Sime Motors baru sahaja melancarkan bilik pameran flagship DENZA di Jalan Klang Lama.
Bilik Pameran DENZA ini direka khas sebagai fasiliti moden yang memfokuskan kepada inovasi, kemewahan dan pengalaman pelanggan yang hadir ke pusat ini.
Rekaan Premium, Pengalaman Eksklusif
Bilik Pameran DENZA ini meliputi keluasan 8,165 kaki persegi dan menampilkan enam buah kenderaan premium untuk dipamerkan.
Ia turut dilengkapi ruang santai pelanggan yang elegan serta lima ruang servis yang moden dan serba lengkap.
Setiap elemen direka dengan teliti bagi memastikan pengalaman yang lancar dan mengujakan bagi setiap pengunjung.
Ads
Gala Night Meriahkan Pelancaran
Majlis pelancaran disambut meriah dengan satu malam gala eksklusif. Tetamu jemputan diberi peluang pertama untuk merasai suasana bilik pameran ini, sambil menikmati hiburan khas dan sajian gastronomi istimewa.
Acara ini turut menyaksikan bilik pameran yang dijangka menetapkan standard baharu dalam industri automotif tempatan.
Ads
Komitmen Terhadap Masa Depan Mobiliti
Menurut Encik Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara,
“Bilik pameran ini bukan sekadar ruang jualan. Ia adalah simbol kepada aspirasi Sime Motors dalam membentuk masa depan mobiliti. Kami mahu setiap pengunjung merasai gabungan reka bentuk, teknologi dan layanan bertaraf dunia.”
Ads
Penyelenggaraan Lebih Mudah dan Praktikal
Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kecekapan dan kepuasan pelanggan, DENZA akan memulakan jadual penyelenggaraan pertama pada 20,000 km atau satu tahun, bermula 1 Julai 2025.
BMW Malaysia menutup tirai tahun ini melalui pelancaran kempen “GO ELECTRIC NOW”, satu inisiatif jualan akhir tahun yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember 2025 di semua pengedar sah BMW seluruh negara. Kempen ini membawakan pelbagai tawaran eksklusif bagi model elektrik BMW i terpilih, memperkukuh lagi komitmen BMW terhadap masa depan mobiliti lestari di Malaysia.
Selaras dengan falsafah “Power of Choice”, kempen GO ELECTRIC NOW ini mengetengahkan keupayaan BMW dalam menawarkan pelbagai bentuk mobiliti daripada jentera pacuan konvensional berprestasi tinggi hinggalah ke kenderaan elektrik (EV) dengan teknologi termaju dan pengalaman pemanduan premium tanpa kompromi.
Kempen GO ELECTRIC NOW memberi tumpuan kepada rangkaian model elektrik BMW yang meliputi beberapa segmen utama. Antara yang ditawarkan ialah BMW iX1, BMW iX2, dan BMW iX, tiga model dalam kategori Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) yang direka untuk memberikan keselesaan serta kuasa tork elektrik segera dalam setiap pemanduan.
Bagi mereka yang menginginkan gaya elegan dengan prestasi dinamik, BMW turut menampilkan BMW i4 Gran Coupé dan BMW i5, dua model sedan elektrik yang baru-baru ini dinobatkan sebagai antara kenderaan elektrik terbaik oleh Consumer Reports. Pengiktirafan tersebut menegaskan kedudukan BMW sebagai peneraju dalam teknologi pacuan elektrik yang menggabungkan prestasi, reka bentuk dan kecekapan tenaga.
Setiap model dalam rangkaian BMW i dibangunkan untuk memberikan Sheer Driving Pleasure, dengan pecutan responsif, pengendalian yang tepat serta sistem infotainmen pintar berasaskan BMW Operating System 8 yang disepadukan dengan BMW Curved Display. Ia menjadikan pengalaman pemanduan bukan sekadar efisien, tetapi juga menyeronokkan dan intuitif.
Sepanjang tempoh kempen GO ELECTRIC NOW, pelanggan berpeluang menikmati pelbagai faedah pemilikan istimewa, termasuk:
Insurans kenderaan percuma selama satu tahun
Sehingga enam tahun BMW Service Inclusive (BSI)
Lima tahun BMW Repair Inclusive (BRI)
Kadar pembiayaan serendah 2.08% setahun*
(*Tertakluk kepada terma dan syarat.)
Selain itu, pelanggan boleh memilih pelan ansuran fleksibel menerusi BMW Group Financial Services Malaysia, yang menawarkan struktur pembiayaan mengikut keperluan individu. Pelan ini membolehkan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan tanpa tekanan, sejajar dengan imej premium dan falsafah mobiliti moden BMW.
Pemilikan kenderaan elektrik kini lebih mudah dan praktikal berbanding sebelum ini. BMW Malaysia bersama rakan strategiknya telah membangunkan ekosistem pengecasan yang meluas di seluruh negara, dengan lebih 2,020 kemudahan pengecas awam tersedia kepada pemilik kenderaan elektrik.
Daripada jumlah itu, lebih 100 kemudahan pengecas BMW i dan MINI disediakan di bilik pameran BMW serta lokasi rakan kongsi, memastikan pemilik EV tidak lagi perlu bimbang mengenai jarak perjalanan atau kemudahan pengecasan.
BMW Malaysia juga menawarkan panduan pemasangan pengecas di rumah, membolehkan pelanggan menikmati pengalaman pengecasan yang mudah dan selamat setiap kali kenderaan mereka diparkir di kediaman.
Melangkaui urusan jualan, BMW Malaysia terus memperkukuh kepercayaan pelanggan melalui inisiatif “Relax. We Care.”, yang mewakili pendekatan 360 darjah terhadap pengalaman pemilikan BMW. Ia merangkumi tiga elemen utama iaitu Komitmen Servis BMW, Penjagaan Proaktif BMW, dan Keterhubungan Pemanduan Pintar BMW, memastikan setiap pemilik BMW menikmati ketenangan fikiran sepanjang tempoh pemilikan.
Kempen GO ELECTRIC NOW merupakan satu kempen untuk rakyat Malaysia melangkah ke era mobiliti elektrik. Dengan reka bentuk yang elegan, kejuruteraan canggih, serta jaringan sokongan selepas jualan yang menyeluruh, BMW membuktikan bahawa pemanduan elektrik boleh hadir dalam bentuk yang premium, dinamik dan berprestij.
Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi pengedar sah BMW terdekat atau melayari laman web rasmi BMW Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai model serta tawaran terkini dalam kempen ini.
Selain itu, pelan pembiayaan All In. Simply Smart. daripada BMW Financial Services Malaysia turut ditawarkan untuk memudahkan pelanggan menyesuaikan pelan bayaran mengikut keperluan masing-masing — menjadikan pemilikan BMW elektrik bukan lagi sekadar impian, tetapi realiti yang boleh dicapai.
Litar Jerez minggu ini jadi saksi sejarah, Alex Marquez akhirnya mencatatkan kemenangan sulung dalam kelas premier MotoGP. Lebih manis, kemenangan ini bukan saja melonjakkan dia kembali ke puncak kejuaraan dunia. Malah, menjadikan kemenangan ke-200 untuk pelumba Sepanyol dalam sejarah MotoGP.
Tapi, dalam kegembiraan Alex, ada kisah duka untuk abangnya sendiri, Marc Marquez. Baru saja mendominasi mata keseluruhan sebelum ni, Marc hilang kawalan Ducati kilangnya di pusingan ketiga. Terus tersadai dan kini satu mata di belakang Alex dalam carta kejuaraan.
Sementara itu, Yamaha akhirnya ada sebab untuk bergembira. Fabio Quartararo berjaya naik podium buat kali pertama sejak Grand Prix Indonesia tahun lepas.
Dari awal lagi, Quartararo terus melompat ke depan dari petak pertama. Meninggalkan huru-hara di belakang bila Marc terpaksa bertarung dengan rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia.
Laga keras dua Ducati ni macam ‘deja vu’ dari GP Americas, Marc cuba menyelit, tolak, cari ruang. Namun, Pecco tetap pertahan kedudukan.
Malangnya, masa masuk selekoh Martinez di pusingan ketiga, Marc terlebih berani. Tayar motor hadapan hilang cengkaman, dan beliau tergelincir jatuh.
Lepas Marc tersungkur, tugas berat Bagnaia belum habis. Kali ni adik Marquez, si Alex pula datang menyerang. Hanya perlu empat pusingan untuk Alex cucuk dan ambil tempat kedua di selekoh Lorenzo.
Dari situ, kelompok pendahulu Quartararo, Alex dan Bagnaia mula membentuk rentak sendiri. Tapi di pusingan ke-11, Alex buat gerakan berani, potong Quartararo di selekoh pertama. Lepas tu, dia terus mendahului.
Walaupun Quartararo berjaya bertahan dari serangan Bagnaia sampai ke garisan penamat, dia langsung tak dapat kejar Alex. Bagnaia pula, walau terus mengekori rapat, tetap tak jumpa ruang nak potong Yamaha.
Maverick Vinales yang awalnya nampak garang pun terpaksa puas hati dengan tempat keempat. Pencapaian terbaik KTM musim ini, setakat ni.
Di belakang mereka, Fabio di Giannantonio membawa Ducati VR46 ke tempat kelima. Diikuti oleh dua jentera KTM — Brad Binder dan rookie sensasi Pedro Acosta.
Tapi jangan salah sangka, perlumbaan ni memang banyak drama. Fermin Aldeguer tergelincir masa berada di tempat keempat. Joan Mir dan Franco Morbidelli pun jatuh masa cuba buat comeback lepas start yang tidak memberangsangkan. Jack Miller pula, sayang sekali, kena tarik diri sebab masalah teknikal pada Yamaha Pramac.
Hasil semua kekecohan tu, Ai Ogura berjaya raih tempat kelapan untuk Trackhouse Aprilia. Enea Bastianini masuk kesembilan untuk Tech3 KTM, dan Luca Marini berjaya selamatkan tempat ke-10 untuk Honda.
Marc Marquez? Lepas jatuh, dia bangkit semula, pulun habis-habisan untuk kutip empat mata, habis di tempat ke-12.
Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Mercedes AMG GLC 43 4MATIC Coupe Nightfall Edition, varian edisi khas yang tampil dengan penampilan lebih gelap dan agresif berbanding model standard. Model ini menjadi Nightfall Edition kedua diperkenalkan di Malaysia selepas Mercedes-Benz GLA Nightfall Edition sebelum ini.
Dipasang secara tempatan, model ini mengekalkan asas Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé, namun menerima beberapa penambahan visual dan kelengkapan bagi memberikan identiti lebih eksklusif.
Antara perubahan utama pada edisi ini adalah penggunaan AMG Night Package Exterior II, yang menampilkan kemasan Dark Chrome pada beberapa bahagian luar kenderaan.
Perincian gelap ini meliputi bilah gril radiator, emblem model pada fender dan bahagian belakang, serta logo bintang Mercedes di belakang. Gabungan ini memberikan imej lebih garang dan sporty, selari dengan karakter AMG.
Model ini turut menerima penutup tangki bahan api AMG dalam kemasan silver chrome dengan tulisan AMG dan aksen hitam sebagai elemen tambahan yang membezakan edisi ini daripada varian biasa.
Satu lagi ciri utama pada Mercedes AMG GLC 43 4MATIC Coupe ialah AMG Real Performance Sound, yang memberikan pengalaman bunyi enjin lebih jelas dalam kabin.
Sistem ini membolehkan pemandu memilih karakter bunyi berbeza, daripada tetapan lebih seimbang kepada bunyi lebih emosional dan sporty.
Ia boleh dikawal melalui butang atau skrin sentuh, membolehkan pemandu menyesuaikan pengalaman pemanduan mengikut mood dan mod pemanduan yang dipilih.
Mercedes AMG GLC 43 4MATIC Coupe dikuasakan enjin AMG 2.0 liter empat silinder turbo yang dibangunkan mengikut prinsip One Man One Engine di Affalterbach.
Enjin ini menghasilkan 310 kW atau 421hp pada 6750 rpm bersama tork maksimum 500Nm pada 5000 rpm.
Sistem mild hybrid 48V dengan belt driven starter generator turut memberikan tambahan kuasa sehingga 10 kW atau 14hp apabila diperlukan.
Kuasa disalurkan melalui transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9G dan sistem pacuan semua roda 4MATIC.
Dari segi prestasi, SUV coupé ini mampu memecut dari 0 ke 100 kmj dalam 4.5 saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 kmj.
Selain itu, model ini turut dilengkapi stereng gandar belakang sehingga 2.5 darjah yang membantu meningkatkan kelincahan ketika kelajuan rendah serta kestabilan ketika kelajuan tinggi.
Sistem suspensi AMG RIDE CONTROL turut disertakan bagi memberikan kawalan badan yang lebih baik tanpa mengorbankan keselesaan harian.
Dari sudut luaran, Mercedes AMG GLC 43 4MATIC Coupe Nightfall Edition tampil dengan rim aloi ringan AMG Y-spoke bersaiz 21 inci yang dipadankan dengan kaliper brek berwarna perak.
Lampu hadapan DIGITAL LIGHT turut disertakan dengan keupayaan menyesuaikan corak pencahayaan mengikut keadaan jalan dan trafik bagi meningkatkan visibiliti ketika memandu pada waktu malam.
Di bahagian dalam, kabin menerima tempat duduk sport AMG dengan balutan ARTICO man made leather, trim gentian karbon AMG serta stereng AMG Performance dalam kemasan kulit nappa.
Paparan digital terdiri daripada skrin pemandu 12.3 inci dan paparan tengah 11.9 inci lengkap dengan sistem MBUX Navigation Premium, MBUX augmented reality dan AMG specific display.
Sistem audio Burmester 3D surround sound turut disediakan sebagai standard bersama fungsi sound personalisation untuk pengalaman audio lebih premium.
Dari aspek keselamatan, Mercedes AMG GLC 43 4MATIC Coupe hadir dengan Driving Assistance Package Plus termasuk Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist dan PRE-SAFE Impulse Side.
Ia turut dilengkapi Parking Package dengan kamera 360 darjah, Active Parking Assist dengan PARKTRONIC, sistem perlindungan GUARD 360, tyre pressure monitoring system serta head-up display.
Mercedes AMG GLC 43 4MATIC Coupe ditawarkan pada harga RM518,888 atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia.
Bagi pelanggan yang memilih pelan Agility Plus, model ini boleh dimiliki dengan bayaran bulanan bermula sekitar RM6,688 sebulan.
Mercedes AMG GLC 43 4MATIC Coupe tampil sebagai versi lebih eksklusif dan agresif untuk pembeli yang mahukan SUV coupé berprestasi tinggi dengan penampilan lebih menonjol.
Dengan gabungan enjin AMG 421hp, sistem bunyi AMG Real Performance Sound, kemasan Night Package serta senarai kelengkapan lengkap, model ini mengukuhkan lagi pilihan dalam segmen SUV premium berprestasi di Malaysia.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...