ECRL mencipta sejarah dengan kejayaan penembusan Terowong Gombak sepanjang 959 meter sebulan lebih awal dari jadual asal.
Ini merupakan pencapaian membanggakan buat ECRL yang menandakan terowong ke-36 selesai dalam siri pengorekan.
Dengan letupan terakhir berjaya memecahkan penghadang sekitar 38 meter dari pintu masuk terowong.
Proses pengorekan ini tidak mudah. Menggunakan kaedah gerudi dan letup, ia menempuh cabaran lapisan granit lapuk dengan jumlah tenaga kerja mencecah 5.8 juta jam.
Kredit – Railway Technology
Malaysia Rail Link
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak. Kejayaan ini membuktikan kepakaran teknologi pengorekan terowong yang diguna pakai dan semangat kental pasukan ECRL.
“Kejayaan menembusi Terowong Gombak ini adalah satu tanda aras penting dalam kemajuan projek ECRL. Terowong ini adalah kunci utama untuk memastikan jajaran ECRL dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor.
Siap pada Disember 2026,” kata Darwis.
Ads
Tambahnya, jika mengikut jadual, pengoperasian ECRL dijangka bermula seawal Januari 2027. Seiring dengan hasrat negara untuk menyediakan pengangkutan yang lancar bagi penumpang dan kargo.
Kredit – Berita Harian
Menteri Besar Selangor
Majlis perasmian kejayaan ini disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Turut dihadiri oleh tokoh penting negara seperti Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, serta Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL). Kong Qi, turut meluahkan rasa bangga terhadap dedikasi seluruh pasukan yang menjayakan projek ini.
“Penembusan Terowong Gombak menonjolkan komitmen kami dalam menerapkan teknologi terkini serta menjalin kerjasama erat antara semua pihak terlibat.
Ads
Kami komited untuk memastikan pengangkutan ECRL ini menjadi perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan efisien,” ujarnya.
Kredit – The Edge
Terowong ECRL Gombak
Menyingkap lebih lanjut mengenai terowong ini, ia memiliki ketinggian purata 12 meter dan lebar 13 meter. Keluasan mencukupi untuk landasan berkembar tolok standard yang bakal disediakan.
Pengorekan bagi Terowong Gombak bermula pada Jun 2023 dan dijangka keseluruhan kerja sivil siap pada Mac 2025.
Pembinaan terowong ini turut mengambil kira alam sekitar. Ia membantu landasan ECRL mengekalkan kecerunan maksimum 0.9 peratus. Selain meminimumkan penebangan hutan terbuka, terutama di kawasan Batu 11 Gombak yang terkenal dengan hutan simpan yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.
Ads
Dengan kejayaan awal ini, ECRL semakin menghampiri realisasi sebuah pengangkutan rel moden yang bakal menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Malaysia.
Projek ini bukan sekadar laluan pengangkutan, tetapi simbol komitmen Malaysia dalam membangunkan infrastruktur yang menghubungkan rakyat, mempercepatkan pembangunan ekonomi, dan memajukan industri rel negara.
Tan Chong Motor Holdings Bhd (Tan Chong) terus hadapi cabaran besar apabila mencatatkan kerugian untuk tujuh suku berturut-turut. Mencerminkan tekanan persaingan sengit dalam industri automotif, baik di dalam mahupun luar negara.
Dalam suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2023, Tan Chong mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM40.11 juta. Meningkat berbanding kerugian RM18.13 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Malaysia, Tan Chong turut melaporkan penurunan pendapatan sebanyak 12 peratus tahun ke tahun, iaitu daripada RM619.2 juta kepada RM545.1 juta.
Prestasi yang suram ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kelembapan dalam jualan, meskipun Tan Chong aktif dalam pemasangan dan pengedaran kenderaan jenama Nissan serta Renault di Malaysia.
Tetap Optimis
Walaupun berhadapan dengan cabaran ini, Tan Chong optimis bahawa pelancaran model baharu dalam tempoh 24 bulan akan datang dapat membantu memulihkan prestasi kewangan syarikat.
Mereka juga merancang untuk merealisasikan aktiviti pemasangan kontrak tambahan dalam beberapa suku akan datang, yang dijangka dapat meningkatkan kewangan syarikat. Pada masa yang sama, Tan Chong akan terus berusaha merasionalisasikan operasi bagi mengurangkan kos.
Dalam pasaran Vietnam, Tan Chong melihat peluang untuk memperbaiki keadaan melalui penjualan bas King Long dan pikap komersial ringan TQ Wuling. Ia dijangka dapat meningkatkan penggunaan kapasiti kilang. Selain itu, dengan pelancaran model GAC yang baru, syarikat ini berharap prestasi di Vietnam akan menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam masa terdekat.
Pencapaian Tahun Ini
Walau bagaimanapun, untuk separuh pertama tahun ini, Tan Chong mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM55.83 juta. Jauh lebih tinggi berbanding RM23.2 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2023.
Pendapatan syarikat juga jatuh sebanyak 10.5 peratus, daripada RM1.24 bilion kepada RM1.11 bilion. Keadaan ini menyebabkan Tan Chong tidak mengisytiharkan sebarang dividen untuk tempoh tersebut.
Tambahan pula, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) di bahagian automotif utama merosot sebanyak 91 peratus, hanya mencatatkan RM5.8 juta.
Penurunan ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kejatuhan pendapatan, margin yang lebih kecil akibat kelemahan ringgit. Serta keuntungan tukaran asing yang lebih rendah. EBITDA di bahagian perkhidmatan kewangan syarikat, yang melibatkan pembelian sewa dan insurans, turut merosot sebanyak 37 peratus kepada RM6.8 juta, seiring dengan penurunan jualan kenderaan.
Tan Chong kini berada dalam situasi yang mencabar. Langkah-langkah yang diambil dalam tempoh beberapa bulan akan datang akan menjadi penentu kepada pemulihan atau sebaliknya.
Proton telah melancarkan model terbaharu mereka, PROTON X70 2025, yang direka untuk mendominasi pasaran SUV premium di Malaysia.
Pelancaran yang berlangsung di Mariott Hotel, Putrajaya ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi jenama automotif tempatan yang semakin berkembang.
Peningkatan Kualiti Pemanduan dan Rekaan Terkini
Sejak pelancarannya pada tahun 2018, PROTON X70 telah mengubah lanskap pasaran SUV premium di Malaysia.
Reka bentuk luar PROTON X70 2025 yang diperbaharui menampilkan gril hadapan baharu dengan corak songket elegan.
Lampu hadapan LED trapezoid dan roda aloi 19 inci dengan reka bentuk dua tona.
Semua ini digabungkan untuk memberikan SUV ini penampilan yang lebih mantap dan agresif.
Di bawah hud, enjin turbo 1.5-liter yang dipasang di kilang enjin PROTON di Tanjong Malim kini menghasilkan 177 PS dan 255Nm tork, dipadankan dengan transmisi dual-clutch 7-kelajuan.
Penambahbaikan dalam penalaan enjin dan transmisi telah meningkatkan kecekapan bahan api sebanyak 4%, sambil memastikan tahap NVH (Bunyi, Getaran, dan Kasar) yang lebih baik, menjadikannya lebih selesa untuk pemanduan harian.
Interior Diperhalusi dan Ciri Teknologi Ditingkatkan
Masuk ke dalam kabin, PROTON X70 2025 menyambut penumpang dengan ruang dalaman yang mewah dan teknologi terkini.
Skrin 12.3 inci baharu menampilkan pemproses kuad teras dwi, 4GB RAM, dan 32GB ruang penyimpanan, memastikan sistem infotainmen yang lancar dan responsif.
Selain itu, ciri pengenalan suara “Hi PROTON” terus menjadi salah satu ciri utama yang masih dikekalkan.
PROTON X70 2025 juga menjadi model Proton pertama yang menawarkan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dan berwayar, memberikan kemudahan kepada pengguna untuk kekal berhubung semasa di jalan raya.
Keselamatan Termaju dengan ADAS 2.0
sebagai SUV yang mengutamakan keselamatan, X80 2025 hadir dengan penambahan ADAS 2.0 pada varian Premium dan Premium X.
Sistem ini merangkumi 13 ciri keselamatan aktif seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dengan fungsi berhenti dan pergi, dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC).
Ciri-ciri ini direka untuk memberikan ketenangan kepada pemandu dan memastikan keselamatan di jalan raya.
Tawaran Eksklusif untuk Pelanggan Setia
Bagi meraikan pelancaran PROTON X70 2025, Proton menawarkan pelbagai nilai tambah untuk 500 pelanggan pertama yang mendaftar kenderaan mereka sebelum 31 Ogos 2024.
Model ini juga datang dengan jaminan tanpa had selama lima tahun, pakej data lima tahun dengan 1GB sebulan, dan enam kali servis buruh percuma.
Harga dan Ketersediaan
PROTON X70 2025 kini boleh ditempah secara dalam talian di laman rasmi Proton atau di pusat pameran yang disahkan.
Harga di jalan tanpa insurans adalah seperti berikut:
1.5TD Standard 2WD: RM98,800 (Semenanjung Malaysia), RM100,800 (Malaysia Timur)
Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, semakin selesa dengan jentera barunya untuk menyertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2024.
Semasa sesi latihan persendirian di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini, pelumba berusia 29 tahun itu telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan Ducati Panigale V4R, mencecah kelajuan sehingga 313 km/jam.
“Sebelum ini, saya tidak pernah mengendalikan V4. Saya biasanya menggunakan jentera dengan enjin inline… tetapi dengan V4 ini, saya merasai pengalaman yang unik, kita menjadi sebahagian daripada jentera itu,” katanya.
JDT Racing Team bersama Hafizh Syahrin akan menyertai saingan pertama mereka dalam ARRC 2024 dalam kelas Asian Superbike 1000cc (ASB 1000) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini.
Kredit Foto: Bikesrepublic.com
Hafizh Syahrin, yang menggunakan model terkini jentera buatan Itali ini untuk kali pertama, optimis dapat memberikan saingan terbaik dan mengejar gelaran juara keseluruhan musim ini.
“Pengalaman saya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebelum ini akan menjadi modal saya. ARRC bukan cabaran mudah, tetapi saya yakin dengan sokongan daripada pasukan JDT Racing Team, kami mampu berada di podium dan memberikan saingan di tiga tangga teratas,” katanya.
Pada Oktober lepas, JDT meluaskan aktiviti mereka dengan terlibat dalam sukan permotoran bersama Hafizh Syahrin, yang merupakan wakil Malaysia pertama yang bersaing dalam MotoGP pada 2018, dan menjadikan ARRC musim 2024 sebagai projek perintis.
Apabila ditanya tentang persediaannya untuk menghadapi ARRC, Hafizh Syahrin menyatakan bahawa dia telah bersedia dari segi mental dan fizikal, terutamanya kerana pusingan pertama berlangsung semasa bulan puasa.
Kredit Foto: The Star
“Kita sedia maklum bahawa awal tahun cuaca di Thailand agak panas, jadi kita perlu bersedia dengan keadaan cuaca yang lebih kering berbanding di Malaysia. Kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat dan saya akan tetap berusaha sebaik mungkin walaupun berpuasa,” katanya.
Kejuaraan ARRC 2024 melibatkan enam pusingan dengan 12 perlumbaan, dengan negara-negara seperti Jepun, China, Thailand, Indonesia, dan Malaysia turut terlibat.
BMW Motorrad Malaysia secara rasmi memperkenalkan jentera touring premium terbarunya, BMW R 1300 RT untuk pasaran tempatan. Model ini tampil dengan lima pilihan varian...