UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menzahirkan komitmen terhadap agenda kelestarian negara melalui satu kolaborasi strategik bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Dalam inisiatif terbaharu ini, UMWT menyerahkan lima kenderaan elektrifikasi sebagai simbol sokongan padu terhadap aspirasi negara ke arah mobiliti masa depan yang lebih bersih, cekap dan rendah karbon.
Penyerahan ini melibatkan tiga model kenderaan Hibrid Elektrik (HEV) – Toyota Alphard, Toyota Camry, dan Toyota Corolla Cross.
Terdapat juga dua model Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) iaitu Toyota bZ4X dan Lexus RZ.
Kesemua model ini akan digunakan oleh MOT sebagai sebahagian daripada penilaian praktikal terhadap teknologi elektrifikasi dari aspek prestasi, kesesuaian, dan manfaat penggunaan harian.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., menegaskan bahawa pendekatan Multipathway Toyota memberi tumpuan kepada kesediaan pelbagai segmen masyarakat untuk beralih kepada elektrifikasi.
Pendekatan ini bukan sahaja memberi pilihan teknologi yang pelbagai seperti HEV, BEV, PHEV, FCEV hingga bahan api alternatif seperti hidrogen, tetapi juga memastikan tiada pihak yang tercicir dalam peralihan ini.
Pengarah Eksekutif UMWT, Mohd Shamsor Mohd Zain menyatakan bahawa teknologi hibrid kekal sebagai penyelesaian ideal dalam konteks Malaysia.
Ia memberi impak pengurangan karbon secara serta-merta tanpa memerlukan perubahan besar terhadap infrastruktur sedia ada.
Selain itu, teknologi ini juga berperanan membina keyakinan pengguna dalam peralihan ke arah elektrifikasi sepenuhnya di masa depan.
Kerjasama ini selari dengan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021–2030 dan Dasar Tenaga Negara 2022–2040.
Pelan ini mensasarkan peningkatan penggunaan kenderaan elektrifikasi sehingga 38% menjelang 2040.
Dengan memberi akses kepada pelbagai teknologi kuasa, MOT bukan sahaja dapat memahami selok-belok operasinya, malah mampu memberi panduan membina kepada pembangunan infrastruktur pengangkutan yang lebih mesra alam.
UMWT melalui visi “Move Your World” terus membuktikan bahawa inovasi mobiliti mampu menjangkaui batas teknologi semata-mata.
Ia menjadi pemangkin kepada perubahan dasar, membentuk pemikiran dan mencorak landskap pengangkutan negara.
Dengan matlamat “Mencipta Kebahagiaan Untuk Semua”, UMWT menggabungkan penyelesaian teknologi dan nilai kemanusiaan dalam satu hala tuju transformasi.
UMWT tidak sekadar memperkenalkan produk elektrifikasi ke pasaran, malah aktif dalam sesi libat urus bersama kerajaan, industri dan masyarakat.
Ini termasuk penglibatan dalam program pendidikan awam dan wacana dasar yang menyeluruh.
Sekali gus menjadikan UMWT sebagai peneraju utama dalam mempercepatkan transformasi landskap mobiliti negara yang lebih hijau, pintar dan saling berhubung.
Kerjasama antara UMW Toyota Motor dan Kementerian Pengangkutan ini bukan sahaja simbolik, malah membawa implikasi besar terhadap masa depan mobiliti negara.
Ia menjadi contoh terbaik bagaimana sektor swasta mampu memainkan peranan penting dalam mempercepatkan misi karbon sifar.
Misi ini selaras dengan tuntutan global dan tanggungjawab alam sekitar yang kian mendesak.
Baca Juga UMW Toyota Buktikan Kepercayaan Pengguna Masih Utuh
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.