Dalam dunia hypercar multimillion-dollar, pilihan bagi golongan ultra-kaya yang mahukan mainan berprestasi tinggi semakin meluas. Mereka boleh memilih dari pelbagai model yang hebat seperti Rimac Nevera atau Mercedes-AMG Project One.
Ada antaranya terlalu ekstrem sehingga tidak sah digunakan di jalan raya. Namun, bagaimana pula dengan golongan billionaire yang lebih cenderung kepada anime berbanding sukan permotoran?
Jawapannya mungkin terletak pada Tsubame Archax, sebuah robot gergasi setinggi 15 kaki yang merupakan impian para peminat Gundam.
Dengan harga $3 juta, mesin ini hampir seperti Gundam sebenar, walaupun masih kekurangan ciri seperti pendorong jet, pedang laser, dan antara muka neural yang sering dijumpai dalam pelbagai siri Gundam.
Dibina di Jepun
Tidak mengejutkan, Archax dicipta di Jepun. Diperkenalkan di Japan Mobility Show, mesin yang dihasilkan oleh Tsubame ini adalah hasil empat tahun penyelidikan dan pembangunan oleh syarikat yang berpangkalan di Yokohama itu.
Ads
Archax mengatasi kenderaan supercar dan konsep lain dari segi saiz dan keunikan. Setiap jam, kakitangan Tsubame akan menjalankan demonstrasi ringkas di mana robot ini mengangkat tangannya, melambai kepada orang ramai, dan bertukar dari mod Robot ke mod Kenderaan dan sebaliknya.
Ya, Archax adalah sejenis Transformer. Dalam mod Kenderaan, ia kelihatan seperti makhluk berkaki empat dengan tayar industri Yokohama di setiap kakinya. Setiap tayar digerakkan oleh motor elektrik, membolehkan Archax mencapai kelajuan maksimum sekitar 9 km/j.
Namun, untuk memukau rakan-rakan atau menakutkan jiran, tukarkan Archax kepada mod Robot, di mana ia akan berdiri setinggi 15 kaki. Proses transformasi ini mengambil masa sekitar 15 saat dan melibatkan pelbagai motor elektrik yang menggerakkan mesin seberat 3.5 tan ini.
Direka Dengan Inspirasi Gundam
Setiap aspek Archax diilhamkan oleh siri Gundam. Akinori Ishii, Ketua Pegawai Teknikal Tsubame dan juga pengarah teknikal di Gundam Global Challenge, mengakui bahawa reka bentuk mecha ini banyak mengambil unsur dari animasi Gundam.
Matlamat awal projek ini adalah untuk menarik minat penggemar dan memberikan hiburan, namun Tsubame mempunyai visi yang lebih besar. Setelah lima unit Archax terjual, Ishii merancang untuk mengembangkan konsep robot ini ke arah liga pertempuran robot.
Ads
Walaubagaimanapun, pertempuran ini tidak akan melibatkan pertempuran fizikal seperti dalam filem “Robot Jox”, sebaliknya menggunakan realiti maya di mana robot sebenar akan bertarung dalam medan pertempuran maya.
Misi ke Bulan
Visi Tsubame tidak berhenti di situ. Ishii ingin membawa Archax ke angkasa lepas, lebih spesifiknya ke Bulan. Sebagai bekas jurutera di Hitachi, Ishii melihat potensi besar dalam menggunakan mesin humanoid seperti Archax untuk tugasan khusus di pangkalan Bulan, di mana mesin-mesin konvensional mungkin kurang sesuai.
Namun, sebelum sampai ke Bulan, Archax masih mempunyai banyak cabaran yang perlu diatasi. Mesin ini masih belum mampu melakukan kerja-kerja yang sangat spesifik dan tepat.
Kawalan asasnya melibatkan sepasang joystick untuk menggerakkan lengan, serta panel sentuh untuk mengaktifkan fungsi lain seperti lampu dan mod operasi.
Ads
Walaupun kelihatan seperti impian yang jauh, Tsubame Archax adalah langkah pertama yang penting dalam merealisasikan impian masa depan robot humanoid yang benar-benar berfungsi — di Bumi, dan mungkin satu hari nanti, di Bulan.
WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), anak syarikat penuh Warisan TC Holdings Bhd, telah membuka tempahan untuk GAC GS3 EMZOOM secara rasmi. Ia merupakan sebuah Sports Utility Vehicle (SUV) kompak dengan bayaran tempahan sebanyak RM1,000 sahaja.
Bagi tempahan untuk 100 pelanggan pertama, mereka akan dijemput untuk menghadiri acara persendirian. Pengumuman ini dibuat semasa acara Exclusive Preview yang memperlihatkan model GAC dan GAC AION yang akan dilancarkan kelak.
Menurut Tan Keng Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings, acara pratinjau khas ini merupakan hasil komitmen dan usaha gigih mereka untuk bergabung dalam mengeksplorasi keindahan kenderaan GAC ini.
Kredit Foto: GAC Malaysia
GAC GS3 EMZOOM hadir dalam dua varian, Exclusive dan Premium-R. Dengan harga dijangka di bawah RM130,000 dan empat pilihan warna edisi terhad iaitu Ivory White, Starlight Silver, Lake Blue, dan Graphene Grey.
Bakal pelanggan berpeluang untuk melihat kereta ini secara eksklusif di acara ‘road show’ GAC di Lembah Klang dari 2 hingga 8 Februari 2024. Untuk kemas kini terkini, ikuti laman media sosial GAC Motor Malaysia.
Pada masa yang sama, WTCA juga mengumumkan versi CKD dijangka keluar dari barisan pengeluaran pada suku kedua 2024 di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur.
Kredit Foto: GAC Malaysia
Tan turut berkongsi bahawa bilik pameran pertama dijangka dibuka di Petaling Jaya menjelang penghujung Februari 2024, diikuti oleh lima bilik pameran strategik lain yang terletak di Glenmarie, Cyberjaya, Seremban, Johor Bahru, dan Pulau Pinang menjelang separuh pertama tahun 2024.
GAC GS3 EMZOOM menampilkan elemen reka bentuk unik, termasuk gril Mecha Wing yang ikonik, lampu LED Laser Eye Split, dan lampu belakang Light Dart, mencipta pandangan futuristik dengan pencahayaan yang memukau.
Ditambah dengan spoiler belakang yang memfokuskan pada persona agresif, GAC GS3 EMZOOM memberi aura keanggunan dalam setiap butirannya.
Kredit Foto: GAC Malaysia
Di bawah hud, enjin 1.5T GDI Generasi Ke-3 menawarkan kuasa dan kecekapan, dengan ciri pintar seperti ekzos tengah dan lantai belakang rata. Enjin ini menghasilkan 177PS @5500rpm dan 270Nm @ 1,400rpm dengan kadar penggunaan bahan api sebanyak 5.9L/100km.
Bergerak ke dalam, GAC GS3 EMZOOM terus memukau dengan ruang dalaman yang luas, reka bentuk dua ton yang menambah sentuhan muda dan suasana kontemporari. Kabin moden dan lapang memberikan keselesaan menyeluruh untuk pemandu dan penumpang.
GAC GS3 EMZOOM bukan sahaja SUV berprestasi tinggi; ia mewakili masa depan pemanduan dengan reka bentuk kabin pintar, menawarkan paduan harmoni kelajuan, kuasa, gaya, ruang, dan fungsi pintar.
BYD baru-baru ini memperkenalkan teknologi termaju melalui hypercar elektriknya, Yangwang U9, yang memiliki keupayaan unik – melompat sendiri. Termasuk ketika bergerak secara autonomi. Walaupun ciri ini nampaknya mengagumkan, persoalan tetap timbul: sejauh mana ia benar-benar praktikal?
Aksi Lompatan Yang Mengagumkan
Dalam sebuah video pemasaran yang dikeluarkan oleh BYD, Yangwang U9 dipertontonkan melaksanakan aksi lompatan melalui halangan.
Apa yang lebih menarik, semua ini dilakukan tanpa pemandu, sepenuhnya dikawal oleh teknologi pemanduan autonomi kereta tersebut. Video itu menunjukkan U9 melalui trek lurus dengan tiga halangan berbeza.
Halangan pertama ialah lubang berisi air sepanjang 2.5 meter. Ketika menghampiri lubang itu pada kelajuan 120 km/j, kereta ini melompat dengan cara yang unik. Bahagian depan terlebih dahulu memampatkan dan melantun sebelum diikuti oleh bahagian belakang. Setelah berada di udara sejauh enam meter, roda kereta melanjutkan ke bawah untuk pendaratan lembut.
Seterusnya, kereta ini menghadapi barisan paku setinggi 3.5 cm, yang sekali lagi dilepasi dengan lompatan yang sempurna. Halangan terakhir ialah kawasan debu berwarna sepanjang empat meter, yang dilalui dengan mudah sambil meninggalkan awan pelangi di belakangnya.
Teknologi Canggih di Sebalik Aksi
Keupayaan lompatan ini disokong oleh sistem kawalan badan DiSus-X yang canggih, digabungkan dengan teknologi pemanduan autonomi BYD. Selain melompat, sistem ini juga membolehkan U9 melakukan pelarasan ketinggian pada setiap sudut, menghasilkan pergerakan seperti ‘menari’. Ciri ini tidak hairan memandangkan U9 dilengkapi empat motor dengan kuasa keseluruhan 960 kW. Membolehkannya mencapai 0-100 km/j dalam hanya 2.36 saat.
Namun, persoalan praktikaliti tetap timbul. Adakah keupayaan melompat ini benar-benar memberikan manfaat dalam situasi harian? Mungkin ia berguna untuk mengelak halangan kecil seperti bonggol jalan atau membawa kereta pulang dalam keadaan kehilangan satu roda, tetapi manfaat lebih besar masih belum jelas.
Prestasi di Litar
Walaupun dilengkapi teknologi canggih, U9 masih belum mampu menyaingi rekod kelajuan model elektrik lain di litar perlumbaan. Pada November tahun lalu, ia mencatat masa 7 minit 17.9 saat di Litar Nürburgring, ketinggalan di belakang Xiaomi SU7 Ultra (6:46.87) dan Rimac Nevera (7:00.03).
Dengan kelajuan maksimum kurang daripada 280 km/j semasa ujian itu, teknologi suspensinya tidak memberikan kelebihan ketara seperti yang diharapkan untuk hypercar bernilai ¥1.68 juta (±RM840,000).
Inovasi atau Sekadar Gimik?
BYD bukan asing kepada ciri-ciri unik. Sebelum ini, SUV Yangwang U8 yang mampu terapung dalam air selama 30 minit turut mencuri perhatian. Namun, seperti U9, teknologi ini lebih menyerlah sebagai gimik daripada sesuatu yang benar-benar relevan dalam penggunaan seharian.
Walaupun Yangwang U9 menunjukkan kecanggihan kejuruteraan BYD, sukar untuk menafikan bahawa daya tarikannya lebih tertumpu pada aspek promosi berbanding manfaat praktikal. Bagi peminat teknologi, ia pasti mengagumkan. Tetapi bagi pembeli yang mencari nilai praktikal, persoalan utama ialah sama ada inovasi seperti ini benar-benar berbaloi untuk dimiliki.
Perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) 2025 akan membuka tirai hujung minggu ini dengan pusingan pertama diadakan di Litar Antarabangsa Sepang Petronas pada 16 Februari.
Tahun ini menjanjikan banyak aksi menarik dengan pelbagai pembaharuan. Termasuk peraturan teknikal baharu, tambahan kategori, dan perubahan penggunaan tayar rasmi daripada Hankook kepada jenama Giti – nama besar yang semakin dikenali dalam dunia permotoran serantau.
Giti Tyre, yang kini berpusat di Singapura, akan membekalkan dua jenis tayar untuk siri MSF Racing: GitiCompete GTR2 dan GitiCompete GTR2 Pro. Bergantung kepada kategori perlumbaan.
Selepas sembilan tahun menggunakan tayar Hankook. Semua pasukan bakal berdepan cabaran baharu untuk memahami karakter tayar Giti dan menyesuaikan talaan jentera masing-masing. Tayar ini dibangunkan khas oleh Giti Motorsport dengan kompaun istimewa untuk memberikan prestasi lebih pantas di litar.
Menurut Cik Shiroo Chia, Timbalan Pengurus Besar Pemasaran Giti Tyre. “Kami teruja untuk menyokong MSF Racing sebagai rakan kongsi tayar rasmi. Prestasi, keselamatan dan inovasi adalah teras kami, dan kami tidak sabar untuk melihat para pelumba menguasai cabaran tayar GitiCompete di MSF SuperTurismo.”
Myvi Cup: Dari Jalan Raya ke Litar Perlumbaan
Musim ini juga bakal menyaksikan kemunculan penuh Myvi Cup, sebuah kategori unik yang memberikan tumpuan kepada Perodua Myvi dari ketiga-tiga generasi. Selepas perlumbaan pengenalan pada pusingan keenam MSF Superturismo 2024. Myvi Cup kini menjadi kategori tetap dengan 15 penyertaan yang telah disahkan. Setiap jentera akan bersaing dengan modifikasi terhad untuk memastikan perlumbaan yang lebih seimbang dan adil.
Adian Yein. Pengarah dan prinsipal MSF Racing berkata. “Myvi kini bukan sahaja menjadi kereta kegemaran rakyat Malaysia, tetapi juga jentera perlumbaan yang hebat. Ini adalah langkah penting untuk membawa industri sukan permotoran tempatan ke tahap lebih tinggi dengan membuka ruang kepada pembangunan komponen prestasi aftermarket tempatan.”
MotoMSF Superbikes Kembali dengan Kejutan
Dalam kategori dua roda pula. MotoMSF Superbikes kembali dengan tayar rasmi Pirelli Diablo SuperCorsa V4, hasil perjanjian lanjutan selama tiga tahun. Tayar replika perlumbaan ini menawarkan cengkaman luar biasa di litar. Perlumbaan kali ini akan menampilkan nama-nama besar. Seperti Naomichi Uramoto dari Jepun yang menunggang Suzuki GSXR-1000R, pelumba WSBK tempatan Adam Norrodin, serta bekas pelumba 125GP Zulfahmi Khairuddin yang akan beraksi dengan Yamaha R1M. Tidak ketinggalan, Azlan Syah, Juara Asia 2019, juga akan turut serta dalam perlumbaan ini.
Musim ini turut memperkenalkan kategori baharu. MSF American V-Twin Cup, yang memberi peluang kepada pemilik motosikal jenis ‘Bagger’ dan ‘Hooligan’ berasaskan motosikal Amerika seperti Indian, Harley-Davidson, dan Victory. Walaupun konsep ini lebih popular di Amerika dan Thailand, Adian berharap semangat yang sama dapat berkembang di Malaysia.
Perlumbaan Tanpa Bayaran Masuk
Perlumbaan hujung minggu ini akan bermula dengan kategori dua roda pada sesi pagi hingga tengah hari. Sebelum diteruskan dengan kategori kereta. Berita baik untuk peminat – tiada bayaran dikenakan untuk menonton dari Grandstand utama! Jika anda inginkan pengalaman lebih eksklusif, tiket Paddock boleh didapati pada harga RM35, manakala parkir pula dikenakan caj RM10.
Bagi yang tak dapat hadir ke Sepang, jangan risau. Anda masih boleh menyaksikan aksi perlumbaan secara langsung di Facebook MSF Series dan saluran YouTube MSF Racing Series. Jangan lepaskan peluang menyaksikan pembukaan musim 2025 yang penuh aksi dan kejutan ini!
UMW Toyota Motor Perkukuh Usaha Mobiliti Hijau Negara
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menzahirkan komitmen terhadap agenda kelestarian negara melalui satu kolaborasi strategik bersama...