Bernie Ecclestone, bekas pemegang tampuk Formula 1, akhirnya menjual koleksi ikoniknya. Terdiri daripada 69 buah jentera Formula 1 dan Grand Prix kepada pewaris empayar Red Bull, Mark Mateschitz.
Koleksi luar biasa ini, yang telah dikumpul oleh Ecclestone selama lebih 50 tahun. Menampilkan jentera legenda seperti Ferrari yang dipandu oleh Alberto Ascari, Michael Schumacher, dan Niki Lauda.
Tawaran Luar
Meskipun terdapat banyak tawaran dari pembeli di seluruh dunia, termasuk dua dana kekayaan berdaulat, akhirnya koleksi ini jatuh ke tangan Mateschitz, anak tunggal mendiang Dietrich Mateschitz, pengasas bersama Red Bull GmbH.
Urus niaga ini mencipta sejarah sebagai transaksi tunggal terbesar dalam dunia koleksi kereta. Melebihi semua rekod jualan sebelumnya dengan jumlah yang amat besar. Menurut peniaga kereta klasik dan perlumbaan bersejarah, Tom Hartley Jnr, yang menguruskan penjualan ini, ia melangkaui rekod sebelum ini dengan “beberapa kali ganda”.
Jumlah Sebenar
Walaupun jumlah sebenar yang dibayar oleh Mateschitz tidak didedahkan. Laporan menganggarkan nilai koleksi ini sekitar £500 juta, atau kira-kira $646 juta mengikut kadar pertukaran semasa.
Sebagai peminat F1 dan pewaris empayar Red Bull, Mateschitz berjanji untuk mengekalkan serta mengembangkan koleksi ini dan merancang untuk menjadikannya boleh diakses oleh orang ramai dalam masa terdekat.
Warisan Berharga yang Kini Didedikasikan untuk Umum
Ecclestone, yang menguruskan F1 selama empat dekad sebelum Liberty Media mengambil alih pada 2017, menyatakan kepuasannya terhadap pembelian ini.
Ads
“Saya mahu memastikan koleksi ini berada di tempat yang betul. Mereka akan membina sesuatu seperti muzium agar orang ramai dapat melihatnya. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya kepada Reuters.
Permata Koleksi
Antara permata dalam koleksi ini termasuk Ferrari 312T yang membawa Scuderia Ferrari ke kejuaraan pengeluar pertama sejak 1962. Ferrari 312B3 yang pernah memenangi pelbagai perlumbaan Grand Prix. Serta Ferrari F2002, salah satu jentera paling dominan abad ke-21 yang membantu Ferrari memenangi kedua-dua kejuaraan pada tahun 2002.
Selain itu, terdapat juga Vanwall VW10 yang dipandu oleh Stirling Moss untuk beberapa kemenangan Grand Prix pada musim 1958. Serta Ferrari 375 yang memenangi Grand Prix Itali 1951, kejayaan pertama Ferrari di F1 melalui Jose Froilan Gonzalez di Silverstone.
Kesemua Brabham milik Ecclestone turut menjadi sebahagian daripada koleksi ini, termasuk model kontroversi BT46B “fan car” yang membawa Niki Lauda meraih kemenangan di Grand Prix Sweden 1978 dengan kelebihan 34 saat.
Kenapa Ecclestone Menjual Koleksi Ini?
Selepas sekian lama memiliki koleksi luar biasa ini, Ecclestone mengumumkan pada Disember 2024 bahawa beliau akan menjualnya.
Ads
Keputusan ini diambil selepas beliau mengaku bersalah atas tuduhan penipuan pada Oktober 2023 kerana gagal mengisytiharkan amanah di Singapura yang mengandungi lebih £400 juta kepada pihak berkuasa cukai Britain pada 2015.
Bagi mengelakkan hukuman penjara 17 bulan, beliau bersetuju untuk membayar sekitar £653 juta kepada HMRC.
Namun, Ecclestone menegaskan bahawa keputusan menjual koleksi ini bukan disebabkan oleh masalah undang-undangnya. Sebaliknya, ia lebih kepada keinginan untuk tidak membebankan isterinya, Fabiana, selepas beliau tiada nanti.
“Saya mungkin ada dua atau tiga tahun lagi dengan sedikit tuah, dan saya tidak mahu meninggalkan semua ini untuk Fabiana uruskan,” kata Ecclestone kepada The Telegraph. “Lebih baik saya selesaikan semuanya sendiri dan pastikan ia berada di tangan yang betul. Ace (anak bongsunya) mungkin tidak berminat dengan semua ini. Dia mungkin lebih cenderung kepada bola sepak. Jadi, sebelum terlambat, saya ingin mengurusnya sendiri.”
Ads
Tom Hartley Jnr, yang menguruskan urus niaga ini, menegaskan bahawa koleksi ini adalah sesuatu yang tiada tandingan dalam sejarah jualan kereta klasik dan perlumbaan. “Belum pernah ada koleksi seperti ini ditawarkan untuk dijual, dan kemungkinan besar tidak akan ada lagi di masa hadapan,” katanya.
Kini, dengan koleksi ini berpindah tangan ke Mark Mateschitz, peminat permotoran dapat menantikan muzium atau pameran khas yang bakal didedikasikan untuk jentera legenda ini. Ia bukan sekadar koleksi bernilai tinggi, tetapi juga khazanah sejarah perlumbaan yang bakal dikongsi dengan dunia.
Stellantis, salah satu pengeluar automotif terbesar dunia, telah memilih DHL Supply Chain, peneraju global dalam logistik kontrak, sebagai rakan logistik utama untuk menguruskan Pusat Agihan Alat Ganti Serantau mereka di Malaysia.
Kerjasama ini memainkan peranan penting dalam memperhebatkan strategi Stellantis untuk menguatkan kehadirannya di rantau Asia Pasifik.
Langkah ini menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau yang lebih berdaya saing dan berpengaruh.
Pusat Agihan Berteknologi Tinggi di Zon Perdagangan Bebas
Gudang moden seluas 18,000 meter persegi ini, yang terletak di Zon Perdagangan Bebas Malaysia.
Ianya direka khas untuk memastikan proses pengagihan alat ganti berjalan lancar dan efisien.
Ia berperanan sebagai pusat sokongan selepas jualan untuk 20 negara di rantau India dan Asia Pasifik, termasuk pasaran utama seperti Malaysia.
Hab strategik ini dijangka mempercepatkan masa penghantaran dan memastikan ketersediaan alat ganti bagi jenama-jenama di bawah Stellantis, seperti Peugeot, Citroën, Alfa Romeo, Jeep, RAM, dan banyak lagi.
Komitmen untuk Perkhidmatan Selepas Jualan Bertaraf Tinggi
Menurut Olivier Torchet, Ketua Bahagian Alat Ganti dan Perkhidmatan, India & Asia Pasifik, Stellantis,
“Stellantis berbangga menerima DHL sebagai rakan logistik kami.
Kerjasama ini akan memperkukuhkan tahap perkhidmatan selepas jualan dan meningkatkan kecekapan operasi kami di Pusat Agihan Alat Ganti Serantau di Pelabuhan Klang.
Ini selari dengan matlamat kami untuk menyediakan pengagihan alat ganti yang pantas dan boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan pelanggan di seluruh rantau ini.”
Peluang dan Potensi Pertumbuhan Automotif Malaysia
Mario Lorenz, Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia, menekankan potensi besar industri automotif tempatan.
“Pertumbuhan pesat Malaysia sebagai pasaran automotif kedua terbesar di Asia Tenggara membuka peluang besar kepada DHL untuk memperkukuh rantaian bekalan industri.
Lokasi strategik Malaysia dalam Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) juga menjadikannya pusat serantau yang menawarkan kelebihan kos dan infrastruktur yang kukuh untuk pengeluar automotif.”
Gabungan Kepakaran untuk Meningkatkan Daya Saing
DHL dan Stellantis akan bergabung tenaga untuk menyediakan penyelesaian logistik yang disesuaikan, bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif tempatan.
“Dengan pendekatan visionari Stellantis dan kepakaran logistik DHL, kami yakin dapat menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi hab automotif serantau yang penting,” kata Lorenz.
Pelaburan Strategik untuk Memacu Pertumbuhan
DHL Supply Chain Malaysia terus menunjukkan komitmennya terhadap kemajuan sektor automotif dengan pelaburan bernilai €131 juta di negara ini.
Pelaburan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kapasiti operasi, malah turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan.
Hal ini untuk memastikan sokongan terbaik kepada pelanggan dalam memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.
Inisiatif ini juga menjadi sebahagian daripada pelaburan strategik global DHL sebanyak €1.35 bilion dalam tempoh setahun lalu.
Malaysia sebagai Hab Automotif Serantau
Malaysia kini menjadi pusat tumpuan lebih 640 pengeluar utama dalam sektor automotif.
Ianya merangkumi pelbagai jenis komponen yang menyokong rantaian industri global.
Langkah proaktif kerajaan dalam menawarkan insentif untuk kenderaan elektrik (EV) seiring dengan Strategi 2030 DHL Group.
Langkah ini memfokuskan tenaga baharu dan pengangkutan berasaskan EV sebagai tonggak utama pertumbuhan masa depan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
McLaren Kuala Lumpur mengumumkan pelancaran model terbaharu mereka, McLaren Artura Spider. Model ini merupakan model convertible pertama McLaren yang dilengkapi dengan trenkuasa hibrid berprestasi tinggi.
Artura Spider ini bukan sahaja sekadar versi convertible, tetapi juga dilengkapi dengan peningkatan signifikan dari segi kuasa, prestasi, dan keterlibatan pemandu. Ia menawarkan pengalaman pemanduan yang unik dengan bumbung yang boleh dibuka. Membolehkan pemandu menikmati sensasi memandu yang lebih mendalam dengan udara terbuka.
Selain itu, peningkatan yang diperkenalkan pada Spider turut diaplikasikan pada model Artura Coupe. Kedua-dua model ini menawarkan prestasi dinamik yang luar biasa, termasuk kebolehan untuk memacu di litar. Serta memenuhi keperluan pemanduan harian dengan mod pemanduan elektrik yang hampir senyap, sesuai untuk kawasan bandar.
Artura Spider baharu ini sudah boleh ditempah sekarang dengan harga bermula dari RM 3,400,000 (termasuk cukai) sebelum pilihan tambahan.
Pengalaman Pemanduan Terbuka yang Memukau
Artura Spider direka dengan keutamaan kepada keterlibatan pemandu, prestasi, dan kualiti. Dilengkapi dengan bumbung keras yang boleh dilipat secara elektrik dalam masa 11 saat, ia memberikan pengalaman pemanduan convertible yang penuh dengan adrenalin.
Dengan bumbung terbuka, pemandu dapat merasakan hubungan yang lebih rapat dengan persekitaran mereka, menikmati bauan dan pemandangan dengan lebih jelas.
McLaren terus menekankan kejuruteraan super ringan mereka, dengan Artura Spider hanya seberat 1,457kg (berat kering) dan 1,560kg (berat dengan muatan). Ini menjadikan Spider sebagai model convertible paling ringan dalam kelasnya, dengan kelebihan berat sehingga 83kg berbanding pesaing terdekat.
Dikuasakan oleh trenkuasa hibrid yang menghasilkan 700PS, Artura Spider mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 3.0 saat. Kelajuan maksimum 330km/j. Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri canggih seperti Launch Control dan sistem suspensi Proactive Damping Control yang memberikan kestabilan dan kawalan optimum semasa pemanduan.
Rekaan yang Mempesona dan Teknologi Canggih
Dari segi reka bentuk, Artura Spider mengekalkan siluet yang kemas dan dinamik, dengan rekaan badan ‘shrink-wrapped’ dan pintu dihedral yang memudahkan akses dalam ruang sempit.
Ciri Retractable Hard Top (RHT) menambah keunikan kepada Spider, dengan sistem bumbung yang boleh dikonfigurasi dengan panel kaca Electrochromic untuk mengawal pencahayaan dalam kabin.
Bahagian dalaman Artura Spider direka untuk memberi fokus penuh kepada pemandu. Paparan digital yang mudah dilihat dan stereng tanpa butang untuk meminimumkan gangguan. Tempat duduk McLaren Clubsport yang inovatif dan pelbagai pilihan penyesuaian membolehkan pemandu menikmati pemanduan yang selesa dan penuh prestasi.
Kesimpulannya, McLaren Artura Spider baharu ini adalah gabungan sempurna antara prestasi supercar elektrik yang hebat dengan keindahan rekaan convertible, memberikan pengalaman pemanduan yang tidak dapat dilupakan di jalan raya mahupun di litar.
Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pendekar, telah berjaya diapungkan semula. Ini selepas proses salvage yang mencabar, pada jam 4.38 petang Ahad.
Pihak TLDM dalam kenyataannya menyatakan bahawa kapal itu kini sedang menjalani proses pembaikan awal sebelum diserahkan semula kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.
Operasi salvage KD Pendekar dianggap sebagai satu kejayaan besar walaupun terdapat beberapa cabaran yang dihadapi sepanjang proses tersebut. Lokasi kejadian di mana kapal ini tenggelam telah disahkan selamat.
Tanpa sebarang ancaman dari bahan letupan atau peluru yang boleh membahayakan komuniti maritim, khususnya kepada mereka yang kerap menggunakan laluan perairan terbabit.
Phasing Out Kapal Lama Selaras Transformasi TLDM
Dengan usia KD Pendekar yang telah melebihi 45 tahun, masa depan kapal ini masih menjadi tanda tanya. Pihak TLDM akan membuat keputusan berdasarkan pelan penggantian berperingkat atau “phasing in-phasing out” bagi kapal usang yang masih berkhidmat.
Pelan ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 yang menekankan pengurangan jenis aset tentera laut daripada 15 kepada hanya 5 platform strategik.
Menurut kenyataan TLDM, punca sebenar insiden tenggelamnya KD Pendekar masih dalam siasatan Lembaga Siasatan Khas. Pasukan yang ditubuhkan sejurus selepas kejadian tersebut berlaku.
Insiden dan Tragedi Sebelum Ini
Insiden KD Pendekar bermula pada 25 Ogos lalu ketika kapal tersebut sedang menjalankan operasi. Kebocoran berlaku pada sekitar 12 tengah hari, dipercayai berpunca daripada pelanggaran dengan objek bawah air.
Kebocoran tersebut dikesan di bilik jentera kapal sebelum ia merebak dengan pantas dan tidak dapat dikawal.
Walaupun usaha keras dilakukan oleh kru kapal untuk mengawal situasi. Kebocoran yang semakin teruk menyebabkan KD Pendekar tidak dapat diselamatkan daripada tenggelam. Namun, semua 39 kru kapal berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius.
Tragedi seterusnya berlaku beberapa hari selepas kejadian apabila seorang Penyelam Ranjau TLDM, Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa, meninggal dunia ketika menjalankan operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih.
Kehilangan nyawa ini menjadi titik hitam dalam misi penyelamatan tersebut.
Siasatan Masih Berjalan
Lembaga Siasatan Khas TLDM kini sedang bekerja keras untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian ini.
Faktor-faktor yang menyebabkan insiden tenggelamnya KD Pendekar sedang diperincikan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.
Walaupun berdepan dengan cabaran dan kehilangan nyawa, usaha TLDM untuk mengapungkan kembali KD Pendekar dan memastikan keselamatan perairan Malaysia patut dipuji.
Insiden ini juga menjadi pengajaran kepada pihak tentera laut untuk lebih berhati-hati dalam menghadapi cabaran operasi yang tidak dijangka di masa depan.
Revolusi Tempatan Dengan Aspirasi Global
PROTON sekali lagi mencipta sejarah apabila memperkenalkan Saga Serba Baharu kepada pihak media sebelum pelancaran rasminya. Model ini bukan sekadar...