Audi sekali lagi telah membuktikan dirinya sebagai pengeluar yang mampu menghasilkan wagon yang cantik dan berkuasa. Penawaran terbaru mereka, Audi RS6 Avant GT, telah mencetuskan perbualan hangat dalam dunia kenderaan berprestasi.
Audi RS6 Avant GT ini mempunyai keupayaan yang memalukan kembarnya, RS6 Avant Performance, terutama dari segi pecutan. Meskipun menggunakan nadi V8 4.0 liter turbo berkembar yang sama seperti model Avant Performance, RS6 Avant GT mampu memecut dari 0-96 km/j dalam masa hanya 3.2 saat, atau 0.1 saat lebih cepat.
Dengan kuasa sekitar 621 hp dan 847 Nm tork, RS6 Avant GT mampu mencapai kelajuan 200 km/j dalam hanya 11.5 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 306 km/j.

Audi turut menaiktaraf aspek gantungan wagon ini, dengan suspensi gegelung boleh laras secara manual yang mampu menurunkan ketinggian sebanyak 10 mm.
Ini diikuti dengan bar pengimbang, peredam boleh laras elektronik tiga tahap, dan komponen pembeza yang telah dinaiktaraf.
Selain itu, keempat-empat roda turut dipasangkan dengan rim bersaiz 22 inci yang dibaluti dengan tayar Continental Sport Contact 7 untuk memastikan cengkaman yang optimum di atas jalan.

Liveri luaran Audi RS6 Avant GT ini banyak diilhamkan oleh jentera lumba legenda Audi 90 Quattro IMSA GTO, dan untuk pertama kalinya, ia dilengkapi dengan hud gentian karbon.
Bagi ruang kabin wagon ini pula, ia dilengkapi dengan balutan kulit hitam dan Alcantara, diikuti dengan jahitan berwarna merah pada tempat duduk jenis sports bucket.
Difahamkan, hanya akan dihasilkan 660 unit Audi RS6 Avant GT untuk seluruh dunia, dan harga jualannya akan diumumkan kelak. Antara kenderaan mewah yang menampilkan keanggunan dan kekuatan, Audi RS6 Avant GT menjadi pilihan yang menarik bagi peminat kenderaan berprestasi tinggi.
Baca: Audi Lancar Kempen Model Kereta EV. RS e-tron GT, 0-100 km/j Hanya 3.3 saat
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Triumph Tiger Sport 800 Kini Dibuka Untuk Tempahan – Harga Dari RM63,900

Bagi peminat motosikal touring berprestasi tinggi, berita baik datang dari DIDI Group, pengedar sah motosikal Triumph di Malaysia. Triumph Tiger Sport 800, model terbaharu yang ditunggu-tunggu, kini sudah dibuka untuk tempahan dan dijangka memasuki pasaran tempatan pada April tahun ini.
Prestasi Mantap Dengan Enjin Tiga Silinder
Triumph Tiger Sport 800 dikuasakan oleh enjin tiga silinder 800cc yang mampu menjana kuasa maksimum 115PS dan tork 84Nm. Dengan spesifikasi ini, motosikal ini menawarkan pecutan yang pantas serta prestasi responsif untuk pelbagai kondisi tunggangan – sama ada dalam bandar, lebuh raya, mahupun jalan berliku di kawasan berbukit.
Dibina Untuk Jelajah Jarak Jauh
Direka khusus untuk perjalanan jauh, Tiger Sport 800 menampilkan casis ringan yang memberikan kawalan lebih baik serta keyakinan ketika menunggang.
Suspensi Showa boleh laras sepenuhnya turut dipadankan untuk memastikan kestabilan dan keselesaan maksimum, tidak kira di jalan rata mahupun berbatu.
Selain itu, Tiger Sport 800 hadir dengan tangki bahan api berkapasiti 18.6 liter. Membolehkan perjalanan lebih jauh tanpa perlu kerap berhenti mengisi minyak.
Rekaan aerodinamik serta ergonomik yang luas juga memastikan penunggang dan pembonceng menikmati perjalanan yang selesa dalam apa jua keadaan.
Teknologi Canggih Untuk Tunggangan Lebih Selamat & Selesa
Triumph turut melengkapi Tiger Sport 800 dengan teknologi canggih bagi meningkatkan kawalan dan keselamatan. Antara ciri yang ditawarkan termasuk:
- ABS Cornering – untuk kawalan brek lebih baik ketika membelok.
- Traction Control – memastikan cengkaman tayar optimum dalam pelbagai keadaan jalan.
- Triumph Shift Assist – membolehkan penukaran gear lebih lancar tanpa penggunaan klac.
- Kesambungan Bluetooth – untuk akses mudah kepada muzik, panggilan dan navigasi.
- Tiga Mod Penunggang – memberikan pilihan tetapan enjin mengikut keperluan tunggangan.
- Cruise Control – membolehkan perjalanan lebih santai di lebuh raya.
Warna & Harga
Triumph Tiger Sport 800 ditawarkan dalam beberapa pilihan warna menarik seperti Cosmic Yellow, Caspian Blue / Phantom Black, Graphite / Sapphire Black, dan Sapphire Black.
Harga jualan bermula dari RM63,900 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans). Menjadikannya pilihan berbaloi dalam segmen motosikal touring premium.
Tawaran Istimewa Untuk 30 Pelanggan Terawal
Sebagai promosi pengenalan, Triumph Malaysia menawarkan pek pelancongan eksklusif bernilai RM11,000 kepada 30 pelanggan pertama. Pek ini merangkumi:
- Pannier dengan beg dalaman,
- Top box yang boleh memuatkan dua helmet,
- Rak bagasi dan kit pelekap top box,
- Pad sandaran top box,
- Kit stand tengah.
Bagi yang berminat, anda boleh mengunjungi pengedar sah Triumph di seluruh negara atau layari laman web rasmi Triumph Malaysia di www.triumph-motorcycles.my untuk maklumat lanjut.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi antara yang terawal memiliki Tiger Sport 800 dan nikmati pengalaman tunggangan touring yang luar biasa!
Dari Careta
Baca Juga Triumph Tiger Sport 660 – Lebih Canggih dengan Peningkatan Teknologi
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
BMW Motorrad Persembah 4 Model Facelift Di Malaysia Autoshow 2024

BMW Motorrad Group Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan ketibaan BMW CE 02 baharu, berserta tiga motosikal premium yang terdiri daripada BMW F 900 GS, BMW R 1300 GS dan BMW S 1000 XR.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami berasa teruja untuk mempersembahkan barisan motosikal kami yang terbaharu di Malaysia Autoshow 2024.
Setiap motosikal melambangkan inovasi, yang mengintegrasikan aspek elektrifikasi, prestasi premium, serta reka bentuk yang canggih.”
BMW CE 02 Baharu
BMW Group Malaysia menegaskan komitmennya terhadap visi pengelektrifikasian bagi segmen Mobiliti Bandar dengan penawaran BMW CE 02. Jentera yang diberi jolokan “eParkourer” ini membawakan pacuan elektrik, reka bentuk dan juga solusi inovatif yang mengagumkan.
BMW CE 02 baharu tampil dengan teknologi dan rekaan futuristik yang mampu menambat hati para belia di Malaysia. Fokus untuk landskap urban, e-motosikal bertaraf premium ini hadir dengan roda bersaiz besar yang menjanjikan daya tahan serta pengalaman menunggang merentasi pelbagai permukaan jalan.
Roda hadapan BMW CE 02 dipadan oleh fork teleskopik hidraulik, manakala single-side swingarm serta komponen sistem suspensi di belakang. Tayar kenderaan dimuatkan pada roda aloi ringan yang mempunyai rekaan roda cakera kontemporari dan brek cakera.
Dimensi, Prestasi CE 02
Dengan fokus ke atas pengalaman tunggangan dinamik, e-motosikal premium ini hanya mempunyai berat 132 kg sahaj. Dari segi dimensi, ia berukuran panjang 1970 mm dan tinggi 1140 mm dari perisai anginnya.
BMW CE 02 membawakan output kuasa maksimum sebanyak 11 kW (15 hp) dan 55 Nm tork. Ia membolehkan pecutan 0 ke 50 km/j dalam tempoh sekitar 3 saat. Dirumus untuk persekitaran urban dan tunggangan bebas emisi, BMW CE 02 mampu mencecah kelajuan tertinggi 95 km/j.
Bateri, Jarak Perjalanan & lain-lain…
Dilengkapi dengan bateri ion litium 6 kWj, penunggang dapat menikmati jarak operasi maksimum sejauh 100 km. Proses pengecasan bateri ini juga dijadikan lebih mudah dengan rangkuman alat pengecas 900 W.
Tambahan lagi, keupayaan pengecasan pantas sehingga 1500W juga mampu mengurangkan waktu pengecasan kepada sekitar 1 jam 40 minit dari status bateri 20% hingga 80%. Manakala dari 0% hingga 100% akan mengambil masa 3 jam 30 minit, menjadikan pengalaman para penunggang lebih fleksibel.
Mod Tunggangan, Kosmetik CE 02
BMW CE 02 baharu menampilkan skrin paparan berwarna TFT 3.5 inci, dengan padanan aplikasi BMW Motorrad Connect. Aplikasi ini membekalkan kemudahan navigasi, status kenderaan serta statistik berguna untuk menaik taraf pengalaman menunggang.
E-motosikal premium ini turut didatangkan dengan tiga mod tunggangan secara standard, iaitu “Flow”, “Surf” dan “Flash”. Mod “Flow” mengoptimumkan tunggangan santai dalam landskap urban. Manakala mod “Surf” membekalkan pengalaman tunggangan serba dinamik untuk kesibukan kawasan bandar. Bagi mereka yang menginginkan ciri tunggangan yang lebih sporty, mod “Flash” adalah sempurna untuk anda.
Melengkapi perincian ini, BMW CE 02 baharu turut hadir dengan soket USB, fungsi tunggangan tanpa kunci, bantuan mengundur dan mod sangga (cradle) menerusi aplikasi BMW Motorrad Connect.
Ia membolehkan penunggang mengakses paparan tambahan melalui pad kekunci pada bar hendal dan ia merangkumi pendakap telefon bimbit secara standard, justeru memudahkan pengintegrasian teknologi semasa perjalanan.

BMW F 900 GS Baharu
Memperkenalkan F 900 GS baharu dengan keupayaan “offroad”, jelajah, dan kembara yang lebih unggul. Ia hadir dengan aneka fungsi dan teknologi serba inovatif yang disesuaikan untuk pasaran tempatan.
Memberi nafas baharu kepada kehandalannya, motosikal ini tampil dengan kegunaan offroad yang ditambah baik, pengurangan berat yang signifikan, iaitu sebanyak 14 kg yang menjadikan jumlah beratnya 219 kg.
F 900 GS baharu memuatkan teknologi pencahayaan yang canggih untuk menjamin daya lihat pada waktu siang dan malam yang lebih baik.
Kapasiti bahan api adalah sebanyak 14.5 liter dan tip ekzos dari Akrapovič. F 900 GS kini membawakan Enduro Pro Paket, yang meliputi fork teleskopik titanium terbalik yang boleh dilaras sepenuhnya dan pelbagai lagi perician untuk membantu penunggang.
Selain pembaharuan dari sudut dinamisme, BMW F 900 GS turut hadir dengan pelbagai kelengkapan yang praktikal serta mesra penunggang, ia termasuk pelindung enjin dan tangan, heated throttle dan menawarkan ciri kawalan dan ergonomik yang lebih sesuai.
Paparan instrumen TFT bersaiz 6.5 inci yang diperbaharui dengan pilihan Connect menawarkan ciri hubungan, navigasi dan sistem pengurusan panggilan telefon pintar. Para peminat juga pasti teruja dengan reka bentuk pelananya yang lebih ramping dan tirus, memastikan kestabilan dan juga keselesaan ketika menunggang secara offroad.

BMW R 1300 GS Baharu
Tunggangan BMW GS yang paling ikonik kini ditambah baik dengan pengurangan berat yang signifikan sebanyak 12 kg berbanding pendahulunya. Dengan menggabungkan ekzos baharu dan reka bentuk yang lebih ramping, BMW R 1300 GS memberikan pengendalian yang lebih lancar dan responsif untuk penunggang.
Model ini juga menampilkan enjin boxer 1300 cc baharu yang meningkatkan kuasa dan tork, memberikan prestasi yang lebih hebat dalam semua keadaan.
BMW R 1300 GS baharu menampilkan ciri pencahayaan yang canggih, termasuk pencahayaan waktu siang dan lampu hadapan LED matriks. Motosikal ini juga membawakan lampu hadapan LED tambahan yang meningkatkan daya lihat di luar jalan raya. Sementara Headlight Pro yang dinamik melaras dan mencahayakan laluan penunggang semasa membelok.
BMW R 1300 GS baharu hadir dalam warna Triple Black, Racing Blue Metallic dan Option 719 Tramuntana, setiap satu mencerminkan tema boxer GS yang ikonik dengan bentuk yang segak.
Prestasi R 1300 GS
Direka semula agar bersifat lebih kompak, jantung BMW R 1300 GS baharu ialah enjin boxer dua silinder yang ikonik. Hadir dengan nilai sesaran 1,300 cc, ia mampu menjana output berjumlah 107 kW (145 hp) dengan tork 149 Nm.
Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik (DSA) juga turut menerima kemas kini dan ia lebih responsif berdasarkan mod tunggangan dan keadaan jalan raya.
Model ini juga turut meningkatkan bilangan mod tunggangan yang ditawarkan. Kini hadir dengan empat pilihan berbanding tiga untuk memenuhi keperluan penunggang yang pelbagai.
Mod “Rain” dan “Road” menawarkan pengalaman tunggangan berciri boleh suai yang sempurna bagi pelbagai kondisi jalan raya. Mod “Eco” pula memaksimumkan penggunaan bahan api, membolehkan jentera ini ditunggang pada jarak maksimum dengan satu tangki penuh.
Sementara mod “Enduro” memperkayakan pengalaman menunggang off road dengan tetapan khas yang dirumus untuk laluan yang mencabar. Memudahkan penunggang untuk mengembara dengan lebih yakin.
Untuk perincian keselamatan, ia termasuk dengan ABS Pro untuk sistem brek yang lancar serta Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) untuk meningkatkan stabiliti. Motosikal ini menawarkan pengalaman tunggangan yang selamat dan mengujakan di atas semua jenis laluan.

BMW S 1000 XR Baharu
Untuk penunggang yang mencari prestasi tinggi dan pengembaraan jalan raya, BMW S 1000 XR baharu menawarkan pengalaman yang tiada tandingan. Dengan teknologi canggih, termasuk sistem suspensi dinamik dan mod tunggangan yang boleh disesuaikan. Jentera ini memastikan perjalanan yang selesa dan terkawal walaupun pada kelajuan tinggi.
BMW S 1000 XR baharu menampilkan teknologi pencahayaan yang canggih, hadir dengan indikator membelok LED, unit lampu belakang, serta lampu hadapan.
Lampu Tambahan LED yang baharu turut menambahbaik aspek pencahayaan. Sementara Headlight Pro DRL (Daytime Riding Light) meningkatkan tahap kebolehlihatan motosikal ini pada waktu siang. Penawaran warna yang standard bagi BMW S 1000 XR baharu meliputi Gravity Blue Metallic dan Blackstorm Metallic.
Prestasi S 1000 XR
S 1000 XR baharu dikuasakan oleh enjin sebaris empat silinder dengan output 170 hp dan 114 Nm tork. Kelajuan tertinggi melebihi 250 km/j.
Model ini juga membawakan empat mod tunggangan untuk kemudahan penunggang: Rain, Road, Dynamic, dan Dynamic Pro. Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan fungsi DTC Wheelie generasi baru.
Selain itu, model baharu juga menawarkan Shift Assist Pro yang membolehkan gear ditukar dengan lancar tanpa penglibatan klac, meningkatkan lagi aspek kawalan dan juga prestasi. Turut memperkayakan ciri-ciri kemudahannya ialah aneka aksesori standard seperti Tunggangan Tanpa Kunci dan sistem pengantara pengecasan USB.
Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi barisan jentera yang terbaharu ini ialah:
BMW CE 02 Baharu | RM 38,500.00 |
BMW F 900 GS Baharu | RM 88,500.00 |
BMW S 1000 XR Baharu | RM 129,500.00 |
BMW 1300 GS Baharu | RM 138,500.00 |
dengan tawaran warna Option 719 Tramuntana | RM 149,500.00 |
Kehadiran barisan motosikal baharu ini bukan sahaja mencerminkan komitmen BMW dalam memajukan industri ini. Namun untuk memberikan pengalaman tunggangan yang tidak dapat dilupakan bagi peminat motosikal di Malaysia.
Baca: BMW R 18 Roctane Penerus Warisan dengan Gaya Moden yang Mempesona
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
KTM 990 Duke R – Naked dengan Peningkatan Kuasa dan Teknologi

Selepas kejayaan model 990 Duke dalam pasaran, KTM kini memperkenalkan versi lebih bertenaga dan agresif iaitu 990 Duke R. Versi ini hadir dengan pelbagai naik taraf yang bukan sahaja meningkatkan kuasa, tetapi juga aspek suspensi, brek, dan sistem paparan. Inilah motor yang direka khas untuk penggemar kelajuan dan mereka yang mencari pengalaman tunggangan lebih ekstrem.
Reka Bentuk Lebih Sporty dan Agresif
KTM 990 Duke R tampil dengan reka bentuk yang lebih sporty berbanding model asal. Ia menampilkan panel badan plastik berwarna putih dengan kerangka utama dan belakang dicat oren yang menjadi tanda ikonik KTM.
Motor ini secara standard hadir dengan tetapan tempat duduk tunggal, tetapi boleh ditukar kepada tempat duduk penumpang. Reka bentuk ini memberikan aura agresif dan kemas untuk model naked berprestasi tinggi.

Enjin Dua Silinder dengan Peningkatan Kuasa
Kuasa enjin KTM 990 Duke R didorong oleh unit dua silinder selari 947 cc LC8c yang kini menghasilkan 130 PS – meningkat 7 PS berbanding model 990 Duke biasa. Tork kekal pada 103 Nm pada 10,500 rpm. Memberikan prestasi yang lebih padu dan responsif.
Model ini juga menyediakan empat mod tunggangan: Street, Rain, Sport, dan tambahan baharu iaitu mod Custom yang boleh diubah suai mengikut keperluan penunggang. Bagi yang inginkan lebih, mod Performance dan Track boleh dipilih sebagai opsyen tambahan.
Suspensi WP Apex yang Lebih Mantap
Bagi menyesuaikan peningkatan kuasa, KTM turut menaik taraf sistem suspensi. Fork depan WP Apex kini berdiameter 48 mm. Lebih besar dari 43 mm pada model asal, dan tetapan lebih keras sebanyak 34% dengan jarak gerak 143 mm.
Di belakang pula, monoshock WP Apex yang dilengkapi sistem linkage memberikan kestabilan dan kawalan lebih baik, dengan jarak gerak kini 140 mm. Sedikit berkurangan dari model asal tetapi tetap berkesan untuk kawalan. Dengan peningkatan ini, tempat duduk kini lebih tinggi pada 840 mm. Meningkatkan jarak condong motor hingga tiga darjah lagi, menjadikannya lebih stabil di selekoh tajam.
Sistem Brek Monoblock Brembo Stylema untuk Hentian Mantap
Sistem brek juga tidak ketinggalan dalam peningkatan ini. KTM telah menambah baik angkup empat piston pada model asal kepada angkup monoblock Brembo Stylema.
Dipadankan dengan pam atas Brembo MCS dan cakera berkembar lebih besar berukuran 320 mm di bahagian depan. Sistem brek ini menjanjikan kawalan hentian yang lebih cekap dan selamat. Di bahagian belakang, terdapat cakera dengan angkup satu piston yang mampu memberikan respons brek yang memadai.

Paparan Skrin TFT 8.8 Inci Berteknologi Tinggi
KTM 990 Duke R kini dilengkapi dengan skrin TFT yang dinaik taraf kepada 8.8 inci. Jauh lebih besar dari 5 inci pada 990 Duke. Skrin ini diletakkan secara mendatar dan menyokong pelbagai paparan serta sambungan. Memudahkan penunggang untuk memantau status motor dan menukar tetapan dengan lebih mudah.
Ciri-Ciri Tambahan untuk Pengalaman Tunggangan Lebih Mantap
Tidak dilupakan, KTM 990 Duke R hadir dengan rim 17 inci yang dilengkapi tayar Michelin Power Cup 2 bersaiz 120/17 di depan dan 180/55 di belakang. Menjamin cengkaman maksimum pada permukaan jalan. Walaupun mempunyai pelbagai peningkatan, berat motor ini kekal pada 190 kg.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan tangki bahan api 14.8 liter, lampu LED, sistem anti-wheelie lima tahap, kawalan cengkaman, ABS dengan mod Sport dan Supermoto+. Serta launch control untuk pelancaran lebih padu.
Harga bagi pasaran tempatan belum diketahui lagi, namun, ia akan sedikit mahal berbanding KTM Duke 990 yang berada di pasaran sekarang dengan harga RM99,800.
Secara keseluruhannya, KTM 990 Duke R adalah motor naked yang penuh dengan ciri-ciri canggih dan keupayaan prestasi tinggi, sesuai untuk peminat yang mencari pengalaman tunggangan lebih agresif dan penuh gaya.
Dari Paultan
Baca Juga KTM Malaysia Lancar Empat Model Duke Terbaru Sempena Ulang Tahun ke-30
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.