Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Yamaha YZF-R9 2025: Revolusi Supersport yang Ditunggu-Tunggu

Selepas sekian lama spekulasi dan khabar angin, akhirnya Yamaha YZF-R9 2025 diperkenalkan dengan beberapa kejutan yang menarik.
Model terbaru ini tidak hanya meneruskan legasi R-Series, tetapi juga memberi nafas baharu kepada kategori supersport yang lebih mesra pengguna.
Model ini direka khusus untuk jalan raya dan litar.
Dengan harga permulaan $12,499, Yamaha YZF-R9 ini dijangka tiba di pasaran eropah pada Mac 2025.
Pada awal tahun 2000-an, kebanyakan motosikal supersport berfokus kepada spesifikasi yang terbaik.
Namun bagi yamaha, mereka menyedari perubahan dalam permintaan pengguna yang kini lebih mementingkan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan.
Menurut Aaron Bast, Perancang Produk Senior Yamaha,
“Kami menghasilkan R9 untuk pengguna yang mahukan pengalaman motosikal sport tradisional tetapi dengan pendekatan lebih praktikal, sesuai untuk jalan raya dua lorong yang berliku, tetapi masih mampu menawan litar.”
Model ini tampil dengan rekaan fairing penuh dan pemegang jenis clip-on.
R9 masih mengekalkan rupa sporty tetapi dengan dimensi yang lebih besar untuk keselesaan pelbagai jenis penunggang.
Yamaha juga memastikan jarak antara pemijak kaki dan tempat duduk lebih luas daripada model R1.
Keadaan ini mampu memberikan posisi tunggangan yang lebih selesa untuk perjalanan jauh.
Yamaha YZF-R9 dikuasakan oleh enjin CP3 890cc tiga silinder selari yang dipinjam dari model MT-09.
Akan tetapi, yamaha telah melakukan tetapan ECU baharu dan nisbah gear yang lebih panjang (16/45 berbanding 16/43), memberikan penyaluran kuasa yang lebih lancar.
Enjin ini mengekalkan hampir semua komponen utama yang telah diolah semula pada tahun 2021 untuk menghasilkan berat yang lebih ringan dan tork lebih tinggi.
Dengan kuasa sekitar 106 hp dan 63.5 lb-ft tork, prestasi R9 disesuaikan untuk memberikan pengalaman tunggangan yang lebih berkuasa tetapi tetap mesra jalan raya.
Bingkai aluminium baharu yang digunakan juga merupakan bingkai yang paling ringan pernah dihasilkan oleh Yamaha untuk model supersport, membantu mengekalkan berat keseluruhan pada 430 paun.
Selain enjin berprestasi tinggi, Yamaha turut menumpukan perhatian kepada casis dan suspensi bagi memastikan pengalaman tunggangan yang seimbang.
Suspensi hadapan menggunakan fork KYB 43mm Separate-Damping (SDF) dengan pelarasan lengkap.
Manakala suspensi belakang pula dilengkapi dengan monoshock KYB yang turut boleh dilaras sepenuhnya.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen Yamaha dalam menghasilkan motosikal yang mampu menghadapi pelbagai situasi, dari jalan raya yang mencabar hingga ke litar lumba.
Posisi tunggangan Yamaha YZF-R9 juga dipertingkatkan dengan pemegang jenis clip-on yang dipasang di bawah klamp tripel atas.
Ciri ini mampu memberikan sudut tunggangan yang lebih agresif tetapi masih sesuai untuk penggunaan harian.
Winglet aerodinamik juga diperkenalkan, bukan sekadar hiasan, tetapi untuk memberikan daya “downforce” yang sebenar pada kelajuan litar.
Tidak lengkap sebuah motosikal moden tanpa teknologi canggih.
Yamaha YZF-R9 hadir dengan pelbagai sistem elektronik termasuk empat tahap mod kuasa, sembilan tahap kawalan traksi sensitif condong, dan tiga tahap kawalan slide.
Terdapat juga sistem kawalan brek dan kawalan angkat roda, serta quickshifter dua hala untuk penukaran gear lebih pantas.
Semua ini boleh ditetapkan melalui paparan TFT 5 inci yang canggih dan sambungan telefon pintar untuk menerima panggilan dan mendengar muzik.
Yamaha tidak melupakan aspek kemudahan dalam reka bentuk R9.
Motosikal ini dilengkapi dengan brek hadapan Brembo Stylema dan penyerap kejutan Brembo yang menawarkan prestasi memberhentikan yang unggul.
Terdapat juga kawalan jelajah untuk tunggangan yang lebih santai dan tangki bahan api yang besar.
Ciri ini menjadikan YZF-R9 bukan sekadar motosikal untuk litar tetapi juga sesuai untuk perjalanan jarak jauh.
Dengan YZF-R9, Yamaha sekali lagi membuktikan bahawa mereka memahami keperluan pengguna moden.
Motosikal ini bukan sekadar versi yang lebih besar dari R7, tetapi merupakan langkah evolusi yang menawarkan keseimbangan antara prestasi tinggi dan kemudahan harian.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!
Brixton Storr 500 Tiba Di Malaysia, Enjin 2-Silinder 486 cc

Brixton Motorcycles Malaysia secara rasmi memperkenalkan Brixton Storr 500 ke pasaran tempatan bersempena majlis Mforce Lou Sang Dinner 2026 yang berlangsung di M Resort & Hotel.
Model dengan design retro ini kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh negara dengan harga bermula RM29,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Storr 500 tampil sebagai sebuah motosikal adventure bersaiz sederhana yang memadukan reka bentuk neo-retro Eropah dengan ciri-ciri yang moden. Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Black, Green dan Yellow sekali gus memberi pilihan karakter berbeza kepada penunggang.
Sebagai sebuah motosikal yang diposisikan untuk kegunaan “touring”, Brixton Storr 500 hadir standard dengan tiga unit kotak simpanan (satu kotak atas dan dua kotak sisi).
Konfigurasi ini menjadikannya terus bersedia untuk “ride” jarak jauh, sama ada bagi kegunaan touring, overland mahupun “adventure” pada hujung minggu.
Garis badan yang tegap, pelindung angin, lampu LED penuh serta kehadiran lampu spotlight LED menegaskan identitinya sebagai jentera adventure yang praktikal.
Kelegaan tanah setinggi 200 mm dan ketinggian tempat duduk 830 mm turut menyokong keupayaannya meredah laluan tidak berturap dengan lebih yakin.
Daripada aspek trenkuasa, Brixton Storr 500 dikuasakan enjin dua silinder, 4-lejang, 8-injap dengan sesaran 486 cc, menggunakan sistem penyejukan cecair.
Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 35.0 kW pada 8,500 rpm dan tork puncak 43 Nm pada 6,750 rpm, dengan nisbah mampatan 10.7:1.
Sistem bahan api EFI BOSCH dipadankan dengan ECU moden, klac basah berbilang plat, pendikit mekanikal serta transmisi 6 kelajuan dengan pacuan rantai.
Kapasiti tangki bahan api 16 liter pula memberi jarak tunggangan yang praktikal untuk perjalanan jauh tanpa kerap berhenti mengisi minyak.
Untuk pengendalian, Storr 500 menggunakan fork terbalik KYB di hadapan dengan pelarasan redaman, manakala bahagian belakang disokong oleh penyerap hentak tengah hidraulik KYB dengan pelarasan pra-beban.
Panjang suspensi hadapan adalah 180 mm, manakala belakang 71 mm, menawarkan imbangan antara keselesaan dan kawalan di jalan berturap serta laluan kasar.
Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal di hadapan bersaiz Ø320 mm dan cakera belakang Ø240 mm, lengkap dengan ABS dwi-saluran yang boleh dinyahaktifkan.
Menariknya, Storr 500 turut dilengkapi Traction Control System (TCS) boleh laras dengan empat mod operasi, membolehkan penunggang memilih tetapan mengikut keadaan jalan dan gaya tunggangan.
Dari sudut teknologi, Brixton Storr 500 dilengkapi paparan TFT 7 inci, port pengecasan USB Type-A, suis keselamatan tongkat sisi, sistem kunci mekanikal serta bateri 12V 8Ah jenis Gel.
Lampu LED digunakan sepenuhnya termasuk lampu hadapan, belakang, isyarat dan lampu kecemasan.
Model ini juga menyokong sambungan Bluetooth, membolehkan paparan notifikasi panggilan, fungsi panggilan suara serta pencerminan skrin.
Keserasian dengan aplikasi pihak ketiga Carbit Ride turut ditawarkan untuk pengalaman tunggangan yang lebih interaktif dan berorientasikan navigasi.
Brixton Storr 500 menggunakan tayar Pirelli bersaiz 110/80-19 di hadapan dan 150/60-17 di belakang.
Dimensi keseluruhan ialah 2,171 mm panjang, 916 mm lebar dan 1,432 mm tinggi, dengan jarak roda 1,441 mm.
Berat tanpa muatan dicatatkan pada 209 kg, manakala kapasiti beban maksimum mencecah 359 kg, sesuai untuk tunggangan solo atau bersama kelengkapan penuh.
Setiap pembelian Brixton Storr 500 disertakan dengan jaminan pengeluar dua tahun tanpa had perbatuan, selain akses kepada alat ganti tulen secara dalam talian melalui platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., memperkukuh keyakinan pemilikan jangka panjang.
Baca Juga : Lima Produk Baharu LS2 Diperkenalkan di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!
Motul Malaysia Rai Satu Dekad Bersama MR Lubricant Sdn. Bhd.

Motul Malaysia meraikan pencapaian 10 tahun kerjasama strategik bersama MR Lubricant menerusi majlis makan malam gala yang berlangsung di Genting Highlands, Februari lalu.
Seramai 85 rakan pengedar dari wilayah Utara dan Pantai Timur Malaysia hadir memeriahkan acara tersebut, sekali gus menandakan satu dekad pertumbuhan mampan bagi rangkaian pelincir premium jenama Perancis itu di pasaran tempatan.
Kerjasama yang bermula pada 2016 menyaksikan MR Lubricant dilantik sebagai Pengedar Rasmi Motul Tekma rangkaian minyak enjin diesel tugas berat sebelum berkembang menjadi pengedar komprehensif untuk minyak enjin kereta penumpang di dua wilayah utama tersebut.
Menurut Ravi Shankar, Pengurus Besar Motul Malaysia, evolusi MR Lubricant daripada operasi berskala kecil kepada pengedar serantau yang kukuh mencerminkan nilai teras jenama itu.
Beliau turut menyentuh mengenai pembukaan fasiliti bersepadu baharu MR Lubricant pada 2026, yang dilihat sebagai pelaburan strategik untuk menyokong pertumbuhan volum serta memperkukuh rantaian bekalan di wilayah Utara dan Pantai Timur.
Alvin Toh, Pengasas Bersama dan Pengarah Operasi MR Lubricant pula menegaskan bahawa kejayaan 10 tahun ini didorong oleh kepercayaan rangkaian pengedar serta sokongan berterusan daripada Motul Malaysia, khususnya dari aspek latihan teknikal dan pembangunan pasaran.
Di peringkat antarabangsa, Motul terus mengukuhkan reputasinya menerusi kerjasama dengan McLaren Racing sebagai rakan pelincir rasmi bagi pasukan Formula 1 dan program endurance mereka dalam FIA World Endurance Championship.
Motul membekalkan pelincir berprestasi tinggi untuk enjin, transmisi dan diferensial komponen kritikal yang beroperasi dalam suhu serta tekanan ekstrem perlumbaan jarak jauh. Kepakaran ini turut disokong oleh penglibatan lama Motul dalam 24 Hours of Le Mans sejak 1950-an.
Teknologi yang diuji di litar inilah yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam produk pengguna harian.
Antara produk utama diketengahkan ialah Motul Eco-Tech 5W30, minyak enjin 100% sintetik yang mematuhi spesifikasi terkini API SP dan ILSAC GF-6A. Dari sudut teknikal, formulasi ini menawarkan:
Perlindungan terhadap Low-Speed Pre-Ignition (LSPI) bagi enjin turbo suntikan terus
Kawalan deposit pada piston dan turbocharger
Kestabilan kelikatan tinggi pada suhu operasi ekstrem
Kecekapan bahan api lebih optimum dalam trafik bandar berhenti-dan-gerak
Ia sesuai untuk enjin moden turbo dan aspirasi semula jadi, sejajar dengan trend downsizing serta penggunaan teknologi direct injection.
Motul NGEN Hybrid pula dibangunkan khusus untuk keperluan enjin hibrid yang kerap melalui kitaran hidup-mati (start-stop) serta tempoh enjin tidak beroperasi yang panjang. Formulasi ini memberi penekanan kepada:
Perlindungan haus semasa cold start berulang
Rintangan pengoksidaan lebih baik
Keserasian dengan sistem kawalan emisi moden
Pendekatan ini mencerminkan komitmen Motul terhadap mobiliti mampan tanpa mengorbankan prestasi dan ketahanan enjin.
Baca Juga : Pensijilan SIRIM kukuhkan reputasi Motul di pasaran Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!




