Rantai, merupakan komponen yang memainkan peranan penting dalam pemindahan kuasa dari enjin kepada roda.
Namun, seiring dengan penggunaan, rantai juga tidak terlepas daripada risiko kehausan dan karat.
Jika diabaikan, boleh menjejaskan keselamatan dan prestasi motosikal anda.
Berikut adalah tanda-tanda rantai yang memerlukan penggantian, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis sendiri.
Tegangan Rantai Tidak Konsisten
Tegangan rantai yang tidak konsisten boleh menjejaskan prestasi motosikal.
Rantai yang terlalu longgar membolehkan pergerakan yang tidak terkawal, manakala rantai yang terlalu tegang pula akan mempercepatkan kehausan.
Kedua-dua keadaan ini bukan sahaja mengurangkan kecekapan penghantaran kuasa, tetapi juga boleh menyebabkan kerosakan serius pada komponen lain.

Bunyi Aneh Semasa Menunggang
Bbunyi berdengung atau bunyi logam yang ganjil ketika menunggang merupakan tanda amaran awal kerosakkan.
Keadaan ini biasanya berpunca daripada geseran antara rantai yang haus dengan sprocket atau disebabkan oleh kekotoran.
Mengenal pasti bunyi-bunyi ini secara awal boleh membantu dalam mengambil langkah pencegahan sebelum masalah bertambah buruk.
Gigi Sprocket Hilang ‘Grit’
Salah satu kesan sampingan daripada rantai yang haus ialah kehausan pada sprocket.
Gigi sprocket yang mula menunjukkan tanda-tanda kehausan merupakan isyarat bahawa rantai telah bekerja terlalu keras.
Kerosakan pada sprocket tidak hanya menjejaskan kuasa, malah boleh mengakibatkan kerosakan lain jika tidak ditangani dengan segera.
Penurunan Prestasi Motosikal
Kehilangan kuasa atau rasa motosikal yang kurang responsif semasa menunggang boleh menjadi petunjuk bahawa rantai tidak lagi berfungsi dengan baik.
Rantai yang haus atau kotor boleh menyebabkan daya geseran yang tidak optimum antara enjin dan roda belakang dan secara langsung menjejaskan prestasi keseluruhan motosikal anda.

Rantai Perlu Penyelenggaraan Berkala
Bagi memastikan motosikal anda sentiasa berada dalam keadaan terbaik, penjagaan berkala terhadap rantai adalah suatu keperluan:
- Pelarasan Tegangan: Lakukan pelarasan mengikut spesifikasi pengeluar untuk memastikan rantai tidak terlalu longgar atau terlalu tegang.
- Pembersihan dan Pelinciran: Proses ini membantu mengurangkan kehausan dengan menghapuskan kekotoran dan minyak yang boleh mempercepatkan keletihan rantai.
- Pemeriksaan Visual Berkala: Sentiasa periksa keadaan rantai dan sprocket untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kerosakan sebelum masalah bertambah serius.
Konklusi
Menjaga kondisi rantai motosikal adalah pelaburan penting dalam memastikan keselamatan dan prestasi semasa menunggang.
Dengan mengenalpasti tanda-tanda kerosakan rantai seperti tegangan yang tidak konsisten, bunyi aneh, dan penurunan prestasi, pemandu boleh mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan kerosakan yang lebih besar.
Ingat, penyelenggaraan berkala adalah kunci untuk mengekalkan kecekapan dan keselamatan setiap kali anda menunggang.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Kawasaki Ninja H2 SX, Jentera Super Tourer Generasi Baharu

Definisi baharu untuk sports tourer
Kawasaki Ninja H2 SX sudah pun dilancarkan secara rasmi di pasaran luar seperti Eropah dan Jepun, dan telah mendapat perhatian ramai peminat motosikal berkuasa tinggi seluruh dunia.
Model ini dianggap antara sports tourer paling canggih pernah dihasilkan oleh Kawasaki setakat ini.
Namun begitu, bagi pasaran tempatan, masih belum ada pengesahan rasmi daripada Modenas Kawasaki Malaysia mengenai tarikh kemasukan model ini.
Walaupun begitu, ura-ura kuat menyatakan bahawa model ini bakal menembusi pasaran Malaysia dalam masa terdekat, mungkin seiring dengan pelancaran model-model besar Kawasaki yang lain.

Jika benar, ini bakal menjadi berita gembira buat peminat tempatan yang dahagakan teknologi dan kuasa luar biasa dalam satu jentera premium.
Jentera ini menggabungkan prestasi, teknologi dan keselesaan secara menyeluruh dalam satu pakej luar biasa.
Motosikal ini dibina berlandaskan prinsip “Engineered to be Free”, menggambarkan satu anjakan paradigma dalam segmen sports tourer.
Dengan kuasa supercharged, ciri keselamatan pintar dan sistem infotainmen terkini, Ninja H2 SX bukan sahaja sesuai untuk perjalanan jauh merentas benua, malah selesa untuk kegunaan harian.
Konsep Utama Ninja H2 SX
Melalui slogan “Supercharge Your Journey”, Kawasaki mengajak penunggang untuk melupakan persepsi lama terhadap motosikal touring.
Model ini tersedia dalam dua varian utama: Ninja H2 SX dan Ninja H2 SX SE.
Kedua-duanya direka untuk membawa penunggang merentasi lebuh raya, pergunungan dan laluan mencabar dengan penuh gaya, kuasa dan kawalan.

Reka bentuk: Berani, radikal dan praktikal
Rekaan Ninja H2 SX diinspirasikan oleh dua model legenda Kawasaki – Ninja H2 dan ZZR1400.
Gabungan ini menghasilkan penampilan yang agresif, moden dan menyerupai jet pejuang, dengan “intake” supercharger yang jelas kelihatan di sisi badan motosikal.
Bahagian cowl hadapan direka khusus untuk mengurangkan rintangan angin, sekali gus memberikan lebih keselesaan kepada penunggang dan pembonceng.
Cermin sisi pula bukan sahaja untuk pandangan belakang, tetapi juga berperanan menghasilkan daya tekan ke bawah (downforce) untuk kestabilan tambahan.
Tambahan pula, penggunaan lengan buai sebelah tunggal (single-sided swingarm) menyerlahkan lagi aspek premium dan kejuruteraan tinggi motosikal ini.

Enjin Kawasaki H2 SX
Motosikal ini dikuasakan oleh enjin 4-lejang, 4-silinder sebaris 998cc dengan supercharger, hasil penambahbaikan daripada enjin asal Ninja H2.
Modifikasi ini menjadikan Ninja H2 SX lebih sesuai sebagai motosikal touring berprestasi tinggi, dengan penekanan terhadap tork rendah dan pertengahan.
Dengan kuasa maksimum 200 PS pada 11,000 rpm dan tork 137.3 Nm pada 9,500 rpm, motosikal ini tetap mampu memberikan ledakan kuasa apabila diperlukan.
Namun begitu, penyampaian kuasa yang lancar dan mudah dikawal, hasil daripada sistem pendikit elektronik dan teknologi suntikan bahan api berkembar, menjadikan ia sesuai untuk kegunaan harian dan pengembaraan jauh.

Aerodinamik: Gaya yang melindungi
Kawasaki Ninja H2 SX menampilkan rekaan badan penuh (full-fairing) dan cermin hadapan besar yang bukan sahaja menambah gaya agresif, malah memberikan perlindungan angin yang optimum untuk perjalanan jauh.
Rekaan ini turut menyumbang kepada kecekapan aerodinamik, menjadikan tunggangan lebih stabil dan selesa walaupun pada kelajuan tinggi.

Teknologi keselamatan terkini: Bersedia untuk segala keadaan
Model ini dilengkapi sistem bantuan penunggang terkini dikenali sebagai ARAS (Advanced Rider Assistance Systems), yang merangkumi beberapa teknologi canggih:
Adaptive Cruise Control (ACC): Menyesuaikan kelajuan motosikal mengikut jarak dengan kenderaan di hadapan.
Blind Spot Detection: Memberi amaran visual jika terdapat kenderaan di kawasan titik buta.
Automatic High Beam (AHB): Sistem pencahayaan pintar yang bertindak mengikut keadaan pencahayaan sekeliling menggunakan penderia kamera.
Semua fungsi ini boleh dikawal menerusi paparan skrin TFT 6.5 inci yang turut menempatkan sistem infotainmen Kawasaki SPIN.
Sistem ini membolehkan penunggang menyambungkan peranti pintar untuk kawalan muzik, panggilan dan navigasi.
Keserasian ergonomik: Selesa untuk jarak jauh
Tempat duduk Ninja H2 SX direka semula untuk keselesaan optimum, sama ada untuk penunggang mahupun pembonceng.
Permukaan tempat duduk yang lebih lebar, serta padanan ketebalan dan kepadatan yang diperbaharui, memberikan keselesaan jangka panjang tanpa mengorbankan gaya tunggangan sporty.
Reka bentuk ergonomik juga membolehkan penunggang menukar posisi dengan mudah, sesuai untuk perjalanan jauh mahupun tunggangan agresif di selekoh.

Spesifikasi teknikal penuh
Enjin dan prestasi
Jenis: 4-lejang, 4-silinder sebaris, penyejuk cecair dengan supercharger
Sesaran: 998cc
Kuasa maksimum: 200 PS @ 11,000 rpm
Tork maksimum: 137.3 Nm @ 9,500 rpm
Sistem suntikan bahan api: Ø50 mm x 4 dengan suntikan berkembar
Emisi: Euro 5
Transmisi: 6-kelajuan jenis dog-ring
Casis dan suspensi
Rangka: Trellis keluli tegangan tinggi
Suspensi hadapan: Fork terbalik 43 mm dengan pelarasan penuh
Suspensi belakang: Uni-Trak dengan penyerap hentak gas dan tangki simpanan
Brek hadapan: Cakera berkembar 320 mm, kaliper radial monoblok 4 piston
Brek belakang: Cakera tunggal 250 mm, kaliper 2 piston
Tayar depan: 120/70ZR17
Tayar belakang: 200/55ZR17
Kapasiti tangki: 19 liter
Ketinggian tempat duduk: 835 mm
Jarak roda: 1,480 mm
Berat kering: 266 kg
Ciri lain
Instrumen: TFT warna 6.5 inci
Kod model: ZX1002PRFNN – Hitam (BK1)
Jaminan: 2 tahun tanpa had perbatuan
Servis: Setiap 7,500 batu
Pelarasan injap: Setiap 15,000 batu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Kawasaki H2 HySE prototype Tawan Le Mans
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Kisah Lamborghini STO SC 10° Anniversario: Model Eksklusif Dalam Sejarah!
Lamborghini telah memasuki zaman di mana kenderaan elektrik telah menjadi semakin diterima di pasaran, dengan model-model hibrid dan elektrik yang telah dan akan terus dilancarkan.
Sebagai contoh model Revuelto yang menyatukan enjin 6.5 liter V12 dengan tiga motor elektrik sebagai kenderaan hibrid plug-in (PHEV).
Zaman elektrifikasi ini juga bermakna model-model lama akan dihentikan pengeluarannya, termasuk Huracán yang telah diumumkan akan dihentikan.
Sebelum pengeluarannya dihentikan, pasaran dunia telah dikurniakan dengan pelbagai variasi Huracán sejak 2014, termasuk versi off-road Sterrato yang menarik.
Bagi menggembirakan peminatnya, Lamborghini mempersembahkan Huracán STO SC 10° Anniversario sempena ulang tahun ke-10 bahagian perlumbaan Squadra Corse.

Kereta ini adalah hasil kreativiti dari Lamborghini Ad Personam Opera Unica, yang bermakna ia dikeluarkan dalam jumlah yang terhad – cuma satu unit sahaja.
Huracán STO SC 10° Anniversario dibangunkan oleh jurutera Squadra Corse dengan menggunakan pengalaman dari litar perlumbaan bagi meningkatkan kualiti dinamiknya dan prestasi di litar.
Bonet kereta ini kini dilengkapi dengan sepasang sirip gentian karbon yang baru dan bersama-sama dengan sayap belakang, ia meningkatkan daya mendap pada bahagian depan dan belakang kereta.
Sayap belakangnya sekarang tiga darjah lebih tinggi berbanding dengan model produksi. Bentuknya yang direka khas membangkitkan semula sentuhan model nostalgik iaitu Countach, sebuah ikon Lamborghini.
Cengkaman mekanikalnya turut ditingkatkan melalui empat penyerap hentak yang telah disesuaikan untuk dunia perlumbaan, menggantikan set penyerap aktif yang asal.

Penyerap hentak baharu ini mempunyai empat laras dengan talaan yang dapat diubah pada kedua-dua frekuensi tinggi dan rendah, memberikan peningkatan prestasi yang ketara di litar.
Turut membantu meningkatkan prestasinya di litar adalah tayar baharu yang dikembangkan bersama Bridgestone, yang serupa dengan tayar yang digunakan pada model STO.
Sama seperti STO, model ini dikuasakan oleh enjin 5.2 liter V10 dengan transmisi dua cekam tujuh kelajuan dan menggunakan pacuan roda belakang.
Dalam STO, enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 631 HP dan tork sebanyak 565Nm.
Lamborghini telah memperkayakan model istimewa ini dengan pemasangan ekzos titanium Akrapovič sebagai standard untuk memberi ciri unik berbeza dengan STO biasa yang ditawarkan sebagai pilihan tambahan kepada pembeli.
Rekaan luaran kereta ini dinspirasi dari prototaip SC63 yang akan bersaing dalam perlumbaan 24 Jam Le Mans dan 12 Jam Sebring pada tahun 2024.
Warna-warna seperti Verde Mantis (hijau) dan Nero Noctis (hitam) yang dipersembahkan dengan jaluran tiga warna melintasi bahagian depan, belakang, serta bumbungnya, memberikan penampilan yang memukau.
Jaluran warna Rosso Mars (merah) turut melekat pada kereta ini dari hadapan hingga ke belakang. Logo Squadra Corse turut jelas terpampang pada sirip belakang.

Logo khas Squadra Corse 10° Anniversario turut diletakkan pada pintu untuk meraikan ulang tahun bahagian perlumbaan ini.
Pencapaian hebat seperti kemenangan dalam kategori GTD di dalam 24 Jam Daytona dan lebih daripada 50 kemenangan keseluruhan dalam kelas GT3 turut menjadi sebahagian dari sejarah model ini.
Di dalam kabinnya, kereta ini dihiasi dengan kerusi sport yang dilapisi dengan Alcantara Nero Ade (hitam) yang dipanjangkan dengan sulaman Verde Fauns (hijau).
Tali pinggang keledar empat sudut dan bar oleng aluminium turut diberikan perhatian bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang.
Seterusnya, pelapik lantai kereta ini diperbuat daripada gentian karbon dan plak khas dari bahan yang sama turut diletakkan pada dinding sekat belakang.
Mengenai harganya, ia belum diumumkan lagi, mungkin kerana kereta ini hanya dibuat dalam satu unit sahaja.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Toyota Kembali ke Formula 1 Bersama Haas

Berkuatkuasa Serta-merta
Toyota telah membuat kejutan dengan kembali ke arena Formula 1 (F1) melalui satu kerjasama teknikal dengan pasukan Haas F1.
Dalam perjanjian baharu ini, bahagian sukan permotoran Toyota, Toyota Gazoo Racing (TGR), akan menjadi penaja teknikal rasmi pasukan Haas. Perjanjian ini berkuat kuasa serta-merta.
Logo TGR akan mula muncul pada kereta pasukan Haas sempena Grand Prix Amerika Syarikat minggu hadapan.
Perjanjian ini yang berlangsung selama beberapa tahun akan menyaksikan Toyota Gazoo Racing berkongsi kepakaran, sumber, dan teknologi mereka dengan Haas.
Bagi pasukan Haas, kerjasama ini adalah satu suntikan kewangan yang amat diperlukan kerana mereka adalah pasukan terkecil dalam F1.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Formula 1, TGR akan memberikan perkhidmatan reka bentuk, teknikal, dan pembuatan kepada Haas. Sementara Haas pula akan menyumbang kepakaran teknikal mereka.
Walaupun dengan kerjasama ini, Haas akan kekal sebagai pelanggan Ferrari dan akan terus membeli komponen daripada pasukan Itali itu.
Ini bermakna, kerjasama Toyota dengan Haas lebih kepada aspek teknikal dan pembuatan. Tanpa melibatkan bekalan enjin.

Kemunculan Semula Dalam Arena F1
Ini adalah kali pertama Toyota kembali ke F1 selepas menutup pasukan mereka sendiri 15 tahun lalu. Sebelum ini, Toyota bertanding sebagai pasukan pengeluar selama lapan musim, mencatatkan 13 podium dan pencapaian terbaik mereka adalah kedudukan keempat dalam Kejuaraan Pengeluar.
Bagaimanapun, pasukan tersebut terpaksa ditutup pada tahun 2009. Walaupun mereka meninggalkan F1, TGR masih aktif dalam pelbagai siri sukan permotoran global termasuk FIA World Rally Championship, FIA World Endurance Championship, Nürburgring 24 Hours, Rali Dakar, serta beberapa siri pelanggan lain.
Perlu diingat bahawa kerjasama ini tidak melibatkan Toyota sebagai pembekal enjin. Namun Presiden Toyota Gazoo Racing, Tomoya Takahashi, menyatakan keterujaannya dengan perjanjian ini.
“Dengan bersaing bersama pasukan MoneyGram Haas F1 di puncak sukan permotoran, kami bertujuan untuk melatih pemandu, jurutera, dan mekanik,” kata Takahashi.
Langkah Strategik
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik Toyota untuk memperluaskan pengaruh mereka dalam sukan permotoran global, dan memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak.
Bagi Haas, ini adalah peluang besar untuk meningkatkan daya saing mereka di F1 dengan sokongan teknikal daripada jenama ternama seperti Toyota.
Manakala bagi Toyota, kerjasama ini membuka pintu untuk kembali ke arena F1 tanpa perlu menubuhkan pasukan mereka sendiri. Dengan perkembangan ini, peminat F1 pastinya teruja untuk melihat sejauh mana kerjasama ini akan membawa kejayaan kepada pasukan Haas dan menghidupkan semula nama Toyota di pentas sukan permotoran paling berprestij ini.
Dari Car And Driver
Baca Juga Audi Ambil Alih Sepenuhnya Pasukan F1 Sauber
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



