Diskaun Tanpa Tuntutan, atau lebih dikenali sebagai NCD (No Claim Discount), adalah perkara yang sangat penting pada kenderaan dan juga duit poket anda. NCD berfungsi sebagai insentif kepada pemilik kereta yang tidak membuat sebarang tuntutan terhadap polisi insurans mereka sepanjang tempoh tertentu.
Ganjaran ini merupakan pengurangan premium yang perlu dibayar semasa pembaharuan polisi, dengan kadar diskaun yang meningkat setiap tahun sehingga mencapai puncaknya pada 55%.
NCD diberikan secara automatik kepada pemegang polisi insurans kenderaan semasa mereka memperbaharui polisi mereka. Bermula dengan tiada diskaun pada tahun pertama, pemilik kereta boleh menikmati diskaun sebanyak 25% pada tahun kedua, meningkat secara berperingkat sehingga 55% pada tahun keenam dan seterusnya, selagi mereka tidak membuat sebarang tuntutan insurans.
Ads
Sekiranya tuntutan dibuat, NCD sedia ada akan terjejas. Contohnya, jika anda memiliki NCD 30% pada tahun ketiga dan terlibat dalam kemalangan yang memerlukan tuntutan insurans, NCD anda akan dikembalikan ke 0% pada pembaharuan berikutnya. Namun, terdapat pengecualian seperti kemalangan di mana pihak anda tidak bersalah (no-fault damage), yang mungkin tidak mempengaruhi status NCD anda.
Pembelian tambahan perlindungan cermin (windscreen cover) memungkinkan anda untuk membuat tuntutan kerosakan cermin tanpa mempengaruhi NCD anda. Tanpa perlindungan ini, tuntutan kerosakan cermin akan mengurangkan NCD anda.
Ads
Ads
NCD boleh dipindahkan ke kenderaan lain jika pemilik menjual kenderaan lama dan membeli yang baru. Terdapat beberapa cara untuk melaksanakan pemindahan NCD, sama ada melalui pembatalan polisi, penggunaan NCD dari polisi yang telah tamat, atau pengeluaran NCD untuk kegunaan pada kenderaan baru.
Jika NCD tidak digunakan dalam tempoh setahun selepas anda menjual kenderaan, nilai NCD tersebut akan mula berkurangan setiap tahun sehingga habis. Ini menunjukkan kepentingan mengaktifkan NCD dalam masa yang ditetapkan untuk mengelakkan kerugian diskaun yang telah diperoleh.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
BMW bakal membuka lembaran baharu dalam sejarahnya menerusi Neue Klasse, sebuah nama yang hanya pernah digunakan dua kali sepanjang lebih 100 tahun pengeluar kenderaan dari Jerman itu beroperasi.
Dalam bahasa Jerman, Neue Klasse membawa maksud “Kelas Baharu”. Namun, bagi BMW, nama berkenaan bukan sekadar merujuk kepada sebuah model atau generasi kenderaan yang baharu.
Sebaliknya, ia melambangkan perubahan besar terhadap cara BMW mereka bentuk, membangunkan dan menentukan identiti kenderaannya untuk masa hadapan.
BMW Group Malaysia turut mengesahkan bahawa model pertama daripada portfolio Neue Klasse akan diperkenalkan di Malaysia pada 6 Ogos 2026.
Sejarah Neue Klasse bermula pada September 1961 apabila BMW memperkenalkan BMW 1500 di Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt.
Ketika itu, rangkaian produk BMW terbahagi kepada dua kategori yang sangat berbeza. Syarikat berkenaan menghasilkan model mewah dalam jumlah terhad seperti BMW 501, BMW 502 dan BMW 503, selain kereta mikro berenjin motosikal seperti BMW Isetta, BMW 600 dan BMW 700.
Kehadiran BMW 1500 mengisi kekosongan antara kedua-dua kategori tersebut.
Model itu direka oleh Ketua Pereka BMW ketika itu, Wilhelm Hofmeister, dengan kerjasama pereka Itali, Giovanni Michelotti. Ia tampil dengan pendekatan reka bentuk lebih ringkas dan moden berbanding sedan BMW sebelumnya.
BMW 1500 mengekalkan gril buah pinggang berkembar sebagai identiti utama jenama itu. Model tersebut turut memperkenalkan bentuk khusus pada pertemuan garisan bumbung belakang dan tiang C yang kemudiannya dikenali sebagai “Hofmeister kink”.
Ciri reka bentuk tersebut kekal digunakan dalam pelbagai model BMW sehingga hari ini.
Di sebalik reka bentuknya, BMW 1500 dilengkapi enjin empat silinder baharu, sistem suspensi bebas serta struktur badan monokok yang meletakkannya sebagai antara sedan paling maju dalam segmennya pada ketika itu.
Sambutan terhadap model tersebut sangat menggalakkan sehingga BMW perlu membina dewan pengeluaran baharu di kilangnya di Munich serta mengambil kira-kira 3,000 pekerja mahir tambahan.
BMW 1500 mula memasuki pengeluaran pada 1962.
Istilah Neue Klasse pada awalnya bukan nama rasmi bagi BMW 1500.
Nama tersebut mula digunakan untuk merujuk kepada keseluruhan keluarga sedan berkenaan selepas BMW 1800 diperkenalkan pada 1963. Paul Hahnemann, Ahli Lembaga Pengurusan BMW yang bertanggungjawab terhadap jualan ketika itu, menyifatkan rangkaian tersebut sebagai sebuah “kelas baharu” dalam barisan produk BMW.
Istilah itu kemudiannya digunakan dalam bahan pengiklanan BMW mulai 1964.
Selepas BMW 1500, keluarga Neue Klasse berkembang menerusi pengenalan BMW 1600, BMW 1800 dan BMW 2000.
Kesemua model berkenaan berkongsi formula yang sama, iaitu sebuah sedan praktikal untuk kegunaan harian tetapi masih memberikan karakter pemanduan sporty.
Pendekatan tersebut kemudiannya menjadi asas kepada identiti BMW sebagai pengeluar sedan berprestasi yang mengutamakan pengalaman pemanduan.
Pada era yang sama, slogan Jerman “Aus Freude am Fahren”, yang membawa maksud “For the pleasure of driving”, mula menjadi sebahagian daripada identiti BMW.
Kejayaan Neue Klasse memberikan kesan besar terhadap perkembangan perniagaan BMW.
Antara 1960 hingga 1970, jualan kereta BMW meningkat tiga kali ganda, manakala hasil daripada jualan kenderaan melonjak lebih tujuh kali ganda.
Hampir 340,000 unit sedan daripada keluarga Neue Klasse dihasilkan antara Februari 1962 hingga Januari 1972.
Pertumbuhan itu turut membolehkan BMW mengembangkan operasinya ke luar Jerman dengan menubuhkan organisasi jualan di pasaran eksport utama seperti Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom.
Pada 1966, BMW memperkenalkan sebuah model dua pintu yang dibangunkan berasaskan BMW 1600. Model tersebut lebih ringan, lebih mampu milik dan menampilkan karakter lebih sporty berbanding sedan Neue Klasse.
Keluarga model itu kemudiannya dikenali sebagai BMW 02 Series selepas pelancaran BMW 2002 pada 1968. Angka “02” digunakan untuk membezakan model dua pintu tersebut daripada sedan empat pintu Neue Klasse.
Sehingga pengeluarannya berakhir pada 1977, kira-kira 825,000 unit BMW 02 Series telah dihasilkan.
BMW 2002 juga menjadi antara model terawal yang memperkenalkan nama BMW kepada peminat automotif Malaysia. Model berkenaan dibawa masuk menerusi saluran persendirian sebelum BMW mempunyai operasi rasmi di negara ini.
Pengaruh Neue Klasse tidak berakhir selepas pengeluaran generasi asal dihentikan pada Januari 1972.
Menurut BMW Group Classic, Neue Klasse merupakan pendahulu langsung kepada dua keluarga model paling penting BMW, iaitu BMW 3 Series dan BMW 5 Series.
BMW 5 Series generasi pertama yang diperkenalkan pada 1972 menjadi pengganti terus kepada sedan Neue Klasse, manakala BMW 3 Series yang dilancarkan pada 1975 dibangunkan berasaskan karakter dan formula BMW 02 Series.
Susun atur badan, karakter pengendalian dan falsafah pembangunan yang diasaskan Neue Klasse terus menjadi sebahagian daripada identiti kedua-dua model berkenaan untuk beberapa dekad.
Selepas tidak digunakan selama lebih setengah abad, nama Neue Klasse kembali diumumkan pada Persidangan Tahunan BMW Group pada Mac 2021.
Sama seperti pada 1960-an, penggunaan semula nama tersebut menandakan perubahan besar dan bukan sekadar pengenalan sebuah model baharu.
Neue Klasse moden akan menjadi asas kepada transformasi rangkaian produk BMW dengan tumpuan terhadap tiga elemen utama, iaitu elektrifikasi, pendigitalan dan ekonomi kitaran.
BMW turut mengekalkan pendekatan keterbukaan teknologi bagi menyokong keperluan berbeza dalam pasaran automotif global.
Lebih 40 model baharu dan model yang dikemas kini dijadualkan diperkenalkan sehingga penghujung 2027 dengan mengadaptasi teknologi serta pendekatan pembangunan daripada Neue Klasse.
Lebih enam dekad selepas BMW 1500 mengubah perjalanan syarikat itu, Neue Klasse sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk menentukan rupa, teknologi dan karakter generasi BMW yang seterusnya.
Model pertama daripada portfolio Neue Klasse untuk pasaran Malaysia bakal diperkenalkan secara rasmi pada 6 Ogos 2026.
Proton X90 2026 kini tampil dengan kemas kini penting yang memberi tumpuan kepada prestasi, keselesaan serta pengalaman pemanduan yang lebih baik.
PROTON memperkenalkan versi terkini SUV tujuh tempat duduk segmen D ini dengan rangkaian kuasa baharu bagi meningkatkan prestasi serta menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan keluarga moden.
Model ini meneruskan reputasinya sebagai antara SUV keluarga paling popular di Malaysia sejak diperkenalkan pada tahun 2023. Dengan ruang kabin luas, teknologi moden serta ciri keselamatan yang lengkap, model ini kekal sebagai pilihan menarik bagi keluarga yang memerlukan kenderaan praktikal untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh.
Sejak pelancarannya, Proton X90 telah mencatatkan penerimaan kukuh dalam pasaran tempatan dengan lebih 10,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara.
SUV ini menjadi pilihan ramai keluarga Malaysia yang mahukan kenderaan tujuh tempat duduk dengan ruang luas, keselesaan serta kepraktisan.
Dengan kemas kini bagi tahun 2026, beberapa penambahbaikan penting diperkenalkan termasuk penggunaan enjin baharu yang memberikan prestasi lebih responsif serta pengalaman pemanduan yang lebih lancar.
Perubahan paling ketara pada Proton X90 2026 ialah penggunaan enjin i-GT 1.5 liter empat silinder turbocharged yang dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT).
Gabungan ini menghasilkan 181 PS dan 290 Nm tork, memberikan pecutan yang lebih lancar serta prestasi yang stabil ketika memotong atau memandu di lebuh raya.
Enjin ini direka untuk memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api, sesuai dengan karakter SUV keluarga bersaiz besar.
Selain itu, SUV ini turut dilengkapi suspensi belakang multi-link yang membantu meningkatkan kestabilan serta keselesaan pemanduan dalam pelbagai keadaan jalan.
Selain peningkatan pada rangkaian kuasa, Proton X90 2026 turut dilengkapi beberapa ciri yang membantu meningkatkan pengalaman pemanduan.
Antara ciri yang disediakan termasuk mod pemanduan dan mod stereng boleh pilih, yang membolehkan pemandu menyesuaikan karakter pemanduan mengikut keadaan jalan atau gaya pemanduan.
Model ini turut dilengkapi Electronic Parking Brake dengan Auto Brake Hold, yang memudahkan pemanduan dalam keadaan trafik bandar yang kerap berhenti dan bergerak.
Salah satu kelebihan utama Proton X90 2026 ialah konfigurasi tujuh tempat duduk sebenar dengan susun atur tiga baris tempat duduk yang luas.
Reka bentuk kabin ini membolehkan SUV tersebut menampung keperluan keluarga dengan lebih praktikal, sama ada untuk perjalanan harian, aktiviti hujung minggu atau perjalanan balik kampung.
Dari segi ruang kargo, kapasiti boleh mencecah sehingga 2,050 liter apabila tempat duduk dilipat. SUV ini juga dilengkapi roof rail yang mampu menampung sehingga 75 kg, memberikan fleksibiliti tambahan untuk membawa barangan bersaiz besar.
Proton X90 2026 turut menawarkan pelbagai ciri keselesaan premium yang direka untuk meningkatkan pengalaman perjalanan bagi pemandu dan penumpang.
Antaranya termasuk tempat duduk kulit Nappa, tempat duduk berpengudaraan untuk barisan pertama dan kedua serta tempat duduk pemandu larasan kuasa enam hala dengan sokongan lumbar.
Penumpang hadapan juga mendapat tempat duduk larasan kuasa empat hala dengan fungsi “Boss switch”, yang membolehkan ruang kaki penumpang belakang diperluaskan dengan mudah.
SUV ini turut dilengkapi sistem infotainmen 12.3 inci yang menyokong Wireless Apple CarPlay dan Android Auto, memastikan sambungan digital lebih mudah sepanjang perjalanan.
Dari aspek keselamatan, Proton X90 2026 dilengkapi beberapa sistem bantuan pemandu moden bagi meningkatkan keyakinan ketika memandu.
Antaranya termasuk kamera 360 darjah HD dengan fungsi 180 darjah Transparent View, yang membantu pemandu melihat keadaan sekeliling kenderaan dengan lebih jelas.
SUV ini juga dilengkapi Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) serta enam beg udara SRS sebagai ciri keselamatan standard.
Ciri tambahan seperti Walk Away Auto Lock, Follow Me Home lighting, rain-sensing wiper dan sensor parkir turut meningkatkan kemudahan penggunaan harian.
Di Malaysia, Proton X90 2026 ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu Lite, Prime dan Prime X.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut:
Sebagai promosi pelancaran, Proton menawarkan rebat RM7,000 kepada 2,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan sebelum 30 Jun 2026.
Dengan rebat tersebut, harga permulaan bagi model ini menjadi RM99,800 untuk varian Lite.
Setiap pembelian Proton X90 turut disertakan dengan pakej pemilikan Proton yang merangkumi waranti lima tahun tanpa had perbatuan serta servis buruh percuma selama lima tahun.
Proton juga menawarkan pilihan pembiayaan sehingga sembilan tahun serta beberapa program tambahan termasuk skim tukar beli dan perlindungan insurans khas.
Dengan pengenalan enjin i-GT 1.5L turbo baharu, Proton X90 kini menawarkan prestasi yang lebih baik tanpa mengorbankan keselesaan dan kepraktisan sebuah SUV keluarga.
Gabungan ruang kabin luas, teknologi moden serta ciri keselamatan menjadikannya antara pilihan menarik dalam segmen SUV tujuh tempat duduk di Malaysia.
Kemas kini ini juga memperkukuh kedudukan model ini sebagai salah satu SUV keluarga paling relevan dalam barisan produk Proton.
Pada 22 hingga 23 Jun 2024, KL Base Kuala Lumpur akan menjadi pusat tumpuan penggemar permotoran dengan penganjuran program BOTK3.0 x CORE Autofest x Taste & Drive 2024.
Acara ini akan bermula dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 malam. Dianjurkan oleh Kelab MUSC Motorsports yang berdaftar dan disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Program ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk acara drag racing, autoshow kereta dan motosikal. Selain itu, karnival makanan dan konsert turut diadakan.
BOTK3.0 x CORE Autofest x Taste & Drive 2024 akan menjadi perhimpunan gergasi permotoran terbesar yang pertama kali diadakan di Malaysia, menggabungkan elemen sukan dan rekreasi yang sihat.
Antara segmen menarik yang akan diadakan termasuk acara drag racing, “test n tune”, CORE Autofest bagi autoshow kereta dan motosikal. Selain itu, Brew & Camp Autofest untuk peminat Camper Malaysia. Tidak ketinggalan, akan diadakan juga perhimpunan kelab-kelab kereta dan motosikal serta konsert kumpulan rock terkenal, XPDC.
Program ini menyasarkan penyertaan 1,000 peserta dan dihadiri sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung dari seluruh negara dan luar negara. Ini termasuk peserta dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand.
Selain menyediakan ruang promosi dan jualan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan. Program ini juga diharapkan dapat membantu merancakkan sektor pelancongan domestik melalui kehadiran ribuan pengunjung dari luar Kuala Lumpur dan negara-negara jiran.
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai dan menyaksikan festival permotoran terbesar di Malaysia ini!
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...