Automotif

Honda GBO J Disita JPJ Kedah, LKM Tamat Tempoh Sejak 2016

Share

LKM Tamat Tempoh Sejak 2016, Honda GBO J Diubah Suai Disita

Sebuah motosikal Honda C70 (GBO J) yang tampil dengan gaya modifikasi menarik disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah selepas didapati melakukan beberapa kesalahan dalam satu operasi penguatkuasaan di KM1, Jalan Tun Razak, hari ini.

Sekali pandang, motosikal berkenaan sememangnya menarik perhatian. Walaupun usianya sudah melebihi 20 tahun, pemiliknya dilihat berjaya memberikan satu nafas baharu melalui sentuhan modifikasi moden, termasuk penggunaan meter digital serta paparan Android pada motosikal tersebut.

Dari sudut kreativiti, usaha mengubah motosikal lama kepada jentera yang kelihatan lebih segar, unik dan futuristik wajar dipuji. Ia membuktikan motosikal lama masih mampu diberi karakter baharu sekiranya diubahsuai dengan teliti.

Kredit Foto : Facebook JPJ Negeri KEDAH

Pemeriksaan JPJ mendapati motosikal berkenaan mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh sejak 2016, selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.

Semakan lanjut turut mendapati kenderaan berkenaan masih didaftarkan atas nama pemilik yang telah meninggal dunia.

Susulan beberapa kesalahan, JPJ mengambil tindakan menyita motosikal berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Tindakan itu dilaksanakan bagi memastikan hanya kenderaan yang mematuhi syarat dan peraturan dibenarkan berada di atas jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.

JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memperbaharui LKM dan insurans kenderaan dalam tempoh ditetapkan, selain memastikan urusan pemilikan dikemas kini sekiranya berlaku pertukaran pemilik atau kematian pemilik asal.

Sumber: Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Kedah

Baca Juga : Vespa Edizione Ottantesimo Tampil Sebagai Edisi Khas Ulang Tahun Ke-80

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi