Honda XL750 Transalp 2025 kini kembali!
Boon Siew Honda secara rasmi memperkenalkan model terbaharu dalam barisan “adventure” mereka Honda XL750 Transalp 2025.
Nama Transalp bukanlah asing dalam dunia dua roda, dan kini legenda itu dihidupkan semula dengan teknologi moden serta rekaan serba baharu.
Hadir dengan enjin selari berkembar 755cc dengan konfigurasi 270° crank dan sistem Unicam valve train.
Transalp ini mampu menjana kuasa 67.5kW (sekitar 90.5hp) pada 9,500 rpm dan 75Nm tork pada 7,250 rpm.
REKAAN BAHARU, JIWA LAMA YANG DIPERBAHARUI
Model 2025 ini tampil dengan wajah baharu yang diilhamkan daripada Africa Twin, dilengkapi lampu utama dual LED projector yang lebih terang dan menyerlahkan karakter lasak Transalp.
Rekaan hadapan turut diperhalusi dengan “intake” udara yang lebih aerodinamik, menawarkan perlindungan angin lebih baik untuk keselesaan maksimum sewaktu tunggangan jarak jauh.
Skrin pelindung angin kini diperbuat daripada bahan Durabio™ sejenis polikarbonat bio-berasaskan tumbuhan dan direka semula agar mampu mengurangkan keletihan penunggang secara signifikan.
Tambahan pula, fairing atas dan cowl tengah yang baharu turut menyumbang kepada kestabilan dan pengendalian lebih lincah di laluan berliku atau dalam trafik bandar.
TEKNOLOGI TERKINI
Rangka keluli ringan diamond frame masih dikekalkan, namun suspensi dari Showa 43mm USD forks di hadapan dan Pro-Link rear shock di belakang telah ditala semula bagi memastikan kawalan mantap di laluan off-road serta keselesaan tinggi atas lebuh raya.
Panel instrumen TFT bersaiz lima inci kini menyokong Honda RoadSync dengan sambungan telefon pintar, paparan boleh ubah (3 tema), serta fungsi keselamatan seperti auto-cancelling indicators dan Emergency Stop Signal (ESS).
Penunggang juga boleh memilih lima mod tunggangan iaitu SPORT, STANDARD, RAIN, GRAVEL dan USER di mana setiap satu menyesuaikan kuasa enjin, kawalan traksi, brek, dan ABS menerusi sistem Throttle-by-Wire.
HARGA DAN WARNA
Transalp 2025 ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik Ross White, Pearl Deep Mud Gray, dan Graphite Black pada harga disyorkan RM56,800 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).
Setiap pembelian turut disertakan waranti pengilang selama dua tahun atau 20,000km (mana-mana terdahulu).
Menurut Kunitomo Asano, Pengarah Urusan dan CEO Boon Siew Honda, “Transalp ini direka khas buat mereka yang mahukan lebih dari setiap perjalanan. Gabungan kejuruteraan terbukti dan teknologi pintar menjadikan model ini sebagai penanda aras baharu dalam segmen motosikal pengembaraan.”
Maklumat lanjut dan tempahan boleh dibuat di laman rasmi www.hondabigbike.com.my atau kunjungi Honda Big Wing berdekatan.
Baca Juga Boon Siew Honda Bawa Masuk Empat Model Ke Pasaran Tempatan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.