Toyota FJ Cruiser 2026, Rekaan Klasik & Jiwa Baharu
Toyota akhirnya memperkenalkan model serba baharu FJ Cruiser 2026 menandakan kebangkitan semula nama ikonik yang pernah menjadi lambang ketahanan dan gaya dalam dunia 4×4. Selepas bertahun-tahun hanya dalam bentuk konsep, model ini kini tampil dalam versi produksi penuh, bersedia untuk dilancarkan di Jepun pada tahun hadapan.
Model baharu ini mengekalkan DNA Land Cruiser yang menjadi kebanggaan Toyota selama beberapa dekad dan dibina untuk ketahanan, kebolehan off-road yang tinggi dan kepraktisan harian. Namun, pendekatan kali ini lebih moden dan mesra pengguna baharu, seiring matlamat Toyota untuk memperluaskan pasaran kepada generasi muda.

Platform Kukuh, Saiz Lebih Kompak
FJ Cruiser 2026 dibangunkan berasaskan platform sama seperti Land Cruiser 250 Series, tetapi dengan jarak roda lebih pendek sebanyak 270 mm. Ini menjadikan dimensinya 4,575 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,960 mm tinggi cukup padat untuk pengendalian di kawasan bandar.
Toyota menyatakan bahawa FJ mengekalkan jarak kelegaan tanah dan sudut mendaki hampir sama seperti Land Cruiser 250, dengan sekitar 215 mm dan sudut mendekati 31 darjah, serta pusingan stereng hanya 5.5 meter, memberikan tahap ketangkasan yang luar biasa untuk SUV berasaskan ladder frame.
Kuasa Petrol Tulen
Menariknya, Toyota memilih enjin 2.7 liter petrol empat silinder untuk versi awal ini, menghasilkan 161 hp dan 245 Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan serta sistem pacuan semua roda (4WD).
Toyota menjelaskan FJ dibina dengan falsafah “lean but strong” kukuh, berotot, namun tanpa elemen berlebihan. Reka bentuk luaran menampilkan bampar dan fender berlekuk lebar, menyerlahkan kestabilan dan keyakinan.
Antara tarikan utama ialah tahap kebolehsuaian tinggi, di mana pemilik boleh menukar sendiri bampar depan dan belakang, memudahkan kerja pembaikan atau ubah suai. Toyota turut menawarkan pelbagai aksesori seperti lampu bulat retro, panel kargo, dan snorkel pengambilan udara untuk mereka yang ingin menonjolkan identiti tersendiri.
Kabin Dengan Sentuhan Moden
Ruang dalaman FJ Cruiser direka berasaskan prinsip praktikal, seiring dengan gaya Land Cruiser 250. Bahagian tengah papan pemuka dihuni oleh skrin infotainmen 12.5 inci, disertakan juga deretan butang dan suis fizikal bagi kawalan utama kombinasi ideal antara fungsi moden dan kebolehgunaan klasik.
Keluarga Land Cruiser Semakin Besar
Menurut Ketua Penjenamaan Global Toyota, Simon Humphries, pelancaran FJ menandakan fasa baharu dalam evolusi keluarga Land Cruiser.
“Dua tahun lalu kami memperkenalkan Land Cruiser 250 dengan semangat asalnya. Hari ini, FJ menjadi tambahan penting simbol kesinambungan antara tradisi dan masa depan,” katanya.
Toyota turut menegaskan bahawa keluarga Land Cruiser kini merangkumi pelbagai keperluan dari model kerja berat, mewah hingga ke SUV kompak seperti FJ ini.
FJ Cruiser 2026 bakal dipertontonkan buat kali pertama kepada umum di Japan Mobility Show di Tokyo minggu depan, sebelum dijual secara rasmi di Jepun pertengahan tahun depan.
Walaupun belum diumumkan secara rasmi untuk pasaran antarabangsa, Toyota memberi bayangan bahawa versi eksport mungkin akan hadir dengan varian hibrid atau diesel ringan, selaras dengan keperluan pasaran global dan peraturan emisi semasa.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Honda CB1000 Hornet 2025, Lebih Berkuasa Dan Lebih Menarik

Honda telah melancarkan motosikal CB1000 Hornet 2025, sebuah jentera “super naked” yang bukan sahaja menawarkan kuasa luar biasa, tetapi juga harga yang mampu milik berbanding pesaing di segmen yang sama.
Dengan kuasa puncak 149.7bhp, Honda berjaya menawarkan prestasi hebat dengan harga yang lebih rendah untuk model asas dan varian SP.
Motosikal ini bakal menjadi motosikal ini antara pilihan terbaik bagi penunggang yang ingin menikmati kuasa tanpa perlu membayar harga yang terlalu tinggi.

Prestasi Terbaik dengan Sentuhan Fireblade
Honda CB1000 Hornet ini dikuasakan oleh enjin yang diambil daripada model CBR1000RR Fireblade keluaran 2017, namun dengan talaan yang lebih rendah untuk memberi tumpuan pada kuasa pecutan di tahap rendah hingga sederhana.
Enjin ini disokong oleh kerangka “steel diamond” dan kotak gear enam kelajuan, serta tangki minyak 17 liter dan throttle elektronik.
Dengan kuasa maksimum pada 11,000rpm dan tork 76.8lb.ft pada 9000rpm, ia memastikan tunggangan yang lancar dan penuh tenaga untuk kegunaan harian mahupun di lebuhraya.

Mod Tunggang dan Keselesaan Terkini
Seperti yang dijangkakan daripada sebuah Honda moden, CB1000 Hornet 2025 dilengkapi dengan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Standard, dan Sport.
Setiap mod memberikan tahap kuasa, brek enjin, dan kawalan cengkaman yang berbeza, memastikan tunggangan lebih selamat dan selesa mengikut keadaan jalan.
Lebih menarik, dua mod ‘User’ boleh diubah suai sepenuhnya mengikut citarasa penunggang, membolehkan kawalan penuh terhadap pengalaman tunggangan.
Teknologi Moden dan Rekaan Canggih
CB1000 Hornet turut menampilkan teknologi moden seperti lampu utama LED projektor dan skrin TFT 5 inci berwarna penuh dengan paparan kaca terpateri, serta sokongan sambungan mudah alih.

Penunggang juga boleh menambah quickshifter melalui pakej aksesori yang tersedia untuk model asas, yang pastinya menambah kemudahan untuk pengendalian lebih lancar di jalanan.
Rekaan tayar berinspirasikan CBR1000RR Fireblade bersaiz 17 inci, serta geometri rake dan trail masing-masing pada 25° dan 98mm.
Jarak roda yang diumumkan pada 1455mm, bersama peningkatan ketegaran kilasan kerangka sebanyak 70% berbanding model CB1000R semasa, menjadikan pengendalian lebih cekap dan stabil.

Varian SP: Pilihan untuk Penunggang Yang Inginkan Lebih Kuasa
Bagi mereka yang mencari prestasi lebih tinggi, Honda menawarkan CB1000 Hornet SP pada harga £9999 (anggaran RM58,000).
Varian ini menggunakan enjin yang sama, namun dilengkapi dengan injap RC pada ekzos yang membuka pada 5700rpm, memberi lebih kuasa kepada enjin apabila diperlukan.
Varian SP ini menawarkan kuasa sehingga 154.2bhp dan tork 79lb.ft, menjadikan tunggangan lebih bertenaga.

Lebih menarik, CB1000 Hornet SP dilengkapi dengan suspensi yang dipertingkatkan, termasuk fork USD Showa SFF-BP bersaiz 41mm yang boleh dilaras sepenuhnya, serta penyerap hentak belakang Öhlins TTX36.
Model ini turut menampilkan gaya unik dengan warna hitam dan emas berinspirasi livery JPS, serta quickshifter dan angkup brek depan Brembo Stylema empat piston untuk memberikan pengalaman tunggangan premium.

Harga dan Konklusi
Honda CB1000 Hornet 2025 dijual di pasaran Eropah pada harga bermula dari £8999 (anggaran RM52,000) untuk model asas, manakala varian SP dijual pada harga £9999 (anggaran RM58,000).
Dengan gabungan prestasi luar biasa, teknologi terkini, dan harga yang berdaya saing, Honda CB1000 Hornet 2025 dan varian SP adalah pilihan bijak bagi mereka yang mencari motosikal naked yang hebat untuk kegunaan harian atau bersantai di hujung minggu.
Honda terus membuktikan bahawa mereka mampu menawarkan motosikal berprestasi tinggi tanpa perlu menjejaskan aspek kemampuan dan keselesaan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
F1 – Max Verstappen Juara di Sao Paulo GP dari P17, Alpine Podium Berganda

Max Verstappen mempamerkan aksi luar biasa dalam perlumbaan Grand Prix Sao Paulo. Ini apabila dia berjaya bangkit dari kedudukan ke-17 untuk merangkul kemenangan pertamanya sejak bulan Jun.
Dalam perlumbaan yang penuh dengan insiden dan cuaca yang berubah-ubah. Verstappen bukan sahaja berjaya memanjat kedudukan. Malah pasukan Alpine turut mencipta kejutan dengan meraih kedudukan kedua dan ketiga – satu pencapaian luar biasa bagi mereka.

Kekeliruan Sebelum Perlumbaan
Kekacauan bermula sebelum perlumbaan rasmi apabila Lance Stroll tergelincir semasa pusingan formasi. Insiden yang mencetuskan kekeliruan dalam prosedur permulaan.
Pole-sitter Lando Norris memimpin beberapa kereta keluar dari grid sementara beberapa pemandu lain kekal di tempat asal.
Ini menyebabkan beberapa pemandu termasuk Norris, George Russell, Yuki Tsunoda, dan Liam Lawson terpaksa disiasat selepas perlumbaan kerana kesalahan dalam prosedur permulaan.
Apabila perlumbaan akhirnya bermula, Russell mendapat permulaan yang baik dan mendahului Norris. Sementara Verstappen mula memotong beberapa kereta di barisan hadapan.

Cuaca tidak menentu
Dalam cuaca yang hujan dan kering secara bergantian. Bendera merah dinaikkan pada Pusingan 32 selepas Franco Colapinto terlibat dalam kemalangan dengan kereta Williamsnya. Sebelum itu, Russell dan Norris telah kehilangan masa akibat masuk pit sewaktu tempoh Kereta Keselamatan Maya berakhir.
Esteban Ocon mengambil kesempatan memimpin perlumbaan di hadapan Verstappen dan Pierre Gasly sebaik sahaja perlumbaan disambung semula. Namun, selepas satu lagi sesi berhenti kerana insiden Carlos Sainz. Verstappen memecut ke hadapan, mengambil alih kedudukan dan langsung tidak terkejar lagi sehingga menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 19.477 saat.

Bagi pasukan Alpine
Hari tersebut adalah mimpi indah yang menjadi kenyataan apabila Ocon dan Gasly berjaya mengekalkan kedudukan kedua dan ketiga. Mencatatkan podium berganda yang melonjakkan kedudukan pasukan mereka dari tangga kesembilan ke tangga keenam dalam carta pengeluar.
Penamat Grid yang lain
Russell menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk pasukan Mercedes, diikuti oleh Charles Leclerc dari Ferrari. Sementara itu, Norris yang kelihatan kecewa dengan keputusan di tempat keenam kini semakin jauh ketinggalan berbanding Verstappen dalam carta kejuaraan.
Oscar Piastri yang juga mewakili McLaren menamatkan di tempat ketujuh, tetapi dikenakan penalti 10 saat selepas bertembung dengan Lawson. Menurunkan kedudukannya ke tempat kelapan.

Penalti Piastri ini memberi peluang kepada Tsunoda untuk naik ke tempat ketujuh. Menjadikan hari itu sebagai pencapaian berganda bagi RB, dengan Lawson di tempat kesembilan. Lewis Hamilton pula melengkapkan senarai mata dengan berada di tempat kesepuluh selepas mengatasi pemandu Red Bull. Sergio Perez. Yang hanya berjaya menamatkan di tempat ke-11.
Ollie Bearman dari pasukan Haas menghadapi perlumbaan yang mencabar dengan beberapa insiden di luar trek serta penalti 10 saat akibat bertembung dengan Colapinto. Berakhir di kedudukan ke-12. Valtteri Bottas dari Kick Sauber mengikuti di belakangnya di tempat ke-13, diikuti oleh Fernando Alonso dan Zhou Guanyu.
Kedua-dua Sainz dan Colapinto tidak menamatkan perlumbaan akibat kemalangan. Sementara Nico Hulkenberg menerima bendera hitam kerana mendapat bantuan marshal ketika kembali ke trek.
Stroll pula tidak memulakan perlumbaan selepas insiden dalam pusingan formasi awal. Manakala Alex Albon dari Williams terpaksa menarik diri kerana keretanya tidak sempat dibaiki selepas insiden dalam sesi kelayakan.

Kata-kata Verstappen
“Emosi saya hari ini seperti rollercoaster, dengan kelayakan yang malang akibat bendera merah,” kata Verstappen. “Memulakan perlumbaan dari P17, saya tahu ini akan jadi perlumbaan yang sangat sukar. Tapi kami berjaya kekal tenang, membuat keputusan yang tepat dan hasilnya amat membanggakan. Sungguh tak percaya saya menang dari kedudukan yang jauh ke belakang.”
Perlumbaan Seterusnya
Musim 2024 kini menghampiri penghujungnya dengan baki tiga perlumbaan terakhir, bermula dengan Grand Prix Las Vegas pada hujung minggu 21-23 November. Ikuti aksi dari Litar Las Vegas Strip yang pastinya menjanjikan lebih drama dan kehangatan.
Dari Formula One
Baca Juga F1 2024 – Ferrari Tawan Grand Prix Mexico, Norris Kedua
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
SOCAR Jalin Kerjasama Dengan myNEWS Untuk Kemudahan Pengguna

SOCAR, aplikasi sewa kereta terkemuka di Malaysia, kini memberi akses kepada kemudahan perkongsian kereta dengan lebih mudah selepas kerjasama mereka dengan myNEWS, salah satu rangkaian kedai runcit terbesar negara.
Bertujuan untuk meningkatkan kemudahan dan mobiliti bagi pengguna, kerjasama ini menggabungkan perkongsian kereta dari SOCAR dengan produk-produk penting yang terdapat di kedai myNEWS, menyediakan akses yang tidak tandingan bagi pelanggan.
Dalam kerjasama yang mengujakan ini, kedua-dua jenama telah bertekad untuk memberi semula kepada pelanggan dan pengguna mereka.
Lima ribu pengguna SOCAR pertama yang mengambil bahagian dalam kempen ini dengan membuat tempahan dan mengemukakan tangkapan skrin tempahan di halaman kempen mereka akan mendapat kod baucer yang dihantar ke emel mereka untuk menukar minuman terbaru dalam siri Maru Iced Sparkler secara percuma, di mana-mana outlet myNEWS di seluruh negara.

Begitu juga, mana-mana pelanggan myNEWS yang dapat mengumpulkan kod promosi SOCAR akan menerima potongan mana-mana tempahan SOCAR bernilai RM10. Kod promosi SOCAR akan tersedia di resit pembelian mereka apabila mereka membuat pembelian dari mana-mana outlet myNEWS.
“Kami gembira untuk mengumumkan kerjasama kami, menambah nilai kepada pelanggan myNEWS dan SOCAR. Dengan musim perayaan Ramadan dan Raya tidak lama lagi, kami berharap untuk merayakan bersama pengguna kami dan menghargai peranan mereka dalam komuniti perkongsian kereta kami,” kongsi Shylendra Nathan, CEO SOCAR.
Tempoh promosi untuk ganjaran eksklusif ini akan berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April 2024, Untuk maklumat lanjut mengenai kerjasama ini, terma dan syarat, dan tawaran promosi, sila layari laman web SOCAR dan laman web myNEWS.
Baca: Lotus Kembali Hangatkan Landskap Automotif Dengan Pembukaan Lotus Store
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!







