Lesen memandu antarabangsa adalah dokumen penting bagi sesiapa yang ingin mengembara ke negara asing dan memandu kenderaan di sana. Bagi pemegang lesen memandu Malaysia yang ingin melaksanakan perjalanan antarabangsa dengan kenderaan, lesen memandu antarabangsa adalah keperluan yang penting. Artikel ini akan menjelaskan bagaimana anda boleh memohon lesen memandu antarabangsa dari Malaysia dan negara mana yang tidak memerlukannya.
Tapi sebelum kita pergi dengan lebih mendalam, apa itu Lesen Memandu Antarabangsa?
Lesen memandu antarabangsa adalah satu dokumen yang membenarkan pemegang lesen memandu Malaysia untuk menggunakan kenderaan di negara asing secara sah. Ia biasanya dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia. Lesen ini mengesahkan kemampuan seseorang untuk mengemudi kenderaan dan merujuk kepada jenis lesen memandu yang mereka miliki di Malaysia.
Kredit Foto: Razinruslan.wordpress
Cara Memohon Lesen Memandu Antarabangsa:
Ads
Pastikan Anda Memiliki Lesen Memandu Malaysia yang Sah: Sebelum memohon lesen memandu antarabangsa, pastikan lesen memandu Malaysia anda adalah sah dan tidak tamat tempoh.
Kunjungi Pejabat JPJ: Anda perlu pergi ke pejabat JPJ di kawasan anda untuk membuat permohonan. Pastikan anda membawa dokumen-dokumen berikut:
– Kad pengenalan anda
– Lesen memandu Malaysia anda
– Gambar pasport terkini
Ads
– Borang permohonan permit memandu antarabangsa yang telah diisi
Bayar Caj Permohonan: Anda perlu membayar caj permohonan yang ditetapkan oleh JPJ. Sila semak dengan pejabat JPJ tempatan untuk mengetahui jumlah yang sepatutnya.
Tunggu untuk Mendapat Lesen Memandu Antarabangsa: Selepas membuat permohonan, anda perlu menunggu beberapa hari hingga beberapa minggu sebelum lesen memandu antarabangsa anda dikeluarkan. Pastikan anda memohon dengan masa yang mencukupi sebelum tarikh perjalanan antarabangsa anda.
Pengambilan Lesen Memandu Antarabangsa: Setelah lesen memandu antarabangsa anda dikeluarkan, ambil dokumen tersebut dari pejabat JPJ.
Kredit Foto: Razinruslan.wordpress
Walaupun lesen memandu antarabangsa adalah penting untuk banyak destinasi antarabangsa, terdapat beberapa negara yang membenarkan pemegang lesen memandu Malaysia untuk mengemudi di sana tanpa lesen memandu antarabangsa. Negara-negara ini termasuk:
Ads
Singapura: Pemegang lesen memandu Malaysia boleh memandu di Singapura selama tempoh lawatan mereka tidak melebihi 3 bulan.
Thailand: Anda boleh menggunakan lesen memandu Malaysia di Thailand selama tempoh lawatan anda tidak melebihi 3 bulan.
Indonesia: Pemegang lesen memandu Malaysia boleh menggunakan lesen memandu mereka di Indonesia selama tempoh lawatan mereka tidak melebihi 3 bulan.
Brunei: Lawatan ke Brunei selama 3 bulan atau kurang membolehkan pemegang lesen memandu Malaysia mengemudi di sana tanpa lesen antarabangsa.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk memeriksa peraturan dan terma untuk setiap negara yang anda niat untuk mengembara. Terdapat negara-negara yang mungkin memerlukan lesen memandu antarabangsa, jadi selalu pastikan bahawa anda memahami keperluan setiap negara yang anda lawati.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Dalam barisan skuter Yamaha, NMAX terus mengukuhkan reputasinya sebagai model pilihan mereka yang mahukan keselesaan, praktikaliti dan imej lebih matang. Kehadirannya melengkapkan segmen skuter urban Yamaha yang semakin berkembang di Malaysia.
Sebaliknya, Yamaha NVX sering menjadi wajah utama dalam kelompok belia. Reka bentuknya yang tajam dan sporty menjadikan ia simbol gaya hidup aktif, sekaligus faktor utama mengapa ramai meletakkan NVX di tangga teratas berbanding NMAX. Dengan kata lain, NMAX menawarkan keselesaan dan ergonomik, manakala NVX mengetengahkan gaya serta visual.
Penulis sebelum ini pernah menunggang uji Yamaha NVX, namun pengalaman tersebut kurang meninggalkan kesan yang positif kerana posisi tunggangan skuter tersebut tidak begitu selesa, khususnya bagi penulis yang berbadan besar dan bertubuh tinggi.
Sebaliknya, setelah mencuba Yamaha NMAX, persepsi itu berubah sama sekali. Ya, inilah antara skuter yang paling selesa pernah penulis tunggang, menawarkan ergonomik yang benar-benar sesuai untuk penunggang dengan fizikal lebih besar.
Generasi terbaharu Yamaha NMAX 155 ABS 2025 hadir dengan pelbagai penambahbaikan yang berjaya meningkatkan pengalaman tunggangan secara keseluruhan.
Daripada rekaan luaran yang lebih segar, posisi kaki yang menawarkan tahap keselesaan optimum, hinggalah kepada integrasi teknologi moden, model ini benar-benar memberi impresi sebagai sebuah skuter serba lengkap.
Ia bukan sahaja sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar, malah cukup praktikal dan bergaya untuk perjalanan jarak jauh lebih-lebih bagi mereka yang tinggal jauh daripada tempat kerja.
Rekaan & Penampilan
Perubahan ketara dapat dilihat pada rekaan lampu hadapan projektor LED baharu yang tampil lebih segar dan moden. Satu aspek yang wajar dipuji ialah keunikannya kerana rekaan lampu ini tidak menyerupai mana-mana model skuter lain di pasaran, memberikan identiti tersendiri kepada NMAX.
Dalam sesi tunggang uji di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (West Coast Expressway) yang gelap tanpa lampu jalan, prestasi lampu hadapan ini benar-benar meyakinkan. Walaupun saiznya kelihatan kecil, tahap pencahayaan yang dihasilkan sangat terang dan jelas, memberikan keyakinan tambahan ketika menunggang pada waktu malam.
Rekaan garisan badannya kini tampil lebih kemas dengan sentuhan premium, sambil mengekalkan saiz kompak yang memudahkan penunggan untuk mencelah trafik ketika kesesakan jalan raya tanpa terlalu risau.
Walaupun dimensinya kecil sedikit jika dibanding dengan NVX atau XMAX, pengalaman menunggang di lebuh raya tetap meyakinkan dan lebih menarik skuter ini mampu mencapai kelajuan maksimum 123 km/j, dan dengan berat penulis sekitar 130 kg dan ia masih stabil serta mudah dikawal.
Aspek suspensi turut memberi sumbangan penting terhadap kestabilan tersebut. Kehadiran penyerap hentak berkembar di bahagian belakang bukan sahaja meningkatkan tahap keselesaan, malah memastikan kawalan lebih mantap, khususnya ketika menampung beban penunggang dengan berat badan yang lebih tinggi.
Pilihan warna yang ditawarkan Yamaha untuk NMAX kali ini turut menarik perhatian. Dua warna yang diketengahkan iaitu Magma Black dan Sky Blue memberikan identiti lebih unik berbanding model skuter lain dalam segmennya. Warna matte ini sememangnya tampil premium, namun ia memerlukan penjagaan rapi kerana lebih sensitif terhadap calar dan tidak boleh dipulihkan melalui proses polish seperti warna “gloss” atau “mettalic”.
Ruang Kaki & Ergonomik
Antara ciri yang paling menyerlah pada Yamaha NMAX ialah ruang pemijak kaki di bahagian hadapan yang luas dan direka secara ergonomik. Sebagai penunggang yang berulang-alik hampir 60 km setiap hari, faktor utama dalam pemilihan skuter untuk perjalanan jauh pastinya keselesaan, bukannya kelajuan semata-mata. Dalam aspek ini, NMAX benar-benar memberi kelebihan yang sukar diabaikan.
Dengan harga yang masih berada dalam lingkungan mampu milik penulis di bawah RM15000, NMAX tampil sebagai pilihan utama. Selepas sesi tunggang uji, timbul rasa seolah-olah model ini sesuai untuk menggantikan skuter harian penulis. Bonus paling besar ialah keupayaan untuk melunjurkan kaki ketika menunggang, sesuatu yang amat dihargai terutama bagi mereka yang berbadan besar, bertubuh tinggi atau mempunyai masalah lutut.
Dengan ketinggian 175 cm, penulis tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk duduk lama di atas tempat duduk Yamaha NMAX. Posisi tempat duduk yang selesa, hendal yang mudah dicapai serta ruang pemijak kaki yang panjang memberi fleksibiliti tambahan ketika menunggang jarak jauh. Secara keseluruhan, ia memberikan pengalaman seakan menunggang skuter bersaiz lebih besar, walaupun saiznya kekal kompak dan praktikal untuk kegunaan harian.
Ruang Simpanan yang Praktikal
Ruang simpanan di bawah tempat duduk sememangnya menjadi faktor penting bagi mana-mana skuter harian, dan Yamaha NMAX V3 tampil meyakinkan dengan kapasiti 25 liter. Ruang ini cukup luas untuk memuatkan sebuah helmet jenis half-face, beg kecil, baju hujan, malah masih ada lebihan untuk sebotol air. Bagi mereka yang menggunakan skuter untuk berulang-alik ke tempat kerja, ruang penyimpanan ini jelas memberi kemudahan tambahan tanpa perlu menambah “box” di bahagian belakang.
Sebagai sebuah skuter yang direka tanpa bakul hadapan, kehadiran ruang bawah tempat duduk yang praktikal ini sangat penting. Malah dalam situasi harian, contohnya ketika singgah membeli barang keperluan dapur selepas pulang dari kerja, ruang ini masih mampu menampung barangan asas seperti ayam, sayur atau sekampit beras. Jajan anak pun lepas nak letak di ruangan penyimpanan ini.
Prestasi Enjin & Pengalaman Tunggangan
Enjin 155 cc SOHC Blue Core yang digunakan pada Yamaha NMAX sememangnya sudah dikenali dengan reputasi tahan lasak serta kecekapan penggunaan bahan api. Mampu menghasilkan output sekitar 15.4 PS pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm, ia menawarkan kuasa yang memadai untuk kegunaan harian, sama ada di bandar mahupun di lebuh raya.
Tidak dapat dinafikan, kini terdapat skuter daripada pengeluar lain yang hadir dengan kapasiti enjin lebih besar pada harga lebih rendah. Namun, perbezaan ketara yang dirasai adalah dari aspek getaran (vibration). Dalam pengalaman tunggang uji model-model lain, getaran pada kelajuan tinggi dan bacaan rpm yang lebih tinggi sering kali menjejaskan keselesaan, terutama bagi perjalanan jarak jauh. Yamaha NMAX pula berjaya mengawal isu ini dengan baik walaupun dipandu pada kelajuan tinggi, tahap getarannya kekal minimum, sekaligus memberikan tunggangan yang lebih selesa dan meyakinkan.
Teknologi & Ciri Moden
Beberapa ciri baharu yang ditawarkan pada Yamaha NMAX 2025 jelas menambah nilai dan memperkukuh kedudukannya dalam segmen skuter premium kompak. Dari aspek keselamatan, model ini hadir dengan sistem brek ABS pada kedua-dua roda yang memberikan keyakinan tambahan ketika membrek mengejut, terutama di jalan licin. Dipadankan dengan cakera brek depan dan belakang, tahap stopping power juga lebih konsisten serta meyakinkan. Tambahan pula, ciri Traction Control membantu mengawal putaran roda apabila tayar mula hilang cengkaman, memberikan kestabilan lebih baik ketika menunggang dalam situasi mencabar.
Dari sudut kecekapan, sistem Start-Stop turut disertakan bagi menjimatkan penggunaan bahan api, khususnya ketika berhenti lama di lampu isyarat. Sementara itu, pengalaman menunggang dipertingkatkan dengan paparan LCD moden yang walaupun monokrom, tetap jelas dibaca dan mampu disambungkan ke aplikasi Y-Connect. Melalui aplikasi ini, penunggang boleh memantau jadual servis, serta menerima notifikasi daripada telefon pintar.
Tidak ketinggalan, port pengecas USB Type-C yang ditempatkan di kompartmen hadapan memudahkan penunggang mengecas peranti mudah alih sepanjang perjalanan, menjadikan NMAX lebih praktikal untuk kegunaan seharian.
Kecil, Mudah Dikawal & Jimat Minyak
Walaupun dikategorikan sebagai sebuah maxi-scooter, Yamaha NMAX V3 tetap terasa ringan dan mudah dikawal, khususnya ketika berdepan kesesakan lalu lintas di bandar. Dengan berat sekitar 131 kg, ia tidak membebankan dan lincah untuk weaving di antara kenderaan lain. Ditambah pula dengan tangki bahan api berkapasiti 7.1 liter yang dipadankan bersama enjin Blue Core, model ini muncul antara skuter paling efisien dalam kelasnya dari segi penggunaan petrol, menjadikannya pilihan ideal untuk kegunaan ulang-alik harian.
Dalam ujian harian, penulis menggunakan NMAX untuk perjalanan dari Jugra, Banting ke Seksyen 15, Shah Alam hampir setiap hari. Menariknya, penggunaan bahan api hanya menurun sekitar satu bar sahaja bagi setiap perjalanan pergi dan balik. Walaupun kadar penggunaan ini turut dipengaruhi oleh faktor berat badan penunggang, ia tetap membuktikan tahap kecekapan bahan api NMAX yang sangat baik untuk sebuah skuter bersaiz sederhana.
Sesuai untuk Siapa?
Dari segi kesesuaian, Yamaha NMAX V3 boleh dianggap sebagai skuter serba boleh yang memenuhi keperluan pelbagai jenis penunggang. Untuk mereka yang berulang-alik ke tempat kerja, model ini sangat praktikal. Saiznya yang kompak memudahkan pergerakan di celah-celah trafik, penggunaan bahan api yang efisien menjimatkan kos harian, manakala ruang simpanan bawah tempat duduk cukup luas untuk memuatkan beg kerja bersaiz kecil.
Bagi penunggang wanita pula, ketinggian tempat duduk pada paras 765 mm dianggap mesra pengguna. Ditambah dengan berat keseluruhan yang ringan dan rekaan moden yang bergaya, ia menjadikan NMAX mudah dikawal serta berpotensi menarik minat golongan wanita yang mahukan skuter praktikal tetapi tetap tampil bergaya.
Untuk penunggang bertubuh tinggi, NMAX turut menawarkan kelebihan tersendiri. Dengan ruang kaki yang luas dan tempat duduk panjang, mereka yang melebihi ketinggian 175 cm boleh duduk dengan selesa tanpa rasa sempit, menjadikan tunggangan jarak jauh lebih menyenangkan.
Harga & Nilai
Di pasaran Malaysia, Yamaha NMAX 155 V3 ABS 2025 ditawarkan pada harga RM11,498 (atas jalan tanpa insurans). Harga ini boleh dianggap kompetitif jika dibandingkan dengan pesaing sekelas, terutama apabila mengambil kira senarai kelengkapan yang ditawarkan. Dengan ciri keselamatan seperti ABS pada kedua-dua roda, sistem Traction Control, serta praktikaliti ruang kaki yang luas dan selesa, NMAX hadir sebagai pakej lengkap sesuai untuk kegunaan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Dari sudut kemampuan memiliki, lazimnya pengeluar kewangan menetapkan had ansuran kenderaan tidak melebihi 15–20% daripada gaji bersih bulanan. Jika diambil kira tempoh pinjaman lima tahun dengan kadar faedah sekitar 5% (anggaran faedah bergantung kepada pengeluar kewangan yang anda pilih), ansuran bulanan NMAX dianggarkan dalam lingkungan RM220–RM250. Ini bermakna, gaji bersih sekitar RM1,500–RM1,800 sebulan sudah memadai untuk layak memiliki model ini tanpa membebankan komitmen bulanan. Bagi mereka yang berpendapatan lebih tinggi, NMAX tampil sebagai pilihan skuter versatil yang bukan sahaja bergaya, malah praktikal dan ekonomik.
Konklusi
Selepas beberapa hari menguji Yamaha NMAX 155 V3 ABS 2025, pendapat peribadi penulis jelas bahawa ia merupakan antara skuter bandar paling selasa dalam kelasnya. Sama ada untuk penunggang lelaki mahupun wanita, golongan muda atau yang lebih berpengalaman, NMAX menawarkan pakej serba lengkap yang memenuhi pelbagai keperluan.
Reka bentuk yang segar, ruang penyimpanan yang luas, serta sokongan teknologi moden menjadikannya pilihan yang logik dan praktikal. Prestasinya juga meyakinkan dengan kelajuan maksimum sekitar 123 km/j walaupun ditunggang oleh penunggang berbadan besar, ia membuktikan bahawa NMAX bukan sekadar skuter harian biasa, tetapi cukup tahan untuk kegunaan jarak jauh.
Dengan harga yang kompetitif dalam segmennya, Yamaha NMAX 155 2025 menonjol sebagai salah satu value-for-money skuter terbaik di pasaran Malaysia. Jika anda sedang mencari skuter yang selesa untuk ulang-alik kerja, stabil untuk perjalanan jauh, sesuai untuk semua peringkat penunggang dan tetap bergaya untuk santai hujung minggu, Yamaha NMAX 155 2025 wajar berada dalam senarai pilihan utama anda.
Suzuki V-Strom 250SX hadir ke pasaran tempatan sejak Ogos 2024. Ikutkan, pada hari penyerahan kunci batch pertama haritu, kami nak pandu uji namun kekangan masa. Jadi, kami pinjam pada minggu ini untuk tunggang uji motor sejauh 150 km – harapnya dapatlah memberi pandangan yang bermanfaat.
Reka Bentuk V-Strom 250SX
Secara kasar, model ini memang 100% nampak seperti adventure bike. Ya betul. Namun, sebab ada huruf ‘SX’ di belakang yang bermaksud ‘Sport Crossover’. Ia mempunyai jiwa kesukanan walaupun dimensi motor kembara.
Paruh adventure bike di depan memang sudah menjadi DNA bagi mana-mana motor sebegini. Lampu utama depan dan belakang sepenuhnya LED. Casis yang tirus dan tegap menambah keyakinan kepada penunggang – terutama yang baru.
Keyakinan menunggang, menyelit dalam apa jua keadaan yang boleh terjadi di atas jalan.
Tunggang Jarak Jauh
Cukup dengan mekanikal. Apa rasanya bawa 250SX? Lenguh ke tidak? Berbaloi ke dengan harga? Baiklah.
Kami telah pandu uji sejauh 150 km di sekitar Selangor dan mendapati model ini boleh dikatakan ‘All Rounder’. Sebabnya?
Penulis sengaja memilih jalan yang mungkin dilalui oleh pemilik 250SX iaitu jalan persekutuan, lebuhraya dan bandar. Apa yang boleh diperhati, setiap permukaan jalan yang dilalui, model ini mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Jalan Persekutuan – Hantaran kuasa sekata
Lebuhraya – Lincah
Jalan Bandar – Jarak penglihatan luas, lebih selamat
Bermula dari barat Selangor, penulis melalui lebuhraya dengan keadaan trafik yang sederhana. Berat motor hanya 167kg – sedikit membuang dan tidak stabil ketika melintasi kenderaan besar namun tidak kritikal.
Selepas itu, penulis cuba melalui jalan bandar ketika waktu sesak. Ketinggian tempat duduk 835mm sangat membantu ketika sesak – jarak penglihatan lebih luas dan hampir sama tinggi dengan 4×4.
Seterusnya, jalan persekutuan. Transmisi enam kelajuan dengan kuasa sekitar 26 HP & 22.2 Nm tork memberi hantaran yang sekata dan tidak agresif – sesuai ketika jalan sesak atau ketika anda nak santai.
Posisi badan menegak dengan handlebar yang tinggi sangat membantu dalam mengurangkan lenguh tapi bukan getaran. Jadi pakai glove yang mesra getaran. Kaki tiada masalah, tiada isu.
Harga Suzuki V-Strom 250SX bermula dari RM17,800 dengan tiga pilihan warna Kuning, Oren dan Hitam. Boleh kunjungi pengedar sah Suzuki Malaysia untuk ketahui lebih lanjut.
Kita selalu mendengar tentang kereta yang memenggunakan sistem All-Wheel Drive (AWD) dan Four-Wheel Drive (4WD). Adakah anda faham perbezaan antara dua sistem pemacu ini?
Kedua-dua sistem ini memainkan peranan penting dalam mengagihkan kuasa ke keempat-empat roda kenderaan, namun cara pengagihan kuasa tersebut dan aplikasi penggunaannya berbeza.
Apa itu AWD dan 4WD?
AWD adalah singkatan untuk All-Wheel Drive, manakala 4WD adalah singkatan untuk Four-Wheel Drive.
AWD biasanya ditemui pada kereta penumpang dan kenderaan crossover, sementara 4WD lebih kerap digunakan dalam trak dan SUV.
Walaupun kedua-dua sistem ini meningkatkan traksi dan kestabilan, terdapat perbezaan utama dalam cara kuasa diagihkan ke roda.
Kredit Foto : Website mikeduman
Sistem AWD
Dalam sistem ini, kuasa diagihkan secara automatik ke roda yang mempunyai cengkaman paling tinggi.
Ini bermakna jika satu roda mula tergelincir, kuasa akan dipindahkan ke roda lain untuk mengekalkan traksi. Sistem ini direka untuk memberikan prestasi yang lebih baik pada keadaan jalan yang licin atau tidak rata.
Ini menjadikan sistem ini ideal untuk pemanduan di jalan raya yang basah, bersalji, atau berlumpur, di mana traksi tambahan amat diperlukan.
Sistem 4WD
Sebaliknya, sistem 4WD biasanya adalah sistem separuh masa yang boleh diaktifkan atau dinyahaktifkan secara manual oleh pemandu.
Ini bermakna pemandu boleh memilih bila untuk menggunakan mod 4WD, seperti semasa memandu di luar jalan raya atau dalam keadaan yang mencabar.
Dalam mod 4WD, kuasa diagihkan sama rata ke keempat-empat roda, memberikan traksi maksimum dan kebolehan off-road yang unggul. Ini menjadikan 4WD sesuai untuk kenderaan yang sering digunakan di kawasan lasak dan memerlukan kestabilan tambahan.
Perbezaan Utama
Perbezaan utama antara AWD dan 4WD adalah dalam pengagihan kuasa dan kawalan manual.
AWD mengagihkan kuasa secara automatik berdasarkan keperluan traksi, manakala 4WD memberikan kawalan kepada pemandu untuk mengaktifkan sistem apabila diperlukan.
Penjelasan Tambahan
Perlu diingat bahawa sistem AWD dan 4WD bukanlah sama dengan sistem stereng empat roda (four-wheel steering) yang membolehkan roda belakang turut berpusing selain roda depan.
Dalam membuat keputusan antara AWD dan 4WD, adalah penting untuk mempertimbangkan keperluan pemanduan anda.
Jika anda sering memandu di jalan raya dengan keadaan cuaca yang berubah-ubah, AWD mungkin pilihan terbaik. Namun, jika anda memerlukan kenderaan untuk aktiviti off-road atau dalam keadaan yang sangat mencabar, 4WD adalah pilihan yang lebih baik.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Revolusi Tempatan Dengan Aspirasi Global
PROTON sekali lagi mencipta sejarah apabila memperkenalkan Saga Serba Baharu kepada pihak media sebelum pelancaran rasminya. Model ini bukan sekadar...