Putrajaya kini sedang melangkah ke hadapan dalam usaha menjadi bandar rendah karbon dengan sasaran untuk memasang 500 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di pelbagai lokasi menjelang tahun 2030.
Inisiatif ini diterajui oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) sebagai usaha menyokong mobiliti hijau dan mengurangkan jejak karbon di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Menurut Presiden PPj,
Datuk Fadlun Mak Ujud, sebanyak 23 stesen pengecas EV telah dipasang di beberapa lokasi strategik di sekitar Putrajaya. Menjelang akhir tahun ini, tambahan 27 lagi stesen akan dipasang, menjadikan jumlah keseluruhan 50 stesen EV.
Namun, itu hanyalah permulaan, kerana sasaran jangka panjangnya adalah untuk mencapai 500 unit menjelang tahun 2030. Sasaran ini jelas menunjukkan komitmen Putrajaya dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar negara.
Untuk memastikan projek ini berjaya, PPj bekerjasama rapat dengan Gentari Green Mobility Sdn. Bhd, anak syarikat Gentari Sdn. Bhd. Mereka juga pakar dalam penyediaan perkhidmatan pengecasan EV.
Ads
Usahasama ini dilihat sebagai salah satu tonggak utama dalam mencapai aspirasi hijau Putrajaya. Terbaru, sebuah stesen pengecas EV telah dipasang di Taman Ekuestrian Putrajaya, berdekatan dengan Eques Cabin Café.
Stesen ini dilengkapi dengan pengecas AC berkapasiti sehingga 7 kiloWatt (kW), sesuai untuk keperluan pengguna EV yang sering berkunjung ke kawasan tersebut.
Lokasi Strategik
Stesen pengecas Taman Ekuestrian merupakan sebahagian kecil daripada pelan besar mereka untuk memperluaskan kemudahan pengecasan EV ke seluruh bandar. Beberapa lokasi strategik lain telah dikenal pasti untuk stesen pengecasan pada masa akan datang, termasuk di Laman Perdana, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Taman Saujana Hijau, Marina Putrajaya, Putrajaya Sentral, dan Kelab Tasik Putrajaya.
Ads
Kesimpulan
Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan penggunaan EV di Putrajaya, tetapi juga memberi manfaat kepada para pengunjung dan penduduk tempatan dengan kemudahan yang lebih mesra alam.
Infrastruktur pengecasan yang lebih meluas akan mengurangkan kebimbangan pengguna EV terhadap jarak perjalanan dan kekurangan tempat pengecasan. Dengan peningkatan jumlah stesen pengecasan, Putrajaya bakal menjadi model bandar hijau yang mesra teknologi dan alam sekitar.
JETOUR Malaysia memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tempatan dengan pelancaran JETOUR T2, sebuah SUV yang direka untuk kegunaan harian tetapi masih menawarkan keupayaan merentas pelbagai jenis permukaan jalan.
Model ini menyasarkan pembeli yang mahukan kombinasi antara keselesaan pemanduan bandar, teknologi moden serta kemampuan untuk pengembaraan luar jalan.
Pelancaran model ini juga menandakan langkah penting bagi jenama tersebut dalam memperluaskan penawaran SUV di Malaysia, khususnya dalam segmen SUV yang mempunyai elemen pengembaraan dan gaya hidup aktif.
Dengan gabungan reka bentuk lasak dan ciri teknologi moden, SUV ini cuba memenuhi keperluan pengguna yang mahukan kenderaan serba boleh.
Di bawah bonet, JETOUR T2 menggunakan enjin 2.0 liter turbocharged direct injection TGDi yang menghasilkan 180 kW kuasa dan 375 Nm tork.
Enjin ini dipadankan dengan transmisi Dual Clutch 7 kelajuan DCT bagi memberikan penghantaran kuasa yang lebih lancar dan responsif.
Gabungan enjin turbo dan transmisi DCT ini membolehkan SUV tersebut memberikan prestasi yang mencukupi untuk pemanduan bandar mahupun perjalanan lebuh raya. Output kuasa yang tinggi juga membantu ketika membawa muatan penuh atau memandu di kawasan berbukit.
Prestasi enjin ini juga direka untuk memberikan keseimbangan antara kuasa dan kecekapan penggunaan bahan api, menjadikannya sesuai untuk penggunaan harian serta perjalanan jarak jauh.
Salah satu ciri utama pada JETOUR T2 ialah sistem Intelligent XWD, iaitu sistem pacuan semua roda pintar yang direka untuk meningkatkan cengkaman dan kestabilan kenderaan dalam pelbagai keadaan pemanduan.
Sistem ini dilengkapi mod pemanduan 7+X, yang membolehkan pengagihan tork disesuaikan secara automatik mengikut keadaan jalan dan permukaan pemanduan.
Sama ada memandu di jalan bandar, lebuh raya atau laluan yang tidak rata, sistem ini membantu memberikan kawalan yang lebih stabil kepada pemandu.
SUV ini juga dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci dengan tayar 255 60, yang bukan sahaja meningkatkan penampilan luarannya malah membantu memberikan kestabilan tambahan ketika memandu.
Dari segi reka bentuk, JETOUR T2 tampil dengan gaya yang agak berbeza berbanding kebanyakan SUV bandar.
Reka bentuknya menampilkan profil kotak dan tegap, yang memberikan kehadiran jalan yang lebih menonjol serta imej kenderaan pengembaraan.
Antara elemen luaran utama termasuk lampu hadapan LED automatik, lampu tandatangan JETOUR yang bercahaya serta lampu belakang LED Light Ray yang memberikan identiti visual tersendiri.
SUV ini turut dilengkapi tayar simpanan yang dipasang di bahagian belakang, satu elemen yang biasanya dikaitkan dengan kenderaan off road. Ciri soft close door turut disediakan bagi meningkatkan kemudahan penggunaan harian.
Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Khaki White, Aviation Silver dan Carbon Black.
Di bahagian kabin, JETOUR T2 dilengkapi paparan multimedia bersaiz 15.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Selain itu, sistem kawalan suara pintar Hello Jetour membolehkan pemandu mengawal beberapa fungsi kenderaan seperti navigasi, pendingin hawa dan sistem media menggunakan arahan suara.
SUV ini turut menyediakan pengecas tanpa wayar pantas 50W, memastikan peranti mudah alih kekal dicas sepanjang perjalanan. Sistem audio SONY dengan 12 pembesar suara pula memberikan pengalaman bunyi yang lebih imersif, sesuai untuk perjalanan jauh.
Untuk keselesaan pemandu dan penumpang, SUV ini menampilkan beberapa ciri premium yang sesuai dengan kegunaan harian.
Antaranya termasuk tempat duduk kemasan leatherette, tempat duduk hadapan dengan fungsi memori serta fungsi sambutan apabila pintu dibuka. Tempat duduk hadapan juga dilengkapi fungsi ventilated seats, sesuai dengan keadaan cuaca panas di Malaysia.
Kabin turut diserikan dengan pencahayaan ambien pelbagai warna serta bumbung suria panoramik, yang memberikan suasana kabin lebih luas dan terang untuk penumpang.
Dari segi keselamatan, JETOUR T2 telah menerima penarafan keselamatan 5 bintang ASEAN NCAP. SUV ini dilengkapi enam beg udara SRS serta sistem Advanced Driving Assistance System ADAS Tahap 2 bagi membantu meningkatkan keselamatan pemanduan.
Antara ciri yang disediakan termasuk Panoramic View Monitoring System dengan paparan 360 darjah serta fungsi transparent chassis yang membantu pemandu melihat keadaan di sekitar kenderaan dengan lebih jelas. Sistem Tyre Pressure Monitoring System TPMS turut disediakan sebagai ciri standard.
Di Malaysia, model ini ditawarkan pada harga RM156,800. SUV ini turut didatangkan dengan jaminan kenderaan selama tujuh tahun atau sehingga 150,000 km.
Selain itu, jaminan rangkaian kuasa turut ditawarkan selama 10 tahun atau sehingga 1,000,000 km, memberikan keyakinan tambahan kepada pelanggan terhadap ketahanan komponen utama kenderaan.
Sebagai promosi pelancaran, 3,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan ini akan menerima rebat tunai RM2,000.
Dengan gabungan enjin turbo berkuasa, sistem pacuan semua roda pintar, teknologi infotainmen moden serta ciri keselamatan lengkap, SUV ini hadir sebagai pilihan menarik bagi pengguna yang mahukan kenderaan praktikal dengan elemen pengembaraan.
Beipanjiang Bridge Duge, yang dibuka pada tahun 2016, menjadi jambatan tertinggi di dunia dengan ketinggian luar biasa 565 meter.
Jambatan ini mencipta sejarah sebagai jambatan cable stayed pertama yang memegang gelaran ini.
Beipanjiang Bridge Duge menjadi penanda aras baru dalam dunia kejuruteraan dengan menjadi jambatan pertama yang mempunyai ketinggian 500 meter.
Terletak di atas Sungai Beipanjiang yang bermaksud “Sungai Berliku Utara”,jambatan ini menghubungkan dua bahagian Guizhou yang terpisah oleh tebing batu kapur yang curam.
Geografi luar biasa kawasan ini telah mencipta bayangan sepanjang hari di beberapa bahagian sungai, menjadikannya pemandangan yang luar biasa untuk dinikmati.
Jambatan ini adalah sebahagian daripada Lebuhraya G56 Hangrui yang mempunyai jarak sejauh 2,935 kilometer dari Hangzhou dekat Shanghai hingga sempadan Burma berhampiran Tibet.
Lebuhraya ini membentuk laluan penting yang memudahkan akses antara Guizhou dan wilayah jiran Yunnan.
Kawasan ini yang dahulunya hampir mustahil dilalui oleh kenderaan biasa.
G56 tidak hanya menampilkan Beipanjiang Bridge Duge tetapi juga beberapa jambatan tinggi yang lain, termasuk jambatan gantung di Puli, Yunnan.
Kawasan Sungai Beipanjiang terkenal dengan koleksi jambatan yang luar biasa.
Ianya bermula dengan pembinaan Jambatan Kereta Api Tertinggi Dunia pada tahun 2001, dengan ketinggian 275 meter.
Dua tahun kemudian, Jambatan Beipanjiang Guanxing mencatat sejarah sebagai jambatan gantung pertama yang melebihi ketinggian Royal Gorge Bridge di Colorado, AS, selepas 74 tahun.
Sejak itu, kawasan ini terus menyaksikan pembinaan pelbagai jambatan ikonik, termasuk Jambatan Beipanjiang Hukun, Shuipan, Wang’an, Zhenfeng, dan Huajiang.
Namun, tiada yang menyaingi kehebatan Beipanjiang Bridge Duge, yang pada tahun 2016 menjadi puncak segala pencapaian kejuruteraan di kawasan ini.
Selain menjadi jambatan tertinggi di dunia, Duge turut memegang gelaran jambatan kereta api berkelajuan tinggi tertinggi dengan ketinggian 295 meter.
Mereka juga memiliki salah satu menara jambatan tertinggi di dunia setinggi 269 meter.
Beipanjiang Bridge Duge bukan sekadar jambatan, ia mampu menghubungkan kawasan yang terpisah oleh tebing curam.
Jambatan ini telah merubah aksesibiliti, merangsang pertumbuhan ekonomi, dan memperkukuh kedudukan China sebagai pemimpin global dalam pembinaan infrastruktur.
Ketika matahari terbit di atas jambatan ini, ia mengingatkan dunia akan potensi luar biasa manusia untuk mencipta sesuatu yang menakjubkan, walaupun di tengah-tengah cabaran alam yang paling ekstrem.
Beipanjiang Bridge Duge kekal sebagai mercu tanda kehebatan kejuruteraan moden dan inspirasi kepada generasi akan datang.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu telah mencapai kemajuan yang menggalakkan, dengan kadar pencapaian setakat ini adalah 80.28 peratus pada bulan Februari tahun lepas.
Datuk Seri Darwis Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), menyatakan bahawa negeri Terengganu menunjukkan kemajuan paling pantas berbanding tiga negeri lain yang dilalui oleh ECRL iaitu Pahang, Kelantan, dan Selangor. Ini berkat kepada kerjasama yang kukuh dari pelbagai pihak dalam proses pengambilan tanah.
“Pengambilan tanah untuk semua laluan utama ECRL di Terengganu telah berjaya diselesaikan sepenuhnya, sementara kerja-kerja pemasangan landasan dijangka akan siap menjelang akhir tahun ini.
Dengan kemajuan pencapaian sebanyak 80.28 peratus di Terengganu dan 62.40 peratus secara keseluruhan, kami yakin bahawa projek ini akan siap sepenuhnya menjelang hujung Disember 2026,” jelasnya semasa ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL anjuran MRL dan China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL).
Proses pembinaan ECRL di Terengganu melibatkan pembangunan sepanjang 242 kilometer dari Besut ke Kemaman, termasuk pembinaan enam stesen penumpang seperti Stesen Jertih, Besut, Stesen Bandar Permaisuri, Setiu, Stesen Kuala Terengganu, dan Stesen Kemasik, Kemaman. Tambahan pula, dua stesen lagi, iaitu Stesen Dungun dan Stesen Chukai, Kemaman, akan dibangunkan untuk pengangkutan kargo dan penumpang.
Jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan, hingga ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor, dijangka akan siap pada Disember 2026.
Dengan siapnya projek ini, masa perjalanan dari Kuala Terengganu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka hanya mengambil masa kira-kira tiga jam, memberikan aksesibiliti yang lebih baik kepada penduduk tempatan dan pelancong.
Tidur Dalam Kereta Dengan Pendingin Hawa Terbuka, Kenal Pasti Bahaya Keracunan Karbon Monoksida Yang Ramai Masih Ambil Ringan
Bagi sesetengah pemandu kereta yang berehat di...