Sebanyak 14 jalan di sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat sempena acara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, pada Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, menyatakan bahawa penutupan sementara ini akan bermula pada jam 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan pada jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.
“Penutupan jalan secara sementara ini adalah untuk memberi laluan kepada tetamu Diraja melalui laluan berkenaan dan sampai mengikut masa yang ditetapkan. Ia akan dibuka semula selepas tetamu berkenaan melalui laluan berkenaan,” kata Rusdi dalam satu kenyataan hari ini.
Sebahagian jalan yang bakal ditutup
Laluan yang terbabit dalam penutupan ini termasuk:
Ads
Jalan Tun Razak
Jalan Kia Peng
Jalan Raja Chulan
Jalan Ampang
Jalan Sultan Ismail
Lebuhraya Sultan Iskandar
Jalan Tuanku Abdul Halim
Jalan Semantan
Jalan Damansara
Jalan Istana
Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban
Jalan Kuching (arah Selatan)
Bulatan Dato Onn
Jalan Parlimen
Ikuti arahan Polis trafik – elak jalan yang ditutup
Menurut Rusdi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan menempatkan 387 pegawai kanan serta pegawai rendah polis untuk melaksanakan tugas mengiring orang kenamaan, mengawal lalu lintas, dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya agar acara penuh Istiadat Negara ini dapat berlangsung dengan jayanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mengelakkan laluan yang terbabit untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.
Menerusi majlis perasmian Mforce SmartShop Wee Biker Sdn. Bhd., KEEWAY Malaysia secara rasmi melancarkan model terbaharu mereka, XDV180 EVO.
Motosikal ini merupakan sebuah skuter ‘crossover’ kompak yang dirumus khas untuk gaya hidup urban lasak dan penuh cabaran.
Ditawarkan pada harga asas RM9,388.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), jentera ini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh negara.
KEEWAY XDV180 EVO tampil dengan rekaan yang agresif dan praktikal, sesuai dengan karekter ‘dual-purpose’ .
Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Grey, Black, dan White yang menyerlahkan aura lasak dan moden.
XDV180 EVO dipacu oleh enjin 174cc silinder tunggal, 4-lejang, 4-injap dengan penyejukan cecair dan sistem EFI.
Jentera ini mampu menjana kuasa maksimum 13.6kW pada 8,500rpm dan tork setinggi 17.2Nm pada 6,500rpm, menjadikannya cukup bertenaga untuk kegunaan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Gabungan CVT automatik dan pacuan V-belt memberikan tunggangan yang lancar.
Manakala teknologi TCS boleh ditukar (switchable) membolehkan penunggang menyesuaikan sistem kawalan cengkaman mengikut kondisi jalan.
Untuk menempuh pelbagai permukaan jalan, KEEWAY membekalkan suspensi hadapan fork terbalik (USD) dan penyerap hentak berkembar di belakang.
Dipadankan dengan tayar depan 110/80-14 dan belakang 130/70-13, jentera ini menjanjikan kestabilan dan cengkaman sama ada di jalan raya mahupun laluan berbatu ringan.
Berat kering hanya 145kg menjadikan XDV180 EVO mudah dikawal, terutamanya untuk penunggang baharu atau wanita.
Tangki bahan api 10 liter memberikan jarak perjalanan yang praktikal.
Bukan sekadar gaya dan prestasi, KEEWAY XDV180 EVO juga tampil dengan ciri-ciri pintar seperti:
Paparan TFT 7 inci
Sistem keyless
DVR terbina di hadapan dengan sokongan kad memori 32GB dan sambungan telefon pintar
Rak belakang bersedia menampung top box sekitar 45 liter
Keselamatan turut diberi perhatian dengan penggunaan brek cakera di depan dan belakang, serta sistem ABS dwi-saluran.
Bateri 12V9Ah menyokong sistem elektronik jentera ini.
Pembelian KEEWAY XDV180 EVO disokong dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (mana-mana tiba dahulu), bersama kemudahan pembelian alat ganti tulen atas talian menerusi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Berpangkalan di Hungary sejak tahun 1999 dan kini di bawah payung Qianjiang Group yang juga memiliki Benelli dan bernaung di bawah kumpulan automotif gergasi Geely KEEWAY merupakan jenama motosikal antarabangsa yang menggabungkan teknologi moden, reka bentuk Eropah dan harga kompetitif.
Di Malaysia, KEEWAY terus melebarkan pengaruhnya menerusi pengedaran rasmi oleh Mforce Bike Holdings, menawarkan pilihan skuter dan motosikal yang sesuai dengan gaya hidup penunggang tempatan.
Proton melancarkan Jelajah Proton e.MAS 7, satu acara bersejarah yang menggabungkan inovasi dengan semangat eksplorasi.
Acara ini diadakan di Centre of Excellence (COE), di mana baton jelajah diserahkan daripada Jelajah Dunia Geely E5 kepada Proton e.MAS 7. Sebuah kenderaan elektrik (EV) yang bakal mengharungi perjalanan epik di seluruh Malaysia.
Proton e.MAS 7 tidak sekadar mempamerkan kehebatan teknologi tetapi juga membawa misi untuk memperkenalkan kenderaan EV ini kepada rakyat Malaysia.
Jelajah ini dijadualkan meliputi lebih daripada 2,000 kilometer merentasi pelbagai landskap, daripada jalan pantai hingga ke kawasan pergunungan, menunjukkan prestasi dan ketahanan EV ini dalam pelbagai keadaan jalan.
Jelajah ini bermula pada 5 Oktober 2024, dengan Proton e.MAS 7 akan menjelajah ke setiap negeri di Malaysia. Fasa pertama meliputi Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor. Seterusnya, perjalanan diteruskan ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan sebelum bergerak ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis. Jelajah ini akan diakhiri di Malaysia Timur, dengan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi terakhir.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, menyatakan bahawa matlamat jelajah ini adalah untuk memberikan rakyat Malaysia peluang untuk merasai sendiri bagaimana Proton e.MAS 7 mengendalikan pelbagai keadaan jalan dan cuaca unik di negara kita.
Beliau juga menambah bahawa jelajah ini bukan sekadar mempamerkan kehebatan teknologi Proton, tetapi juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti dan pelanggan.
Bagi yang tidak sabar untuk melihat kenderaan ini secara langsung, Proton e.MAS 7 dan pasukan PRO-NET akan dipamerkan di beberapa lokasi utama seperti di Putrajaya pada 25 September dan di Shah Alam pada 26 September.
Sebelum ini, model kembar Proton e.MAS 7, Geely E5, telah berjaya mengharungi perjalanan sejauh 3,700 kilometer dari China ke Malaysia, menghadapi pelbagai cabaran termasuk Taufan Yagi.
Prestasi Geely E5 dalam menghadapi keadaan ekstrem ini menunjukkan kebolehpercayaan dan ketahanan teknologi yang digunakan. Ini juga memberi jaminan yang sama terhadap Proton e.MAS 7.
Dengan kolaborasi erat bersama Geely. Model ini dilengkapi dengan teknologi terbaik dunia, menjadikannya penyelesaian mobiliti lestari yang direka khas untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
Selain itu, usaha Proton dalam memperluas penerimaan EV di negara ini turut disokong oleh kerjasama strategik dan perkongsian ilmu pengetahuan bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi dalam segmen kenderaan elektrik.
Proton e.MAS 7 tidak hanya membawa visi masa depan yang lebih hijau. Tetapi juga menunjukkan bagaimana teknologi dan inovasi dapat menjadi alat untuk mengubah landskap automotif di Malaysia. Jelajah ini pasti akan mencipta kesan yang berkekalan terhadap masa depan mobiliti di negara kita.
UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini mengukuhkan lagi kedudukan Gazoo Racing di Malaysia dengan memperkenalkan dua model baharu, iaitu GR Supra Track Edition dan GR Yaris Variant Automatik.
Kedua-dua model ini mencerminkan komitmen Toyota dalam menawarkan kejuruteraan bertaraf sukan permotoran yang kini lebih mudah diakses untuk kegunaan harian.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., pengenalan model ini menzahirkan misi Toyota dalam mengejar kecemerlangan prestasi.
“Setiap model GR bukan sekadar alat pengangkutan, malah ia membangkitkan emosi dan mencabar batasan. Kami percaya bahawa prestasi sebenar menanam keyakinan dan membuka peluang baharu, membolehkan pemandu pergi lebih jauh, lebih pantas, dan dengan lebih bermakna. Inilah bagaimana kami terus Menggerakkan Dunia Anda.”
Sebagai ikon dalam keluarga Gazoo Racing, GR Supra sentiasa menjadi lambang aspirasi sukan permotoran Toyota.
Kini dengan model Track Edition, fokus terhadap prestasi dipertingkatkan melalui penambahbaikan pada casis, pengendalian dan aerodinamik.
Dikuasakan oleh enjin 3.0 liter 6-silinder sebaris turbo, GR Supra Track Edition menjana 388 PS dan 500 Nm tork.
Pilihan transmisi merangkumi 6-kelajuan manual atau 8-kelajuan automatik dengan pedal penukar gear.
Pecutan 0–100 km/j hanya dalam 4.1 saat (automatik) dan 4.3 saat (manual).
Bukan sekadar kuasa, prestasinya dipertingkatkan melalui Adaptive Variable Suspension yang ditala semula untuk lebih cengkaman.
Dilengkapi juga dengan Electric Power Steering dan Limited Slip Differential dengan tetapan eksklusif edisi Track bagi kestabilan unggul di selekoh berkelajuan tinggi.
Sistem brek pula menggunakan cakera 374mm dengan kaliper Brembo 4-piston untuk prestasi brek lebih konsisten.
Dari sudut aerodinamik, GR Supra Track Edition dilengkapi sayap belakang ‘carbon fibre ducktail’, spat tayar yang diperluas, flap aero dan tetapan camber negatif di bahagian hadapan untuk pengendalian lebih lincah.
Penyerap hentak dan stabilizer bar yang lebih rigid turut menyumbang kepada ketangkasan kereta ini.
GR Supra ini dipasang dengan rim aloi tempa 19 inci berwarna hitam matte, digandingkan dengan tayar Michelin Pilot Super Sport.
Di dalam, ruang kabin diserlahkan dengan upholsteri Alcantara hitam bersama sulaman logo GR, tali pinggang keselamatan merah, serta tombol gear berbingkai merah bagi varian manual.
Sistem audio dikuasakan dengan JBL 12-pembesar suara dan paparan Head-Up Display berwarna.
Keselamatan pula dijamin dengan teknologi Toyota Supra Safety, merangkumi Pre-Collision Warning, Lane Departure Warning, Adaptive Cruise Control, Blind Spot Monitor, dan sokongan brek kecemasan.
GR Supra Track Edition ditawarkan pada harga bermula RM698,000.00.
Dilancarkan pertama kali pada tahun 2021, GR Yaris dikenali sebagai mesin berinspirasikan rali untuk keseronokan pemanduan sebenar.
Tahun ini, UMW Toyota Motor memperkenalkan varian automatik dengan transmisi 8-kelajuan GAZOO Racing Direct Automatic.
Kenderaan ini masih mengekalkan DNA perlumbaan sambil memberikan akses lebih luas kepada peminat.
Transmisi baharu ini, dibangunkan dengan input pasukan Toyota GAZOO Racing World Rally Team, menawarkan penukaran gear yang pantas dan responsif berdasarkan kemahuan pemandu, bukan sekadar tingkah laku kenderaan, menjadikan pemanduan lebih intuitif dan menyeronokkan.
GR Yaris menggunakan enjin 3-silinder turbo paling berkuasa di dunia.
Model ini menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam hanya 5.2 saat.
Varian automatik ini turut dilengkapi pakej penyejukan termasuk radiator tambahan, semburan intercooler dan penyejuk ATF gabungan udara dan air untuk ketahanan dalam cuaca tropika Malaysia.
Selain itu, ciri baharu seperti Launch Control diperkenalkan bagi memastikan pecutan dari pegun yang lebih konsisten dan kawalan optimum.
Digandingkan dengan paddle shifter sport dan transmisi automatik lapan kelajuan, GR Yaris Automatik menawarkan pengalaman pemanduan rali sebenar setiap hari.
Dari segi keselamatan, varian ini dilengkapi sistem Toyota Safety Sense 3.0.
Sistem ini termasuk Pre-Collision System, Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist dan Expert Mode untuk pemandu berpengalaman yang inginkan kawalan dinamik lebih bebas.
GR Yaris Variant Automatik ini ditawarkan pada harga RM325,600.00.
Model ini lengkap dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta sokongan penuh selepas jualan.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...