Bagi para pengikut automotif dan peminat kereta laju, pasti tidak asing lagi dengan figura yang popular dari rancangan YouTube, Supercar Blondie. Alex Hirschi, hos di sebalik jenama Supercar Blondie, kini bakal mengorak langkah lebih jauh dengan pelancaran SBX Cars, sebuah platform lelongan dalam talian yang menawarkan pelbagai jenis kereta eksotik dan unik.
Alex Hirschi berkata, “Kami menerima banyak permintaan dari orang yang ingin menjual kereta unik mereka, dan ada juga yang mencari kereta yang spesifik.” Sebelum pelancaran, SBX Cars telah mengesahkan lebih daripada AS$100 juta dalam konsainan.
Menurut Alex, SBX Cars akan beroperasi terutamanya dari Los Angeles dan Dubai, dengan pasukan yang berada di London. “Kami ingin membina platform yang benar-benar memberikan rasa premium kepada pengguna. Kami tidak mahu kereta mewah dijual bersama kereta biasa dengan harga rendah,” katanya.
Ads
Kredit: South China Post
SBX Cars bukanlah satu-satunya platform lelongan kereta dalam talian. Youtuber terkenal Doug DeMuro juga telah melancarkan Cars & Bids di Amerika Syarikat pada tahun 2020. Di Eropah, Collecting Cars, yang diasaskan oleh Edward Lovett pada 2019, melaporkan penjualan melebihi £130 juta pada tahun lalu.
Trend ini juga diteruskan oleh rumah lelong terkenal seperti RM Sotheby’s, Barrett-Jackson, dan Gooding & Co yang kini mengadakan jualan dalam talian. Dengan pengalaman bertahun-tahun dalam dunia kereta mewah, Supercar Blondie bersedia untuk menempuh cabaran dalam pasaran lelongan dalam talian yang semakin pesat ini, menurut Lance Butler, Pengasas Stratas Auctions.
Buat peminat SUV kompak Honda HR-V, ada berita baik untuk anda! Honda Malaysia kini memperkenalkan warna baharu, Stellar Diamond Pearl, bagi menggantikan warna Lunar Silver Metallic sebelum ini.
Menariknya, pilihan warna ini tersedia untuk semua varian Honda HR-V di pasaran Malaysia tanpa sebarang bayaran tambahan.
Secara keseluruhannya, Honda HR-V kini hadir dengan lima pilihan warna menarik, termasuk Ignite Red Metallic, Ruse Black Metallic (menggantikan Crystal Black Pearl), Meteoroid Grey Metallic dan Platinum White Pearl (menggantikan Premium White Pearl, dengan tambahan kos RM800 bagi warna ini).
Honda Malaysia terus mengekalkan empat varian HR-V untuk pasaran tempatan, masing-masing dilengkapi dengan tiga jenis enjin yang berbeza. Bagi varian asas, 1.5L S, ia menggunakan enjin 1.5 liter NA DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa 121 PS dan tork 145 Nm, dengan harga jualan RM115,900.
Sementara itu, varian pertengahan iaitu 1.5L T E (RM130,900) dan 1.5L T V(RM135,900) pula dikuasakan oleh enjin 1.5 liter VTEC-Turbo yang lebih bertenaga, menjana 181 PS dan 240 Nm tork.
Bagi varian tertinggi, HR-V 1.5L e:HEV RS, ia hadir dengan sistem hibrid yang menggabungkan enjin 1.5L NA kitaran Atkinson bersama motor elektrik. Dalam kebanyakan situasi, enjin ini berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri. Sementara motor elektrik bertanggungjawab memacu roda hadapan.
Dalam keadaan tertentu, kedua-dua enjin dan motor elektrik boleh bekerjasama untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih efisien dan bertenaga. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS dan tork 253 Nm. Menjadikan ia pilihan paling berkuasa dalam keluarga HR-V. Harga untuk varian ini ditetapkan pada RM141,900.
Masih Berbaloi Untuk Dimiliki
Meskipun menerima kemaskini warna baharu, harga kesemua varian Honda HR-V kekal tidak berubah. Menjadikannya pilihan yang terus relevan bagi mereka yang mencari SUV kompak dengan prestasi, kecekapan bahan api, serta reka bentuk moden.
Jadi, jika anda sedang mempertimbangkan HR-V sebagai kenderaan baharu anda, warna Stellar Diamond Pearl ini mungkin boleh menjadi pilihan yang lebih segar dan eksklusif!
Apabila menyebut nama Ferrari, kita pasti membayangkan kereta lumba berprestasi tinggi yang mendominasi litar lumba.
Namun, tahukah anda bahawa Ferrari pernah hadir dalam dunia dua roda?
Ferrari 900 yang diperkenalkan pada tahun 1995 merupakan satu-satunya motosikal rasmi yang membawa nama jenama ikonik ini.
Projek luar biasa ini dimulakan oleh David Kay.
Beliau seorang jurutera yang terkenal dengan kepakarannya dalam membina dan mereka bentuk motosikal MV Agusta.
David Kay mempunyai latar belakang dalam industri kejuruteraan motosikal melalui perniagaan keluarganya, MV Meccanica Verghera.
Kay mahu mencipta sebuah motosikal yang bukan sekadar unik tetapi juga penghormatan kepada Enzo Ferrari, pengasas Ferrari yang meninggal dunia pada tahun 1988.
Selepas menghantar permohonan rasmi, Kay menerima kelulusan bertulis daripada Piero Ferrari pada 23 Mei 1990.
Ini memberikannya hak eksklusif untuk meletakkan logo Ferrari pada motosikal ini, menjadikannya sebuah karya seni mekanikal yang benar-benar sah di bawah jenama Ferrari.
Ferrari 900 bukan sekadar motosikal biasa,ia dibina daripada awal dengan sentuhan kejuruteraan berkualiti tinggi.
Motosikal ini menggunakan enjn 900cc DOHC empat silinder sejukan udara dengan 16 injap, digandingkan dengan transmisi lima kelajuan.
Dengan kuasa maksimum 105hp pada 8800rpm, motosikal ini mampu memberikan pecutan yang menakjubkan.
Reka bentuknya mendapat pengaruh daripada Ferrari Testarossa, kereta ikonik dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam.
Terry Hall, pereka utama projek ini, menggunakan aluminium buatan tangan untuk membentuk badan motosikal ini.
Ditambah dengan komponen gentian karbon dan tuangan magnesium, berat keseluruhan jentera ini hanyalah 172kg (tanpa bahan api), menjadikannya sebuah superbike yang ringan dan aerodinamik. Dengan spesifikasi ini, motosikal ini mampu mencapai kelajuan maksimum 265km/j.
Sebagai sebuah jentera prestasi tinggi, Ferrari 900 dilengkapi dengan cakera brek Brembo bagi memastikan kuasa pemberhentian yang optimum.
Ia juga mempunyai rim 17 inci Astralite serta sistem suspensi WPS, memberikan kestabilan yang luar biasa ketika menunggang pada kelajuan tinggi.
Walaupun dicipta sebagai penghormatan kepada Enzo Ferrari, Ferrari 900 tidak pernah digunakan di jalan raya secara rasmi.
Sebaliknya, ia menjadi koleksi peribadi Kay dan ditempatkan di pejabatnya sebagai bahan pameran eksklusif.
Pada tahun 2008, motosikal ini mula dilelong dengan harga permulaan $236,430, tetapi gagal menarik pembeli.
Percubaan lain dibuat dengan menaikkan harga ke $328,350 di eBay, namun masih tiada pembeli berminat.
Akhirnya, pada tahun 2012, Ferrari 900 berjaya dijual dalam lelongan Bonhams pada harga $107,265, jauh lebih rendah daripada jangkaan asal.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
ADAS semakin menjadi sebahagian penting dalam kereta baharu yang dijual di Malaysia. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak model mula dilengkapi teknologi ini sama ada sebagai ciri standard atau ditawarkan pada varian tertentu.
ADAS ialah singkatan kepada Advanced Driver Assistance Systems. Secara mudah, ia merujuk kepada rangkaian sistem bantuan pemandu yang menggunakan kamera, radar, sensor atau gabungan beberapa komponen untuk membantu pemandu ketika memandu.
Tujuannya bukan untuk menggantikan pemandu, tetapi untuk memberi amaran, membantu kawalan dan mengurangkan risiko kemalangan dalam situasi tertentu.
Perkara paling penting untuk difahami, ADAS bukan bermaksud kereta boleh memandu sendiri sepenuhnya. Walaupun ada fungsi seperti Adaptive Cruise Control atau Lane Keeping Assist, pemandu masih perlu memegang stereng, melihat jalan dan bersedia mengambil alih kawalan pada bila-bila masa.
Sistem ini hanya bertindak sebagai bantuan. Ia boleh membantu mengurangkan beban pemandu, terutama dalam perjalanan jauh atau trafik perlahan, tetapi tanggungjawab utama masih berada pada manusia di belakang stereng.
Antara ciri ADAS yang paling penting ialah Autonomous Emergency Braking atau AEB. Sistem ini direka untuk mengesan risiko perlanggaran di hadapan dan memberi amaran kepada pemandu. Jika pemandu tidak bertindak, sistem boleh membantu membrek secara automatik.
AEB berguna dalam situasi seperti kenderaan depan membrek mengejut, trafik berhenti secara tiba-tiba atau pemandu lewat memberi reaksi. Namun keberkesanannya bergantung kepada keadaan jalan, kelajuan, cuaca dan keupayaan sensor mengesan objek di hadapan.
Adaptive Cruise Control pula berfungsi mengekalkan kelajuan yang ditetapkan, sambil melaras jarak dengan kenderaan di hadapan. Jika kenderaan depan memperlahankan kelajuan, sistem akan mengurangkan kelajuan secara automatik. Apabila laluan kembali lapang, kereta akan memecut semula mengikut tetapan asal.
Ciri ini sangat berguna ketika memandu di lebuh raya kerana pemandu tidak perlu kerap menekan pedal minyak dan brek. Pada sesetengah model, sistem ini turut menyokong fungsi Stop and Go, menjadikannya lebih praktikal dalam kesesakan.
Lane Departure Warning dan Lane Keeping Assist pula berkait dengan kawalan lorong. Lane Departure Warning memberi amaran jika kereta mula keluar lorong tanpa signal, manakala Lane Keeping Assist boleh membantu membetulkan stereng secara ringan supaya kereta kembali ke laluan asal.
Ciri ini membantu terutama ketika pemandu mula hilang fokus, tetapi ia bukan alasan untuk memandu sambil leka. Garisan jalan yang pudar, hujan lebat atau selekoh tertentu boleh menjejaskan keupayaan sistem membaca lorong dengan tepat.
Blind Spot Monitor pula memberi amaran jika ada kenderaan berada di kawasan titik buta, biasanya melalui lampu amaran pada cermin sisi. Sistem ini berguna ketika menukar lorong, terutama di lebuh raya atau jalan bandar yang sesak.
Ada juga kereta yang dilengkapi Rear Cross Traffic Alert. Ciri ini membantu mengesan kenderaan yang datang dari kiri atau kanan ketika pemandu sedang mengundur keluar dari parkir. Untuk kawasan parkir pasar raya atau ruang sempit, fungsi ini memang praktikal.
Walaupun ADAS membantu meningkatkan keselamatan, pemandu perlu faham bahawa setiap sistem ada hadnya. Kamera boleh terhalang oleh kotoran, radar boleh terkesan dalam cuaca tertentu, dan sistem mungkin tidak mengesan semua objek dengan sempurna.
Sebab itu, pemilik kereta perlu membaca manual dan memahami cara setiap fungsi bekerja. Jangan hanya tahu nama ciri, tetapi tidak tahu bila ia aktif, bagaimana ia memberi amaran dan apa yang perlu dibuat jika sistem tidak berfungsi.
Hari ini, ADAS bukan lagi ciri mewah semata-mata. Ia semakin menjadi antara faktor penting dalam pemilihan kereta baharu, terutama untuk pengguna yang banyak memandu jarak jauh atau membawa keluarga.
Kesimpulannya, ADAS ialah sistem bantuan pemandu yang boleh menjadikan pemanduan lebih selamat dan kurang memenatkan. Namun ia tetap bukan pengganti perhatian pemandu. Teknologi boleh membantu, tetapi fokus, disiplin dan kawalan manusia masih menjadi elemen paling penting di atas jalan.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...