Suzuki mengukuhkan lagi barisan keluarga GSX-8 untuk tahun 2026 dengan pengenalan model GSX-8T .
Motosikal bergaya naked retro yang menampilkan inspirasi daripada model klasik Suzuki T500 Titan yang popular sekitar tahun 1968 hingga 1975.
Jika sebelum ini model GSX-8S dan GSX-8R mengisi segmen moden dan sporty, GSX-8T pula membawa elemen warisan dan nostalgia, namun dibina atas asas mekanikal yang sama mantap dan moden.
Huruf ‘T’ dalam GSX-8T membawa maksud “Titan”, sebagai penghormatan kepada T500 — jentera dua-lejang berkembar yang menjadi antara model penting dalam sejarah Suzuki.
Walaupun ia tidak dinamakan semula secara rasmi sebagai “Titan” (mungkin disebabkan isu hak cipta nama dengan pengeluar lain seperti Nissan), Suzuki berjaya menerapkan semangat model asal ke dalam reka bentuk dan karakter GSX-8T.
Platform GSX-8T adalah sama dengan model GSX-8S dan GSX-8R menggunakan enjin parallel-twin 776cc dengan kuasa 82hp @ 8,500rpm dan tork 78Nm @ 6,800rpm.
Ia turut dilengkapi kotak gear 6-kelajuan bersama quickshifter dua hala serta slipper clutch untuk pengendalian lebih lancar dan agresif.
GSX-8T tampil dengan rekaan lampu utama bulat LED berpotongan bawah rata, menyerlahkan gaya retro era 60-an dan 70-an.
Suzuki turut memperkenalkan buat pertama kalinya cermin sisi jenis bar-end, satu ciri yang menguatkan lagi penampilan klasik motosikal ini.
Instrumentasi menggunakan paparan TFT lima inci dan turut disediakan port pengecas USB-C.
Tangki bahan api lebih besar berbanding model standard, iaitu 16.3 liter
, yang membolehkan jarak tunggangan sehingga 386 kilometer.Ini berdasarkan anggaran penggunaan bahan api sekitar 56 mpg (23.8 km/l).
Tempat duduk direka dalam gaya ‘tuck-and-roll’, bukan hanya untuk penampilan klasik, tetapi juga lebih sempit di bahagian hadapan bagi memudahkan penunggang mencapai permukaan jalan.
Ketinggian tempat duduk adalah 810mm, sedikit lebih tinggi daripada GSX-8S.
Suzuki GSX-8T turut menerima pelindung ekzos keluli tahan karat berus yang bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan, tetapi juga sebagai pelindung haba.
Bahagian sisi motosikal ini menggunakan kemasan hitam matte, sesuai dengan pendekatan reka bentuk “refined dan understated”.
Lebih menarik, GSX-8T merupakan model Suzuki pertama yang dilengkapi bateri lithium-ion dari Eliiy Power.
Eliiy Power merupakan syarikat yang sama membekalkan bateri kepada pasukan perlumbaan Yoshimura SERT Motul dalam Kejohanan Endurance Dunia FIM.
Buat masa ini, harga rasmi belum diumumkan.
Namun, Suzuki menyatakan bahawa model ini akan mula berada di pasaran global menjelang suku ketiga 2026.
Dua pilihan warna akan ditawarkan:
Candy Burnt Gold – menyerlahkan elemen klasik
Metallic Mat Black – tampil garang dan minimalis
Komponen | Butiran |
---|---|
Enjin | 776cc DOHC parallel twin, 4-valve |
Kuasa Maksimum | 82hp @ 8,500rpm |
Tork Maksimum | 78Nm @ 6,800rpm |
Transmisi | 6-kelajuan, quickshifter, slipper clutch |
Suspensi | Showa (fork terbalik depan, linkage-preload belakang) |
Brek | Cakera depan 310mm Nissin radial, ABS standard |
Tayar | Dunlop Sportmax Roadsport 2 (17”) |
Berat | 201kg (443lbs) |
Tinggi Tempat Duduk | 810mm |
Tangki Bahan Api | 16.3 liter |
Paparan Meter | TFT 5” dengan USB-C |
Warna | Candy Burnt Gold, Metallic Mat Black |
Jika model ini dibawa masuk ke pasaran Malaysia, besar kemungkinan ia akan menarik perhatian bukan sahaja peminat Suzuki, tetapi juga peminat motosikal retro seluruh negara.
Baca Juga : Suzuki SV650 Kembali Bergaya — Semangat Samurai Menyala Kembali!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.