Yamaha Y16ZR-R Pramac Racing Replica Hadir Dengan Suspensi Öhlins, Terhad 3,000 Unit Seluruh Dunia
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha Y16ZR-R baharu untuk pasaran Malaysia dengan beberapa peningkatan daripada reka bentuk, teknologi dan ciri.
Lebih menarik, model ini turut ditawarkan dalam versi Pramac Racing Replica yang hadir dengan suspensi Öhlins khas serta pengeluaran terhad kepada hanya 3,000 unit di seluruh dunia.
Bagi versi standard, Yamaha Y16ZR-R masih menggunakan enjin silinder tunggal SOHC 155cc dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa maksimum 13.6 kW pada 9,500 rpm dan tork maksimum 14.4 Nm pada 8,500 rpm.
Namun, Yamaha melakukan beberapa penambahbaikan bagi memberikan karakter tunggangan yang lebih responsif berbanding sebelum ini.

Y16ZR-R DenganNisbah Gear Baharu, Pecutan Lebih Responsif
Antara perubahan utama ialah penggunaan sproket belakang 48T, berbanding 46T sebelum ini.
Menurut Yamaha, perubahan pada nisbah gear sekunder itu membantu meningkatkan tindak balas ketika memulakan pergerakan serta memberikan pecutan lebih baik pada gear tinggi, termasuk gear keenam, tanpa menjejaskan keupayaan kelajuan tinggi model berkenaan.
Sistem kemasukan udara Twin Funnel turut dipertingkatkan bagi menghasilkan bunyi sedutan enjin yang lebih jelas ketika pendikit dibuka, sekali gus memberikan pengalaman tunggangan yang lebih menarik.

Moped Yamaha Pertama Dengan Traction Control
Y16ZR-R turut mencatat satu lagi pembaharuan apabila menjadi moped Yamaha pertama dilengkapi Traction Control System (TCS) generasi 1.5.
Sistem tersebut berfungsi mengawal gelinciran roda belakang ketika pecutan dan direka untuk memberikan tahap kawalan lebih baik, khususnya ketika menunggang di atas permukaan jalan basah atau kurang mencengkam.
Selain itu, Yamaha turut memperkenalkan Simple Communication Control Unit (SCCU) buat pertama kali pada sebuah moped keluarannya.
Melalui sambungan dengan aplikasi Yamaha Motor Connectivity (Y-ON), penunggang boleh mengakses beberapa maklumat seperti data motosikal, statistik tunggangan, peringatan penyelenggaraan dan notifikasi tertentu daripada telefon pintar.

Penampilan Lebih Tajam dan Aerodinamik
Dari segi reka bentuk, Y16ZR-R menerima penampilan baharu yang lebih kompak dan agresif dengan garisan badan lebih tajam.
Bahagian hadapan direka untuk membantu melancarkan aliran udara, manakala lampu hadapan LED Kelas D baharu menawarkan pencahayaan serta sudut pancaran yang dipertingkatkan.
Lampu posisi pula diberikan rekaan lebih tajam bagi melengkapkan karakter sporty model tersebut.
Yamaha menawarkan tiga pilihan warna untuk Y16ZR-R iaitu Kouka Grey, Raijin Green dan Yoru Black.
Menariknya, warna Yoru Black menggunakan kemasan khas dengan kesan Chameleon, yang membolehkan tona warnanya kelihatan berubah bergantung kepada sudut pencahayaan.

Pramac Racing Replica Dilengkapi Öhlins Khas
Bagi peminat MotoGP, tumpuan utama pastinya terarah kepada Yamaha Y16ZR-R Limited Edition Pramac Racing Replica.
Versi khas ini menggunakan liveri yang diinspirasikan daripada Yamaha Prima Pramac MotoGP Team, selain menerima emblem nombor siri individu bagi membezakan setiap unit.
Namun, peningkatan paling menarik adalah pada bahagian suspensi.

Model edisi terhad ini dibekalkan dengan suspensi Öhlins yang ditala dan dibangunkan khusus untuk Yamaha Y16ZR-R, menjadikannya antara ciri utama yang membezakan Pramac Racing Replica daripada versi standard.
Pengeluarannya pula dihadkan kepada hanya 3,000 unit di seluruh dunia, sekali gus memberikan nilai eksklusiviti lebih tinggi kepada model berkenaan.
Harga Bermula RM10,888
Yamaha Y16ZR-R standard ditawarkan pada harga jualan disyorkan RM10,888, tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
Menurut HLYM, harga tersebut mengambil kira insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) daripada kerajaan, dengan penjimatan berkenaan disalurkan kepada pelanggan.
Model standard mula berada di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 10 Ogos 2026.
Sementara itu, Yamaha Y16ZR-R Limited Edition Pramac Racing Replica ditawarkan pada harga RM13,388, juga tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
Versi dengan suspensi Öhlins itu dijadualkan mula berada di pengedar sah Yamaha di Malaysia pada pertengahan Ogos 2026.
Baca Juga : Yamaha XMAX 300 Tech MAX Tiba Di Malaysia!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



