Automotif

YOHE 868-2: Selesa, Senyap dan Berbaloi? Ini Pengalaman Penulis

Share

YOHE 868-2: Sesuai Untuk Kegunaan Harian?

Kalau bercakap tentang helmet sekitar RM300 hingga RM350, ramai penunggang biasanya akan meletakkan harapan yang agak tinggi. Dengan harga sebegitu, sudah tentu kita mahukan helmet yang bukan sekadar selesa dipakai, tetapi juga senyap, praktikal dan mampu memberi keyakinan ketika ditunggang setiap hari.

Itulah juga jangkaan saya sebelum menggunakan YOHE 868-2.

Selepas hampir tiga bulan menjadikannya helmet harian untuk ulang-alik dari Jugra, Banting ke Shah Alam, banyak perkara yang membuatkan saya benar-benar berpuas hati dengan model ini.

Sepanjang tempoh tersebut, helmet ini menemani saya dalam pelbagai keadaan. Panas terik, hujan lebat, angin kencang, jalan kampung, lebuh raya, perjalanan siang dan malam semuanya sudah dilalui.

Jadi, ini bukan ulasan berdasarkan penggunaan dua atau tiga hari. Sebaliknya, ia lahir daripada pengalaman sebenar menggunakan YOHE 868-2 hampir setiap hari dalam pelbagai situasi tunggangan.

YOHE Bukan Jenama Baharu

Ramai yang baru mengenali YOHE sejak jenama ini memasuki pasaran Malaysia. Hakikatnya, YOHE bukanlah pemain baharu dalam industri topi keledar.

Jenama ini ditubuhkan pada tahun 1993 di Guangdong, China dan kini merupakan antara pengeluar helmet terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran melebihi empat juta unit setahun.

Menariknya, YOHE mengendalikan sendiri pengeluaran komponen utama seperti visor, EPS, acuan dan proses percetakan. Pendekatan ini membolehkan kawalan kualiti dilakukan dengan lebih teliti.

Hari ini, helmet YOHE dipasarkan di lebih 55 buah negara. Malah, model perlumbaannya, FG101, turut menerima homologasi FIM FRHPhe-01, iaitu piawaian yang membolehkan ia digunakan dalam kejohanan seperti MotoGP dan WorldSBK.

Helmet Open-Face, Tetapi Rasa Macam Pakai Full-Face

Inilah perkara pertama yang saya perasan.

Walaupun YOHE 868-2 merupakan helmet jenis open-face, pengalaman memakainya agak berbeza berbanding kebanyakan helmet open-face lain.

Visor utamanya menggunakan ketebalan 2.2 mm dan direka sehingga menutupi keseluruhan muka. Bila visor ditutup, angin tidak terus mengenai wajah seperti kebanyakan helmet open-face biasa.

Secara jujurnya, rasa menunggang itu lebih hampir kepada menggunakan helmet full-face, cuma lebih ringan dan lebih praktikal untuk kegunaan harian.

Kalau anda biasa menggunakan helmet open-face, perbezaannya memang boleh dirasai.

Bunyi Angin Sangat Minimum

Satu lagi perkara yang saya cukup suka ialah tahap bunyi anginnya.

Biasanya, helmet open-face memang terkenal dengan bunyi angin yang agak kuat, terutama apabila memasuki lebuh raya.

Namun, perkara itu tidak begitu dirasai pada YOHE 868-2.

Reka bentuk cangkerangnya yang aerodinamik bersama visor yang rapat pada muka membantu mengurangkan bunyi angin dengan baik.

Ketika menunggang pada kelajuan lebuh raya, bunyi angin memang masih ada, tetapi jauh lebih rendah daripada jangkaan saya untuk sebuah helmet open-face dalam kategori harga ini.

Padding Selesa, Pakai Lama Pun Tak Cepat Letih

Keselesaan memang menjadi antara sebab utama saya terus menggunakan helmet ini setiap hari.

Padding dalamannya terasa lembut dan menyokong kepala dengan baik. Walaupun dipakai dalam tempoh yang lama, ia tidak memberikan tekanan berlebihan pada bahagian kepala.

Paling penting, semua padding boleh ditanggalkan untuk dicuci.

Bagi mereka yang menggunakan motosikal setiap hari, ciri seperti ini memang sangat berguna kerana helmet lebih mudah dijaga dan sentiasa bersih.

Tak Perlu Terlalu Risau Kalau Terjatuh

Satu lagi perkara yang saya suka ialah faktor praktikalnya.

Dengan harga sekitar RM319 untuk warna solid dan RM339 bagi versi grafik, kita tidaklah terlalu risau sekiranya helmet terjatuh ketika diletakkan di atas motosikal.

Sepanjang tempoh penggunaan, helmet ini sudah beberapa kali terjatuh.

Memang ada kesan calar kecil, tetapi tidak begitu ketara sehingga ramai yang langsung tidak menyedarinya.

Bagi saya, helmet memang dibuat untuk digunakan, bukannya terlalu disayang sehingga takut hendak memakainya setiap hari.

Lengkap Dengan Ciri Keselamatan Moden

Walaupun berada dalam kategori harga mampu milik, spesifikasi yang ditawarkan sebenarnya cukup lengkap.

Antaranya termasuk:

  • Visor penuh setebal 2.2 mm
  • Visor matahari dalaman
  • Cangkerang ABS
  • Lapisan EPS berketumpatan pelbagai
  • Sistem ikatan Double D-Ring
  • Padding hipoalergenik yang boleh ditanggalkan
  • Ruang untuk interkom Bluetooth
  • Mematuhi piawaian keselamatan ECE R22.06

Bagi saya, apabila helmet bawah RM350 sudah menawarkan spesifikasi seperti ini, memang sukar untuk meminta lebih.

Berbaloi Dibeli?

Kalau ditanya sama ada saya akan mengesyorkannya kepada orang lain, jawapan saya ialah ya.

Selepas hampir tiga bulan digunakan dalam pelbagai keadaan jalan dan cuaca, YOHE 868-2 berjaya membuktikan bahawa sebuah helmet open-face tidak semestinya bising atau hanya sesuai untuk perjalanan dekat.

Apabila bercakap mengenai helmet dalam kategori bawah RM350, pada pandangan saya, YOHE 868-2 memang antara pilihan yang paling berbaloi untuk dimiliki.

Ia menawarkan apa yang kebanyakan penunggang harian perlukan iaitu selesa, senyap, praktikal, mematuhi piawaian keselamatan terkini dan yang paling penting, harganya masih mampu dimiliki oleh kebanyakan penunggang.

Kalau masih ragu-ragu, singgah sahaja ke Motorworld Malaysia dan cuba sendiri.

Baca Juga : YOHE Helmets Rasmi Masuk Malaysia, Jenama Global, Harga Mampu Milik

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi