MODENAS, melalui anak syarikatnya, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), telah membuat kejutan hebat dalam dunia motosikal tempatan dengan melancarkan pusat 4S terbaharunya di Kuching, Sarawak. Terletak di bawah pengurusan Ghee Hua Co Sdn Bhd, Kawasaki Kuching bakal menjadi destinasi utama peminat motosikal di Malaysia Timur.
Pusat 4S yang baru dibuka ini memaparkan keseluruhan jajaran model motosikal Kawasaki, menjadikannya pusat pameran yang lengkap bagi para pecinta motosikal. Ghee Hua Co Sdn Bhd, sebagai Pengedar All-Star pertama di Malaysia Timur, membawa perkongsian strategik dengan EMOS dan MODENAS ke peringkat yang lebih tinggi.
Kredit Foto: Careta.my
Pelancaran cawangan ini menjadi sejarah baru kepada lanskap motosikal timur, dihadiri oleh Pengarah Kawasaki Kuching dan Ghee Hua Group, Law Kin Hin, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abd Karim Rahman Hamzah.
Selain daripada kehebatan pembukaan pusat 4S, acara ini juga menyambut ulang tahun ke-40 Kawasaki Ninja dengan penuh meriah. Lebih 700 orang hadir untuk menyaksikan pertunjukan permotoran, aktiviti kebudayaan Sarawak, dan menikmati hidangan tempatan.
Ads
Kredit Foto: Careta.my
Pusat 4S Kawasaki Kuching tidak hanya menjadi destinasi utama pembelian motosikal Kawasaki di Kuching tetapi juga menawarkan pelbagai aksesori motosikal seperti pakaian, jaket, sarung tangan, ekzos, dan barangan keperluan motosikal lain.
Ghee Hua, dengan asal usul penjualan basikal pada 1968, telah berkembang menjadi pengedar rasmi Kawasaki sejak 2021. Sebagai Pengedar Kawasaki All-Star rasmi, mereka menjadi pusat 4S eksklusif di Malaysia Timur, menjadikan mereka salah satu daripada 10 pengedar pertama yang diiktiraf.
Ads
Dengan langkah ini, EMOS yakin pasaran motosikal Kawasaki dan MODENAS di Sabah dan Sarawak akan berkembang dengan pesat. Kawasaki Kuching membawa semangat baru dan gaya kepada peminat motosikal di Malaysia Timur, mewujudkan terobosan yang penuh semangat dalam dunia motosikal tempatan.
Great Wall Motor (GWM) Malaysia kini meraikan pencapaian membanggakan dengan pengeluaran unit ke-1,000 GWM HAVAL H6 HEV. Kilang pemasangan EP Manufacturing Berhad (EPMB) bertempat di Melaka.
Kejayaan ini memperlihatkan usaha berterusan GWM dalam menyediakan kenderaan berkualiti tinggi yang mesra alam sekaligus memenuhi permintaan tempatan terhadap mobiliti hibrid.
Dengan pengumuman ini, penghantaran model ke-1,000 kepada pelanggan seluruh negara telah pun bermula.
Kombinasi Lengkap Sebuah SUV
SUV hibrid ini semakin menjadi pilihan pengguna Malaysia yang prihatin terhadap kelestarian alam. Dengan kombinasi prestasi, kecekapan bahan api, dan harga yang kompetitif.
GWM HAVAL H6 HEV membuktikan dirinya sebagai pilihan ideal bagi pemandu yang mahukan teknologi inovatif serta mesra alam. Pencapaian ini juga mencerminkan peralihan gaya hidup rakyat Malaysia ke arah penggunaan kenderaan hijau.
Proses pengeluaran model ini melibatkan standard ketat dan kepakaran jurutera berpengalaman dari GWM Global. Rekaan HAVAL H6 HEV bukan sahaja memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa tetapi juga memberikan prestasi yang luar biasa kepada pengguna.
Dengan langkah ini, GWM terus menunjukkan komitmen terhadap pematuhan piawaian global dalam usaha menyokong pasaran tempatan yang semakin berkembang.
Pengarah Urusan GWM Malaysia
Cui Anqi, “Kejayaan ini adalah bukti dedikasi kami terhadap kualiti. Kami pastikan setiap unit HAVAL H6 HEV memenuhi standard antarabangsa untuk menawarkan kebolehpercayaan dan kepuasan kepada pelanggan.”
Ciri dan Teknologi Unggul GWM HAVAL H6 HEV
HAVAL H6 HEV hadir sebagai SUV segmen C dengan enjin hibrid turbo 1.5L yang menggabungkan kuasa petrol dan elektrik. Menghasilkan kuasa maksimum 243 PS serta tork 530 Nm.
Dengan teknologi ‘Dedicated Hybrid Transmission’ (DHT), SUV ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.7 saat. Kecekapan bahan api juga mengagumkan, iaitu 5.8L/100 km, membolehkan perjalanan sehingga 1,000 km dengan satu tangki penuh.
Untuk menambah keselesaan, model ini dilengkapi jarak roda 2,738 mm. Memberikan ruang lebih luas dan pengalaman pemanduan premium untuk semua penumpang. GWM HAVAL H6 HEV ditawarkan pada harga RM139,800.
Dengan pilihan warna menarik seperti Energy Green, Ayers Silver, Crayon Grey, Hamilton White, dan Sun Black.
Pakej Waranti Eksklusif
Sebagai tanda penghargaan, GWM Malaysia menawarkan pakej waranti menarik kepada pemilik HAVAL H6 HEV:
Waranti Enjin 10 tahun atau 1,000,000 km.
Waranti Sistem HEV 8 tahun atau 1,000,000 km.
Waranti Penuh Kenderaan 7 tahun atau 200,000 km.
Tertakluk kepada terma dan syarat, eksklusif untuk pemilik pertama.
Jika anda berminat untuk menerokai teknologi hibrid ini, kunjungi bilik pameran GWM terdekat atau layarilaman web rasmi untuk maklumat lanjut. Tempah pandu uji sekarang dan alami sendiri kehebatan pemanduan masa depan!
Bagaimana Serangan Burung Memberi Kesan Kepada Penerbangan?
Serangan burung atau “Bird Strikes” berkemungkinan menjadi punca di sebalik nahas pesawat baru-baru ini di Korea Selatan.
Bagaimana serangan burung boleh menjadi ancaman keselamatan kepada penerbangan?
Artikel ini menjelaskan.
Nahas Pesawat Korea Selatan: Fakta Kejadian
Pada Ahad, 29 Disember 2024, sebuah pesawat mengalami kemalangan tragis di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan.
Semua penumpang kecuali dua kru terkorban apabila pesawat tergelincir dari landasan ketika mendarat, melanggar tembok dan terbakar.
Pesawat Jeju Air penerbangan 7C2216 ini tiba dari Bangkok, Thailand ke Muan, kira-kira 300 km dari ibu kota Seoul, membawa 181 orang penumpang dan anak kapal.
Hanya dua orang berjaya diselamatkan dari bahagian ekor pesawat, sementara 179 dilaporkan meninggal dunia.
Nahas ini merupakan antara kemalangan udara terbesar dalam sejarah Korea Selatan.
Ketua balai bomba Muan, Lee Jeong-hyeon, berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas, termasuk kemungkinan pesawat terkena serangan burung.
Kredit Foto : Website fortune
Kemungkinan Serangan Burung
Menurut agensi berita Yonhap, pihak berkuasa lapangan terbang menyatakan serangan burung mungkin menyebabkan kegagalan pada roda pendaratan.
Seorang pegawai dari kementerian pengangkutan memaklumkan bahawa menara kawalan telah mengeluarkan amaran serangan burung, dan tidak lama kemudian juruterbang mengisytiharkan keadaan kecemasan.
Bagaimanapun, belum disahkan sama ada pesawat ini benar-benar melanggar burung.
Apakah Serangan Burung dan Implikasinya?
Serangan burung adalah antara ancaman paling biasa terhadap keselamatan penerbangan, biasanya berlaku semasa pesawat berlepas atau mendarat.
Walaupun kebanyakan insiden tidak membawa kepada masalah besar, terdapat kes di mana enjin pesawat menyedut burung, menyebabkan kerosakan serius pada sistem kuasa.
Kerosakan enjin akibat serangan burung boleh menyebabkan kehilangan daya tujahan, menyukarkan juruterbang untuk mengawal pesawat.
Dalam situasi ini, pesawat biasanya diarahkan mendarat di lapangan terbang terdekat. Selain itu, jika perlanggaran melibatkan cermin depan kokpit, ia boleh mengakibatkan retakan yang memaksa pendaratan kecemasan.
Salah satu kes terkenal melibatkan penerbangan US Airways 1549 pada tahun 2009, di mana kedua-dua enjin pesawat gagal selepas diserang kawanan burung. Kapten Chelsey Sullenberger terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Sungai Hudson, dan semua 155 penumpang serta kru terselamat.
Adakah Serangan Burung Kritikal kepada Keselamatan Penerbangan?
Pesawat kecil lebih terdedah kepada bahaya serangan burung berbanding pesawat besar. Namun, pesawat penumpang moden seperti Boeing 737 atau Airbus A320 direka untuk selamat mendarat walaupun dengan satu enjin.
Walaupun begitu, serangan burung yang berlaku semasa berlepas atau mendarat boleh mengganggu perhatian juruterbang pada fasa kritikal penerbangan.
Apa yang Menyebabkan Serangan Burung dan Bagaimana Ia Dapat Dikurangkan?
Kehadiran burung di kawasan lapangan terbang meningkatkan risiko serangan burung.
takungan air semasa musim hujan yang menarik serangga sering meningkatkan populasi burung di kawasan tersebut.
Kadang-kadang, serangan burung juga berlaku pada ketinggian tinggi semasa pesawat berada dalam mod navigasi, yang lebih berbahaya kerana ia boleh menyebabkan tekanan udara kabin menurun secara mendadak.
Lokasi tapak pelupusan sampah berhampiran lapangan terbang juga boleh menarik burung dalam jumlah besar.
Contohnya, pada 2019, Lapangan Terbang Ahmedabad di India mencatatkan 11 kejadian serangan hidupan liar setiap 10,000 penerbangan, disebabkan penghapusan tapak pelupusan sampah yang terletak di laluan penerbangan.
Langkah-langkah Pencegahan
Pihak berkuasa penerbangan kerap menjalankan pemeriksaan lapangan terbang dan bekerjasama dengan agensi tempatan untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar berhampiran lapangan terbang.
Pengeluar enjin pesawat seperti Boeing dan Airbus juga menguji keselamatan enjin mereka dengan simulasi serangan burung menggunakan teknik seperti melepaskan ayam beku pada kelajuan tinggi ke arah enjin.
Dengan langkah pencegahan dan teknologi moden, keselamatan penerbangan terus dipertingkatkan walaupun ancaman serangan burung tidak dapat dielakkan sepenuhnya.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Dengan musim perayaan Aidilfitri yang semakin hampir, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah menggerakkan hampir 7,000 pegawai dan anggota untuk memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya menerusi Op Selamat 24.
Penglibatan Pegawai dan Anggota JSPT
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, seramai 6,957 pegawai dan anggota akan terlibat dalam operasi ini. Ini termasuk 871 pegawai kanan polis dan 6,086 pegawai rendah polis.
Mereka akan bertugas dalam pelbagai peranan seperti kawalan lalu lintas (‘point-duty’), rondaan kawasan panas (‘blackspot’ dan ‘hotspot’), serta membantu menyuraikan kesesakan.
Selain itu, Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) akan ditugaskan untuk menangani kes kemalangan ringan di lebuh raya. Manakala Pasukan Respons Kecemasan (ERT) bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kejadian tidak diingini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri santuni masyarakat di sekitar Kuala Lumpur.
Op Lancar dan Tempoh Operasi
Sebagai langkah tambahan, JSPT juga melancarkan Op Lancar bermula 23 Mac hingga 6 April. Ini bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sepanjang tempoh perayaan.
Sementara itu, Op Selamat 24 akan berlangsung selama enam hari, iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas Aidilfitri. Dengan mengekalkan tema “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”.
Pemantauan Lokasi Panas dan Kemalangan
Sebanyak 407 lokasi ‘hotspot’ yang sering mengalami kesesakan lalu lintas dan 76 lokasi ‘blackspot’ telah dikenal pasti di seluruh negara. Lokasi ini melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran, serta lebuh raya utama yang akan diberi perhatian khusus oleh JSPT.
Bagi lebuh raya utama, sebanyak 25 lokasi ‘hotspot’ dan 46 lokasi ‘blackspot’ telah dikenal pasti. Di mana pemantauan akan dijalankan secara berterusan. Pasukan JSPT juga bersiap sedia untuk memberi bantuan kepada pengguna jalan raya yang mengalami masalah kenderaan atau kecemasan.
Tindakan dan Penguatkuasaan Ketat
Selain memastikan kelancaran lalu lintas, JSPT juga akan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang lalu lintas. Terutama kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan.
Operasi ini turut disokong oleh pemantauan udara melalui Unit Operasi Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau keadaan lalu lintas secara lebih efektif.
Kerjasama Antara Agensi
Dalam memastikan operasi berjalan dengan lebih berkesan, JSPT menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), St. John Ambulance, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Telekom Malaysia, PLUS Malaysia, dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA).
Nasihat Kepada Pengguna Jalan Raya
Datuk Seri Mohd Yusri turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang lalu lintas, bersabar, dan sentiasa memandu secara berhemah.
Pemandu juga digalakkan melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan sebelum memulakan perjalanan serta mendapatkan rehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.
Tambah beliau, sikap pemandu memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan di jalan raya. Setiap pengguna perlu bertanggungjawab antara satu sama lain untuk mengurangkan risiko kemalangan.
Dengan pelaksanaan Op Selamat 24 ini, diharapkan semua rakyat Malaysia dapat menikmati perjalanan yang lancar dan selamat ketika pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Sebagai satu acara yang tidak hanya merangkumi sejarah industri, tetapi juga sebuah penghormatan terhadap teknologi dan kecanggihan mekanikal yang membentuk dunia moden, Stoke Row...