Polis Daerah Petaling Jaya kini menggunakan teknologi dron bagi memantau penunggang motosikal yang enggan menggunakan laluan motosikal khas di Lebuhraya Persekutuan. Khususnya di Kilometer 28.4 bawah Jambatan Sunway menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur.
Operasi khas ini dijalankan dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Petaling Jaya serta Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman. Tumpuan utama ialah kepada penunggang yang masih memilih untuk menunggang di laluan utama walaupun laluan motosikal disediakan.
Langkah ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan. Termasuk kes maut, melibatkan penunggang motosikal.
“Ramai penunggang guna laluan utama sebagai jalan pintas. Ada juga yang mengelak laluan motosikal kerana keadaannya tidak selamat seperti jalan berlubang dan tidak cukup pencahayaan pada waktu malam,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan laluan yang salah boleh menjejaskan perlindungan insurans jika berlaku kemalangan. “Mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan, ada hukuman khusus untuk mereka yang tidak patuhi arahan laluan. Penunggang yang langgar peraturan ini mungkin tidak layak untuk tuntutan insurans kemalangan,” tegas beliau.
ACP Shahrulnizam juga menambah bahawa tindakan menunggang di laluan utama, terutama waktu puncak pagi dan petang, berisiko tinggi kerana saiz motosikal yang kecil berbanding kenderaan lain.
“Risiko kecederaan tinggi kalau berlaku kemalangan. Malah, kami kesan ada penunggang yang bertindak kasar seperti memaki pengguna lain apabila dimarahi. Mereka seharusnya sedar kesalahan mereka,” ujarnya.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 47 saman dikeluarkan dan 16 daripadanya hasil daripada rakaman imej dan video oleh dron PGU. Menariknya, ada penunggang yang tidak menyedari mereka telah disaman kerana identiti serta nombor pendaftaran motosikal berjaya dikenalpasti menerusi teknologi dron. Saman akan dihantar terus ke alamat pemilik.
Langkah ini membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan jalan raya sentiasa menjadi keutamaan. Selain mendidik pengguna jalan raya untuk lebih berdisiplin dan patuh pada peraturan yang ditetapkan.
Dari Berita Harian
Baca Juga Lesen Motosikal Kelas B2 ke Kelas B – Pemegang Lesen ‘Senior’ Akan Diberi Kelebihan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.