Kabinet Thailand telah meluluskan peruntukan sebanyak AS$1.2 bilion (kira-kira 40 bilion baht) untuk membida penganjuran perlumbaan jalanan Formula 1 di ibu negara, Bangkok, bermula tahun 2028. Perkara ini diumumkan oleh jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub, dalam satu sidang media rasmi.
Sekiranya bidaan ini berjaya, Thailand dijangka menjadi tuan rumah perlumbaan F1 setiap tahun dari 2028 hingga 2032. Jirayu turut menyatakan bahawa negara itu bakal menyaksikan acara sukan bertaraf dunia yang sebelum ini dianggap mustahil untuk dianjurkan di Thailand.
Menurut Kementerian Pelancongan Thailand
Sorawong Thienthong, menyatakan bahawa inisiatif ini bukan sahaja merupakan pelaburan besar. Malah, ia satu strategi penting untuk merancakkan sektor pelancongan – antara pemacu utama ekonomi Thailand.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, sebelum ini telah bertemu Ketua Eksekutif Formula One, Stefano Domenicali pada bulan Mac lalu. Dalam pertemuan itu, Thailand menyatakan hasrat mereka dan memulakan kajian kebolehlaksanaan bagi penganjuran Grand Prix di litar jalanan sekitar bandar Bangkok.
Ads
Kalendar F1 Terkini
Ketika ini, kalendar perlumbaan F1 sudah pun padat dengan 24 perlumbaan tahunan di seluruh dunia, termasuk empat di rantau Asia-Pasifik. Di Asia Tenggara, hanya Singapura menjadi tuan rumah Grand Prix. Sekiranya berjaya, Thailand akan menyertai senarai elit ini.
Walaupun Thailand memiliki litar bertaraf FIA di Buriram yang kini menganjurkan kejohanan MotoGP. Cadangan ini difokuskan kepada penganjuran di litar jalanan di Bangkok, yang dijangka memberikan impak global dan tarikan pelancongan yang tinggi.
Ads
Sekiranya semuanya berjalan lancar, perlumbaan F1 di Bangkok bakal menjadi satu lagi pentas berprestij. Ia bakal mengangkat nama Thailand ke persada sukan permotoran antarabangsa.
Lando Norris memulakan musim 2025 dengan penuh keyakinan selepas menukar kedudukan petak pertama kepada kemenangan dalam Grand Prix Australia yang penuh drama.
Perlumbaan ini menyaksikan perubahan cuaca yang tidak menentu, beberapa insiden kemalangan, serta fasa Safety Car yang menambah debaran hingga ke garisan penamat.
Sejak permulaan perlumbaan, Norris menguasai litar yang basah dengan cemerlang. Mengekalkan kedudukan pendahulu di hadapan rakan sepasukannya di McLaren, Oscar Piastri, serta pelumba Red Bull, Max Verstappen. Seiring dengan litar yang semakin kering, para pelumba mula beralih ke tayar lembut bagi menyesuaikan diri dengan keadaan yang lebih baik.
Namun, sebaik sahaja hampir keseluruhan grid bertukar kepada tayar slick, hujan lebat kembali membasahi litar. Kedua-dua jentera McLaren tergelincir ke atas rumput akibat permukaan yang licin, memaksa kebanyakan pelumba masuk semula ke pit untuk menukar tayar yang lebih sesuai.
Norris sempat mengawal jenteranya dan masuk ke pit, tetapi Piastri tidak bernasib baik apabila tergelincir di selekoh terakhir, menyebabkan dia kehilangan banyak masa untuk kembali ke perlumbaan. Kesilapan ini memberi laluan kepada juara bertahan, Max Verstappen, untuk mendahului perlumbaan buat seketika.
Meskipun mendahului, Verstappen masih menggunakan tayar slick dalam keadaan hujan yang semakin lebat. Keadaan ini memaksa pelumba Belanda itu untuk masuk ke pit juga, dan kesempatan itu dimanfaatkan oleh Norris untuk kembali merampas kedudukan pertama.
Perlumbaan semakin mendebarkan apabila satu lagi fasa Safety Car dikeluarkan susulan kemalangan melibatkan pelumba Kick Sauber, Gabriel Bortoleto, serta pelumba Red Bull, Liam Lawson. Sebaik perlumbaan disambung semula, Verstappen berusaha keras untuk mengejar Norris dalam keadaan litar yang licin, bahkan berjaya memasuki zon DRS. Namun, Norris tetap bertahan dengan cemerlang dan akhirnya melintasi garisan penamat di hadapan pesaing utamanya itu.
Di belakang mereka, George Russell mengambil kesempatan daripada kekacauan perlumbaan untuk meraih tempat ketiga bagi Mercedes. Diikuti oleh rakan sepasukannya yang juga pelumba rookie, Kimi Antonelli, serta pemandu Williams, Alex Albon.
Antonelli pada mulanya dikenakan penalti akibat pelepasan tidak selamat di pit lane dan turun ke tempat kelima. Kemudian, keputusan itu dibatalkan, membolehkannya kembali ke tempat keempat.
Pakar perlumbaan basah, Lance Stroll dari Aston Martin, menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Diikuti oleh Nico Hulkenberg (Sauber), Charles Leclerc (Ferrari), dan Piastri yang berjaya bangkit selepas kesilapannya di tengah perlumbaan.
Lewis Hamilton pula sempat mendahului perlumbaan untuk seketika apabila dia menangguhkan pertukaran tayar, tetapi akhirnya hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-10 selepas masuk ke pit. Sekaligus menafikan peluang Pierre Gasly (Alpine) dan Yuki Tsunoda (Racing Bulls) untuk meraih mata.
Esteban Ocon dan Ollie Bearman (Haas) mengambil risiko untuk kekal dengan tayar intermediate sebelum hujan terakhir turun. Namun pertaruhan mereka tidak membuahkan hasil.
Mereka akhirnya terpaksa masuk semula ke pit untuk menukar tayar. Menyebabkan mereka hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dan ke-14.
Beberapa pelumba lain pula terpaksa mengakhiri perlumbaan lebih awal. Termasuk Fernando Alonso (Aston Martin) yang mengalami kemalangan pertengahan perlumbaan, serta Carlos Sainz (Williams) dan Jack Doohan (Alpine) yang terlibat dalam insiden awal.
Namun, yang paling malang adalah pendatang baharu Racing Bulls, Isack Hadjar. Beliau yang tidak sempat memulakan perlumbaan selepas terbabas di selekoh pertama dalam pusingan pemanas. Menyebabkan perlumbaan terpaksa dimulakan semula tanpa kehadirannya.
Formula 1 akan terus ke Shanghai bagi Grand Prix China yang akan berlangsung pada 21-23 Mac. Dengan aksi mendebarkan yang dipamerkan di Australia, pastinya perlumbaan seterusnya akan lebih menarik untuk disaksikan!
Aveta Malaysia melakar sejarah baharu apabila melancarkan cogan kata rasmi terbarunya, “Redefining Boundaries” atau Mentakrifkan Semula Sempadan. Slogan ini menjadi simbol kepada hala tuju jenama tempatan tersebut dalam mendepani persaingan industri motosikal Malaysia yang semakin sengit.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim, cogan kata baharu ini mencerminkan komitmen jenama dalam mendengar suara pengguna dan menyediakan motosikal yang mampu dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
“Redefining Boundaries adalah iltizam kami untuk membawa jenama ini ke tahap lebih tinggi dengan menggabungkan inovasi, pengalaman penunggang dan kualiti perkhidmatan. Inilah cara kami membina sebuah jenama kebanggaan Malaysia dengan visi global,” jelas Lim.
Julai lalu, Aveta berjaya mencatatkan nama dalam Malaysian Book of Records (MBR) selepas menganjurkan penyerahan motosikal terbesar dalam sejarah negara. Majlis yang berlangsung di Seberang Perai, Pulau Pinang ini menyaksikan model baharu Vanguard 250 dan Nova 160 diserahkan secara rasmi kepada pemilik.
Acara yang dirasmikan oleh YB Dato’ Hj. Rashidi bin Zinol, EXCO Negeri Pulau Pinang, turut dihadiri lebih 500 tetamu termasuk pengedar, pelanggan dan peminat Aveta.
Sejak awal tahun ini, Aveta menerima sambutan luar biasa terhadap dua model utamanya.
Aveta Vanguard 250
Aveta Nova 160
Permintaan tinggi untuk kedua-dua model ini membuktikan Aveta semakin diterima oleh pelbagai segmen penunggang di Malaysia.
Aveta menekankan aspek praktikal dengan menawarkan motosikal yang relevan untuk keperluan sebenar penunggang Malaysia sama ada untuk perjalanan seharian di dalam bandar atau pengembaraan merentas negeri.
Selain itu, pemilikan Aveta turut dipermudahkan melalui harga kompetitif, prestasi yang boleh diyakini, serta sokongan selepas jualan yang meluas.
Aveta kini memiliki rangkaian pusat pengedar, pusat servis dan stokis alat ganti di seluruh negara. Salah satu inisiatif menarik ialah Aveta Care on Wheels iaitu perkhidmatan sokongan bergerak dari pintu ke pintu bagi membantu pengguna yang mengalami masalah teknikal di lokasi yang jauh daripada pengedar sah.
Langkah ini menunjukkan kesungguhan Aveta dalam memberikan pengalaman pemilikan tanpa kompromi, sejajar dengan semangat Redefining Boundaries.
Dengan pelancaran cogan kata baharu ini, Aveta menyatukan pelanggan, kakitangan dan rakan pengedar di bawah misi bersama memacu inovasi dan mengukuhkan kedudukan jenama motosikal tempatan di peringkat global.
“Cogan kata ini melambangkan perjalanan kami. Aveta akan terus menolak sempadan, menambah baik kejuruteraan, serta memastikan setiap pemilik berasa sebahagian daripada keluarga besar Aveta,” ujar Lim.
Selepas tiga hari sesi ‘Shakedown’ yang mengujakan, aksi sebenar bermula di litar lagenda Sepang untuk ujian rasmi MotoGP tahun ini. Hari pertama penuh dengan kejutan dan ketegangan, termasuk ketiadaan Franco Morbidelli yang digantikan oleh Michele Pirro selepas kemalangan latihan Superbike di Portimao.
Kejutan sebenar datang daripada penampilan memukau Pedro Acosta dari KTM yang menetapkan prestasi terbaik pada sesi Shakedown. Namun, pencarian untuk menewaskan rekod masa tersebut menjadi sasaran bagi penunggang lain, ditambah dengan Raul Fernandez yang menunjukkan prestasi awal yang cemerlang sebelum terjatuh.
Kemalangan itu membawa kepada bendera merah, tetapi penunggang seperti Maverick Vinales dan Jorge Martin terus memberi aksi penuh pada carta masa. Martin khususnya menonjol dengan prestasi cemerlang, mengekalkan kedudukan teratas sepanjang hari dengan masa yang menyakinkan.
Marc Marquez, dalam debutnya dengan Ducati Gresini, menghadapi beberapa masalah teknikal yang menyebabkan ketegangan pada hari pembukaan. Namun, beliau menunjukkan ketabahan dengan memperbaiki prestasi pada separuh hari kedua.
Ketegangan terus berlanjut dengan jatuhnya beberapa penunggang termasuk Alex Marquez dan kemalangan awal yang dialami Bagnaia dan Fernandez. Namun, semangat mereka tidak pudar, dengan usaha gigih mereka untuk pulih dan melonjak semula dalam carta masa.
Pada penghujung hari, kejayaan terbesar mungkin adalah pada hasil fokus dan komitmen kepada kelajuan antara Marini, Acosta, Martin, dan Marc Marquez, menambah lagi keterujaan di litar.
Aksi litar akan terus berlanjutan pada hari-hari akan datang dan ia memberi peluang kepada pasukan untuk menyesuaikan dan menambah baik prestasi mereka sebelum musim rasmi bermula. Dari pagi hingga petang, Sepang menyaksikan kecemerlangan dan ketegangan yang tidak terduga, menjanjikan musim yang penuh drama untuk peminat MotoGP.
Musim Raya Parkir Elok, Semua Pun Senang
Aidilfitri sentiasa membawa makna yang cukup besar dalam kehidupan kita. Bukan sekadar pulang ke kampung halaman, tetapi juga...