Didi Group dengan bangganya mempersembahkan barisan motosikal Triumph 2024 yang dinanti-nantikan di Malaysia Autoshow 2024. Dalam barisan ini termasuklah Daytona 660, Scrambler 1200 siri terbaru, dan model-model Tiger 900. Motosikal-motosikal ini menambah rangkaian produk Triumph Malaysia yang ditawarkan melalui rangkaian pengedar rasminya.
“Kami yakin dengan kehadiran model-model baru ini, kami dapat meningkatkan jualan dalam pasaran. Daytona 660 yang baru ini membolehkan kami secara rasmi memasuki segmen kegemaran rakyat Malaysia, iaitu motosikal dengan fairing penuh, kini dengan nilai yang tidak boleh diabaikan,” kata Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Didi Group.
Encik Rewi juga menambah, “Kami bangga telah dianugerahkan di UK sebagai pengedar terbaik global di bawah kategori Highest Parts Clothing and Accessories per Unit, satu pencapaian yang selari dengan matlamat kami untuk menyediakan pengalaman pemilikan terbaik kepada pelanggan kami.”
Daytona 660 – Warna putih
Harga bagi model-model baru yang diperkenalkan adalah seperti berikut:
– Daytona 660 dari RM 49,500
– Tiger 900 GT dari RM 72,900
Ads
– Triumph Tiger 900 GT Pro dari RM 82,100
– Tiger 900 Rally Pro dari RM 85,900
– Scrambler 1200 X dari RM 80,900
– Scrambler 1200 XE dari RM 88,900
Ads
Triumph Scrambler XE
Semua motosikal ini didatangkan dengan waranti kilang selama 2 tahun atau 16,000 kilometer.
Mengenai model terkini dari Triumph untuk pasaran Malaysia, Daytona 660 ia dikuasakan oleh enjin triple 660cc yang berkuasa. Model ini menawarkan kuasa puncak 95PS dan tork puncak 69Nm.
Daytona 660 dilengkapi dengan teknologi yang fokus kepada penunggang, termasuk throttle ride-by-wire, tiga mod tunggangan (Sport, Road, dan Rain), dan kawalan cengkaman (traction control).
Ads
Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pesanan dengan pengedar Triumph tempatan, apabila motosikal tiba di bilik pameran mulai akhir Mei 2024.
Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) memperkenalkan empat pilihan warna baharu untuk Honda Dash 125, sekali gus memberi nafas segar kepada model moped popular itu dalam pasaran tempatan.
Honda Dash 125 kini ditawarkan dalam warna Kelabu, Biru, Putih dan Hijau. Setiap pilihan warna dipadankan dengan rekaan jalur (stripe) baharu yang menonjolkan imej lebih moden dan sporty, sesuai dengan keperluan penunggang harian serta golongan muda.
Bagi varian Kelabu, Biru dan Putih, Honda Dash 125 tampil dengan konsep Modern Sporty. Rekaan grafik geometri berlapis digunakan bagi menyerlahkan karakter lincah dan dinamik, di samping mengekalkan identiti sporty yang sinonim dengan model ini.
Sementara itu, varian Hijau hadir dengan konsep Neo Sportivo yang lebih kemas dan garang. Kemasan hijau pekat dipadankan dengan perincian kelabu gelap, jalur ringkas serta logo sayap Honda di kedua-dua sisi, menjadikan tampilannya lebih matang dan berbeza.
Keempat-empat warna baharu Honda Dash 125 ini ditawarkan pada harga RM6,599 sebagai Harga Jualan Disyorkan (RRP), tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran. Model ini boleh didapati di semua bilik pameran IMPIAN X di seluruh negara bermula 17 Disember 2025.
Honda Dash 125 dikuasakan oleh enjin 125cc yang dipertingkatkan prestasinya serta diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV). Ia menawarkan penggunaan bahan api yang menjimatkan sehingga 59 kilometer bagi setiap liter, menjadikannya pilihan praktikal untuk kegunaan harian.
Dari segi kelengkapan, motosikal ini dilengkapi lampu hadapan LED, visor serta penutup hendal yang kemas bagi meningkatkan keselesaan dan penglihatan penunggang. Sistem brek cakera di bahagian hadapan dan belakang pula memastikan kuasa membrek yang lebih seimbang dan diyakini.
BSH menawarkan waranti pengilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer, mana-mana yang terdahulu. Pelanggan juga boleh mendapatkan perlindungan tambahan menerusi program waranti lanjutan Honda X-Tend. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi mana-mana cawangan IMPIAN X berhampiran atau melayari laman web rasmi Boon Siew Honda.
Marc Marquez mempamerkan keunggulan mutlak apabila menjuarai Grand Prix MotoGP Aragon 2025.
Berlumba bersama pasukan kilang Ducati, Marquez bermula dari petak utama dan menguasai perlumbaan sejak selekoh pertama tanpa sebarang tentangan serius daripada pencabar lain.
Sepanjang hujung minggu perlumbaan, Marquez menunjukkan prestasi luar biasa yang menyerlahkan kematangannya sebagai pelumba elit. Beliau menamatkan setiap sesi latihan dengan catatan terpantas. Memenangi perlumbaan sprint pada hari Sabtu, dan mendominasi sesi kelayakan untuk meraih petak utama.
Prestasi ini menjadikannya pelumba pertama sejak dirinya sendiri pada GP Jerman 2015 yang memimpin kesemua sesi hujung minggu perlumbaan. Satu pencapaian yang mencerminkan tahap konsistensi dan keupayaan taktikal yang tinggi.
Dalam perlumbaan 23 pusingan tersebut, Marquez mengekalkan momentum konsisten dan hanya memperlahankan sedikit rentaknya di pusingan terakhir sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau menamatkan perlumbaan dengan kelebihan lebih satu saat mengatasi adiknya, Alex Marquez dari pasukan Gresini, yang juga menunjukkan prestasi mengagumkan sepanjang perlumbaan.
Kemenangan ini merupakan kemenangan keempatnya musim ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Marquez sebagai pendahulu dalam kejuaraan dunia dengan kelebihan 32 mata ke atas pesaing terdekat.
Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuh reputasinya sebagai pelumba yang sukar ditandingi musim ini. Malah, meningkatkan moral dan semangat pasukannya menjelang perlumbaan seterusnya.
Alex Marquez berjaya mempertahankan tempat kedua meskipun diasak hebat oleh juara bertahan, Pecco Bagnaia. Pertarungan antara kedua-dua pelumba ini berlangsung hampir sepanjang perlumbaan.
Namun, Alex menunjukkan ketahanan mental dan kecekapan teknikal yang tinggi untuk kekal di hadapan. Sementara itu, Pedro Acosta dari pasukan KTM juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat hasil tunggangan agresif namun terkawal.
Tidak seperti dalam perlumbaan sprint, di mana Marquez mengalami sedikit kesulitan semasa permulaan, perlumbaan utama menyaksikan beliau bermula dengan sempurna. Sejurus selepas lampu hijau, beliau terus mendahului kelompok pelumba dan mengekalkan kedudukan tersebut hingga ke garisan penamat. Alex Marquez dan Bagnaia pula mengikuti rapat di belakang, mencipta suasana perlumbaan yang kompetitif.
Pada pusingan ke-21, Marquez sekali lagi mencatat masa terpantas perlumbaan dengan catatan 1 minit 46.705 saat. Membuktikan keupayaan fizikal dan strategi perlumbaan yang mantap. Dengan kelebihan lebih dua saat pada pusingan terakhir, beliau memilih untuk memperlahankan sedikit rentaknya bagi memastikan keselamatan dan mengelak sebarang risiko teknikal.
Sementara itu, Bagnaia yang semakin serasi dengan jentera Ducati musim ini, berjaya mengatasi tekanan awal daripada Pedro Acosta dan terus mengekori rapat Alex Marquez.
Pedro Acosta pula merupakan satu-satunya pelumba yang memilih untuk menggunakan tayar depan jenis keras. Satu strategi yang memberikan kelebihan dalam jangka panjang tetapi memerlukan pengurusan awal yang teliti.
Strategi ini membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan jarak 5.6 saat di belakang Marquez. Ini merupakan pencapaian terbaik beliau dalam keadaan litar kering. Selepas sebelum ini menamatkan di tempat keempat juga dalam keadaan litar basah di Le Mans.
Franco Morbidelli dari pasukan VR46 Ducati berada di tempat kelima selepas pertarungan sengit dengan pendatang baru Gresini, Fermin Aldeguer. Kedua-dua pelumba ini beberapa kali bersentuhan ketika bertarung untuk kedudukan tersebut. Namun Morbidelli mempamerkan kematangan dan pengalaman untuk mengekalkan kelebihan.
Joan Mir dari pasukan Honda berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh. Mengatasi Marco Bezzecchi dari Aprilia yang mencuri perhatian apabila berjaya melonjak dari kedudukan ke-20 di grid ke tempat kelapan. Bezzecchi menunjukkan kebolehan menyesuaikan diri dengan baik sepanjang perlumbaan serta mengurus tayar dengan berkesan.
Fabio Di Giannantonio (VR46 Ducati) berada di tempat kesembilan, diikuti oleh Raul Fernandez dari pasukan Trackhouse Aprilia yang menamatkan di tempat ke-10. Kedua-dua pelumba ini mengekalkan prestasi konsisten walaupun tidak berada dalam kelompok hadapan sepanjang perlumbaan.
Alex Rins (Yamaha) menamatkan di tempat ke-11, diikuti oleh Enea Bastianini (Tech3). Pelumba wildcard Augusto Fernandez (Yamaha), serta dua pelumba Pramac iaitu Jack Miller dan Miguel Oliveira yang melengkapkan kelompok 15 teratas.
Beberapa pelumba gagal menamatkan perlumbaan termasuk Fabio Quartararo (Yamaha) yang terjatuh pada pusingan ke-13, Maverick Vinales (Tech3), Brad Binder (KTM), dan Johann Zarco (LCR). Kejadian-kejadian ini menjejaskan harapan mereka untuk mengumpul mata penting dalam kejuaraan, dan menambah lagi drama dalam perlumbaan yang sudah pun penuh aksi.
Vespa kembali membuat kejutan dalam dunia skuter dengan pelancaran GTS 310 baharu untuk tahun 2025.
Model ini adalah sebuah skuter dengan enjin terbesar dan paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh Vespa.
Walaupun mengekalkan reka bentuk klasik yang menjadi ikon Vespa, GTS 310 hadir dengan enjin yang jauh lebih berkuasa.
Vespa telah meningkatkan saiz enjin dari model sebelumnya, menjadikan skuter ini yang paling berkuasa dalam sejarah hampir 80 tahun Vespa.
Enjin lama berkapasiti 278cc kini digantikan dengan enjin baharu berkapasiti 310cc.
Hasil daripada penambahan panjang lejang dari 63mm ke 70mm, peningkatan sebanyak 11.5%.
Walaupun bentuk asas enjin masih serupa, hampir tiga perempat daripada komponennya telah digantikan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mantap dan berkuasa.
Dengan kuasa sebanyak 25bhp dan tork maksimum yang lebih tinggi, enjin ini memenuhi piawaian Euro 5+ yang lebih mesra alam dan cekap.
Vespa turut memperkenalkan komponen baharu seperti penyuntik yang lebih baik, silinder yang condong, sistem permulaan baharu, serta reka bentuk kotak engkol yang mengurangkan bunyi mekanikal dan tali sawat.
Ini menjadikan GTS 310 bukan sahaja lebih berkuasa, tetapi juga lebih tenang dan efisien.
Vespa GTS 310 ditawarkan dalam tiga varian: GTS standard, GTS Super, dan GTS SuperSport.
Ketiga-tiganya mengekalkan rangka dan casis yang sama dengan model sebelumnya.
Namun varian SuperSport hadir dengan kelebihan sambungan telefon pintar sebagai ciri standard.
GTS 310 turut dilengkapi dengan kawalan cengkaman, ABS, lampu depan LED, dan pilihan untuk sambungan telefon pintar pada varian tertentu.
Sejak penubuhannya, Vespa telah menjual lebih daripada 19 juta skuter di seluruh dunia, dengan dua juta unit terjual dalam dekad yang lalu.
Vespa GTS 310 baharu ini terus mempersembahkan gaya klasik yang disayangi peminat sambil mengintegrasikan teknologi moden yang diperlukan oleh penunggang hari ini.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Mforce Buka Pusat Servis Mega Di Segambut, Sasar Tahap Servis Lebih Tinggi
Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri dua roda tempatan...