan cuaca negara yang sering dilanda hujan.
“Apabila menempuh cuaca hujan, kejadian roda depan tergelincir sering berlaku. Pemasangan ABS membolehkan penunggang membrek dengan selamat walaupun sedang mengambil selekoh. Ia juga memang terbukti mampu menurunkan kadar kemalangan.
“Sistem ini lambat diperkenalkan kerana faktor harga. Dahulu, modul motosikal yang ada ABS memang mahal sedikit, tetapi dengan pertumbuhan kilang komponen merata dunia dan ia sudah menjadi kelengkapan wajib untuk banyak pasaran dunia, harganya telah turun dengan banyak,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi menangani kes kemalangan jalan raya khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Dalam pada itu, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.
Kapal pengangkut milik BYD, Zhengzhou, tiba di Northport, membawa bersama 7,000 unit kenderaan elektrik (EV) siap dipasang dari China.
Ketibaan ini menandakan permulaan fasa baharu dalam penghantaran produk BYD yang lebih cekap dan pantas kepada rakyat Malaysia.
Kapal Pengangkut Khas EV BYD Zhengzhou Tiba di Malaysia
Kapal jenis roll-on/roll-off (RORO) ini merupakan sebahagian daripada armada penghantaran BYD yang dibina khusus untuk menyokong peningkatan eksport EV ke rantau Asia Tenggara.
Selain Malaysia, kapal tersebut turut dijadualkan membuat penghantaran ke Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand sebelum kembali ke China.
Zhengzhou merupakan kapal ke-7 milik BYD, mengukuhkan strategi syarikat untuk mengawal sendiri rantaian bekalan globalnya.
Langkah ini memberikan BYD kawalan penuh terhadap kos dan masa penghantaran, menjadikan proses lebih efisien berbanding penghantaran kontena konvensional.
Malaysia Diiktiraf Sebagai Pasaran Utama
Menurut Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, pelayaran sulung ini adalah bukti komitmen syarikat terhadap Malaysia sebagai salah satu pasaran terpenting BYD di Asia Pasifik.
“Kapal pengangkut ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi global BYD. Dengan keupayaan penghantaran yang pantas dan konsisten, pelanggan di Malaysia kini boleh menikmati proses serahan yang lebih lancar dan tepat pada masa.”
Zhao turut menjelaskan bahawa pelaburan dalam armada sendiri membolehkan BYD memenuhi permintaan global dengan lebih stabil, selaras dengan peningkatan eksport automotif dari China.
Sime Motors Perkukuh Ekosistem EV Tempatan
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara, menyifatkan ketibaan kapal ini sebagai pencapaian penting dalam kerjasama strategik bersama BYD.
“Kehadiran kapal ini membuktikan keyakinan BYD terhadap potensi Malaysia sebagai hab EV serantau.
Ia juga membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih pantas kepada pelanggan, serta menyediakan sokongan menyeluruh dari segi jualan, servis, dan pendidikan pengguna.”
Gan turut menegaskan bahawa pelaburan logistik ini akan membantu Sime Motors menangani jumlah penghantaran lebih besar pada masa hadapan.
Hal ini seiring dengan usaha mempercepatkan penggunaan EV secara meluas di Malaysia.
Rangkaian Kukuh, Sokongan Menyeluruh
Kini, BYD Malaysia dan Sime Motors mempunyai lebih 35 pusat jualan di seluruh negara, dengan sasaran untuk mencapai 60 cawangan menjelang akhir 2026.
Dengan rangkaian yang semakin meluas dan sistem logistik yang dipertingkat, BYD bersedia untuk menyediakan EV yang lebih mudah diakses oleh pengguna tempatan.
Penggunaan kapal RORO membolehkan kenderaan dipandu terus masuk dan keluar dari kapal telah mengurangkan masa pemindahan dan kos logistik dengan ketara, menjadikan proses penghantaran lebih efisien dan berskala besar.
Kesimpulan
Ketibaan BYD Zhengzhou adalah satu langkah penting dalam menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia.
Ia juga menandakan permulaan era baharu penghantaran EV di rantau ini lebih cepat, dan lebih mampan.
Sportbike ‘Value for Money’ Bawah RM10,000
Sempena majlis perasmian Mforce SmartShop W H S Motor Sdn. Bhd. di Banting, QJMOTOR Malaysia melancarkan sebuah model baharu...