Sarung Tangan, But, Jaket & Helmet Baharu: LS2 Perkukuh Tawaran Kelengkapan Keselamatan di Malaysia
LS2 terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen kelengkapan keselamatan untuk penunggang motosikal dengan memperkenalkan lima produk baharu.
Pelancaran ini berlangsung bersempena majlis Mforce Lou Sang Dinner 2026 di M Resort & Hotel, sekali gus menandakan komitmen LS2 Malaysia dalam menawarkan produk perlindungan menyeluruh yang lengkap, ada gaya, selamat dan selesa.

Barisan produk terkini ini merangkumi dua sarung tangan model baharu, sepasang but untuk menunggang motosikal, sebuah jaket pelindung versatil serta topi keledar open-face baharu.
Kesemuanya direka dengan mengambil kira keperluan penunggang di iklim tropika Malaysia, sama ada untuk kegunaan harian mahupun “ride” pada hujung minggu.
LS2 Chaki EVO Man Glove & LS2 Dart II EVO Man Glove
Model LS2 Chaki EVO Man Glove dan LS2 Dart II EVO Man Glove dibangunkan sebagai sarung tangan yang sesuai untuk tunggangan harian kerana ianya ringan dan praktikal.
Kedua-duanya menerima naik taraf dan dikemaskini berbanding versi terdahulu, khususnya dari aspek pengudaraan apabila bahan Lycra digantikan dengan mesh memberikan pengudaraan yang baik di bahagian celah jari.

Penambahbaikan ini membolehkan aliran udara yang lebih baik, sekali gus mengurangkan rasa panas ketika menunggang dalam trafik bandar tertamanya ketika berhenti di lampu isyarat.

Bagi aspek keselamatan, kedua-dua model mengekalkan pelindung keras TPU pada bahagian palm slider untuk memberikan perlindungan sekiranya ada impak, selain penggunaan silikon anti-gelincir pada tapak tangan bagi meningkatkan cengkaman pada hendal.
Bahagian hujung jari yang serasi dengan skrin sesentuh turut disertakan, memudahkan penggunaan peranti pintar tanpa perlu membuka sarung tangan.

Chaki EVO ditawarkan pada harga RM99, manakala Dart II EVO pula lebih mampu milik pada RM89, dengan saiz bermula XS hingga 3XL sesuai untuk lelaki dan wanita.
LS2 Torrent Boots
Untuk penunggang yang memerlukan kasut menunggang yang sesuai digunakan secara harian terutamanya menunggang ke tempat kerja, LS2 Torrent Boots tampil sebagai pilihan but tunggangan serba guna yang tahan lasak dan kalis air.

But ini menggunakan lapisan luar gabungan mesh poliester 3D dan TPU, serta tapak luar dwi-ketumpatan bagi memastikan cengkaman stabil di pelbagai permukaan.
Dengan tahap kalis air sehingga 10,000 mm H₂O dan kadar pernafasan 6,000 g/m²/24 jam, Torrent Boots direka sesuai untuk kegunaan harian dan cuaca yang berbeza, sama ada ketika hujan atau cuaca panas.

Ciri keselamatan termasuk pelindung buku lali IPA bersepadu, pengukuhan pada bahagian jari kaki dan tumit, serta jalur reflektif pada sisi dan tumit bagi meningkatkan keterlihatan.
Diperakui mengikut piawaian EN 13634:2017, Torrent Boots dijual pada harga RM369 dan tersedia dalam saiz 39 hingga 47.

LS2 X-Terrain Jacket
Produk yang seterusnya adalah LS2 X-Terrain Jacket pula sesuai untuk kegunaan harian penunggang yang mahukan perlindungan maksimum tapi kekal selesa dan tidak panas.
Jaket ini direka sebagai pakaian pelindung versatil yang boleh dipakai sama ada sebagai lapisan dalam atau luar, bergantung kepada keperluan tunggangan.

Fabrik nilon regang, mesh regang diperkukuh dan fabrik zirah DURVEX digabungkan bagi menawarkan keseimbangan antara fleksibiliti dan aliran udara yang lebih baik.
Menariknya, jaket ini turut menggunakan ACF memory foam pada bahagian dada, rusuk dan belakang untuk perlindungan impak tambahan serta sentuhan premium.

Ia dilengkapi tali untuk pelarasan pinggang, poket hadapan praktikal, logo reflektif dan gelung khas untuk disambungkan ke seluar jeans.

Ditawarkan pada harga RM599, X-Terrain Jacket tersedia untuk lelaki dan wanita.
LS2 OF628 Compass
Melengkapkan barisan produk baharu ini ialah LS2 OF628 Compass, sebuah topi keledar open-face yang direka untuk kegunaan tunggangan dalam bandar.

Menggunakan bahan HPTT dengan dua saiz cangkerang dan lima lapisan EPS, OF628 Compass menawarkan perlindungan optimum dan tersedia untuk saiz M hingga 4XL.
Ia turut dilengkapi visor matahari di bahagian dalam, sistem pengudaraan tetap di bahagian atas dan belakang, serta keserasian pemasangan sistem Bluetooth melalui modul khas.

Bahagian dalaman topi keledar ini menggunakan fabrik gred A premium dengan corak jacquard, boleh ditanggalkan sepenuhnya dan dibasuh untuk penyelenggaraan yang lebih mudah.

Harga ditetapkan pada RM388 bagi versi kosong dan RM399 untuk versi bercorak.

Kesemua produk baharu LS2 ini dijangka mula memasuki pasaran tempatan dalam masa terdekat melalui rangkaian pengedar sah Mforce dan CFMOTO di seluruh negara.
Baca Juga : Mforce Perkukuh Sokongan Selepas Jualan Dengan Pusat Servis Berskala Besar
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!





