Bermaz Motor telah mengumumkan pembaharuan terkini untuk model Mazda3 segmen C tahun 2023 untuk pasaran di Malaysia.
Terdapat empat varian berbeza ditawarkan dengan enjin 1.5 liter Skyactiv-G tidak diteruskan untuk pasaran tempatan. Ia secara tidak langsung bermakna, Mazda3 2023 hanya tersedia dengan enjin 2.0 liter Skyactiv-G yang menghasilkan 162 hp dan daya kilas 210 Nm.
Di antara ciri peningkatan menerusi model ini termasuklah pengecasan tanpa wayar Qi, slot USB-C pada konsol tengah, sokongan Android Auto dan juga Apple Carplay tanpa wayar. Skrin infotainment model ini juga diperbaharui menjadi 10.25 inci untuk pengalaman yang lebih baik.
Kredit Foto: Mazda
Varian Ignite Edition juga datang dengan peningkatan audio iaitu sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara, untuk pengalaman audio yang lebih baik.
Ads
Bagi aspek keselamatan, varian High dan High Plus Mazda3 2023 turut dilengkapi dengan lebih banyak fungsi iActivsense, seperti Cruising & Traffic Support (CTS), yang sebelumnya hanya tersedia pada varian Mazda3 2.0L Ignite Edition.
Bermaz Motor juga menawarkan tujuh pilihan warna yang berbeza, termasuk Soul Red Crystal, Machine Gray, Polymetal Gray, Platinum Quartz, Deep Crystal Blue, Jet Black, dan Snowflake White Pearl.
Ads
Kredit Foto: Mazda
Berikut adalah harga jualan untuk model Mazda3 2023 di Malaysia:
Ads
Mazda3 2.0L High Sedan – RM156,059.00
Mazda3 2.0L High Plus Sedan – RM166,059.00
Mazda3 2.0L High Plus Liftback – RM166,059.00
Mazda3 2.0L Ignite Edition – RM175,059.00
Semua model Mazda3 dilengkapi dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau had perbatuan 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau had perbatuan 100,000 km. Pakej ini meliputi alat ganti, pelincir, dan kos buruh.
Penggunaan Dummy Buckle semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna kenderaan di Malaysia. Walaupun kelihatan seperti aksesori kecil, penggunaannya sebenarnya mampu memberi implikasi besar terhadap keselamatan pemandu dan penumpang.
Kebanyakan pengguna mengakui aksesori ini digunakan bagi mematikan bunyi amaran tali pinggang keledar tanpa perlu memakai tali pinggang keledar sebenar. Di pasaran, terdapat dua jenis Dummy Buckle yang sering dijual, iaitu jenis klip besi yang hanya berfungsi menyahaktifkan penggera serta jenis penyambung yang membolehkan tali pinggang dipasang pada aksesori tersebut.
Hasil pemantauan pihak berkuasa mendapati kebanyakan individu yang menggunakan Dummy Buckle memilih jenis klip besi kerana lebih murah dan mudah diperoleh. Antara alasan yang sering diberikan ialah bunyi amaran tali pinggang dianggap mengganggu, selain mendakwa tali pinggang keledar mengalami kerosakan.
Ada juga individu memberi alasan hanya menggunakan kenderaan dalam jarak yang dekat seperti, menghantar anak sekolah, pergi ke kedai runcit ataupun ke masjid. Namun demikian soal keselamatan tidak boleh dikompromi dalam situasi ini.
Namun begitu, alasan tersebut tidak mengubah hakikat bahawa penggunaan aksesori ini mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan yang tinggi. Malah, lebih 50 kes berkaitan penggunaan Dummy Buckle telah dikesan oleh pihak berkuasa.
Ramai menganggap bunyi amaran tali pinggang keledar sebagai gangguan ketika memandu. Hakikatnya, sistem tersebut dibangunkan sebagai ciri keselamatan bagi mengingatkan pemandu dan penumpang supaya memakai tali pinggang keledar dengan betul.
Mengabaikan amaran tersebut bukan sahaja meningkatkan risiko kecederaan ketika kemalangan, malah boleh menyebabkan sistem keselamatan kenderaan gagal berfungsi.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), penggunaan Dummy Buckle boleh mengganggu operasi beberapa sistem keselamatan penting dalam sesebuah kenderaan.
Antara komponen yang berpotensi terjejas ialah sistem beg udara (airbag), yang bergantung kepada maklumat daripada penderia tali pinggang keledar bagi menentukan tahap dan masa pengembangannya ketika berlaku pelanggaran.
Apabila Dummy Buckle dipasang tanpa tali pinggang dipakai, sistem mungkin mengesan seolah-olah pengguna telah memakai tali pinggang dengan sempurna. Keadaan ini boleh menyebabkan beg udara mengembang pada mod yang tidak sesuai atau gagal memberikan perlindungan optimum semasa kemalangan.
MIROS PC3 Melaka turut menjalankan ujian perlanggaran menggunakan aksesori tersebut. Hasil ujian menunjukkan Dummy Buckle tercabut ketika impak walaupun pada kelajuan sekitar 64 km/j.
Jika aksesori itu gagal bertahan pada kelajuan ujian standard, risiko yang dihadapi sudah tentu lebih tinggi sekiranya kemalangan berlaku pada kelajuan yang lebih tinggi di jalan raya.
Situasi ini membuktikan bahawa Dummy Buckle bukanlah pengganti kepada tali pinggang keledar sebenar dan tidak direka untuk menahan daya hentaman ketika kemalangan.
Walaupun aksesori ini boleh diperoleh dengan harga serendah RM2, nilai tersebut tidak setimpal dengan risiko yang bakal ditanggung.
Ironinya, pengguna sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membeli kenderaan yang dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan moden, namun memilih untuk memintas salah satu sistem keselamatan paling asas hanya kerana mahu mengelakkan bunyi amaran.
Keputusan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut meningkatkan risiko kepada penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
Penggunaan Dummy Buckle bukan sekadar melanggar peraturan jalan raya, malah boleh mengurangkan keberkesanan sistem keselamatan yang direka untuk menyelamatkan nyawa.
Pihak berkuasa bersama MIROS terus menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan aksesori ini dalam apa jua keadaan.
Memakai tali pinggang keledar dengan betul hanya mengambil masa beberapa saat, namun tindakan tersebut mampu menjadi faktor yang membezakan antara kecederaan ringan dan kehilangan nyawa ketika berlaku kemalangan.
Keselamatan di jalan raya bermula daripada sikap setiap pengguna. Jangan biarkan aksesori bernilai beberapa ringgit menjadi punca penyesalan sepanjang hayat.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Walaupun trend SUV semakin melonjak popularitinya di Malaysia. PROTON tetap menunjukkan bahawa sedan masih mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat negara ini.
Sejak pelancaran pertamanya pada 1 September 1985, PROTON kini telah menghasilkan 3.85 juta unit model sedan, bermula dengan Proton Saga yang ikonik.
Proton Saga bukan sahaja menjadi model pertama jenama automotif nasional ini. Malah ia menjadi asas kepada legasi sedan Proton yang terus berkembang sehingga kini.
Model-model sedan yang mengikuti jejak Saga termasuklah Proton Wira, Waja, Persona, Inspira, Preve, dan model yang lebih mewah, Proton Perdana.
Ini membuktikan bahawa sedan Proton berjaya kekal relevan dalam pasaran, walaupun terdapat perubahan trend terhadap SUV.
Apa yang lebih menarik, kejayaan Proton tidak hanya terhad di dalam negara. Pada suatu ketika dahulu, model-model seperti Proton Saga, Wira dan Waja berjaya menembusi pasaran eksport.
Malah pernah digunakan sebagai kereta peronda polis di Humberside County, United Kingdom.
Pencapaian ini memperlihatkan kemampuan Proton untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan meningkatkan reputasi jenama di luar Malaysia.
Walaupun begitu, fokus Proton terhadap pasaran sedan tempatan masih teguh. Proton Saga, yang kini menjangkau tiga generasi, kekal menjadi pilihan utama.
Dari model pertama yang dihasilkan di kilang Proton Shah Alam pada Julai 1985 sehingga Mei 2024, pengeluaran Proton Saga telah mencecah 2 juta unit.
Ini membuktikan bahawa Saga bukan sekadar model klasik. Tetapi juga kereta yang praktikal dan relevan buat rakyat Malaysia. Menjadikannya satu pilihan yang konsisten sepanjang lebih tiga dekad.
Selain Proton Saga, sedan segmen-B iaitu Proton Persona masih ditawarkan kepada pengguna tempatan.
Pada akhir tahun lalu, Proton melancarkan pengganti kepada Preve dalam kategori sedan segmen-C, iaitu Proton S70. Sejak pelancaran Proton S70, ia telah mencatatkan jualan sebanyak 14,877 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Menurut Roslan Abdullah, CEO Proton Edar, hubungan erat Proton dengan rakyat Malaysia adalah sesuatu yang dibanggakan. “Sedan kami, dari Saga yang ikonik hingga S70 yang inovatif. Bukan sahaja berfungsi sebagai kereta pertama yang boleh diharap tetapi juga telah menjadi warisan keluarga yang dihargai. Mencipta kenangan yang abadi merentasi generasi. Dengan lebih 3.85 juta unit terjual, kami terus komited untuk memberikan kualiti, keselamatan, dan inovasi.”
Proton jelas sekali terus komited dalam memberikan produk berkualiti kepada pelanggan. Dengan pencapaian pengeluaran sedan sebanyak 3.85 juta unit sejak 1985. Proton membuktikan bahawa sedan masih merupakan pilihan yang kukuh dalam pasaran automotif tempatan, walaupun dalam landskap yang terus berubah.
DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim, baru-baru ini telah mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini.
Namun, apa yang menarik perhatian warga Roda Panas ialah koleksi kereta yang tersebar luas seperti pisang goreng di laman media sosial, dari jentera untuk ke Istana Negara hingga ke kereta yang dibawa untuk mengopi di luar kawasan.
Salah satu model yang menarik perhatian kami adalah Chevrolet Corvette C8 Z06. Corvette generasi kelapan ini membezakan dirinya dari yang lain sebagai yang pertama dalam barisannya yang dilengkapi dengan reka bentuk enjin tengah dengan pacuan roda belakang.
Corvette C8 Z06 dikuasakan oleh enjin V8 6.2 liter yang teguh, dipadankan dengan transmisi dwi-klac lapan kelajuan. Prestasi yang terhasil adalah sehingga 502 PS dan tork sebanyak 369 Nm. Kuasa memecut dari 0 hingga 100 km/j hanya dalam 7.1 saat sahaja.
Konfigurasi enjin tengah bukan sahaja meningkatkan prestasi keseluruhan Corvette tetapi juga menyumbang kepada kawalan dinamik dan keseimbangan pada jalan raya. Susunan pacuan roda belakang memastikan pengalaman pemanduan yang mengujakan serta menjadikannya jentera yang memukau dalam koleksi kereta Sultan Ibrahim.
Chevrolet Corvette C8 Z06 terkenal dengan reka bentuk menariknya yang seperti ikan pari, menampilkan elemen aerodinamik yang tidak hanya meningkatkan daya tarikan visualnya tetapi juga menyumbang kepada prestasinya di ats jalan raya.
Dengan Sultan Ibrahim terus memperluas koleksi keretanya yang luar biasa, Chevrolet Corvette C8 Z06 tanpa ragu menjadi lambang inovasi dan prestasi. Kehadirannya dalam koleksi Diraja menambah sentuhan tenaga Amerika ke dalam pelbagai kenderaan mewah yang dimiliki oleh Sultan Johor. Harga? Dari RM800,000 hingga jutaan ringgit.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...