Vios Challenge, Kejuaraan Ditentukan Januari 2026

Share

VIOS Challenge Musim Ke-8: Tiada Pilihan Kegemaran Jelas, Kejuaraan Bakal Ditentukan di Pusingan Akhir Januari 2026

Pusingan ketiga Toyota GAZOO Racing Malaysia VIOS Challenge menyaksikan aksi sengit di Litar Antarabangsa Sepang, dengan perlumbaan kedua (Race 2) menjadi medan penentu kedudukan menjelang pusingan akhir pada Januari 2026.

Dengan sistem mata berganda diperkenalkan minggu ini, setiap pelumba dalam tiga kategori iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie memberikan aksi habis-habisan untuk mengukuhkan peluang mereka merebut kejuaraan.

Aksi Sengit Vios Challenge dari Mula Hingga Ke Penamat

Perlumbaan sejauh sejam di litar penuh 5.543km ini menampilkan aksi pintu ke pintu seakan perlumbaan sprint, meskipun jaraknya panjang.

Daripada 37 pelumba berdaftar, hanya 35 memulakan Race 2 selepas Eddie Lew (Laser Motor Racing) menarik diri akibat kerosakan teruk pada kereta ketika Race 1

, manakala Justin Toh (BAE Racing by ES Yang) disingkirkan.

Vios Challenge Super Sporting Class: Kemenangan Strategi Mitchell Cheah

Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan) mempamerkan ketenangan dan disiplin untuk mengekalkan rentak konsisten, sekaligus mengatasi cabaran hebat daripada pesaing rapatnya, Freddie Ang (Telagamas Toyota). Aman Nagdev dari India, yang mewakili Axle Sports, melengkapkan podium selepas persembahan mantap sepanjang hujung minggu.

Debut Modern Racing Team, Najiy Ayyad, bermula di petak hadapan dan mengetuai beberapa pusingan awal sebelum terpaksa masuk ke pit akibat isu teknikal.

Peluang itu dimanfaatkan oleh Cheah, Ang, dan Aman untuk bersaing sengit sehingga dua insiden safety car di penghujung perlumbaan menyempitkan jurang, menjadikan baki beberapa ratus meter terakhir sebagai penentu.

“Kereta terasa sangat baik walaupun membawa bebanan ballast 30kg. Saya cuba elak kesilapan dan insiden, dan akhirnya berjaya mendahului sebelum memecut sedikit demi sedikit. Pusingan akhir nanti pasti mencabar dengan 50kg ballast, tapi kita lihat apa yang akan berlaku,” kata Cheah.

Vios Challenge Sporting Class: Kebangkitan dari Belakang Grid

Juara Rookie Class 2024, Adam Mikail (G-Mart Motorsport), bangkit dari petak belakang selepas tersingkir di Race 1

, untuk meraih kemenangan bergaya.

Tempat kedua diraih oleh Dato’ Dr Ken Foo (Kulim Topwheels) selepas Sharique Zulqarnain (FIA Boulevard Racing) dibatalkan keputusan kerana gagal melepasi ujian berat minimum.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba Thailand, Varunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC 52).

Adam mengakui perlumbaan ini mencabar dari segi konsistensi, namun tetap optimis untuk cuba memberi saingan dalam perebutan gelaran meskipun peluangnya tipis.

Vios Challenge Rookie Class: Ketahanan Mental Jadi Kunci

Dalam kategori Rookie, Ian James muncul juara di hadapan Justin Rahul Dev dan Harkiesh Geeva.

Perlumbaan ini turut menyaksikan insiden awal yang melibatkan Harkiesh, Aydan Khaliq dan Genevieve Ooi, menyebabkan ketiga-tiganya mengalami tayar pancit dan kerosakan bampar.

Walau bagaimanapun, mereka bangkit untuk menamatkan perlumbaan, meskipun satu pusingan di belakang.

“Pengurusan tayar dalam cuaca panas ini memang mencabar dan menyebabkan understeer yang ketara. Walaupun beberapa pelumba rookie lain terlibat dalam kemalangan, saya gembira dapat mengutip mata penting untuk kejuaraan,” kata Ian.

Semangat Toyota Move Your World

Aksi pusingan ketiga ini memperlihatkan bukan sahaja kemahiran pemanduan, malah semangat juang pelumba dalam mengharungi cabaran.

Bagi generasi pelumba muda, setiap pusingan menjadi medan pembelajaran, selaras dengan falsafah Toyota Move Your World

menggalakkan keberanian, ketahanan, dan keyakinan untuk mengejar impian.

Keputusan Rasmi Race 2 – Pusingan 3

Super Sporting Class

  1. Mitchell Cheah – Team Prima Pearl SP Selatan

  2. Freddie Ang – Telagamas Toyota

  3. Aman Nagdev – Axle Sports

Sporting Class

  1. Adam Mikail – G-Mart Motorsport

  2. Dato’ Dr Ken Foo – Kulim Topwheels

  3. Varunchit Wattanathanakun – RUK Team Nexzter PMC 52

Rookie Class

  1. Ian James

  2. Justin Rahul Dev

  3. Harkiesh Geeva

Baca Juga : Toyota Perkenal RAV4 Serba Baharu dengan Kuasa PHEV

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi