The Art of Unexpected kembali menggegar dunia automotif dengan kelahiran edisi terhad terbaharu – Ducati Panigale V4 Lamborghini. Hasil kolaborasi ikonik dua jenama legenda dari Itali.
Terhad kepada hanya 630 + 63 unit, motosikal edisi khas ini diinspirasikan daripada Lamborghini Revuelto Ad Personam. Menjadikannya babak ketiga dalam kerjasama strategik antara Ducati dan Lamborghini.
Alkimia Sempurna dari Jantung Motor Valley
Selepas kejayaan Diavel 1260 Lamborghini dan Streetfighter V4 Lamborghini, model Panigale V4 Lamborghini tampil sebagai manifestasi kemuncak kejuruteraan dan estetika Itali.
Berdasarkan Ducati Panigale V4 S, dan diilhamkan daripada Lamborghini Revuelto – supercar hibrid berprestasi tinggi – motosikal ini menyatukan reka bentuk unik, teknologi canggih dan DNA perlumbaan.
Kedua-dua jentera hebat ini dikuasakan oleh enjin terbaik jenama masing-masing: Ducati Desmosedici Stradale dan Lamborghini V12. Gabungan dua falsafah kejuruteraan ini melahirkan karya seni mekanikal yang mendebarkan.
Edisi Speciale Clienti – Eksklusif untuk 63 Pemilik Bertuah
Sebagai sebahagian daripada tawaran ultra-eksklusif, 63 pelanggan Lamborghini terpilih akan berpeluang menyesuaikan sepenuhnya motosikal mereka dengan kerjasama bersama Centro Stile Ducati. Pelanggan boleh memilih skema warna Revuelto mereka sendiri atau memilih kombinasi khas yang ditawarkan. Pengubahsuaian juga merangkumi:
- Tempat duduk tersuai
- Kaliper brek eksklusif
- Logo dan roda berpadanan
- Plexiglas pilihan
- Ukiran khas pada plat stereng
- Tapak belakang (rear stand) dicat dengan livery sepadan
Tayangan Perdana di Milan Design Week
Model Panigale V4 Lamborghini ini telah didedahkan secara rasmi di Teatro Alcione, Milan, sempena Milan Design Week – pentas utama dunia reka bentuk. Ia melambangkan bab baharu dalam kerjasama antara Ducati dan Lamborghini yang berpaksikan nilai teknologi tinggi, semangat sukan dan eksklusiviti.
Menurut Claudio Domenicali, CEO Ducati:
“Panigale V4 Lamborghini mengukuhkan lagi hubungan dua ikon Motor Valley, dengan menampilkan keanggunan reka bentuk, prestasi tinggi dan semangat Itali yang tidak dapat disangkal.”
Inspirasi Daripada Lamborghini Revuelto
Revuelto merupakan supercar hibrid HPEV pertama Lamborghini, menggabungkan enjin V12 baharu dengan tiga motor elektrik berkuasa tinggi dan sistem transmisi dwi-klac melintang. Dengan jumlah kuasa 1015 hp, ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 2.5 saat dan kelajuan maksimum melebihi 350 km/j.
Penggunaan meluas gentian karbon dan bahan ultra ringan menjadikannya jentera dengan nisbah kuasa-ke-berat terbaik dalam sejarah Lamborghini (1.75 kg/HP). Hasil kerja teliti Centro Stile Lamborghini dan jabatan Ad Personam menjadikan setiap unit Revuelto sebuah karya seni automotif.
Sinergi Reka Bentuk & Warisan Itali
Kata Stephan Winkelmann, Pengerusi & CEO Lamborghini:
“Apabila dua bahasa reka bentuk yang tidak dapat disalah anggap bertemu – Lamborghini dan Ducati – hasilnya ialah pernyataan sempurna semangat Itali dan keindahan reka bentuk.”
Panigale V4 Lamborghini bukan sekadar motosikal. Ia adalah lambang kecemerlangan, simbol gaya hidup dan pengikat jiwa antara peminat dua dan empat roda yang menghargai ketulenan serta prestasi luar biasa.
Dari Ducati Newsroom
Baca Juga Ducati Panigale Tricolore Italia – Hiper-terhad Unit Sedunia!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.