PROTON telah mengumumkan pembukaan rasmi Pusat Pemasangan Cermin Gelap PROTON di Tanjung Malim, menandakan usaha firma tersebut dalam meningkatkan kemampuan pemasangan cermin gelap sendiri. Fasiliti baru ini memiliki kapasiti untuk memasang hingga 5,000 unit kenderaan sebulan.
Pemasangan cermin gelap keselamatan telah diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk varian Flagship dan Premium Proton X90 sejak pelancarannya pada 7 Mei 2023.
Ini juga berlaku untuk varian Flagship Proton S70 dan Flagship X, di mana cermin gelap keselamatan menjadi sebahagian daripada pakej aksesori standard.

PROTON berhasrat untuk menawarkan pilihan ini kepada model lain dalam masa terdekat, dengan tujuan memberikan nilai tambah kepada pelanggan. Kelebihan pemasangan cermin gelap oleh OEM termasuk ketepatan dan kemasan yang lebih baik dengan menggunakan cetakan pra-potong, serta mematuhi peraturan JPJ dan mengurangkan risiko kerosakan sekunder yang biasa berlaku dengan pemasangan selepas pasaran.
Pelanggan juga akan mendapat manfaat dari waranti tanpa had selama 5 tahun untuk semua perkhidmatan pemasangan cermin gelap.
Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, menyatakan bahawa pembukaan pusat pemasangan cermin gelap di Tanjung Malim merupakan langkah penting dalam komitmen PROTON untuk menyampaikan produk berkualiti dan nilai tambah kepada pelanggan. Dengan kapasiti yang besar, pusat ini dapat menangani peningkatan volum yang mendadak dengan cekap.
Baca: MODENAS Perkenal Varian Baharu, ZX-25RR
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Auto Bavaria Chan Sow Lin Melancarkan Bilik Pameran Baharu Yang Dinaik Taraf

Auto Bavaria, sebagai pengedar bertauliah utama BMW Group Malaysia, mengukuhkan posisinya di dalam industri automotif dengan perasmian bilik pameran baharunya yang terletak di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Pelancaran bilik pameran ini memperlihatkan evolusi dan kemajuan dalam memberikan pengalaman unik kepada pelanggan, melalui peningkatan fasiliti dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan pelanggan.

Bilik pameran yang terletak di tengah-tengah kota Kuala Lumpur ini meliputi ruang bagunan dua tingkat seluas 35,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan konsep reka bentuk yang kontemporari, bilik pameran ini menyediakan platform ideal bagi penggemar dan pelanggan BMW serta MINI untuk meneroka dan mengalami kesempurnaan jenama dalam keselesaan dan gaya yang tiada tandingannya.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan di BMW Group Malaysia, menekankan “Pembaharuan Auto Bavaria CSL mencerminkan komitmen BMW Group Malaysia untuk memajukan mobiliti individu premium melalui penambahbaikan dan peningkatan yang berterusan. Komitmen ini termasuklah penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan kemudahan bilik pameran, serta penambahan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik. Auto Bavaria CSL memperlihatkan dedikasi kami untuk menawarkan pengalaman mewah kepada pelanggan dalam perjalanan pemilikan premium mereka, serta mengukuhkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memberikan Sheer Driving Pleasure.”

Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria, menzahirkan kegembiraan beliau terhadap pembaharuan ini, “Dengan transformasi bilik pameran terkini ini, kami amat teruja untuk mengalu-alukan kehadiran pelanggan ke ruang pengedar yang telah dinaik taraf, dalam memberikan pengalaman pemilikan premium kepada mereka. Auto Bavaria CSL yang diberi nafas baharu ini menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang canggih sejajar dengan pengalaman kami selama 36 tahun dalam menyampaikan Sheer Driving Pleasure, serta menegaskan komitmen kami untuk memberikan kecemerlangan tertinggi dalam khidmat pelanggan.”

Dari sudut kemudahan, pelanggan disambut dengan ruang yang elegan dan disesuaikan dengan keperluan mereka, termasuk pentas perundingan pelanggan, ruang hospitaliti, serta kafe dan kawasan rehat khusus. Bilik pameran ini juga menampilkan ruang dedikasi untuk Alat Ganti, Aksesori dan Gaya Hidup BMW & MINI, memudahkan pelanggan untuk meningkatkan atau mengkustomisasi kendaraan mereka.

Sebagai tambahan, Auto Bavaria Chan Sow Lin berinisiatif untuk memperkasa ekosistem mobiliti elektrik di Malaysia melalui penyediaan kemudahan pengecasan arus ulang alik (AC) dan arus terus (DC), menunjukkan komitmen mereka terhadap pembangunan lestari dan mobiliti elektrik di negara ini.

Bilik pameran yang kini beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, 8:00 pagi hingga 5:00 petang, dan Sabtu, 8:00 pagi hingga 12:30 tengahari.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Kenali Proton eMas 7 – Kereta Elektrik Pertama Malaysia!

Setelah lama dinantikan dan menjadi perhatian ramai, Proton akhirnya melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka, Proton eMas 7 secara rasmi di Malaysia.
Model ini tampil dengan dua varian utama iaitu eMas 7 Prime dan eMas 7 Premium, dengan harga bermula RM109,800 hingga RM123,800. Lebih menarik, 3,000 pembeli terawal menikmati diskaun RM4,000 menjadikan harganya lebih mampu milik. Iaitu RM105,800 untuk varian Prime dan RM119,800 bagi varian Premium.
Waranti Menyeluruh dan Pakej Tambahan Menarik
Proton menawarkan waranti enam tahun tanpa had perbatuan serta waranti bateri selama lapan tahun atau 160,000 km. Memastikan ketenangan fikiran pemilik. Setiap pembeli juga akan menerima pengecas rumah percuma, adaptor sistem V2L bernilai RM2,000, dan pakej data internet tanpa had selama lima tahun.
Rekaan Luar dan Warna Menarik
Dari segi rekaan, eMas 7 mirip kembarnya, Geely Galaxy E5, namun dengan identiti Proton yang tersendiri. SUV elektrik ini hadir dalam lima pilihan warna menarik iaitu Platinum Silver, Turquoise Blue, Slate Gray, Quartz Rose, dan Lithium White. Rekaan aerodinamik dan lampu LED yang moden melengkapkan gaya sporty dan futuristik kenderaan ini.

Teknologi dan Prestasi Mantap
Proton eMas 7 menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) yang dibangunkan bersama Geely. Dikuasakan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS dan 320 Nm tork. eMas 7 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 6.9 saat, menjadikannya kenderaan Proton terpantas setakat ini. Kelajuan maksimum pula ialah 175 km/j.
Untuk bateri, varian Prime dilengkapi bateri berkapasiti 49.52 kWh yang mampu mencapai jarak 345 km. Manakala varian Premium hadir dengan bateri 60.22 kWh yang mampu bergerak sejauh 410 km (mengikut piawaian WLTP). Kedua-duanya menyokong pengecasan pantas DC di mana bateri boleh dicas dari 30% ke 80% dalam masa 20 minit sahaja.

Rekaan Dalaman Futuristik
Masuk ke dalam kabin, eMas 7 tampil dengan skrin utama bersaiz 15.5 inci dan paparan instrumen digital 10.2 inci yang menggunakan sistem Flyme OS, sama seperti telefon pintar.
Sistem bunyi premium Wanos dengan 16 pembesar suara turut melengkapkan pengalaman pemanduan. Kabin varian Premium juga dilengkapi ciri tambahan seperti bumbung panaromik, pintu tailgate berkuasa, serta liang pengudaraan untuk tempat duduk.
Selain itu, Proton memastikan pemandu sentiasa selesa dengan sistem pendingin hawa automatik bersama penapis N95 dan larasan tempat duduk elektrik. Tambahan pula, eMas 7 menawarkan sehingga 33 ruang storan termasuk ruang tersembunyi di bawah lantai but belakang.

Ciri Keselamatan Termaju
Dari segi keselamatan, Proton eMas 7 dilengkapi enam beg udara, kamera 360 darjah, dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Ciri-ciri ADAS ini merangkumi brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, pemantauan titik buta, bantuan kekal lorong, serta amaran lintasan trafik belakang. Tidak hairanlah eMas 7 berjaya memperoleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP.
Adaptasi Khas untuk Malaysia
Bagi memastikan eMas 7 sesuai untuk pasaran tempatan, Proton melakukan ujian ketahanan sejauh 100,000 km serta penalaan suspensi khas. Menariknya, eMas 7 boleh meredah air setinggi 400 mm, menjadikannya pilihan ideal untuk menghadapi musim hujan dan banjir di Malaysia.

Aplikasi Pintar dan Masa Depan EV Proton
Proton turut memperkenalkan aplikasi e.Mas yang membolehkan pengguna membuat tempahan secara atas talian, memantau status kenderaan, dan mencari stesen pengecas dengan mudah. Fungsi ini menyerlahkan komitmen Proton dalam menyokong gaya hidup digital masa kini.
Dengan pelancaran Proton eMas 7, Proton bukan sahaja memperkenalkan teknologi elektrik yang canggih, malah memberi pilihan EV berkualiti tinggi dengan harga yang kompetitif untuk rakyat Malaysia. Jelas sekali, eMas 7 bukan sekadar kenderaan elektrik biasa, tetapi simbol masa depan automotif negara yang lebih hijau dan berinovasi.
Dari Paultan
Baca Juga Proton S70 R3 Raih Tempat ke-5 Sepang 1000KM
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Tanda-Tanda Anda Perlu Tukar “Engine Mounting”

Engine Mounting: Jangan Abaikan!
Bagi pemilik kenderaan, engine mounting adalah salah satu komponen penting yang sering diabaikan.
Ia berfungsi untuk menyokong enjin serta menyerap getaran supaya perjalanan lebih lancar dan selesa.
Namun, apabila mounting engine rosak, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah yang bukan sahaja mengganggu pemanduan tetapi juga merosakkan bahagian lain dalam enjin.
Jadi, bagaimana anda tahu jika engine mounting perlu ditukar? Berikut adalah tanda-tanda utama yang perlu anda perhatikan:
1. Enjin Bergetar Keterlaluan
Enjin kenderaan sememangnya menghasilkan getaran.
Namun jika anda merasakan getaran luar biasa yang lebih kuat dari biasa terutamanya ketika berhenti di lampu isyarat atau ketika kereta dalam mod D (Drive) tanpa bergerak itu mungkin tanda engine mounting sudah merekah atau pecah.
Semakin lama dibiarkan, getaran ini boleh memberi kesan buruk kepada enjin dan komponen lain seperti hos dan sambungan elektrik.
2. Bunyi Ketukan atau Dentuman Semasa Memecut
Jika anda mendengar bunyi “thud” atau “clunk” setiap kali menekan pedal minyak, itu petanda enjin tidak lagi stabil pada tempatnya.
Apabila engine mounting haus atau pecah, ia tidak lagi mampu menahan pergerakan enjin, menyebabkan ia bergoyang setiap kali kenderaan bergerak.
Bunyi ini biasanya lebih ketara ketika:
1. Menukar gear secara tiba-tiba
2. Memecut dengan pantas
3. Menekan brek secara mengejut
3. Kedudukan Enjin Nampak Senget
Engine mounting yang masih dalam keadaan baik akan memastikan enjin berada pada posisi yang seimbang.
Jika anda membuka bonet dan melihat enjin sedikit senget atau tidak selari seperti biasa, ini mungkin tanda mounting telah longgar atau rosak sepenuhnya.
Pemeriksaan visual ini boleh membantu anda mengenal pasti masalah lebih awal sebelum ia menjadi lebih serius.
4. Getaran Terasa di Ruang Kabin atau Stereng
Mounting yang rosak boleh menyebabkan getaran dirasai hingga ke dalam kabin dan stereng.
Biasanya, anda akan mula perasan:
1. Getaran di stereng ketika kenderaan dalam keadaan pegun
2. Gegaran dalam kabin yang lebih ketara semasa kelajuan rendah
3. Suara enjin lebih kasar dan tidak stabil
Masalah ini boleh mengganggu keselesaan pemanduan dan jika dibiarkan, ia boleh memberi kesan kepada komponen lain seperti sistem ekzos dan transmisi.
5. Enjin Bergegar Ketika Tukar Gear
Bagi kenderaan automatik, enjin sepatutnya menukar gear dengan lancar tanpa sebarang hentakan.
Jika anda mengalami sentakan yang kuat setiap kali gear bertukar, ini mungkin kerana engine mounting gagal menyerap hentakan enjin dengan baik.
Tanda ini lebih jelas apabila anda menukar dari:
1.P (Park) ke D (Drive)
2.D (Drive) ke R (Reverse)
Jika anda memandu kenderaan manual, hentakan mungkin lebih terasa ketika melepaskan klac.
6. Terdapat Kesan Retak atau Kerosakan Pada Mounting
Jika anda mahir dalam pemeriksaan asas kenderaan, cuba periksa engine mounting di dalam bonet.
Kesan retak, koyak, atau bahagian getah yang telah pecah adalah tanda jelas bahawa mounting sudah rosak dan perlu diganti segera.
Kebanyakan engine mounting diperbuat daripada gabungan getah dan logam, di mana getah berfungsi sebagai penyerap hentakan.
Namun, selepas bertahun-tahun digunakan, ia boleh haus atau pecah akibat:
1. Haba enjin yang tinggi
2. Getaran enjin yang berterusan
3. Pemanduan agresif
7. Enjin Terasa “Melompat” Ketika Dihidupkan
Pernahkah anda perasan enjin terasa seperti melonjak ke depan atau ke belakang ketika dihidupkan?
Ini mungkin tanda engine mounting sudah terlalu longgar atau pecah.
Keadaan ini boleh menyebabkan masalah lebih serius jika dibiarkan, termasuk risiko kerosakan pada sistem transmisi atau sambungan enjin.
Bila Waktu Sesuai Untuk Tukar Mounting Engine?
Secara amnya, engine mounting tidak mempunyai jangka hayat tetap kerana ia bergantung pada cara pemanduan dan keadaan jalan yang sering dilalui.
Namun, sebagai panduan umum:
1.Tukar setiap 5-7 tahun atau sekitar 100,000 – 150,000 km
2.Jika mengalami tanda-tanda di atas, segera lakukan pemeriksaan sebelum kerosakan merebak
3. Jika sering memandu di kawasan jalan tidak rata atau mengalami kemalangan kecil, mounting mungkin perlu diganti lebih awal
Kesimpulan: Jangan Tunggu Sehingga Terlambat!
Engine mounting yang rosak bukan sekadar menyebabkan getaran berlebihan, tetapi juga boleh memberi kesan buruk kepada enjin dan sistem transmisi.
Jika anda mengalami mana-mana tanda di atas, segera bawa kenderaan ke bengkel untuk pemeriksaan.
Menukar engine mounting mungkin kedengaran seperti kos tambahan, tetapi melengahkannya boleh menyebabkan kos pembaikan lebih tinggi di masa depan.
Jadi, jangan abaikan tanda-tanda awal—pastikan kenderaan anda sentiasa dalam keadaan terbaik untuk pemanduan yang selamat dan selesa!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Kongsi “Roadtax”, Lesen Kenderaan Motor (LKM) Digital Melalui Aplikasi MyJPJ
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



