Oscar Piastri terus membuktikan dirinya sebagai calon juara dunia musim ini apabila berjaya merangkul kemenangan keempat dalam musim 2025 di Grand Prix Miami. Bintang muda Australia itu bukan sahaja memenangi perlumbaan. Malah membawa McLaren meraih keputusan terbaik setakat ini – 1-2 bersama rakan sepasukan, Lando Norris.
Perlumbaan bermula dengan Max Verstappen mendahului dari petak utama, namun segalanya berubah di pertengahan saingan. Ini ketika pertarungan sengit dengan Norris menyebabkan pelumba Red Bull itu tersasar laluan. Memberi peluang kepada Kimi Antonelli dan Piastri untuk merapatkan diri ke hadapan.
Selepas berjaya memintas Mercedes Antonelli, Piastri mula memberikan tekanan kepada Verstappen. Dengan strategi bijak dan jentera McLaren yang cukup kompetitif, Piastri berjaya merampas kedudukan pendahulu.
Norris yang bangkit dari kesilapan awal perlumbaan turut mengatasi Verstappen untuk meraih tempat kedua. Dari situ, kedua-dua jentera papaya terus mencipta jurang besar, meninggalkan pelumba lain jauh di belakang.
Selepas 57 Pusingan
Di akhir perlumbaan 57 pusingan, Piastri menamatkan perlumbaan 4.63 saat di hadapan Norris. Manakala George Russell dari Mercedes berada di tempat ketiga – namun 37 saat di belakang Piastri, satu bukti nyata kehebatan McLaren di Miami.
Ads
Verstappen sekadar di tempat keempat, sekali lagi mengekalkan ‘sumpahan’ bahawa tiada pelumba dari petak pertama pernah menang di GP Miami sejak ia mula dianjurkan. Alex Albon pula mencuri perhatian apabila berjaya membawa Williams ke tempat kelima. Mengatasi Antonelli yang menamatkan saingan di P6.
Ferrari pula terperangkap dengan isu taktikal apabila Charles Leclerc dan Lewis Hamilton bertukar kedudukan beberapa kali atas arahan pasukan. Mereka menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan kelapan, diikuti Carlos Sainz di P9. Meskipun insiden dengan Hamilton di hujung perlumbaan kini dalam siasatan.
Ads
Grid 10 Terakhir
Yuki Tsunoda menutup senarai 10 teratas untuk Red Bull, manakala Isack Hadjar hampir mengutip mata di tempat ke-11. Pelumba lain yang menamatkan perlumbaan termasuk Esteban Ocon (P12), Pierre Gasly (P13), Nico Hulkenberg (P14), serta duo Aston Martin, Alonso dan Stroll masing-masing di P15 dan P16.
Empat pelumba tidak menamatkan perlumbaan – termasuk Jack Doohan yang tersingkir seawal pusingan pertama selepas insiden dengan Lawson. Sementara itu, Gabriel Bortoleto dan Ollie Bearman mencetuskan dua fasa Virtual Safety Car akibat masalah jentera.
Dalam satu kenyataan, Piastri berkata, “Saya menang perlumbaan yang saya paling nak menang. Kereta hari ini memang luar biasa.” McLaren kini nampaknya benar-benar telah menemui rentak, dan saingan seterusnya di Imola bakal menjadi pentas penting dalam merebut takhta kejuaraan.
Bersempena majlis Mforce Lou Sang Dinner 2026 yang berlangsung di M Resort & Hotel, jenama motosikal premium X-WEDGE secara rasmi mengukuhkan kehadirannya di pasaran Malaysia.
Kemasukan model ini menandakan satu anjakan baharu dalam segmen cruiser dan touring berkapasiti ultra-besar, segmen yang sebelum ini agak terhad di pasaran tempatan.
Sebagai langkah permulaan, X-WEDGE memperkenalkan lima model serentak merangkumi motosikal dua roda, trike konvensional dan reverse-trike, sekali gus memberi pilihan luas kepada penunggang yang mengutamakan kuasa besar, keselesaan jarak jauh dan elemen gaya hidup premium.
Kesemua model ini kini boleh didapati melalui rangkaian pengedar sah Mforce Bike Holdings di seluruh negara.
X-WEDGE Vanguard VT2000 merupakan model paling eksklusif dalam barisan ini dan ditawarkan pada harga RM148,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Trike ultra-mewah ini hadir dalam empat pilihan warna iaitu Moonlit White, Phantom Black, Starlight Silver dan Sonic Black, dengan penampilan yang jelas menekankan imej prestij dan dominasi jalan raya.
Jentera ini dikuasakan enjin V-Twin 1,976 cc, 4-lejang, penyejukan udara, konfigurasi OHV dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI). Ia menghasilkan 76 kW pada 5,000 rpm dan 158 Nm pada 3,000 rpm, disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan dengan pacuan akhir jenis shaft drive.
Klac hidraulik multi-cakera basah dengan “slippery clutch” digandingkan bersama pendikit kawalan elektronik.
Dari segi keselesaan dan teknologi, Vanguard VT2000 dilengkapi sistem audio JBL empat pembesar suara dengan radio dan Bluetooth, skrin unjuran navigasi, kamera pemuka hadapan dan belakang, pemanas tempat duduk hadapan dan belakang, serta penghadang angin bersaiz besar.
Ruang simpanan juga sangat menyeluruh dengan kotak atas, kotak belakang, dua kotak sisi dan ruang simpanan hadapan.
Rangka “steel tube cradle” dipadankan dengan suspensi hadapan teleskopik dan suspensi belakang bebas dwi-rocker bersama lengan ayun aluminium. Sistem brek menggunakan cakera berkembar terapung di hadapan dan cakera tunggal di belakang, disokong ABS tiga saluran, CBS, TCS boleh laras, TPMS, CCS serta peredam stereng 15 tahap.
Paparan maklumat menggunakan meter hibrid analog dan skrin sentuh TFT 7-inci.
Ditawarkan pada harga RM98,888, X-WEDGE Rover RL2000 diposisikan sebagai jentera luxury touring cruiser dua roda yang menekankan keselesaan dan keupayaan perjalanan jarak jauh.
Model ini turut ditawarkan dalam empat pilihan warna eksklusif yang sama seperti Vanguard VT2000.
Ia menggunakan enjin V-Twin 1,976 cc dengan output 74 kW pada 5,000 rpm dan 158 Nm pada 3,000 rpm, digandingkan dengan transmisi 6-kelajuan serta pacuan akhir jenis belt drive.
Sistem klac hidraulik multi-cakera basah dan pendikit elektronik memastikan penghantaran kuasa yang lancar dan terkawal.
Ciri premium termasuk gear mengundur, sistem audio JBL, pemanas tempat duduk hadapan dan belakang, kamera pemuka hadapan dan belakang, penghadang angin serta ruang simpanan merangkumi satu kotak atas, dua kotak sisi dan rak bagasi.
Dengan berat sekitar 440 kg, Rover RL2000 turut dilengkapi ABS dan CBS dua saluran, TCS, TPMS serta CCS, menjadikannya sebuah cruiser touring yang lengkap dari segi teknologi dan keselamatan.
X-WEDGE Rover RL2000S ditawarkan pada harga RM95,888 dan direka sebagai alternatif yang lebih ringkas serta lincah berbanding RL2000 standard.
Walaupun lebih ringan dengan berat sekitar 410 kg, ia masih mengekalkan asas mekanikal yang sama termasuk enjin V-Twin 1,976 cc dengan 74 kW dan 158 Nm tork.
Model ini menampilkan gear mengundur, sistem audio JBL dua pembesar suara, pemanas tempat duduk hadapan dan belakang, kamera pemuka hadapan serta penghadang angin.
Sistem keselamatan merangkumi ABS dan CBS dua saluran, TCS dan TPMS, manakala kemudahan perjalanan disokong CCS, sistem kunci pintar dan dua port pengecasan Type-A.
Bagi peminat gaya klasik, X-WEDGE Ranger RX2000 tampil dengan rekaan bobber retro dan ditawarkan pada harga RM68,888.
Walaupun berimej minimalis, jentera ini masih menggunakan enjin V-Twin 1,976 cc yang menghasilkan 76 kW dan 158 Nm, menjadikannya antara bobber paling berkuasa di pasaran.
Dengan berat sekitar 340 kg, Ranger RX2000 dilengkapi gear mengundur, pemanas tempat duduk, pemanas pemegang tangan, TCS, TPMS dan CCS.
Sistem brek cakera berkembar hadapan dengan ABS dua saluran memastikan kuasa henti yang meyakinkan, manakala paparan maklumat disalurkan melalui meter hibrid analog dan digital.
X-WEDGE Walker WR1000 memperkenalkan konsep reverse-trike dengan dua roda di hadapan dan satu di belakang, dan dijual pada harga RM78,888.
Ia dikuasakan enjin V-Twin 976 cc, penyejukan cecair yang menghasilkan 60 kW pada 7,500 rpm dan 80 Nm pada 5,500 rpm, digandingkan dengan transmisi automatik CVT shaft drive.
Ciri teknologi termasuk sokongan GPS, Bluetooth, paparan cermin telefon pintar, skrin unjuran navigasi serta brek parkir.
Sistem brek menggunakan ABS dan CBS tiga saluran, manakala suspensi hadapan bebas dwi-rocker dan penyerap hentak beg udara di belakang meningkatkan keselesaan.
Tangki bahan api 23 liter menjadikan Walker WR1000 sesuai untuk “ride” jarak jauh.
Semua model X-WEDGE di Malaysia hadir dengan waranti pengilang dua tahun tanpa had perbatuan.
Mforce Bike Holdings turut menjamin ketersediaan alat ganti tulen dan sokongan selepas jualan melalui rangkaian perkhidmatan rasmi mereka.
X-WEDGE merupakan jenama motosikal premium dari China di bawah Huansong Group, sebuah kumpulan automotif yang ditubuhkan pada 1988.
Jenama ini memfokuskan pembangunan motosikal berkapasiti ultra-besar dengan teknologi enjin V-Twin yang diasaskan daripada kepakaran syarikat Amerika, S&S.
Dengan gabungan kejuruteraan antarabangsa, reka bentuk berani dan prestasi tinggi, X-WEDGE menyasarkan untuk membawa pengalaman cruiser dan touring ultra-besar kepada penunggang Malaysia yang mahukan sesuatu di luar arus perdana.
Kementerian Pengangkutan terus mengambil langkah proaktif untuk meringankan beban perjalanan sempena musim perayaan Aidilfitri dengan melanjutkan bantuan subsidi bagi penerbangan sehala antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak serta Labuan.
Kini, tempoh subsidi telah diperluaskan dari tiga hari kepada empat hari sebelum sambutan Aidilfitri, iaitu dari 6 hingga 9 April.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menggariskan bahawa penambahbaikan ini dijangka memberi implikasi kewangan tambahan sehingga RM1.8 juta kepada kerajaan. Beliau menekankan bahawa langkah ini selaras dengan usaha kementerian untuk membantu perantau balik kampung dan memenuhi permintaan pengangkutan awam yang tinggi sempena sambutan Aidilfitri.
Menurut Loke, sesiapa yang membeli tiket penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak, dan Labuan pada empat hari tersebut tidak akan membayar melebihi RM599 untuk harga tiket asas kerana sebarang kos melebihi harga maksimum tersebut akan ditanggung oleh Kerajaan. Beliau menjelaskan bahawa harga ini tidak termasuk cukai dan fi.
“Harga maksimum ini boleh membantu penumpang yang terpaksa membeli tiket penerbangan pada saat akhir atau di laluan yang mempunyai permintaan yang tinggi dalam perjalanan balik kampung. Namun, penumpang boleh mendapat harga yang lebih murah sekiranya merancang perjalanan lebih awal,” katanya pada sidang media Pengumuman Initiatif Tambah Baik Perjalanan Balik Kampung Sempena Hari Raya Aidilfitri.
Loke turut mengumumkan bahawa kerajaan akan meneruskan inisiatif-inisiatif lain termasuk memudahkan cara penambahan penerbangan. Sebagai contoh, bagi Aidilfitri, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah memudahkan cara sebanyak 342 penerbangan domestik tambahan di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April.
“Inisiatif ini telah menunjukkan kesan yang positif di mana lebih banyak tiket penerbangan terutamanya bagi laluan dari Kuala Lumpur ke destinasi-destinasi utama di Sabah dan Sarawak dijual pada harga yang lebih murah,” tambah beliau.
Pada 4 Mac 2024, AirAsia turut memberi kerjasama dengan menawarkan 22,000 tiket penerbangan pada harga tetap RM298 sehala untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sarawak, dan RM348 sehala untuk Kuala Lumpur ke Sabah.
Ini merupakan langkah yang memberi manfaat kepada penumpang dalam merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien dan ekonomi.
Dengan peningkatan ini, diharapkan lebih ramai rakyat dapat pulang ke kampung halaman dengan lebih selesa dan terjangkau, meningkatkan semangat perpaduan dan kegembiraan sempena sambutan Aidilfitri.
Langkah-langkah ini juga merupakan bukti komitmen kerajaan dalam menyokong keperluan rakyat dalam aspek pengangkutan, terutamanya semasa musim perayaan.
Ramai di kalangan kita yang pernah ke Singapura pasti mengalami pengalaman dimana, situasi yang ‘meriah’ ketika melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands, terutamanya pada waktu puncak.
Terletak di tambak antara Singapura dan Johor Bahru, Pusat Pemeriksaan Woodlands dianggap sebagai salah satu pusat pemeriksaan darat terpadat di dunia. Namun, ada berita baik – terdapat perancangan besar-besaran untuk membangunkan semula pusat pemeriksaan tersebut, yang dijadualkan bermula pada tahun 2025.
Matlamat utama perluasan ini adalah untuk mengurangkan masa pelepasan dari satu jam kepada hanya 15 minit semasa waktu puncak. Pihak berkuasa merancang untuk memulakan pembangunan dalam beberapa fasa, yang dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun.
Pusat pemeriksaan yang dibangunkan semula akan menjadi kira-kira lima kali ganda dari saiz semasa, mencerminkan hasrat untuk meningkatkan kecekapan dan kelancaran proses pemeriksaan. Automasi akan menjadi pemain utama, dengan sistem pelepasan imigresen dalam kereta automatik dan pemeriksaan keselamatan yang terintegrasi.
Tapak baharu juga dijangka menyediakan ruang untuk kenderaan, membantu mengatasi kesesakan di jalan raya sekitar dan Lebuhraya Bukit Timah. Dalam fasa pertama pembangunan, akan dibina 21 lorong kargo dua hala dan 78 lorong kereta ketibaan, memberikan lonjakan kapasiti sebanyak 30% untuk kargo dan 95% untuk kereta.
Lorong ketibaan untuk kereta juga boleh diubah menjadi 156 lorong untuk motosikal, memberikan fleksibiliti dalam menguruskan kesesakan semasa waktu puncak. Lebuhraya Bukit Timah juga akan diperluaskan, memberikan laluan terus untuk kenderaan keluar dari pusat pemeriksaan.
Pihak berkuasa yakin bahawa langkah-langkah ini akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut pada waktu puncak. Rangkaian jalan juga akan diperbarui, termasuk sambungan Pusat Bandar Woodlands Lama dan BKE yang dijadualkan siap pada 2028.
Meskipun perancangan ini melibatkan perobohan Pusat Pemeriksaan Woodlands lama, pihak berkuasa yakin bahawa pembangunan semula ini akan memberikan penyelesaian yang lebih mampan dan jangka panjang kepada masalah kesesakan di lintasan darat ini. Dengan dijangkakan peningkatan pengguna harian kepada kira-kira 400,000 menjelang tahun 2050, revolusi ini adalah langkah yang sangat dihargai.
Musim Raya Parkir Elok, Semua Pun Senang
Aidilfitri sentiasa membawa makna yang cukup besar dalam kehidupan kita. Bukan sekadar pulang ke kampung halaman, tetapi juga...