Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa mulai bulan hadapan (Mac 2024), lebih daripada 35,000 pemandu teksi dan 18,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara akan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Dalam sidang media selepas Majlis Sua Kasih MADANI Kementerian Pengangkutan (MOT), Loke menjelaskan bahawa 90 peratus daripada caruman tersebut akan ditanggung melalui peruntukan Kementerian Kewangan, manakala baki 10 peratus akan dibayar oleh MOT untuk tempoh setahun.
“Kita difahamkan Kementerian Kewangan ada memberikan satu dana kepada Perkeso sebanyak RM100 juta untuk mencarum sehingga 90 peratus bagi pemandu teksi, e-hailing, p-hailing dan sebagainya. Walaupun 90 peratus, tetapi 10 peratus perlu dicarum sendiri oleh pemandu sendiri, jadi untuk golongan ini, kita akan membuat caruman tambahan 10 peratus itu,” katanya.
Loke menegaskan bahawa usaha ini adalah untuk memberikan perlindungan sosial kepada golongan pemandu, di mana caruman tersebut akan memberi bantuan kepada mereka dan keluarga sekiranya berlaku kemalangan.
Ads
Beliau turut menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Perkeso mengenai pelaksanaan inisiatif ini, selain meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyediakan senarai pemandu dalam pangkalan data mereka kepada Perkeso untuk disemak.
“Kita jangka Mac ini dapat melancarkan inisiatif ini, maksudnya pemandu teksi dan pemandu bas sekolah tidak perlu mencarum satu sen pun untuk setahun, mereka cuma perlu daftar nama mereka. Jika sudah daftar sebelum itu, kita akan bagi slip caruman mereka,” akhirinya.
BMW Motorrad Malaysia secara rasmi mengumumkan harga bagi model terbaharunya, BMW F 450 GS Trophy, yang kini ditawarkan pada harga RM39,900 tidak termasuk insurans.
BMW F 450 GS Trophy sesuai untuk penunggang yang inginkan sebuah motosikal yang serba boleh, sama ada untuk digunakan dalam kawasan bandar atau meneroka laluan off-road yang tidak terlalu mencabar.
Model ini dikuasakan oleh enjin dua silinder baharu yang menghasilkan kuasa 48 hp dan motosikal ini juga lebih ringan dan menawarkan pengendalian yang lebih lincah dan sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam kategori motosikal advanture.
Selain itu, BMW turut melengkapkan F 450 GS Trophy dengan pelbagai teknologi bantuan tunggangan moden yang menjadi identiti model-model premium BMW Motorrad.
Antara kelengkapan utama yang ditawarkan termasuk Easy Ride Clutch, Shift Assistant Pro, ABS Pro, Dynamic Traction Control dan Riding Modes Pro yang membantu meningkatkan tahap keselamatan serta keyakinan penunggang dalam pelbagai keadaan jalan.
BMW turut memberi perhatian terhadap aspek ergonomik dan keselesaan, menjadikan motosikal ini sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
Dari segi reka bentuk, F 450 GS Trophy tampil dengan warna eksklusif GS Trophy Racing Blue Metallic yang menyerlahkan identiti adventure BMW.
Ia turut dilengkapi pelbagai aksesori praktikal seperti Rallye windshield, pelindung tangan (hand guards), footpeg off-road, pelindung enjin aluminium serta paparan TFT berwarna bersaiz 6.5 inci yang menampilkan fungsi Sport Screen.
Turut disediakan ialah sambungan USB-C untuk kemudahan pengecasan peranti mudah alih ketika menunggang.
Melalui pelan pembiayaan BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW F 450 GS Trophy boleh dimulakan dengan ansuran serendah RM568 sebulan berdasarkan pembiayaan 90 peratus selama tujuh tahun.
Setiap pembelian turut didatangkan bersama program jaminan tiga tahun tanpa had perbatuan serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun daripada BMW Motorrad Malaysia.
BMW F 450 GS Trophy – RM39,900
Harga yang diumumkan adalah harga atas jalan tanpa insurans.
MODENAS (Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd), anak syarikat kepada DRB-HICOM Berhad telah melancarkan empat model motosikal baharu di Malaysia Auto Show yang mencerminkan hala tuju masa depan jenama ini yang lebih mesra alam, lebih versatil, dan penuh gaya.
Pelancaran ini merangkumi tiga segmen utama iaitu skuter elektrik, skuter urban premium, serta motosikal sport touring berprestasi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, En. Roslan Roskan berkata,
“Pelancaran ini menandakan detik penting selaras dengan wawasan MODENAS untuk melangkah ke hadapan, terutamanya dalam segmen mobiliti yang lebih mesra alam. Kami berharap dengan model-model baharu yang menarik termasuk siri motosikal elektrik MEV, MODENAS dapat memenuhi keperluan semua lapisan penunggang.”
Model pertama dalam siri MEV ialah MEV-2, direka khusus untuk mobiliti bandar yang cekap dan lestari.
Dikuasakan oleh motor elektrik 4.0 kW (dengan kuasa puncak 5.1 kW), skuter ini mampu mencapai kelajuan maksimum 80 km/j dan menempuh jarak sejauh 107 km dengan sekali cas.
Ia menggunakan bateri ATL Litium 74V30Ah dan boleh dipadankan dengan dua unit bateri bagi jangka hayat lebih panjang.
Antara ciri utama MEV-2 termasuk pengecas atas papan (on-board charger), brek cakera hidraulik dengan sistem CBS, suspensi depan teleskopik, serta lampu LED sepenuhnya.
Dengan harga bermula RM9,878 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), MEV-2 menjadi pilihan bijak bagi penunggang urban yang mencari penyelesaian mobiliti moden tanpa mengorbankan gaya.
Penunggang yang memerlukan skuter dengan kemampuan jarak yang lebih jauh dan prestasi yang lebih lasak ini jawapanya.
Skuter MEV-1 PRO dan MEV-1 PRO SX menawarkan penyelesaian sempurna.
Kedua-dua model ini menawarkan jarak perjalanan sejauh 135 km dan kelajuan sehingga 85 km/j, menjadikannya sesuai untuk penggunaan dalam dan luar bandar.
Dikuasakan motor 4.3 kW (puncak 4.9 kW) dengan bateri ATL Litium 60V45Ah (juga dengan pilihan dua bateri), model ini menampilkan tork dipertingkat untuk pecutan yang lebih responsif.
Ciri-ciri seperti brek cakera dengan CBS, pengecas atas papan dan suspensi teleskopik terus dikekalkan.
Harga bermula dari RM13,470, menjadikan MEV-1 PRO dan PRO SX antara skuter elektrik paling kompetitif dalam kelasnya.
Model dwi-guna berkuasa yang mampu menyesuaikan diri antara kesesakan kota dan pengembaraan hujung minggu.
Dengan enjin 246 cc berpenyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api, jentera ini menjana 17.0 kW kuasa pada 7500 rpm dan 23.0 Nm tork pada 6000 rpm.
Disokong oleh transmisi automatik CVT, DTX 250 turut menawarkan ciri-ciri premium.
Antaranya sistem keyless, paparan meter LED, lampu depan dan belakang LED, serta ruang simpan yang luas di bawah tempat duduk.
Dengan harga RM22,500, skuter ini menonjol sebagai pilihan utama bagi penunggang yang mengutamakan gaya dan kebolehgunaan dalam satu pakej.
Kemuncak pelancaran MODENAS di Malaysia Auto Show 2025 pastinya Kawasaki Ninja H2 SX SE.
Model ini adalah motosikal sport touring yang menjadi simbol kejuruteraan berprestasi tinggi.
Motosikal ini dilengkapi enjin 998 cc supercharged empat silinder.
Jentera ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 210 PS (dengan Ram Air) pada 11,000 rpm serta tork setinggi 137 Nm pada 8,500 rpm.
Selain reka bentuk aerodinamik yang agresif, H2 SX SE turut dilengkapi pelbagai teknologi canggih Kawasaki.
Antaranya sistem pengendalian elektronik (KECS), brek cakera Brembo, sistem keselamatan canggih (KIBS, KCMF), dan sistem kunci pintar (KIPASS).
Dengan harga RM129,400, motosikal ini menyasarkan peminat motosikal touring berprestasi tinggi yang tidak berkompromi terhadap kuasa dan keselesaan.
Porsche Malaysia, di bawah naungan Sime Darby Auto Performance (SDAP), menyambut ulang tahunnya yang ke-15 tahun ini.
Acara ini turut berlangsung dengan penuh gemilang di The Exchange TRX, Kuala Lumpur, daripada 11 hingga 13 April 2025. .
Acara tiga hari ini memperlihatkan perjalanan luar biasa jenama ini di Malaysia dari pemasangan tempatan model ikonik hinggalah kepada pelancaran kenderaan elektrik berprestasi tinggi.
Sebagai tarikan utama, Porsche memperkenalkan model baharu 911 Carrera dan Cayenne S E-Hybrid Coupé pemasangan tempatan.
Selain juga mereka turut mempamerkan model seperti Taycan, Macan, dan 911 GT3 Cup milik pasukan Sime Motors Racing Team yang kini bersaing dalam Porsche Carrera Cup Asia 2025.
Sejak penubuhannya pada tahun 2010, Porsche Malaysia telah berkembang pesat.
Bermula dengan satu pusat jualan di Glenmarie, kini Porsche Malaysia mengendalikan empat Pusat Porsche di seluruh negara termasuk Penang dan Johor Bahru.
Model seperti Cayenne dan 911 mencatatkan jualan memberangsangkan, mencerminkan minat mendalam rakyat Malaysia terhadap jenama prestij dari Jerman ini.
Menurut Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby,
“Ini adalah detik membanggakan buat kami semua di Sime. Kejayaan selama 15 tahun ini adalah hasil daripada sokongan berterusan rakan kongsi kami dan pelanggan setia.”
Salah satu pencapaian terbesar Porsche Malaysia ialah penubuhan kilang pemasangan luar pertama Porsche di dunia, terletak di Kulim pada Mac 2022.
Di sinilah lahirnya Cayenne pemasangan tempatan, kini dijual pada harga bermula RM599,999.
Pada Julai 2024, kejayaan itu diteruskan dengan Cayenne S E-Hybrid Coupé, sebuah SUV elektrik hibrid yang turut menjadi model Porsche pertama dieksport dari Malaysia ke Thailand.
Model ini, yang mula ditawarkan kepada umum pada Januari 2025, dijual pada harga bermula RM728,000.
Sebagai peneraju dalam mobiliti elektrik di rantau ini, Porsche Malaysia telah melancarkan rangkaian pengecasan berprestasi tinggi bersama Shell.
Rangkaian ini membolehkan pemilik Taycan melakukan perjalanan rentas negara dari Singapura ke Thailand melalui Malaysia dengan selesa, dengan pengecas 360 kW yang hanya memerlukan sekitar 20 minit untuk mengecas dari 0 ke 80%.
Di samping pengecas awam, Porsche turut memperkenalkan pengecas 350 kW di pusat jualan mereka sebagai perkhidmatan percuma untuk pemilik EV Porsche.
Lebih menarik pelanggan yang membuat tempahan Taycan atau Macan kini menerima Porsche Mobile Charger 11-kW edisi khas.
Kemunculan generasi baharu 911 Carrera memberi nafas baru kepada legasi model ikonik ini.
Dengan enjin 3.0-liter twin-turbo boxer, model ini menghasilkan 394 PS dan memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 4.1 saat.
Bagi pencinta prestasi mutlak, 911 GTS baharu hadir dengan sistem T-Hybrid inovatif, menghasilkan 541 PS dan 610 Nm tork.
Harga permulaan untuk 911 Carrera ialah RM1.43 juta, manakala 911 Carrera 4 GTS bermula dari RM1.89 juta.
Sebagai sebahagian daripada DNA sukan permotoran Porsche, Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk bakat tempatan.
Pasukan Sime Motors Racing telah menyertai pelbagai perlumbaan termasuk Porsche Carrera Cup Asia, manakala Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia membuka peluang kepada pelumba muda untuk beraksi dalam dunia maya.
Litar Sepang menjadi pentas utama untuk pengalaman memandu dan aktiviti komuniti yang menggabungkan kelajuan dan ketepatan, sejajar dengan semangat sebenar jenama ini.
Komuniti Porsche Malaysia berkembang sebagai tunjang kekuatan jenama ini.
Porsche Club Malaysia, yang ditubuhkan seiring dengan kehadiran Porsche di negara ini, telah memainkan peranan penting dalam membina hubungan erat antara pemilik dan jenama.
Aktiviti seperti konvoi, program eksklusif dan pengalaman gaya hidup mewah menjadikan pemilikan Porsche lebih daripada sekadar memiliki kereta.
Porsche Malaysia kini bersedia melangkah ke era baharu.
Dengan komitmen terhadap kualiti, inovasi e-mobiliti dan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan, jenama ini bersedia untuk terus memacu impian rakyat Malaysia dalam dunia automotif.
Seperti kata Christopher Hunter, CEO SDAP,
“Kami akan terus memacu pertumbuhan ini, memartabatkan semangat Porsche, dan menyampaikan pengalaman luar biasa kepada semua pemilik Porsche di Malaysia.”
Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd. ialah pengedar rasmi Porsche di Malaysia sejak 2010.
Mereka berperanan dalam mengedar kenderaan dan alat ganti Porsche, serta menawarkan khidmat selepas jualan di pusat Porsche di Ara Damansara, Sungai Besi, Penang dan Johor Bahru.
Pusat ini juga menjadi pusat 4S pertama di rantau Asia Pasifik serta satu-satunya Porsche Classic Partner di Malaysia.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...