Seorang lelaki yang menunggang motosikal sambil mengacu pistol mainan, sehingga mencetuskan panik kepada pengguna jalan raya lain, telah ditahan oleh pihak polis.
Kejadian yang berlaku di Bulatan Ladang, Kuala Terengganu, pada pagi semalam (18 Julai), mengejutkan ramai pihak yang berada di sekitar kawasan tersebut.
Menurut saksi, lelaki tersebut dilihat menunggang motosikal jenis Honda C70 sambil mengacu pistol ke arah pengguna jalan raya lain. Tindakan suspek tersebut menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut dan panik, sehingga beberapa pengguna jalan raya mengambil tindakan untuk mengelak dari kawasan tersebut.
Suspek Diberkas
Hasil risikan dan tindakan pantas pihak polis, suspek berjaya ditahan dalam masa yang singkat. Suspek yang berusia 26 tahun dan berasal dari Ranau, Sabah. Ditahan oleh Polis Daerah Kuala Terengganu (IPD) pada jam 1.30 petang tadi. Penahanan ini adalah hasil daripada maklumat orang awam yang segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.
Dalam operasi penahanan tersebut, polis turut merampas sepucuk pistol mainan berwarna hitam serta sebuah motosikal jenis Honda C70 yang digunakan oleh suspek.
Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.
Ads
Tangkap layar dari video – Sinar Harian
Suspek memberitahu pihak polis bahawa pistol yang dirampas itu ditemui di dalam tong sampah berhampiran bulatan ladang.
Namun, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk memastikan kesahihan maklumat tersebut dan untuk mengetahui motif sebenar suspek bertindak sedemikian.
Pihak Polis
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau menyatakan bahawa pihak polis memandang serius kes ini dan akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap suspek.
Ads
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960, yang memperuntukkan hukuman yang berat bagi kesalahan memiliki senjata api tanpa kebenaran.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang pantas melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Kerjasama antara masyarakat dan pihak berkuasa amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” kata Asisten Komisioner Azli Mohd Noor.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan terus melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak polis. “Keselamatan dan kesejahteraan masyarakat adalah keutamaan kami. Kami akan terus berusaha untuk memastikan Kuala Terengganu kekal sebagai tempat yang selamat untuk didiami,” tambahnya.
Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC) secara rasmi melancarkan LaLaport Transportation Hub (LTH), sebuah hab pengangkutan bersepadu yang dibangunkan bagi menawarkan perjalanan lebih mudah dan efisien kepada penumpang tempatan serta antarabangsa.
Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, kemudahan ini bakal berfungsi sebagai salah satu hab utama perkhidmatan bas ekspres di pusat bandar, khususnya bagi perjalanan rentas sempadan antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yang Berhormat Hannah Yeoh.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azrin Borhan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud; serta Duta Jepun ke Malaysia, TYT Noriyuki Shikata.
Pembangunan LTH dilaksanakan dengan sokongan serta panduan daripada pihak kerajaan. Hab ini telah mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain diiktiraf dan dilesenkan oleh APAD.
LTH telah mula beroperasi secara berperingkat sejak Februari 2026 sebagai sebuah pusat transit berpusat yang menyediakan infrastruktur berkualiti untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pembangunannya turut mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan apabila Menterinya, Yang Berhormat Anthony Loke, melakukan lawatan ke tapak berkenaan pada Januari 2026 bagi meninjau kemajuan projek sebelum operasi dimulakan.
Terletak di Aras LG1, East Atrium LaLaport BBCC, LTH merupakan sebuah kemudahan berbumbung sepenuhnya yang dilengkapi dengan 11 ruang bas.
Penumpang turut disediakan ruang menunggu khas dengan pendingin hawa, kaunter perkhidmatan fizikal, mesin layan diri serta Sistem Paparan Maklumat Penumpang atau Passenger Information Display System (PIDS).
Melalui sistem berkenaan, penumpang boleh mendapatkan maklumat jadual dan pergerakan bas secara masa nyata sebelum memulakan perjalanan.
Kemudahan lain yang boleh digunakan termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pengurup wang, loker bagasi, pemantauan keselamatan 24 jam, Wi-Fi percuma dan tandas.
LTH turut menyediakan kemudahan mesra pengguna yang disesuaikan untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Salah satu kelebihan utama LTH ialah kedudukannya yang dihubungkan secara strategik dengan beberapa rangkaian pengangkutan awam utama di ibu negara.
Penumpang boleh berjalan kaki terus ke Stesen LRT Hang Tuah dan Stesen Monorel Hang Tuah. Sambungan ke rangkaian MRT berdekatan juga memudahkan pertukaran perjalanan antara perkhidmatan rel dan bas.
Selain perkhidmatan bas ekspres, LaLaport BBCC turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan atas permintaan Boleh-Boleh Ride yang menghubungkan penumpang ke beberapa destinasi utama di sekitar Kuala Lumpur.
Zon khas mengambil dan menurunkan penumpang bagi perkhidmatan e-hailing turut disediakan di Pintu Masuk Pudu serta Pintu Masuk Hang Tuah.
Kira-kira 30 operator bas dijangka menggunakan LTH sebagai salah satu pusat transit utama mereka di tengah Kuala Lumpur.
Tumpuan utama diberikan kepada perkhidmatan rentas sempadan Kuala Lumpur-Singapura, sekali gus menawarkan pilihan lokasi menaiki dan menurunkan penumpang yang lebih mudah diakses.
Hab ini turut menyediakan perkhidmatan van ulang-alik khas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2.
Kemudahan tersebut menawarkan alternatif pemindahan ke lapangan terbang yang lebih lancar, khususnya untuk pelancong yang berada di kawasan Bukit Bintang dan pusat bandar Kuala Lumpur.
Penggabungan beberapa mod pengangkutan di bawah satu lokasi turut menyokong usaha membangunkan ekosistem mobiliti bandar yang lebih mampan.
Dengan menggalakkan penggunaan perkhidmatan rel, bas, perkongsian perjalanan serta penyelesaian perjalanan awal dan akhir, LTH berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.
Secara tidak langsung, pendekatan ini boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon dan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Kuala Lumpur.
Lokasinya yang berada dalam kawasan pembangunan merangkumi pusat beli-belah, ruang pejabat dan kediaman turut mewujudkan hubungan antara pengangkutan, aktiviti ekonomi serta pembangunan komuniti setempat.
Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn. Bhd., Masayoshi Saito berkata, pelancaran LTH merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur LaLaport BBCC.
Menurut beliau, hab tersebut bukan sahaja dibangunkan untuk melancarkan perjalanan penumpang tempatan dan antarabangsa, malah bagi menyokong agenda mobiliti mampan kerajaan serta pertumbuhan sektor pelancongan.
Kedudukan LTH di dalam LaLaport BBCC juga memberikan kelebihan kepada penumpang kerana mereka boleh menggunakan pelbagai kemudahan di pusat beli-belah tersebut sementara menunggu perjalanan.
LaLaport BBCC kini menempatkan kira-kira 300 premis merangkumi kedai makanan dan minuman, peruncitan barangan keperluan serta pelbagai pilihan hiburan.
Konsep LTH diinspirasikan daripada beberapa pembangunan hab pengangkutan bersepadu milik Mitsui Fudosan di Jepun.
Antaranya termasuk Tokyo Midtown Yaesu serta projek pembangunan semula Tsukiji yang menggabungkan infrastruktur pengangkutan, peruncitan dan kemudahan gaya hidup di bawah satu destinasi.
Penggunaan konsep yang telah terbukti di Jepun itu mencerminkan usaha Mitsui Fudosan untuk meningkatkan pengalaman perjalanan serta menyokong pembangunan bandar di sekitar LaLaport BBCC.
LTH dikendalikan oleh Asia Success Resources Sdn. Bhd. (ASR), sebuah syarikat pengendali hab pengangkutan yang turut mempunyai pengalaman menguruskan operasi di KLIA Terminal 2.
Pembangunan hab ini dilaksanakan dengan kerjasama Semba Corporation yang bertanggungjawab terhadap perancangan fungsi serta konsep reka bentuk keseluruhan ruang transit berkenaan.
Toyota dilaporkan telah memulakan ujian bagi jentera generasi baharu Kejuaraan Rali Dunia (WRC) sebagai persediaan menghadapi perubahan regulasi WRC27 yang bakal berkuat kuasa pada musim 2027.
Apa yang menarik perhatian komuniti automotif global adalah bentuk prototaip tersebut bukan lagi hatchback seperti Toyota GR Yaris, sebaliknya sebuah coupe dua pintu yang kuat dikaitkan dengan nama Celica.
Imej yang tersebar di platform X menunjukkan jentera tersebut sedang diuji di kawasan pergunungan Algarve, Portugal. Dirakam oleh peminat rali tempatan, Marcio Pereira, prototaip berkenaan jelas menampilkan siluet dua pintu yang lebih rendah dan panjang berbanding GR Yaris yang digunakan Toyota sejak 2022.
Spekulasi terus memuncak apabila Toyota sebelum ini mengesahkan pada 2024 bahawa model Celica baharu sedang dibangunkan. Jika benar, penyertaan semula nama Celica dalam kancah WRC bukan sekadar strategi pemasaran ia satu naratif yang cukup kuat dalam sejarah sukan permotoran.
Untuk rekod, Toyota Celica GT-Four pernah menghadiahkan Toyota gelaran dunia pemandu dan pengeluar pada era awal 1990-an, menjadikan model tersebut antara ikon paling dihormati dalam dunia rali.
Menurut laporan DirtFish, ketulenan imej dan video prototaip tersebut telah disahkan oleh Pengarah Teknikal Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Tom Fowler. Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan identiti rasmi model itu. Apa yang didedahkan, jentera berkenaan telah menjalani beberapa sesi ujian dengan jarak terkumpul melebihi 2,000 kilometer.
Menariknya, bunyi enjin dalam rakaman ‘flyby’ menunjukkan ia masih menggunakan unit 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti GR Yaris WRC sedia ada.
Peraturan baharu WRC27 memperkenalkan konsep casis spaceframe yang memberikan kebebasan lebih besar kepada pengeluar dari segi reka bentuk badan. Selagi dimensi luaran mematuhi garis panduan ditetapkan, pengeluar boleh menampilkan gaya daripada mana-mana model dalam barisan produk mereka.
Ini membuka peluang strategik kepada Toyota untuk mengekalkan platform mekanikal GR Yaris yang telah terbukti kompetitif, sambil memperkenalkan identiti visual baharu dan Celica dilihat sebagai calon paling sesuai.
Secara visual, prototaip yang diuji di Portugal itu tidak menyerupai mana-mana model produksi Toyota ketika ini. Ia juga sukar dikaitkan dengan SUV seperti C-HR melainkan jika dilihat secara terlalu optimistik.
Jika pelancaran jentera WRC baharu dijadualkan pada 2027, garis masa tersebut selari dengan spekulasi kemunculan semula Celica versi jalan raya.
Buat masa ini, Toyota masih berteka-teki. Namun satu perkara pasti jika benar Celica kembali, ia akan menjadi kebangkitan satu legenda dalam dunia rali.
Pertunjukan Hot Wheels Monster Trucks Live Glow N Fire Malaysia bakal membuat penampilan sulung di Asia, dengan Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama bagi siri jelajah tersebut. Acara ini dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 17 Oktober 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil.
Ini menandakan kali pertama pertunjukan monster truck berskala besar dari Hot Wheels dibawa ke rantau ini, selepas mencatat kejayaan di Amerika Utara, Eropah dan Amerika Latin.
Pemilihan Malaysia sebagai hentian pertama jelajah Asia menunjukkan potensi pasaran tempatan dalam industri hiburan automotif dan keluarga.
Acara Hot Wheels Monster Trucks Live Glow N Fire Malaysia ini akan menampilkan tiga pertunjukan sepanjang dua hari, dengan sesi pada malam Jumaat serta dua slot pada hari Sabtu bagi memberi lebih pilihan kepada pengunjung.
Selain pertunjukan utama, akses pra-pertunjukan VIP turut ditawarkan bagi mereka yang mahu pengalaman lebih dekat dengan jentera serta pemandu.
Pertunjukan ini akan menampilkan beberapa model monster truck popular Hot Wheels yang sebelum ini hanya dilihat dalam bentuk mainan atau animasi.
Antara yang bakal membuat penampilan termasuk Mega Wrex, Tiger Shark, Bone Shaker, Bigfoot dan Skelesaurus, selain pengenalan trak baharu Rhinomite yang diinspirasikan daripada badak.
Setiap jentera ini direka dengan identiti tersendiri, menjadikannya tarikan utama kepada peminat dari pelbagai peringkat umur.
Edisi Glow N Fire ini turut menampilkan aksi baharu yang lebih ekstrem berbanding siri sebelumnya.
Antara yang menjadi tumpuan adalah aksi No Handed Front Flip yang dipersembahkan oleh penunggang freestyle motocross, memberikan elemen tambahan kepada persembahan selain aksi monster truck.
Gabungan aksi ini menjadikan pertunjukan lebih dinamik dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga dalam Hot Wheels Monster Trucks Live Glow N Fire Malaysia.
Bagi peminat yang mahukan pengalaman lebih eksklusif, akses pra-pertunjukan VIP disediakan sebelum setiap sesi utama.
Pengunjung berpeluang memasuki arena lebih awal untuk melihat jentera dari jarak dekat, berinteraksi dengan pemandu serta mendapatkan tandatangan.
Setiap pembelian tiket VIP turut disertakan kad autograf, menjadikannya satu pakej lengkap untuk peminat tegar Hot Wheels.
Tiket untuk pertunjukan ini akan mula dijual pada 16 April 2026, dengan harga bermula dari RM118.
Harga khas turut ditawarkan untuk kanak-kanak, menjadikan acara ini lebih mesra keluarga. Selain itu, pembelian tiket di lokasi tertentu turut disertakan dengan ganjaran seperti diskaun dan hadiah eksklusif untuk jumlah terhad.
Langkah ini dijangka menarik lebih ramai pengunjung, terutama keluarga dan peminat jenama Hot Wheels.
Hot Wheels Monster Trucks Live Glow N Fire Malaysia merupakan sebahagian daripada siri pertunjukan keluarga yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk memenangi anugerah Family Show of the Year sebelum ini.
Kehadirannya di Malaysia dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam penganjuran acara berskala besar, sekaligus membuka peluang kepada peminat tempatan untuk merasai pengalaman yang sebelum ini hanya tersedia di luar negara.
Walaupun berasaskan jenama permainan, pertunjukan ini membawa elemen automotif yang kuat melalui penggunaan jentera sebenar bersaiz besar serta aksi ekstrem.
Ia menjadikan acara ini unik kerana menggabungkan hiburan keluarga dengan dunia automotif dalam satu platform yang sama.
Pendekatan ini juga selari dengan trend global yang melihat peningkatan minat terhadap acara experiential seperti ini, termasuk melalui Hot Wheels Monster Trucks Live Glow N Fire Malaysia yang semakin mendapat perhatian.
Debut Hot Wheels Monster Trucks Live Glow N Fire Malaysia menandakan satu lagi pencapaian dalam industri hiburan automotif tempatan.
Dengan gabungan jentera ikonik, aksi ekstrem serta pengalaman interaktif, acara ini dijangka menjadi antara pertunjukan terbesar tahun ini.
Bagi peminat Hot Wheels dan mereka yang mencari hiburan berbeza, kehadiran acara ini memberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana dunia permainan diterjemahkan ke dalam realiti di atas pentas sebenar.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...