
Nama SPOON Sports sememangnya tidak asing dalam kalangan peminat Honda dan dunia modifikasi. Sejak ditubuhkan pada pertengahan era 1980-an oleh Tatsuru Ichishima, jenama dari Jepun ini membina reputasi menerusi pembangunan komponen berprestasi tinggi yang diinspirasikan daripada pengalaman sebenar di litar perlumbaan.
Kini, SPOON Sports memperkenalkan satu produk gaya hidup baharu yang pasti menarik perhatian peminat jenama tersebut menerusi pelancaran SW388 Key Ring, sebuah rantai kunci aluminium yang diinspirasikan daripada salah satu sportrim paling ikonik keluaran mereka, SW388.
Perjalanan SPOON Sports bermula pada tahun 1985 ketika Honda mula memperkenalkan enjin DOHC 16-valve secara besar-besaran. Pengasasnya, Tatsuru Ichishima percaya bahawa prestasi sebenar tidak bergantung kepada satu komponen atau talaan tertentu sahaja, sebaliknya dicapai menerusi keseimbangan keseluruhan kenderaan.
Falsafah tersebut menjadi asas kepada pembangunan komponen prestasi SPOON yang direka untuk merapatkan jurang antara kereta yang digunakan atas jalan raya dan jentera perlumbaan. Pendekatan berasaskan pengalaman sebenar di litar itu akhirnya menjadikan SPOON antara nama paling dihormati dalam komuniti Honda di seluruh dunia.
Sepanjang perjalanan syarikat, SPOON telah terlibat dalam pelbagai program perlumbaan termasuk Macau Grand Prix, Snetterton 24-Hour Endurance Race di United Kingdom, Super Taikyu Jepun serta pelbagai siri perlumbaan lain yang menjadi platform pembangunan teknologi mereka.
Bagi peminat Honda, nama SW388 bukan sesuatu yang asing. Sportrim lima jejari ini dianggap antara produk paling ikonik pernah dihasilkan oleh SPOON Sports.
Reka bentuknya yang ringkas, ringan dan berfungsi menjadikannya pilihan popular dalam kalangan peminat prestasi serta pemilik model seperti Civic, Integra dan S2000. Malah, sehingga hari ini SW388 masih dianggap sebagai salah satu sportrim idaman dalam dunia modifikasi Honda.
Bagi meraikan populariti sportrim tersebut, SPOON Sports kini memperkenalkan SW388 Key Ring yang direka berdasarkan rupa bentuk sebenar SW388.
Walaupun hanya bersaiz sekitar 1.5 inci, rantai kunci ini menampilkan pelbagai perincian yang menyerupai sportrim asal termasuk reka bentuk lima jejari, profil rim tiga dimensi, bahagian tengah rim serta logo SPOON SPORTS.
Diperbuat daripada aluminium dengan kemasan matte, aksesori ini menawarkan penampilan premium selain memberikan rasa logam yang kukuh apabila dipegang.
Menurut SPOON Sports, produk ini direka untuk membolehkan peminat menikmati karakter SW388 dalam kehidupan seharian, sama ada digunakan sebagai rantai kunci kereta, aksesori garaj atau digantung pada beg.
SW388 Key Ring kini boleh ditempah menerusi laman web rasmi SPOON Sports dengan penghantaran pertama dijadualkan bermula pada 25 Jun 2026.
Rantai kunci ini ditawarkan pada harga 3,300 Yen (Sumber daripada laman sesawang rasmi SPOON Sport), menjadikannya antara produk koleksi yang mampu dimiliki oleh peminat jenama tersebut tanpa perlu mengeluarkan belanja besar seperti membeli set sportrim sebenar.
Bagi pemilik SW388, aksesori ini boleh dianggap sebagai pelengkap kepada koleksi sedia ada. Manakala bagi mereka yang masih menyimpan impian untuk memiliki sportrim legenda itu suatu hari nanti, SW388 Key Ring mungkin menjadi cara paling mudah untuk membawa sedikit identiti SPOON ke mana sahaja.
Nama Produk: SW388 Key Ring
Nombor Produk: ORG-MD020-000
Harga: 3,300 Yen (Sumber daripada laman sesawang rasmi SPOON Sport)
Kategori: Merchandise SPOON Sports
Tarikh Penghantaran: Bermula 25 Jun 2026
Baca Juga : Honda Prelude Serba Baharu Dilancarkan di Malaysia, Tampil Dengan Teknologi S+ Shift
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.