Automotif

UMW Toyota Motor & Toyota GAZOO Racing Malaysia Gegar Litar Sepang Sebagai Penaja Utama SUPER GT 2025

Share

Toyota Kembali Gegarkan Sepang Bersama SUPER GT 2025

Selepas lebih sedekad menyepi, kehangatan siri perlumbaan ikonik Jepun, AUTOBACS SUPER GT, akhirnya kembali ke Litar Antarabangsa Sepang.

Perlumbaan kali ini mendapat sokongan penuh daripada UMW Toyota Motor dan Toyota GAZOO Racing Malaysia (TGR Malaysia) yang diumumkan sebagai penaja utama bagi pusingan Malaysia musim 2025.

Bagi peminat sukan permotoran tanah air, berita ini bukan sahaja mencetus keterujaan terhadap kembalinya GT500 dan GT300 ke Sepang, tetapi juga membawa satu lagi kejutan besar.

Perlumbaan VIOS Challenge akan turut dipertandingkan sebagai acara sokongan utama.

Acara ini dijangka menarik lebih 40,000 penonton di litar dan 162 juta tontonan global menerusi siaran TV serta platform digital.

VIOS Challenge Naik Ke Pentas Dunia

Perlumbaan ini kini berada di pentas antarabangsa bukan sahaja membanggakan, malah menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan ekosistem sukan permotoran tempatan.

Buat pertama kali, VIOS Challenge akan menggunakan format endurance selama satu jam berbeza daripada perlumbaan sprint 30 minit yang biasa kita saksikan.

Perlumbaan ini akan melibatkan ketiga-tiga kelas sedia ada.

Anataranya Super Sporting (profesional), Sporting (amatur), dan Rookie Class yang kini menjadi pentas penting untuk bakat-bakat muda hasil program pembangunan TGR Malaysia sejak 2021.

Bakat Muda TGR Malaysia Menyerlah

Lima pelumba muda daripada program tersebut akan tampil dalam aksi antarabangsa kedua mereka musim ini.

Ini merupakan satu pencapaian luar biasa yang menggambarkan betapa seriusnya Toyota dalam membina pelumba masa depan Malaysia.

Setakat ini, 22 pelumba telah menamatkan program pembangunan ini, dengan lebih 10 daripadanya terus aktif dalam perlumbaan tempatan.

Lebih membanggakan, empat orang daripada program ini berjaya menembusi kejohanan antarabangsa.

Komitmen Toyota Dalam Membangun Sukan Permotoran

Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., penglibatan sebagai penaja utama bukan sekadar soal jenama.

Penglibatan ini mewakili komitmen sebenar Toyota dalam memacu pembangunan bakat dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam dunia permotoran serantau.

Beliau turut mendedahkan perancangan penubuhan pasukan kilang rasmi, Toyota GAZOO Racing Malaysia (TGRMY), yang akan menyertai siri perlumbaan serantau sebagai platform lanjutan untuk pelumba muda berbakat melangkah ke peringkat lebih tinggi.

VIOS Challenge – Platform Kompetitif Buat Semua

Musim ke-8 VIOS Challenge yang sedang berlangsung tahun ini juga terus memperkukuh reputasinya sebagai platform perlumbaan paling inklusif dan kompetitif di Malaysia.

Dengan lebih 35 kereta bertanding, hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM800,000, dan penyertaan daripada pemandu Malaysia, Singapura serta Thailand, perlumbaan ini mengekalkan format satu jenama menggunakan Toyota Vios spesifikasi sama menjadikan kemahiran pemandu sebagai penentu utama kemenangan.

SUPER GT: Pesta Permotoran & Budaya Jepun

Kepulangan SUPER GT ke Malaysia juga tidak hanya tertumpu kepada aksi di litar.

Sepanjang tiga hari festival perlumbaan ini, kawasan Grandstand dan Mall Sepang akan dihidupkan dengan pelbagai aktiviti menarik.

Antaranya ialah pameran barisan model GR seperti GR Yaris, GR Supra, GR Corolla dan GR86; jualan eksklusif barangan rasmi GR.

Terdapat juga permainan interaktif dan aktiviti mesra keluarga serta kampung budaya dan makanan Jepun.

Turut mencuri tumpuan ialah konsert GT Live! pasca-perlumbaan.

Antara artis tempatan yang akan hadir adalah seperti Garam & Madu, Tenxi, Naykilla & Jemsii, KL48, Kaka Azraff, Fareedpf (K-Clique) dan Sabhi Saddi.

Toyota Terus Dominasi Arena SUPER GT

Dari sudut prestasi global pula, Toyota terus mendominasi kancah SUPER GT.

Pasukan TGR Team au TOM’s menjuarai dua musim berturut-turut (2023 dan 2024.

Musim ini menyaksikan GR Supra mengekalkan momentum dengan kemenangan di Round 1 dan Round 2 menerusi TOM’s GR Supra serta KeePer CERUMO GR Supra.

SUPER GT Malaysia Festival 2025: Perayaan Automotif Buat Semua

Secara keseluruhan, SUPER GT Malaysia Festival 2025 bukan sekadar acara sukan permotoran.

Acara ini adalah perayaan budaya automotif Jepun dan pencapaian industri perlumbaan Malaysia.

Baca Juga : UMW Toyota Motor Perkasa Mobiliti Hijau Bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi