
Selepas sekian lama menjadi antara model yang cukup mencuri perhatian dalam keluarga Yamaha, Yamaha XSR155 akhirnya diperkenalkan untuk pasaran Malaysia.
Membawa konsep neo-retro dengan slogan “Xpresi Gayaku”, model ini menyasarkan penunggang yang mahukan motosikal dengan reka bentuk klasik tetapi dilengkapi dengan teknologi moden.
Bahasa badan XSR155 lebih santai. Model ini hadir dengan reka bentuk lampu yang bulat, tangki bahan api yang klasik dan tempat duduk gaya heritage memberikan identiti retro. Dikuasakan dengan enjin yang menggunakan sistem VVA, lengkap dengan upside-down fork, ABS dua saluran dan paparan meter digital.
Bahagian hadapan menggunakan lampu berbentuk bulat yang mengekalkan identiti motosikal klasik, namun sistem pencahayaannya menggunakan LED, termasuk pada bahagian belakang.
Meter berbentuk bulat pula sebenarnya merupakan Full LCD Digital Meter, memberikan paparan lebih moden tanpa mengganggu tema retro keseluruhan motosikal.
Tangki bahan api berkapasiti 10 liter menggunakan bentuk tear-drop klasik dengan bahagian sisi berlekuk atau knee grip concave. Selain menyumbang kepada rupa motosikal, rekaan tersebut juga memberikan ruang kepada lutut penunggang untuk mengepit tangki dengan lebih selesa.
Tempat duduk panjang dengan kemasan bergaris pula meneruskan karakter heritage, manakala pelindung ekzos, subframe dan beberapa perincian lain memberikan sedikit sentuhan scrambler pada keseluruhan penampilan.
Yamaha XSR155 dikuasakan enjin silinder tunggal 155cc, SOHC, empat injap, liquid-cooled dan fuel injection yang turut dilengkapi teknologi Variable Valve Actuation (VVA).
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 13.9kW pada 10,000rpm, manakala tork maksimum ialah 14.4Nm pada 8,500rpm. Kuasa dihantar menerusi transmisi manual enam kelajuan
Turut disertakan ialah Assist & Slipper Clutch. Sistem ini membantu meringankan operasi klac ketika tunggangan harian selain menjadikan proses menurunkan gear lebih lancar, khususnya ketika penunggang melakukan downshift dengan lebih agresif.
Baca Juga:Karnival GenBlu Yamaha 2026 Himpun Lebih 16,000 Pengunjung
Bahagian hadapan menggunakan upside-down front fork, manakala belakang menggunakan suspensi rear link-type monoshock. Lebih penting, model yang ditawarkan di Malaysia turut menerima ABS dua saluran, bermakna sistem anti-lock braking berfungsi pada brek cakera depan dan belakang. XSR155 juga menggunakan tayar bersaiz 110/70-17 di hadapan dan 140/70-17 di belakang.
Untuk pasaran tempatan, Yamaha XSR155 akan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Malar Hijau, Perak Klasik dan Royale Hitam. Ketiga-tiga pilihan membawa karakter agak berbeza. Elemen personalisasi juga menjadi sebahagian besar daripada pemasaran XSR155.
Yamaha melihat motosikal ini bukan sekadar sebagai alat pengangkutan, tetapi sebagai jentera yang boleh mencerminkan karakter pemiliknya sama ada dibiarkan standard ataupun dikustom mengikut gaya masing-masing.
Yamaha XSR155 ditawarkan pada harga RM12,998, tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.