Hyundai Buka Cawangan Baharu di Petaling Jaya
Hyundai Motor Malaysia terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tempatan dengan pelancaran pusat jualan di Petaling Jaya, hasil kerjasama bersama Palm Motor Sdn Bhd.
Pembukaan ini menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha jenama Korea itu memperluaskan rangkaian pengedar di seluruh negara.

Pusat Pameran Moden Dengan Barisan Model Terkini
Dibina dengan keluasan kira-kira 4,200 kaki persegi, pusat pameran ini direka dengan konsep yang moden dan selesa, menampilkan barisan model utama Hyundai seperti Santa Fe, Tucson dan Staria.
Pelanggan yang hadir turut dibantu oleh kakitangan terlatih yang menyediakan penerangan produk, khidmat rundingan serta sokongan jualan secara profesional.
Menurut Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee, pembukaan cawangan di Petaling Jaya ini merupakan sebahagian daripada sasaran syarikat untuk mencapai 25 pusat jualan di seluruh negara menjelang penghujung tahun 2026. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan akses pelanggan kepada jenama Hyundai di samping menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih baik dan bernilai.
Kembalinya Hyundai ke PJ bersama Palm Motor
Sementara itu, Dealer Principal Palm Motor Sdn Bhd, Cedric Choo, menyifatkan pembukaan ini sebagai simbol kembalinya Hyundai ke Petaling Jaya dengan pendekatan lebih menarik. Selain memperkenalkan model-model terkini, pihaknya juga memberi fokus kepada pengalaman pelanggan menyeluruh, daripada pembelian kenderaan sehingga ke perkhidmatan selepas jualan yang lebih diyakini.

Penyerahan Pertama Hyundai Tucson 1.6T HEV
Menariknya, majlis pelancaran turut menyaksikan penyerahan unit pertama Hyundai Tucson 1.6T HEV kepada pelanggan. Model SUV ini merupakan antara model paling laris Hyundai di peringkat global dengan jualan melebihi 10 juta unit sejak diperkenalkan pada tahun 2004.
Tucson tampil dengan rekaan futuristik menerusi gril parametric 3D serta permukaan badan yang unik, dipadankan dengan enjin hibrid Smartstream 1.6T-GDi yang menawarkan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api.
Promosi Grand Launching Bonanza hingga RM10,000
Bagi meraikan pembukaan serta musim perayaan, Hyundai Petaling Jaya turut menganjurkan kempen Grand Launching Bonanza yang berlangsung dari 10 hingga 12 April, jam 10 pagi hingga 6 petang. Pelbagai ganjaran menarik menanti pengunjung termasuk cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan mencecah RM10,000.
Antara hadiah utama termasuk iPhone 17, televisyen pintar 40 inci dan pembesar suara Bluetooth mudah alih. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai hadiah saguhati seperti dashcam, pakej servis percuma, produk penjagaan kereta, baucar petrol serta kad Touch ‘n Go.
Lebih menarik, terdapat juga peluang memenangi pakej percutian ke perlawanan bola sepak terbesar dunia untuk dua orang, selain promosi tambahan seperti pemasangan dashcam atau tinted percuma, tawaran trade-in sehingga RM5,000 serta rebat unit demo sehingga RM38,888.

Kerjasama Lebih Dua Dekad Bersama Palm Motor
Palm Motor bukanlah nama baharu dalam rangkaian Hyundai di Malaysia, syarikat ini telah menjadi pengedar rasmi sejak tahun 2002. Sepanjang lebih dua dekad, Palm Motor telah membina reputasi kukuh dari segi kepercayaan pelanggan dan kecemerlangan operasi.
Pembukaan cawangan baharu di Petaling Jaya ini dilihat sebagai kesinambungan kepada komitmen tersebut, dalam usaha membawa jenama Hyundai lebih dekat kepada komuniti setempat.
Baca Juga : Hyundai Motor Malaysia Umum Pelan 2026, Hyundai N Disahkan Masuk Pasaran Tempatan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!





