Lesen GDL dan PSV – Langkah terbaru yang dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah untuk memperketat operasi bersepadu. Ia bakal memfokuskan kepada kenderaan berat. Turut disambut baik oleh Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR).
Menurut Penasihatnya, Datuk Suret Singh, cadangan ini adalah selari dengan usaha meningkatkan keselamatan jalan raya, terutamanya melibatkan pemandu kenderaan berat seperti lori dan bas.
Ujian Darah
Antara inisiatif penting yang diutarakan oleh PPKJR ialah mewajibkan ujian darah sebagai syarat untuk mendapatkan lesen GDL (Lesen Kenderaan Barangan) serta lesen PSV (Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam).
Ujian ini bukan sahaja perlu dilaksanakan bagi pemohon baru lesen, tetapi juga diwajibkan setiap kali lesen tersebut diperbaharui. Langkah ini akan membantu memastikan bahawa pemandu yang memandu kenderaan berat bebas daripada pengaruh dadah.
Menurut Datuk Suret Singh, pihaknya bersetuju dengan pendekatan JPJ yang ingin menguatkuasakan undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh dadah dengan tahap ketegasan yang sama seperti perundangan yang dikenakan ke atas pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Tambahnya, pindaan kepada peraturan sedia ada boleh dilakukan dalam masa yang lebih singkat untuk memperkenalkan ujian darah ini sebagai langkah kawalan tambahan.
Ads
Perketat Peraturan
Selain memperketatkan peraturan untuk lesen GDL dan PSV. Kerajaan juga disaran untuk terus membiayai latihan kepada 1,000 pemandu baru setiap tahun.
Ini penting bagi menangani masalah kekurangan pemandu kelas E yang diperlukan untuk memandu kenderaan berat seperti lori dan bas.
Dengan ini, bukan sahaja aspek keselamatan dipertingkatkan, tetapi juga masalah kekurangan pemandu yang dihadapi industri pengangkutan dapat diselesaikan.
Ads
Dalam pada itu, Datuk Suret Singh turut menekankan bahawa usaha meningkatkan keselamatan jalan raya tidak hanya terletak pada bahu kerajaan atau JPJ sahaja.
Matlamat Utama
Sebaliknya, semua pihak perlu bekerjasama untuk mencapai visi yang terkandung dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya 2022-2030. Matlamat utama pelan ini ialah mengurangkan sebanyak 50 peratus bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang tahun 2030.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa JPJ akan memperketat operasi bersepadu yang memfokus kepada kenderaan berat.
Langkah ini dijangka akan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat, sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara.
Volvo Car Malaysia memperkenalkan Volvo Wallbox baharu untuk pemilik kenderaan elektrik bateri (BEV) dan plug-in hybrid (PHEV) Volvo di Malaysia. Pengecas pintar ini ditawarkan sebagai penyelesaian pengecasan di rumah yang lebih stabil, selamat dan mudah digunakan dalam rutin harian. Dengan harga RM3,990, Volvo Wallbox turut menyokong sambungan pintar, akses RFID serta pengecasan sehingga 11 kW.
Berbeza dengan penggunaan soket biasa, Volvo Wallbox direka khusus untuk menjadikan proses mengecas kenderaan lebih teratur. Bagi pemilik EV dan PHEV, kemudahan mengecas di rumah menjadi antara faktor penting kerana ia membolehkan kenderaan sentiasa bersedia untuk digunakan pada keesokan hari.
Volvo Wallbox menawarkan kelajuan pengecasan sehingga 11 kW menerusi pemasangan tiga fasa. Dengan kadar pengecasan ini, pemilik boleh mengecas kenderaan di rumah dengan lebih efisien berbanding kaedah pengecasan asas yang biasanya lebih perlahan.
Pengecas ini turut didatangkan dengan kabel standard Type 2, menjadikannya sesuai untuk rangkaian model Volvo BEV dan PHEV yang menggunakan sambungan pengecasan tersebut. Dari sudut penggunaan harian, ini memudahkan pemilik kerana kabel pengecas sudah tersedia bersama unit Wallbox.
Seperti kebanyakan produk Volvo, Wallbox ini turut mengekalkan pendekatan reka bentuk minimalis Scandinavia. Rekaannya kemas dan ringkas, membolehkan ia dipasang di kediaman tanpa kelihatan terlalu menonjol atau mengganggu rupa ruang parkir.
Volvo turut menyatakan Wallbox ini dibina untuk tahan cuaca Malaysia. Ia hadir dengan penarafan IP55, yang bermaksud unit ini dilindungi daripada habuk dan percikan air, membolehkannya digunakan dengan lebih yakin dalam keadaan hujan atau panas.
Antara ciri utama Volvo Wallbox ialah sambungan pintar menerusi Volvo Cars App. Dengan sambungan awan menggunakan Wi-Fi, Ethernet atau kad SIM pilihan, pengguna boleh memantau status pengecasan terus daripada telefon pintar.
Melalui aplikasi tersebut, pemilik boleh melihat status bateri, memulakan atau menghentikan sesi pengecasan, serta menetapkan jadual pengecasan. Fungsi jadual ini berguna untuk pemilik yang mahu mengurus penggunaan elektrik dengan lebih baik, terutama jika mengecas pada waktu tertentu di rumah.
Bagi rumah yang mempunyai lebih daripada seorang pemandu, Wallbox ini turut disertakan dengan dua keping kad RFID. Ciri ini membolehkan akses pengecasan dikongsi dengan lebih teratur antara ahli keluarga atau pengguna lain di rumah yang sama.
Penggunaan RFID juga memberi lapisan kawalan tambahan, terutama jika Wallbox dipasang di kawasan parkir yang boleh diakses oleh lebih ramai orang. Ini menjadikan proses pengecasan lebih selamat dan terkawal berbanding sistem yang boleh digunakan tanpa pengesahan.
Volvo Wallbox turut direka dengan keupayaan untuk dihubungkan kepada meter tenaga luaran. Ini membuka ruang kepada pemilik untuk memanfaatkan lebihan tenaga solar dari bumbung rumah bagi mengecas kenderaan pada masa depan.
Ciri ini penting kerana semakin ramai pemilik EV mula melihat pengecasan rumah bukan sekadar kemudahan, tetapi sebahagian daripada ekosistem tenaga yang lebih menyeluruh. Dengan sokongan kepada integrasi solar, Wallbox ini dilihat lebih bersedia untuk memenuhi keperluan jangka panjang.
Volvo Wallbox kini boleh didapati di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara pada harga RM3,990. Ia turut disertakan dengan jaminan perkakasan komprehensif selama 36 bulan.
Untuk pemasangan di rumah, Volvo Car Malaysia bekerjasama dengan EV Connection Sdn Bhd bagi menawarkan pakej pemasangan profesional. Pakej tersebut bermula daripada RM1,600, bergantung kepada keperluan pemasangan di lokasi kediaman pemilik.
Pengenalan Volvo Wallbox menunjukkan tumpuan Volvo bukan hanya kepada jualan kenderaan elektrifikasi, tetapi juga kepada pengalaman pemilikan selepas pembelian. Bagi pemilik EV dan PHEV, sistem pengecasan di rumah yang selamat, pintar dan mudah digunakan memainkan peranan besar dalam penggunaan harian.
Dengan harga RM3,990, sokongan aplikasi Volvo Cars App, akses RFID, penarafan IP55 serta keupayaan pengecasan sehingga 11 kW, Volvo Wallbox menjadi tambahan penting kepada ekosistem elektrifikasi Volvo di Malaysia. Ia menawarkan penyelesaian pengecasan rumah yang praktikal untuk pemilik yang mahukan pengalaman pemilikan EV yang lebih mudah, cekap dan bersedia untuk perkembangan teknologi tenaga pada masa hadapan.
Selepas empat dekad nama BMW M3 menjadi antara ikon utama dalam dunia sedan prestasi, BMW Group Malaysia kini membuka lembaran baharu dengan memperkenalkan BMW M3 Touring Competition M xDrive.
Pelancarannya mencatat sejarah kerana ini merupakan kali pertama BMW M3 ditawarkan dalam bentuk Touring secara rasmi di Malaysia.
Model tersebut diperkenalkan sempena BMW Clubhouse di Factory 19, Petaling Jaya, dan menggabungkan prestasi sebuah jentera BMW M dengan ruang kargo serta praktikaliti yang biasanya ditawarkan oleh sebuah wagon keluarga.
Di peringkat antarabangsa, BMW M3 Touring turut dinobatkan sebagai What Car? Performance Car of the Year 2025 untuk tahun kedua berturut-turut.
Bahagian hadapan BMW M3 Touring Competition M xDrive menerima lampu Adaptive LED yang direka semula bersama teknologi Matrix dan High-Beam Assistant.
Rekaan lampu siang baharu memberikan identiti lebih moden, manakala sistem pencahayaan itu mampu menyesuaikan pancaran secara automatik mengikut situasi pemanduan.
Kemasan M Lights Shadowline dan M High-Gloss Shadowline dengan kandungan tambahan menyerlahkan karakter gelap dan sporty pada bahagian luaran.
Model ini menggunakan rim tempaan M Double-Spoke Style 825 M Bicolour Black bersaiz 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang.
Sebagai sebuah Touring, kelebihan utama model ini ialah ruang but berkapasiti 500 liter. Kapasiti tersebut boleh diperluaskan sehingga 1,510 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Pintu but dengan operasi automatik turut ditawarkan sebagai standard, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian, perjalanan keluarga atau membawa barangan bersaiz besar.
Ruang dalaman BMW M3 Touring Competition M xDrive direka dengan fokus kepada pemandu tanpa mengabaikan tahap keselesaan penumpang.
Stereng M Alcantara dengan bahagian bawah rata dilengkapi jahitan warna M dan penanda merah pada kedudukan pukul 12. Butang penghidup M berwarna merah serta tombol gear dengan logo M melengkapkan identiti sukan permotoran di dalam kabin.
BMW Curved Display menggabungkan skrin instrumen 12.3 inci dan skrin kawalan 14.9 inci. Paparan khusus M disediakan bagi memudahkan pemandu mengakses maklumat penting berkaitan prestasi dan tetapan kenderaan.
Rekaan corong pendingin hawa dan jalur kemasan kabin turut diperbaharui. Antara kemasan standard lain ialah panel gentian karbon M, panel instrumen mewah, butang kawalan dengan kemasan galvanik dan pencahayaan ambien.
Tempat duduk bucket M Carbon berbalut kulit Merino memberikan sokongan sisi lebih baik ketika pemanduan agresif. Ia dipadankan dengan tali pinggang keselamatan M dan kemasan bumbung M Anthracite.
Bagi kegunaan harian, model ini dilengkapi pelarasan tempat duduk elektrik dengan fungsi memori, pendingin hawa automatik, ruang penyimpanan, sistem through-loading dan Comfort Access.
Sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara, sembilan saluran dan penguat 464 watt turut disediakan sebagai standard.
BMW M3 Touring Competition M xDrive dikuasakan enjin petrol M TwinPower Turbo enam silinder sebaris yang dibangunkan berasaskan pengalaman BMW M dalam dunia perlumbaan.
Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 390 kW atau 530 hp pada 6,250 rpm, bersama tork maksimum 650 Nm antara 2,750 hingga 5,730 rpm.
Kuasa disalurkan melalui transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan ke sistem pacuan semua roda M xDrive.
Walaupun hadir dalam bentuk sebuah wagon, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.6 saat, menjadikannya 0.2 saat lebih pantas berbanding BMW M2 CS.
Kelajuan maksimum ditetapkan pada 250 km/j.
Penggunaan bahan api berada antara 10.3 hingga 10.4 liter bagi setiap 100 kilometer berdasarkan kitaran WLTP. Pelepasan karbon dioksida pula direkodkan antara 233 hingga 235 gram bagi setiap kilometer.
BMW M3 Touring Competition M xDrive menggunakan Adaptive M Suspension yang menyesuaikan karakter penyerap hentak mengikut keadaan jalan raya dan gaya pemanduan.
Sistem ini dibangunkan untuk memberikan keseimbangan antara pengendalian agresif dengan tahap keselesaan yang masih sesuai digunakan setiap hari.
M Sport Differential membantu mengagihkan kuasa dengan lebih berkesan untuk meningkatkan cengkaman dan kestabilan ketika keluar dari selekoh.
Sistem brek M Compound dengan angkup berwarna merah berkilat pula bertanggungjawab memberikan kuasa membrek yang lebih konsisten dalam pelbagai keadaan pemanduan.
BMW M3 Touring Competition M xDrive dilengkapi Driving Assistant Professional yang merangkumi beberapa teknologi bantuan pemanduan.
Antaranya ialah Steering and Lane Control Assistant, Speed Limit Assist, Lane Change Assistant, Lane Keeping Assistant dengan perlindungan pelanggaran sisi aktif serta amaran trafik melintas di bahagian hadapan dan belakang.
Parking Assistant Plus turut disediakan bersama Surround View System dan Remote 3D View, membantu pemandu melihat keadaan di sekeliling kenderaan ketika melakukan pergerakan pada kelajuan rendah.
Ciri keselamatan lain termasuk Active Protection dan fungsi menyahaktifkan beg udara penumpang hadapan.
BMW Live Cockpit Professional menggunakan BMW Operating System 8.5 dengan paparan khusus M.
Connected Package Professional merangkumi ConnectedDrive Services, pengecas telefon tanpa wayar dan Personal eSIM.
BMW Drive Recorder pula membolehkan rakaman perjalanan dibuat menggunakan kamera kenderaan, manakala Intelligent Emergency Call dan Teleservices menyediakan sokongan sekiranya berlaku kecemasan atau kenderaan memerlukan pemeriksaan.
Comfort Access membolehkan pemandu membuka dan mengunci kenderaan tanpa perlu mengeluarkan kunci fizikal.
BMW M3 Touring Competition M xDrive ditawarkan dalam dua warna luaran, iaitu Skyscraper Grey dan Isle of Man Green.
Warna Skyscraper Grey boleh dipadankan dengan kabin kulit Merino Yas Marina Blue atau Merino Silverstone.
Pilihan Isle of Man Green pula ditawarkan secara eksklusif bersama kemasan dalaman kulit Merino Kyalami Orange.
Harga jualan disyorkan BMW M3 Touring Competition M xDrive bermula RM898,800 atas jalan tanpa insurans.
Dengan pakej BMW Service & Repair Inclusive selama lima tahun, model ini ditawarkan pada harga RM950,900.
Menerusi pembiayaan Straight-Line Financing daripada BMW Group Financial Services Malaysia, model tersebut boleh dimiliki dengan bayaran bulanan bermula RM10,646, berdasarkan margin pembiayaan 80 peratus untuk tempoh tujuh tahun.
Pakej BMW Service & Repair Inclusive menawarkan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan serta perlindungan servis selama lima tahun atau 100,000 kilometer.
Pemilik turut menerima BMW Roadside Assistance and Accident Hotline, BMW Service Online dan BMW Proactive Care yang memantau keadaan komponen kenderaan serta memberikan amaran awal melalui aplikasi My BMW atau sistem iDrive.
Sempena perayaan Tahun Baru Cina, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan Smart Lane di 25 lokasi strategik di lebuh raya mereka. Langkah ini bertujuan untuk melancarkan aliran trafik di kawasan-kawasan yang sering mengalami kesesakan.
Smart Lane adalah inisiatif PLUS di mana lorong kecemasan akan dibuka sebagai laluan tambahan di lokasi tertentu. Ini bertujuan mengoptimumkan kapasiti lebuh raya, terutamanya di kawasan kritikal. Pengaktifan lorong ini akan dikenalpasti melalui papan tanda peringatan dan lampu hijau berkelip di sepanjang lebuh raya.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi, menjelaskan bahawa lorong ini hanya untuk kegunaan kenderaan ringan, persendirian, dan penumpang.
“Pengguna diminta mematuhi arahan petugas di lokasi dan dilarang memandu di lorong kecemasan di kawasan yang tidak diaktifkan sebagai Smart Lane,” katanya semasa sidang media di Persada PLUS.
PLUS menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak, iaitu 24 Januari, 25 Januari, 31 Januari, dan 1 Februari 2025. Oleh itu, mereka turut meningkatkan kesiapsiagaan pasukan tindak balas kecemasan (ERT) bagi memastikan pengguna lebuh raya mendapat bantuan segera jika berlaku insiden.
Sebagai tambahan kepada Smart Lane, PLUS juga telah melaksanakan beberapa penambahbaikan:
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, turut mengumumkan bahawa semua kerja penyelenggaraan lebuh raya akan dihentikan sementara dari 23 Januari hingga 3 Februari 2025. Namun, kerja-kerja kritikal seperti pembaikan kecemasan dan pengalihan kemalangan akan diteruskan untuk memastikan keselamatan pengguna.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengerahkan seramai 6,956 petugas untuk bertugas sepanjang perayaan ini. Ini termasuk pengawasan di lebuh raya, daerah, dan kontinjen bagi memastikan perjalanan lebih lancar.
Kerja pembinaan lorong tambahan di laluan Sedenak-Kulai, Johor akan diteruskan mengikut jadual. Bagaimanapun, kerja ini tidak melibatkan penutupan lorong di laluan utama, dan hanya merangkumi kerja tanah serta pengalihan utiliti.
Sebagai syarikat konsesi, PLUS akur dengan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pemberian tol percuma sempena musim perayaan. Walaupun begitu, langkah-langkah yang diambil oleh PLUS menunjukkan komitmen mereka dalam memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa buat pengguna lebuh raya.
Dengan pelbagai langkah proaktif yang diambil. Sambutan Tahun Baru Cina kali ini diharap dapat diraikan dengan lebih lancar tanpa tekanan kesesakan yang melampau. Patuhilah peraturan lalu lintas dan rancang perjalanan anda untuk menikmati perjalanan yang lebih menyenangkan.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...