Aveta Malaysia terus mengukuhkan Program Perkhidmatan Pelanggan dengan mengumumkan perlantikan lapan (8) stokis baru di pelbagai negeri. Ini secara langsung membuka peluang bagi pelanggan untuk lebih mudah mendapatkan alat ganti tulen Aveta di seluruh Malaysia.
Keputusan untuk melantik stokis baharu ini adalah sebahagian daripada inisiatif Program Perkhidmatan Pelanggan Aveta yang dilancarkan semasa pengenalan Aveta Ranger Max Explorer pada tahun 2023.
Antara ciri-ciri penting Program Perkhidmatan Pelanggan Aveta adalah Program Aveta Care on Wheels yang menyediakan satu trak pikap dan tiga motosikal untuk memberikan sokongan kepada pelanggan di seluruh negara. Ini adalah langkah yang diperlukan untuk menangani masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh pengedar sah Aveta.
Kredit Foto: Aveta Motorcyle
Di samping itu, terdapat Aveta Service Corner di mana pengedar sah Aveta menyediakan satu sudut khas di pusat jualan mereka untuk servis dan penyelenggaraan motosikal Aveta. Dengan ini, pemilik motosikal Aveta dapat memperoleh khidmat yang berkualiti dengan mudah.
Ads
Perlantikan stokis Aveta adalah langkah penting bagi memastikan pemilik motosikal Aveta mendapat akses cepat kepada alat ganti tulen. Ini juga memastikan keaslian dan kesesuaian alat ganti dengan motosikal Aveta.
Menurut Encik Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, pelantikan stokis ini wujud kerana keprihatinan Aveta terhadap kepuasan pelanggan. Beliau menyatakan bahawa pelanggan adalah aset yang amat berharga dan Aveta berusaha untuk menawarkan perkhidmatan terbaik demi memenuhi keperluan mereka.
Kredit Foto: Aveta Motorcyle
Lapan (8) stokis baharu telah dilantik di pelbagai negeri termasuk Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Sabah, dan Sarawak. Stokis-stokis ini sudah mula beroperasi untuk memastikan pelanggan mendapat bekalan alat ganti tulen dengan serta-merta.
Ads
Bagi pelanggan yang memerlukan bantuan atau maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi talian khidmat pelanggan alat ganti Aveta pada waktu pejabat. Selain itu, maklumat lanjut mengenai stokis Aveta boleh didapati melalui laman web rasmi Aveta.
Suzuki Malaysia kembali menggegarkan dunia permotoran tempatan dengan pelancaran semula model ikonik mereka – Suzuki SV650.
Tapi ini bukan sekadar kemunculan semula, ini adalah penghormatan terakhir buat sebuah legenda dua roda yang telah mencipta nama selama lebih dua dekad.
SV650 kini tampil dalam edisi penamat. Namun tetap membawa DNA pahlawan Samurai – mantap, bergaya dan tak gentar cabaran.
Pelancaran rasmi ini diadakan sempena acara tahunan AMI-Suzuki Syoknya Raya! 2025 yang berlangsung meriah di MATRADE Exhibition Hall, Kuala Lumpur. Acara ini bukan sekadar tempat untuk memperkenalkan model baharu, tapi juga medan untuk menyatukan komuniti pemilik motosikal Suzuki dari seluruh negara dalam suasana Aidilfitri penuh kemeriahan.
Acara ini juga menandakan kebangkitan semula Suzuki dalam arena perlumbaan menerusi pasukan baharu, AMI Suzuki Motorsport (ASM). Projek perlumbaan ini berasaskan SV650, dan ia membuka ruang buat peminat dan pemilik untuk menjadi sebahagian daripada legasi lumba Suzuki.
ASM akan bersaing dalam dua kejohanan utama: MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK1000) dan MotoMSF – MSF Superbike. Sebuah lagi jentera lumba yang mencuri tumpuan adalah GSX-R1000R versi perlumbaan. Lengkap dengan naik taraf prestasi hasil sentuhan pakar dari Yoshimura Japan.
Untuk memastikan persiapan rapi dan jentera benar-benar bersedia, Suzuki Malaysia melantik ZK Racing yang diterajui oleh bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin.
Dua pasukan kilang di bawah ASM ialah AMI-Suzuki Motorsport (ASM) diketuai oleh pelumba kebangsaan Adam Norrodin. Serta Mobilub Suzuki Racing Team (MSRT) yang menampilkan lima pelumba termasuk tiga bakat antarabangsa.
Pendek kata, musim perlumbaan kali ini bakal penuh aksi dan drama!
SV650 bukan sekadar motor biasa. Ia adalah simbol kehalusan seni kejuruteraan Suzuki. Di sebalik reka bentuk retro-modernnya, terletak enjin V-Twin 645cc yang cukup berkuasa. Dipadankan dengan kerangka Lattice Trellis yang ringan, ia menjadikan SV650 cukup lincah di selekoh dan yakin di jalan bandar.
Pengalaman menunggangnya? Memang padu. Dengan teknologi seperti Low RPM Assist (bantu mengekalkan enjin hidup pada kelajuan rendah) dan Easy Start System (start satu sentuhan).
SV650 mesra untuk penunggang baru tapi tetap bertenaga buat rider berpengalaman. Tambahan pula, dengan ketinggian pelana 785mm dan reka bentuk tubuh yang slim, SV650 sangat mudah dikawal.
SV650 kini boleh didapati dengan harga RM29,900 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan & insurans), hadir dalam tiga warna menarik:
Bagi yang berminat, anda boleh melihat model ini di mana-mana Suzuki Big Bike World atau Suzuki Station Plus seluruh negara. Nak tahu lokasi showroom terdekat? Layariwww.suzuki.com.my dan alami sendiri semangat Samurai moden atas dua roda!
Oscar Piastri semakin membuktikan dirinya sebagai calon serius untuk kejuaraan dunia Formula 1 musim ini. Beliau meraih kemenangan ketiga musim ini di Grand Prix Arab Saudi.
Lebih manis, kejayaan di Litar Jeddah Corniche itu menjadikan pelumba McLaren dari Australia ini sebagai pendahulu baharu kejuaraan dunia. Menewaskan Max Verstappen dan Charles Leclerc dalam perlumbaan yang penuh drama.
Perlumbaan dimulakan dengan pertarungan sengit antara Piastri dan Verstappen. Di mana kedua-duanya saling bergasak menuju ke selekoh pertama. Verstappen memotong selekoh terlalu agresif dan mengekalkan kedudukan di depan.
Namun pelumba Red Bull itu dikenakan hukuman lima saat, yang perlu dilaksanakan semasa hentian pit. Hukuman itu memberi kelebihan kepada Piastri yang mengambil alih kedudukan pendahulu selepas Verstappen menyelesaikan hukumannya.
Sementara itu, Lando Norris yang bermula dari tempat ke-10 akibat insiden semasa sesi kelayakan. Mencuri perhatian dengan strategi bijak memulakan perlumbaan dengan tayar keras.
Dia sempat mendahului perlumbaan buat seketika. Sebelum masuk pit dan menyerahkan kembali takhta kepada Piastri.
Dari situ, Piastri tidak lagi menoleh ke belakang. Dengan pace yang konsisten dan tayar yang dijaga rapi. Pelumba berusia 24 tahun itu menamatkan perlumbaan 2.8 saat di hadapan Verstappen. Leclerc pula menamatkan saingan di tempat ketiga, menandakan podium pertama beliau musim ini untuk Ferrari.
Norris, walaupun berusaha keras mengejar Leclerc di akhir perlumbaan, terpaksa berpuas hati di tempat keempat. Di belakangnya, dua pelumba Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli, masing-masing di tempat kelima dan keenam.
Lewis Hamilton pula menambah mata penting buat Ferrari selepas berpindah dari Mercedes, apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Williams turut mencuri tumpuan dengan keputusan dua pelumba mereka dalam kedudukan mata. Carlos Sainz, kini bersama pasukan Grove itu, menamatkan di tempat kelapan — pencapaian terbaiknya setakat ini bersama Williams.
Manakala rakan sepasukan Alex Albon mengisi tempat kesembilan. Pelumba muda Racing Bulls, Isack Hadjar, hampir berjaya mencuri tempat terakhir dalam mata, namun terpaksa akur di tempat ke-10.
Fernando Alonso sekali lagi gagal mengutip mata, di tempat ke-11, dan masih belum membuka akaun mata musim ini. Liam Lawson turut gagal menamatkan dalam 10 teratas selepas dikenakan hukuman 10 saat kerana memotong luar litar dalam insiden bersama Jack Doohan.
Pelumba-pelumba Haas, Ollie Bearman dan Esteban Ocon, masing-masing di tempat ke-13 dan 14. Diikuti Nico Hulkenberg (Kick Sauber), Lance Stroll (Aston Martin), Doohan (Alpine), dan Gabriel Bortoleto menutup senarai pelumba yang menamatkan perlumbaan.
Malang buat Pierre Gasly dan Yuki Tsunoda, apabila kedua-duanya bertembung pada pusingan pertama. Mencetuskan fasa Safety Car dan menyebabkan penarikan awal dari perlumbaan.
Dengan kemenangan ini, Piastri kini mendahului kejuaraan dengan kelebihan 10 mata daripada Norris. Menjadikannya pelumba Australia pertama mendahului carta F1 dalam 15 tahun, sejak Mark Webber — yang kini bertindak sebagai pengurusnya.
Piastri berkata, “Perlumbaan ini memang mencabar. Kunci kemenangan adalah di selekoh pertama. Lepas tu, perlumbaan jadi milik kami. Masih ada ruang untuk perbaiki, sebab Max terlalu hampir, tapi secara keseluruhan, perlumbaan dan hujung minggu yang hebat.”
Seterusnya, F1 akan ke Miami dari 2 hingga 4 Mei. Adakah Piastri akan terus mengukuhkan kedudukannya, atau Verstappen bakal bangkit semula? Kita tunggu dan lihat!
Pada tahun 2008, Perodua membuat langkah berani dengan melancarkan sebuah SUV kompak premium bernama Perodua Nautica 4WD.
Model ini merupakan pengganti kepada Perodua Kembara yang popular pada akhir 1990-an.
Namun, berbeza dengan Kembara yang mampu menguasai 60% pasaran SUV Malaysia pada tahun 1999 sebagai SUV pacuan 4 roda mampu milik, Nautica tampil sebagai produk niche berharga hampir RM90 ribu angka yang menjadikannya kereta termahal pernah membawa lencana Perodua pada masa tersebut.
Artikel ini mengupas sejarah pengenalan Nautica di Malaysia, spesifikasi teknikal utamanya, keunikan reka bentuknya berbanding model kembarnya di Jepun (Daihatsu Terios/Be-go), sebab ia dihentikan pengeluaran, serta pandangan pengguna selepas model ini berkubur.
Perodua Nautica dilancarkan pada Mei 2008 sebagai SUV kompak 5-tempat duduk hasil kerjasama Perodua-Daihatsu.
Seperti model Perodua sebelumnya, Nautica juga berasaskan model Daihatsu dan dalam kes ini Daihatsu Terios generasi kedua versi jarak roda pendek, yang turut dikenali sebagai Daihatsu Be-go di Jepun dan mempunyai kembar panjang 7-tempat duduk Toyota Rush untuk pasaran lain.
Namun, berlainan daripada amalan biasa Perodua yang memasang kereta di kilang tempatan, Nautica diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan ini adalah pertama kali dalam sejarah Perodua membawa masuk model siap pasang dari luar.
Hanya beberapa komponen luaran seperti gril hadapan dan bampar depan/belakang dipasang dengan rekaan tempatan di Malaysia manakala selebihnya adalah binaan asal Jepun.
Perodua juga memilih nama baharu “Nautica” (berasal daripada perkataan nautical yang bermaksud kelautan) bagi menggantikan nama “Kembara” yang pernah sinonim dengan SUV kompak mereka.
Ini melambangkan langkah Perodua meneroka “perairan” baharu dalam segmen SUV urban premium dan satu pertaruhan besar berbekalkan reputasi kejayaan model-model kompak mereka seperti Myvi dan Viva pada ketika itu.
Pelancaran Nautica dilakukan secara sederhana, dengan Perodua hanya menyasarkan jualan 150–200 unit sebulan atau sekitar 5% daripada pasaran SUV tempatan jauh lebih rendah berbanding dominasi Kembara satu dekad sebelumnya.
Hanya satu varian ditawarkan dan bertransmisi automatik sahaja, dengan pilihan dua warna badan iaitu Medallion Grey dan Majestic Black.
Harga atas jalan ditetapkan sekitar RM89,900 termasuk insurans menjadikannya lebih kurang setara dengan Toyota Rush versi 1.5L yang lebih besar dan berkapasiti 7 tempat duduk.
Keputusan menjadikan Nautica model CBU premium menimbulkan tanda tanya kerana ia dilihat bertentangan dengan falsafah Perodua sebagai pengeluar nasional kenderaan mampu milik.
Namun, Perodua mempertahankan langkah ini dengan alasan ketiadaan volum jualan yang mencukupi untuk pemasangan tempatan, sambil berharap reputasi kualiti buatan Jepun akan menarik pembeli khusus yang mahukan SUV kompak berprestij.
Sebagai SUV kompak urban, Perodua Nautica hadir dengan spesifikasi teknikal yang agak mengagumkan untuk kelasnya.
Model ini menggunakan enjin 1.5 liter DVVT (3SZ-VE) empat silinder sebaris dengan kuasa sekitar 109 hp pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,400 rpm.
Enjin bersesaran sederhana ini sama dengan yang digunakan pada Toyota Avanza dan Rush 1.5L, membolehkan kos penyelenggaraan dan alat ganti lebih mudah didapati.
Padanan transmisi pula ialah kotak gear automatik 4-kelajuan (tiada pilihan manual ditawarkan).
Menariknya, Nautica dilengkapi sistem pacuan semua roda sepenuh masa (full-time 4WD) dengan diferensial tengah yang boleh dikunci apabila diperlukan untuk cengkaman maksima.
Butang pengunci 4WD disediakan pada papan pemuka untuk mengaktifkan mod tersebut, memaksa agihan kuasa 50:50 ke gandar depan dan belakang bagi kondisi off-road atau jalan licin.
Ciri pacuan 4WD sepenuh masa ini membezakan Nautica daripada Toyota Rush spesifikasi Malaysia ketika itu yang hanya didatangkan dengan pacuan 2-roda belakang sahaja demi penjimatan kos.
Dari segi casis dan suspensi, Nautica dibangunkan berasaskan platform Daihatsu Terios/Avanza dengan tetapan pacuan enjin hadapan, pacuan belakang/4 roda.
Struktur casis monokoknya diperkuatkan sehingga 30% lebih tegar berbanding model Avanza untuk mengimbangi keperluan off-road ringan.
Sistem suspensi menggunakan topang MacPherson di depan dan gandar hidup dengan suspensi berpegas di belakang konfigurasi yang lazim untuk SUV kecil ketika itu.
SUV kompak ini mempunyai berat sekitar 1,200 kg dengan dimensi 4115 mm panjang, 1695 mm lebar, 1740 mm tinggi, menjadikannya agak pendek dan sempit berbanding Toyota Rush (versi Rush lebih panjang ~4.4 m dengan tambahan barisan tempat duduk ketiga).
Jarak kelegaan tanah Nautica mencukupi untuk kegunaan urban dan sedikit lasak, dan ia dipadankan dengan roda aloi 16-inci serta tayar 215/65 R16 sebagai standard.
Dari sudut ciri keselamatan, Nautica tidak diketepikan meskipun ia model “niche”.
Ia dilengkapi dengan dua beg udara SRS di bahagian hadapan untuk pemandu dan penumpang, serta sistem brek ABS anti-kunci dengan EBD (agihan daya brek elektronik) dan BA (bantuan brek) sebagai standard.
Binaan rangka badan juga direka dengan ciri crash resistant untuk menyerap impak perlanggaran, disertai perlindungan untuk pejalan kaki dan sistem pedal brek yang mengelakkan intrusi ke kabin semasa kemalangan.
Masuk ke ruang dalaman, Nautica menawarkan kabin 5-tempat duduk dengan susun atur dua baris.
Kemasan interior berwarna gelap memberikan suasana lebih elegan dan kurang mudah kotor.
Walaupun saiz luaran kompak, ruang kabin dioptimumkan, Perodua menyatakan panjang ruang dalam 1800 mm dengan jarak legroom dan headroom yang mencukupi untuk penumpang dewasa di depan dan belakang.
Tempat duduk belakang boleh dilipat rata untuk menambah kapasiti kargo (kapasiti but asas sekitar 380 liter).
Dari segi kelengkapan, Nautica dilengkapkan dengan penyaman udara manual, pemain audio CD dengan sokongan radio, serta panel instrumen tiga meter bulat yang jelas.
Terdapat juga paparan maklumat pemanduan pelbagai info (MID) pada kluster meter yang memaparkan data seperti jam, purata penggunaan petrol, suhu luaran, dan anggaran jarak perjalanan yang masih boleh ditempuh dengan baki bahan api.
Cermin sisi luar adalah jenis boleh laras dan boleh lipat secara elektrik serta dilengkapi lampu isyarat sisi terbina, satu ciri premium pada masa itu.
Keseluruhannya, Nautica hadir penuh dengan spesifikasi standard tinggi untuk sebuah SUV kompak; ia seolah-olah “Kembara versi mewah” dengan teknologi 4WD moden dan ciri keselesaan yang ditingkatkan.
Dari segi reka bentuk luaran, Perodua Nautica secara asasnya sama dengan Daihatsu Terios versi Jepun (Be-go), kecuali beberapa sentuhan kosmetik untuk identiti Perodua.
Bahagian muka depan Nautica menampilkan gril dengan logo Perodua dan rekabentuk bampar unik buatan tempatan, berbeza sedikit daripada Terios/Be-go asal.
Lampu hadapan Nautica ialah jenis projektor halogen dengan lampu kabus di bampar, manakala lampu belakang menggunakan kluster konvensional jernih berlapis reflektor, kombinasi yang serupa dengan model Jepun pra-facelift.
Rim aloi 5 jejari berukuran 16” melengkapkan penampilan sisi, bersama spoiler kecil di pintu belakang dan tayar ganti yang dipasang pada pintu but ala kenderaan off-road tradisional (ciri ini sama bagi Terios/Be-go dan Nautica).
Rail bumbung juga disertakan, menyerlahkan imej SUV yang praktikal untuk membawa barangan tambahan di atas bumbung.
Di bahagian dalaman, Nautica mendapat stereng berlogo Perodua dan kemasan sedikit berbeza, tetapi susun atur papan pemuka dan tempat duduk adalah serupa dengan model Daihatsu.
Menariknya, pada model JDM Daihatsu Be-go, tuil gear automatik diletakkan di konsol tengah tetapi lebih dekat ke papan pemuka (sedikit condong ke depan) untuk ergonomik – namun bagi Nautica, Perodua memilih untuk mengekalkan kedudukan tuil gear konvensional di antara kerusi hadapan seperti kereta biasa.
Keputusan ini barangkali bagi mengurangkan kos perubahan dalaman, memandangkan Nautica dijual dalam volum rendah.
Selain itu, tiada perbezaan ketara dari aspek teknikal antara Nautica dan kembar Jepunnya – kedua-duanya menggunakan enjin 1.5L yang sama, transmisi 4AT dan sistem 4WD sepenuh masa dengan pusat diferensial.
Satu kelebihan Nautica berbanding Toyota Rush pasaran Malaysia ketika itu adalah Nautica hadir standard dengan 4WD, manakala Rush (yang diimport dari Indonesia dalam versi jarak roda panjang) hanya ditawarkan dengan pacuan 2WD dan tambahan barisan ketiga tempat duduk.
Namun, kelebihan 4WD Nautica ini datang bersama kelemahan kapasiti penumpang – Nautica hanya muat untuk 5 orang, sedangkan Toyota Rush mampu memuatkan 7 penumpang.
Dari segi pilihan transmisi, Nautica agak terbatas kerana tiada pilihan manual, sedangkan di pasaran luar (contohnya Indonesia) Daihatsu Terios/Toyota Rush ada menawarkan varian transmisi manual untuk pemandu yang mahukan lebih kawalan.
Secara keseluruhan, rekabentuk Nautica kemas dan berketerampilan sebagai SUV bandar.
Namun, tiada perbezaan signifikan secara visual yang benar-benar menonjolkannya berbanding Terios/Be-go kecuali logo.
Bagi pemerhati biasa, Nautica mungkin kelihatan seperti Toyota Rush versi pendek.
Perodua juga hanya menawarkan Nautica dalam dua warna sahaja (kelabu gelap dan hitam), berbanding Daihatsu yang mungkin mempunyai lebih banyak pilihan warna di Jepun.
Ini menjadikan Nautica agak eksklusif tetapi kurang menonjol di jalan raya.
Rekaan dalaman dan luaran yang hampir sama dengan model Jepun mencerminkan hakikat Nautica adalah hasil rebadge minimum sesuai dengan produksi terhad di mana Perodua tidak menanggung kos rekaan semula besar-besaran untuk model ini.
Usia pemasaran Perodua Nautica ternyata sangat singkat.
Kurang setahun selepas dilancarkan, sekitar pertengahan 2009, model ini dihentikan penjualannya secara senyap tanpa gembar-gembur.
Hanya sebanyak 489 unit Nautica berjaya dijual di seluruh Malaysia menjadikannya antara model Perodua paling rare pernah dihasilkan.
Perodua tidak memperkenalkan pengganti Nautica sehinggalah hampir 10 tahun kemudian (Perodua Aruz pada 2019, itupun dengan kerjasama model Toyota/Daihatsu tetapi dipasang dalam negara dan dijual pada harga jauh lebih rendah).
Kereta Elektrik: Mengapa Di Malaysia Masih Ramai Skeptikal?
Kereta elektrik semakin mendapat perhatian pengguna, namun masih ada yang mempersoalkan kesesuaiannya untuk kegunaan harian.Dalam beberapa tahun...