Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil langkah tegas dengan menggantung semua operasi penerbangan yang melibatkan pesawat model Blackshape, iaitu BS 115, BK 160, BK 60-200, dan BK 160TR, di ruang udara Malaysia.
Keputusan ini berkuat kuasa serta-merta selepas penerbitan Arahan Kelayakan Udara Kecemasan (EAD) oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) pada Isnin lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, menyatakan bahawa tindakan penggantungan ini selaras dengan EAD yang dikeluarkan oleh EASA sebagai respons terhadap kemalangan tragis yang melibatkan pesawat Blackshape baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan penerbangan adalah keutamaan utama, dan CAAM akan mengambil segala langkah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan operasi penerbangan di Malaysia.
Kredit Foto: Selangor Journal
Kemalangan yang berlaku pada 13 Februari yang melibatkan pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR telah menimbulkan kebimbangan yang serius terhadap tahap keselamatan penerbangan.
Ads
Pesawat tersebut, yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd dari Singapura, mengalami kemalangan di kawasan Kapar, Selangor, yang mengakibatkan kematian kedua-dua individu yang berada di dalamnya.
Menurut laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan, kecuaian dalam penyelenggaraan dan pelepasan had berat adalah antara faktor yang menyebabkan kemalangan tersebut.
Ads
Kredit Foto: Must Share News
Turut dinyatakan dalam laporan itu bahawa pesawat terbabit tidak mempunyai perakam data penerbangan yang memadai. Tindakan penggantungan operasi penerbangan pesawat Blackshape ini merupakan langkah proaktif yang diambil untuk memastikan keselamatan penerbangan yang lebih baik di Malaysia.
CAAM menekankan bahawa mereka akan terus memantau perkembangan situasi dan mengambil langkah-langkah selanjutnya yang diperlukan demi kepentingan keselamatan semua pihak yang terlibat dalam industri penerbangan negara.
Dunlop sedang memperhebatkan strategi pertumbuhan jangka panjangnya di Malaysia dengan memperluaskan rangkaian pengedar di seluruh negara, selain memperkenalkan lebih banyak pilihan tayar bagi memenuhi perubahan keperluan pengguna tempatan.
Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, rangkaian pengedar Dunlop dilaporkan berkembang lebih 30 peratus, daripada kira-kira 150 premis kepada lebih 200 premis sejak Mei 2026.
Perkembangan tersebut mencerminkan peningkatan keyakinan dalam kalangan pengedar tayar dan penyedia perkhidmatan automotif terhadap potensi jenama berkenaan dalam pasaran Malaysia.
Pencapaian terbaharu itu meneruskan sejarah panjang Dunlop di negara ini. Pada tahun 1963, Dunlop menjadi pengeluar tayar pertama yang membangunkan operasi pengeluaran tempatan di Malaysia.
Langkah tersebut bukan sahaja membantu mengembangkan industri tayar tempatan, malah menjadikan Dunlop antara jenama yang cukup dikenali dalam kalangan pengguna Malaysia.
Kini, jenama berkenaan dikendalikan di bawah Toyotsu Binter Malaysia Sdn. Bhd. dengan sokongan kepakaran kejuruteraan daripada Sumitomo Rubber Industries.
Kerjasama itu membolehkan Dunlop memberi tumpuan untuk menjadikan teknologi tayar premium lebih mudah diakses, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Pengarah Urusan Toyotsu Binter Malaysia Sdn. Bhd., Marcus Lim berkata, Malaysia merupakan pasaran penting buat Dunlop dan mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan jangka panjang.
Menurutnya, pengguna kini tidak hanya mencari tayar yang menawarkan kualiti, keselamatan dan prestasi, tetapi turut mengharapkan nilai pemilikan yang munasabah.
“Di situlah kami melihat peluang untuk Dunlop. Cita-cita kami adalah untuk menjadikan Dunlop sebagai jenama premium yang semakin berkembang dengan membolehkan lebih ramai pengguna Malaysia menikmati prestasi premium,” katanya.
Marcus menjelaskan bahawa strategi pertumbuhan syarikat tidak hanya tertumpu kepada penambahan jumlah pengedar.
Dunlop mahu memastikan produknya mudah diperoleh di lokasi pilihan pelanggan, termasuk melalui kedai tayar sedia ada, pusat servis automotif serta saluran jualan baharu yang dapat meningkatkan aspek kemudahan dan kebolehcapaian.
Pada masa sama, syarikat mahu membina kerjasama kukuh dan berkekalan dengan pemain industri dalam pasaran selepas jualan automotif di seluruh Malaysia.
Bagi menyokong strategi tersebut, Dunlop terus mengembangkan portfolio produknya untuk memenuhi beberapa segmen utama pasaran.
Antara produk yang ditawarkan ialah Dunlop Blue Response TG untuk kegunaan harian kenderaan penumpang, manakala SP Sport Maxx 060+ pula disasarkan kepada pemandu yang mahukan tahap prestasi, kawalan dan pengendalian lebih tinggi.
Bagi pemilik SUV dan trak pikap, Dunlop menawarkan Grandtrek R/T01 yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan pemanduan lebih lasak serta pelbagai keadaan jalan.
Syarikat itu juga sedang membuat persediaan untuk memperkenalkan Dunlop e.Sport Maxx, iaitu tayar yang dibangunkan khusus bagi memenuhi karakter prestasi dan keperluan unik kenderaan elektrik.
Selain pasaran tayar gantian, Dunlop turut kekal aktif dalam segmen pembekalan tayar peralatan asal atau OEM.
Jenama itu kini membekalkan tayar untuk beberapa model terpilih daripada pengeluar kenderaan utama termasuk Toyota, Lexus, Isuzu, Mazda dan Leapmotor.
Kerjasama berkenaan mencerminkan keyakinan pengeluar kenderaan terhadap tahap kejuruteraan, kualiti serta kebolehpercayaan produk Dunlop.
Bagi memenuhi keperluan ketat program OEM, Toyotsu Binter Malaysia dan Sumitomo Rubber Industries komited untuk mengekalkan standard tinggi dari aspek kualiti produk, kestabilan rantaian bekalan serta sokongan pelanggan yang responsif.
Kedua-dua syarikat itu juga akan terus bekerjasama rapat dengan rakan OEM bagi memastikan bekalan tayar dapat diteruskan secara konsisten, selain mengukuhkan hubungan jangka panjang dengan pengeluar kenderaan.
Seiring perkembangan teknologi automotif, Dunlop mahu terus menyokong pelbagai kategori pengguna, sama ada mereka memandu kenderaan enjin pembakaran dalaman, hibrid ataupun elektrik.
Produk tayar yang dibangunkan akan terus memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, keselesaan, ketahanan dan keyakinan ketika memandu.
Pengarah Urusan Sumitomo Rubber Asia (Tyre) Pte. Ltd., Takehiko Asai berkata, masa depan Dunlop akan terus dipacu oleh semangat inovasi yang membentuk perkembangan jenama itu sejak lebih 130 tahun lalu.
Menurutnya, Dunlop sentiasa berkembang seiring kemajuan teknologi mobiliti dengan membangunkan inovasi yang dapat meningkatkan keselamatan, prestasi dan keyakinan pengguna di seluruh dunia.
Dunlop kini tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan tayar konvensional, malah turut melabur dalam teknologi generasi baharu.
Antara aspek yang diberikan perhatian termasuk meningkatkan kecekapan tenaga, prestasi cengkaman dalam keadaan jalan basah, mengurangkan rintangan gelinciran serta meminimumkan bunyi yang memasuki ruang kabin.
Syarikat itu juga sedang meneroka pembangunan teknologi tayar pintar yang dijangka memainkan peranan penting dalam ekosistem mobiliti terhubung dan penggunaan kenderaan elektrik pada masa hadapan.
Inovasi berkenaan dibangunkan bagi memenuhi perubahan keperluan pengguna tanpa mengabaikan tahap kualiti dan kebolehpercayaan yang menjadi identiti jenama Dunlop.
Dengan Malaysia dikenal pasti sebagai salah satu pasaran pertumbuhan utama, Dunlop akan terus melabur dalam peluasan rangkaian pengedarnya di seluruh negara.
Syarikat itu juga merancang memperkenalkan lebih banyak produk yang dibangunkan bersesuaian dengan keadaan jalan raya dan corak pemanduan tempatan.
Pada masa sama, Dunlop akan terus memperkukuh kerjasama dengan pengedar, pusat servis, pengeluar kenderaan dan pemain industri selepas jualan automotif dalam usaha membina pertumbuhan jangka panjang di Malaysia.
Hyundai Motor Malaysia (HMM) hari ini secara rasmi melancarkan tiga model serentak iaitu Hyundai STARIA, TUCSON dan SANTA FE generasi baharu.
Pelancaran ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam era mobiliti pintar jenama dari Korea Selatan ini di Malaysia.
Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan model baharu, tetapi juga sebagai titik mula buat HMM sebagai entiti rasmi baharu di bawah Hyundai Motor Company.
Diperkenalkan sebagai MPV generasi baharu, Hyundai STARIA tampil dengan rekaan unik seakan kapal angkasa.
Model ini dijangka menarik minat mereka yang mahukan kelainan, sama ada untuk kegunaan keluarga besar atau sebagai MPV eksekutif yang bergaya.
Dikuasakan oleh enjin 2.2L CRDi turbodiesel yang menghasilkan 177 PS dan 430 Nm tork, STARIA dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan dan pacuan roda hadapan.
Tiga varian ditawarkan: Style dan Prime (10 tempat duduk), serta Prestige (7 atau 10 tempat duduk).
Antara ciri menarik termasuk:
Lampu depan LED penuh dengan kemasan krom loyang
Tempat duduk santai premium dan sistem audio BOSE® 12 pembesar suara (varian Prestige)
Ruang but hingga 1,024 liter
Sistem bantuan pemandu Hyundai SmartSense lengkap dengan AEB, Lane Keep Assist, Blind Spot Warning, Smart Cruise Control dan banyak lagi
Harga bermula dari RM179,888, STARIA tampil sebagai pilihan berani dan moden dalam segmen MPV premium.
Hyundai TUCSON kini hadir dalam generasi baharu sepenuhnya, dengan pilihan enjin petrol, turbo dan buat pertama kalinya sistem hibrid.
Reka bentuknya tampak lebih maskulin dan futuristik, manakala kabin pula direka dengan pendekatan yang sangat moden dan praktikal.
Ditawarkan dalam tiga pilihan trenkuasa:
2.0L NA Smartstream – 156 PS / 192 Nm
1.6L Turbo GDi – 180 PS / 265 Nm (DCT 7-kelajuan)
1.6L Turbo Hibrid (HEV) – 235 PS / 367 Nm
Ciri menarik termasuk:
Skrin melengkung digital 12.3” berkembar (kluster & infotainmen)
Konsol terapung dengan butang gear by-wire
Cap jari untuk profil pemandu
Hyundai SmartSense lengkap, termasuk ciri prestij seperti 360-camera, RCTA, monitor titik buta dan banyak lagi
Dengan harga bermula RM143,888, TUCSON menetapkan penanda aras baharu untuk SUV segmen-C yang berteknologi tinggi, versatil dan berwajah futuristik.
SANTA FE generasi baharu adalah SUV terbesar dan paling mewah dalam barisan Hyundai setakat ini.
Kini tampil lebih tegap dengan lampu berbentuk ‘H’ yang ikonik, serta ruang dalaman yang luas dan penuh teknologi.
Ia jelas menyasarkan pengguna keluarga yang perlukan gaya, fungsi dan kepraktisan tanpa kompromi.
Paparan digital panoramik dengan skrin infotainmen dan kluster 12.3”
UV-C sanitising tray dan pengecasan dwi-wayarles (pertama dalam kelasnya)
Konfigurasi 6 atau 7 tempat duduk dengan kerusi baris kedua boleh lipat & simpan
Hyundai SmartSense versi penuh, termasuk FCA 2.0 dengan stereng elak automatik, Blind Spot View Monitor, RSPA (remote smart parking), trailer mode dan 3D surround view camera
Harga bermula RM225,000, dan menjadi pilihan premium yang ideal untuk keluarga urban moden yang aktif dan gemar mengembara.
Sebagai ganjaran untuk pelanggan awal, 100 pembeli pertama akan menerima lapan kali servis percuma, termasuk kos buruh dan alat ganti.
Kesemua model Hyundai baharu turut disertakan waranti 8 tahun / 160,000 km, berserta 4 kali servis percuma.
Menjelang 2030, HMM menyasarkan pengembangan ke 25 pusat servis sah di seluruh Malaysia untuk memastikan liputan servis yang meluas dan menyeluruh.
Pelancaran rasmi Hyundai Motor Malaysia dan barisan produk yang lengkap serta moden, jenama ini jelas menunjukkan komitmen jangka panjang yang serius.
Daripada MPV futuristik STARIA, SUV versatil TUCSON sehinggalah SUV keluarga mewah SANTA FE, Hyundai kini menawarkan sesuatu untuk setiap gaya hidup rakyat Malaysia dengan sentuhan teknologi, reka bentuk unik dan pakej pemilikan yang menyeluruh.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Sebuah kejadian langgar lari berlaku di Sungai Petani pada Ahad. Seorang pemandu kereta terbabas dan terjatuh ke dalam kolam takungan najis setelah terlibat dalam satu kemalangan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail menjelaskan bahawa insiden tersebut bermula apabila pemandu kereta yang berusia dalam lingkungan 20-an itu terlibat dalam kemalangan dengan seorang penghantar makanan.
Menurut beliau, pada mulanya pemandu tersebut mendakwa bahawa dia terlepas simpang. Itu menyebabkan dia membelok secara tiba-tiba sehingga terlanggar penunggang motosikal di hadapan sebuah stesen minyak di Taman Sri Wang.
“Kejadian berlaku sekitar jam 4.25 petang apabila pemandu kereta itu, yang panik, terus meninggalkan kawasan kemalangan. Mangsa, seorang penghantar makanan, mengalami kecederaan di bahagian dahi dan pipi serta calar di tangan dan kaki akibat perlanggaran tersebut,” jelas Wan Azharuddin.
Akibat ketakutan dan mungkin panik yang melampau, pemandu tersebut cuba melarikan diri dari tempat kejadian. Namun, tindakan terburu-buru itu membawa padah apabila kira-kira 100 meter dari lokasi kemalangan pertama, kereta yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam kolam takungan najis.
“Pemandu itu mungkin terlalu takut sehingga tidak mampu berfikir dengan tenang, menyebabkan dia terus memecut tanpa arah yang jelas. Akhirnya, keretanya terjatuh ke dalam kolam takungan najis, suatu keadaan yang pastinya memalukan dan menambah lagi kesulitan yang dihadapi,” kata beliau.
Menurut Wan Azharuddin, pihak polis telah menjalankan rakaman percakapan dengan pemandu tersebut dan kereta yang terlibat dalam kemalangan itu telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Beliau turut menegaskan bahawa tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Insiden seperti ini menunjukkan betapa pentingnya pemandu untuk kekal tenang dan tidak membuat keputusan terburu-buru selepas terlibat dalam kemalangan. Ketakutan yang tidak terkawal boleh membawa kepada situasi yang lebih buruk dan berbahaya, seperti yang berlaku dalam kes ini.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mengutamakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain. Sikap tenang dan bijak dalam menangani sebarang kejadian tidak diingini adalah amat penting untuk mengelakkan sebarang komplikasi tambahan.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...