
Boon Siew Honda terus memperkukuh pengalaman pemilikan motosikal menerusi penambahan dua fungsi baharu pada platform digital Honda X iaitu e-Warranty dan Service History, yang membolehkan pemilik motosikal Honda menyemak status waranti serta rekod penyelenggaraan kenderaan mereka secara terus melalui telefon pintar.
Pengenalan ciri baharu ini menjadikan urusan pemilikan motosikal lebih mudah dan telus, tanpa perlu lagi menyimpan buku servis fizikal atau menghubungi pengedar semata-mata untuk mendapatkan maklumat berkaitan waranti dan penyelenggaraan.
Melalui fungsi e-Warranty, pengguna kini boleh menyemak status perlindungan waranti motosikal mereka pada bila-bila masa termasuk tarikh tamat perlindungan, hanya dengan log masuk ke akaun Honda X.
Ciri ini menghapuskan kebergantungan terhadap dokumen fizikal dan memudahkan pemilik mengetahui status waranti motosikal mereka dengan lebih pantas.
Sementara itu, fungsi Service History pula menyediakan rekod penyelenggaraan lengkap dan disahkan bagi setiap motosikal Honda yang pernah menjalani servis di rangkaian pengedar sah.
Maklumat yang dipaparkan merangkumi tarikh servis dilakukan, jenis penyelenggaraan yang dijalankan serta lokasi pengedar yang melaksanakan kerja tersebut.
Bagi pemilik motosikal, rekod digital ini bukan sahaja memudahkan pemantauan jadual penyelenggaraan, malah boleh menjadi nilai tambah apabila motosikal dijual semula pada masa hadapan.
Menurut Boon Siew Honda, rekod servis yang lengkap dan boleh disahkan membantu meningkatkan keyakinan pembeli serta pengedar dalam urusan jual beli motosikal terpakai.
Dengan akses kepada sejarah penyelenggaraan yang telus, bakal pembeli dapat membuat penilaian yang lebih tepat terhadap keadaan sesebuah motosikal sebelum membuat keputusan pembelian.
Pada masa sama, rangkaian pengedar Honda turut mendapat manfaat apabila proses semakan rekod servis menjadi lebih pantas dan efisien, khususnya apabila pelanggan mendapatkan servis di pusat servis yang berbeza daripada lokasi asal pembelian.
Honda X mula diperkenalkan pada Ogos 2024 sebagai platform tempahan servis dan peringatan penyelenggaraan untuk pemilik motosikal Honda di Malaysia.
Sejak itu, platform berkenaan terus menerima pelbagai penambahbaikan termasuk pengenalan Digital Free Service Coupon pada penghujung 2024 serta fungsi My Voucher pada April 2025.
Dengan pelancaran e-Warranty dan Service History, Honda X kini semakin menghampiri matlamatnya sebagai pusat sehenti digital yang menghubungkan pemilik motosikal dengan pelbagai perkhidmatan selepas jualan Honda.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano berkata, kemudahan digital kini bukan lagi satu kelebihan tambahan, sebaliknya menjadi keperluan yang diharapkan oleh pengguna moden.
Menurut beliau, penambahan fungsi e-Warranty dan Service History merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk mewujudkan pengalaman pemilikan yang lebih telus, cekap dan berpusatkan pelanggan.
Kedua-dua fungsi baharu ini telah pun diaktifkan dan boleh digunakan serta-merta tanpa perlu memuat turun kemas kini aplikasi.
Pemilik motosikal Honda hanya perlu log masuk ke platform Honda X untuk mengakses semua maklumat berkaitan motosikal mereka.
Platform Honda X boleh diakses secara percuma menerusi laman web rasmi Boon Siew Honda dan turut menawarkan pelbagai fungsi lain seperti tempahan servis, peringatan penyelenggaraan, promosi semasa, senarai pengedar serta baucar digital.
Baca Juga : Honda Prelude Serba Baharu Dilancarkan di Malaysia, Tampil Dengan Teknologi S+ Shift
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
SPOON Lancar SW388 Key Ring, Aksesori Mini Yang Menghidupkan Legenda Sportrim Ikonik Nama SPOON Sports…
Kempen Khas Sempena Hari Perkhidmatan Awam Sedunia Sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sedunia, TQ WULING…
PROTON Teroka Bumi Kenyalang Menerusi Ekspedisi 10,000 sMILEs Selepas menjelajah pelbagai destinasi di seluruh negara,…
