Oscar Piastri terus membuktikan dirinya sebagai calon juara dunia musim ini apabila berjaya merangkul kemenangan keempat dalam musim 2025 di Grand Prix Miami. Bintang muda Australia itu bukan sahaja memenangi perlumbaan. Malah membawa McLaren meraih keputusan terbaik setakat ini – 1-2 bersama rakan sepasukan, Lando Norris.
Perlumbaan bermula dengan Max Verstappen mendahului dari petak utama, namun segalanya berubah di pertengahan saingan. Ini ketika pertarungan sengit dengan Norris menyebabkan pelumba Red Bull itu tersasar laluan. Memberi peluang kepada Kimi Antonelli dan Piastri untuk merapatkan diri ke hadapan.
Selepas berjaya memintas Mercedes Antonelli, Piastri mula memberikan tekanan kepada Verstappen. Dengan strategi bijak dan jentera McLaren yang cukup kompetitif, Piastri berjaya merampas kedudukan pendahulu.
Norris yang bangkit dari kesilapan awal perlumbaan turut mengatasi Verstappen untuk meraih tempat kedua. Dari situ, kedua-dua jentera papaya terus mencipta jurang besar, meninggalkan pelumba lain jauh di belakang.
Di akhir perlumbaan 57 pusingan, Piastri menamatkan perlumbaan 4.63 saat di hadapan Norris. Manakala George Russell dari Mercedes berada di tempat ketiga – namun 37 saat di belakang Piastri, satu bukti nyata kehebatan McLaren di Miami.
Verstappen sekadar di tempat keempat, sekali lagi mengekalkan ‘sumpahan’ bahawa tiada pelumba dari petak pertama pernah menang di GP Miami sejak ia mula dianjurkan. Alex Albon pula mencuri perhatian apabila berjaya membawa Williams ke tempat kelima. Mengatasi Antonelli yang menamatkan saingan di P6.
Ferrari pula terperangkap dengan isu taktikal apabila Charles Leclerc dan Lewis Hamilton bertukar kedudukan beberapa kali atas arahan pasukan. Mereka menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan kelapan, diikuti Carlos Sainz di P9. Meskipun insiden dengan Hamilton di hujung perlumbaan kini dalam siasatan.
Yuki Tsunoda menutup senarai 10 teratas untuk Red Bull, manakala Isack Hadjar hampir mengutip mata di tempat ke-11. Pelumba lain yang menamatkan perlumbaan termasuk Esteban Ocon (P12), Pierre Gasly (P13), Nico Hulkenberg (P14), serta duo Aston Martin, Alonso dan Stroll masing-masing di P15 dan P16.
Empat pelumba tidak menamatkan perlumbaan – termasuk Jack Doohan yang tersingkir seawal pusingan pertama selepas insiden dengan Lawson. Sementara itu, Gabriel Bortoleto dan Ollie Bearman mencetuskan dua fasa Virtual Safety Car akibat masalah jentera.
Dalam satu kenyataan, Piastri berkata, “Saya menang perlumbaan yang saya paling nak menang. Kereta hari ini memang luar biasa.” McLaren kini nampaknya benar-benar telah menemui rentak, dan saingan seterusnya di Imola bakal menjadi pentas penting dalam merebut takhta kejuaraan.
Dari Formula One
Baca Juga F1 – Oscar Piastri Tawan Kejuaraan Dunia & Menang Di GP Arab Saudi (Jeddah)
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.