Di tengah-tengah kepesatan teknologi dan kemewahan negara Jepun terdapat satu lokasi yang unik dalam dunia automotif iaitu Magarigawa Club. Kelab eksklusif ini mempunyai litar perlumbaan persendirian yang dimiliki oleh seorang jutawan yang berhasrat untuk menggabungkan prestasi dan estetika dalam satu arena.

Dibangun dengan visi untuk mencipta sebuah litar lumba yang layak menyandang status Formula 1, litar ini direka oleh Hermann Tilke, nama yang tidak asing dalam dunia perlumbaan F1. Beliau telah mereka bentuk litar di beberapa kota besar seperti Las Vegas, Jeddah, dan Abu Dhabi. Litar Magarigawa mengambil nama dari kelab itu sendiri, menjanjikan pengalaman pemanduan yang mencabar dengan 22 selekoh dan jalan lurus sejauh 800 meter serta laluan trek yang mempunyai reka bentuk menurun dan menaik, menguji kemahiran dan keberanian pemandu.

Lebih dari sekadar litar perlumbaan, Magarigawa Club menawarkan sebuah kompleks yang lengkap dengan kemudahan mewah. Ahli kelab boleh menikmati kolam infiniti, gim, restoran dan bar, serta bilik karaoke yang disediakan untuk berehat selepas melalui hari yang penuh adrenalin.

Menjadi ahli Magarigawa Club memerlukan komitmen kewangan yang besar, dengan yuran keahlian mencecah lebih dari $230,000 setahun, baru anda boleh menggunakan litar lumba tersebut. Namun bagi mereka yang mampu, pengalaman unik dan eksklusif ini tidak ternilai harganya.

Dengan pemandangan yang menakjubkan menghadap Gunung Fuji dan Teluk Tokyo, Magarigawa Club tidak hanya menawarkan arena perlumbaan, tetapi juga sebuah destinasi yang penuh ketenangan dan anda boleh menikmati keindahan alam disamping memandu kereta kesayangan anda.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Lewis Hamilton Juara di Silverstone – Kemuncak F1 2024

Hamilton The G.O.A.T Kembali
Lewis Hamilton meraih ‘kemanisan’ yang telah lama dinantikan. Dalam kemenangan, beliau turut memecahkan rekod dengan kemenangan kesembilan di Grand Prix British dan juara F1 terbanyak dalam sejarah sukan itu. 104 menang sepanjang kariernya mengatasi Michael Schumacher.
Walaupun George Russell, yang memulakan perlumbaan dari petak utama, mendahului Hamilton ketika perlumbaan bermula. Persaingan sengit antara dua kereta Mercedes dan pasangan McLaren, Norris dan Piastri, segera terungkap di tengah-tengah keadaan cuaca yang sukar diramal.

Cuaca & Strategi
Kepimpinan bertukar tangan ketika pelumba mula menukar kepada tayar hujan selepas fasa pembukaan perlumbaan, sebelum cuaca menjadi kering. Hamilton memanfaatkan pit stop untuk tayar soft slicks satu pusingan sebelum Norris.
Russell terpaksa bersara akibat masalah sistem air, dan Max Verstappen merampas tempat kedua dari Norris pada peringkat akhir perlumbaan. Hamilton berjaya mengekalkan kedudukannya untuk meraih kemenangan penuh emosional. Kemenangan kesembilan di Grand Prix tunggal dan kemenangan pertama sejak Grand Prix Arab Saudi 2021.
Walaupun semakin pantas dengan tayar keras pada pusingan terakhir, Verstappen tidak mempunyai masa yang cukup untuk merebut kedudukan pertama dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk Red Bull, manakala Norris melengkapkan podium di tempat ketiga.

Keadaan Di Tengah Litar
McLaren yang lain, Piastri, mengambil tempat keempat, diikuti oleh Carlos Sainz dari Ferrari di tempat kelima dan Nico Hulkenberg yang mengagumkan di tempat keenam untuk Haas. Aston Martin mempunyai hujung minggu yang lebih baik daripada sebelumnya dengan Lance Stroll dan Fernando Alonso masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan kelapan, manakala Alex Albon menjaringkan dua mata berharga untuk Williams di tempat kesembilan.
Yuki Tsunoda melengkapkan kedudukan 10 teratas untuk RB, dengan Logan Sargeant hampir ketinggalan untuk Williams di tempat ke-11 dari Kevin Magnussen dari Haas di tempat ke-12, dan Daniel Ricciardo dari RB di tempat ke-13.
Keputusan ini mengecewakan untuk Charles Leclerc. Pemandu Ferrari itu pada awalnya mencatat kemajuan tetapi tergelincir ke belakang selepas menukar kepada tayar pertengahan terlalu awal, dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.

Kedudukan Lima Terakhir
Valtteri Bottas menjadi pelumba Kick Sauber terdepan di tempat ke-15. Manakala Esteban Ocon menduduki tempat ke-16 dalam hari yang sukar untuk Alpine. Sergio Perez pula menghadapi satu lagi perlumbaan yang sukar, berakhir di tempat ke-17.
Zhou Guanyu menjadi pelumba terakhir yang diklasifikasikan di tempat ke-18 untuk Kick Sauber. Manakala Russell adalah salah satu daripada dua pelumba yang bersara akibat masalah sistem air. Pierre Gasly juga gagal menamatkan perlumbaan, setelah kembali ke pit pada akhir pusingan formasi disebabkan masalah kotak gear.
Perhatian kini beralih ke Grand Prix Hungary yang akan berlangsung di Hungaroring pada hujung minggu 19-21 Julai. Mari kita saksikan bagaimana aksi selanjutnya dalam kalender F1 2024!
Dari Formula One
Baca Formula 1 Austria GP – Russell Menang Ketika Verstappen dan Norris Bertembung
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
6,957 Pegawai dan Anggota JSPT Bertugas Sepanjang Op Selamat 24 Sempena Aidilfitri

Dengan musim perayaan Aidilfitri yang semakin hampir, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah menggerakkan hampir 7,000 pegawai dan anggota untuk memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya menerusi Op Selamat 24.
Penglibatan Pegawai dan Anggota JSPT
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, seramai 6,957 pegawai dan anggota akan terlibat dalam operasi ini. Ini termasuk 871 pegawai kanan polis dan 6,086 pegawai rendah polis.
Mereka akan bertugas dalam pelbagai peranan seperti kawalan lalu lintas (‘point-duty’), rondaan kawasan panas (‘blackspot’ dan ‘hotspot’), serta membantu menyuraikan kesesakan.
Selain itu, Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) akan ditugaskan untuk menangani kes kemalangan ringan di lebuh raya. Manakala Pasukan Respons Kecemasan (ERT) bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kejadian tidak diingini.

Op Lancar dan Tempoh Operasi
Sebagai langkah tambahan, JSPT juga melancarkan Op Lancar bermula 23 Mac hingga 6 April. Ini bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sepanjang tempoh perayaan.
Sementara itu, Op Selamat 24 akan berlangsung selama enam hari, iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas Aidilfitri. Dengan mengekalkan tema “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”.
Pemantauan Lokasi Panas dan Kemalangan
Sebanyak 407 lokasi ‘hotspot’ yang sering mengalami kesesakan lalu lintas dan 76 lokasi ‘blackspot’ telah dikenal pasti di seluruh negara. Lokasi ini melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran, serta lebuh raya utama yang akan diberi perhatian khusus oleh JSPT.
Bagi lebuh raya utama, sebanyak 25 lokasi ‘hotspot’ dan 46 lokasi ‘blackspot’ telah dikenal pasti. Di mana pemantauan akan dijalankan secara berterusan. Pasukan JSPT juga bersiap sedia untuk memberi bantuan kepada pengguna jalan raya yang mengalami masalah kenderaan atau kecemasan.
Tindakan dan Penguatkuasaan Ketat
Selain memastikan kelancaran lalu lintas, JSPT juga akan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang lalu lintas. Terutama kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan.
Operasi ini turut disokong oleh pemantauan udara melalui Unit Operasi Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau keadaan lalu lintas secara lebih efektif.
Kerjasama Antara Agensi
Dalam memastikan operasi berjalan dengan lebih berkesan, JSPT menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), St. John Ambulance, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Telekom Malaysia, PLUS Malaysia, dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA).
Nasihat Kepada Pengguna Jalan Raya
Datuk Seri Mohd Yusri turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang lalu lintas, bersabar, dan sentiasa memandu secara berhemah.
Pemandu juga digalakkan melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan sebelum memulakan perjalanan serta mendapatkan rehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.
Tambah beliau, sikap pemandu memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan di jalan raya. Setiap pengguna perlu bertanggungjawab antara satu sama lain untuk mengurangkan risiko kemalangan.
Dengan pelaksanaan Op Selamat 24 ini, diharapkan semua rakyat Malaysia dapat menikmati perjalanan yang lancar dan selamat ketika pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Dari Berita Harian
Baca Juga Video Tular Supercar Gumball 3000, Polis Bukit Aman Beri Amaran
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Boon Siew Honda Bawa Masuk Empat Model Ke Pasaran Tempatan

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. baru-baru ini mengumumkan pelancaran model terbaharu yang dinantikan pasaran tempatan. Empat model tersebut adalah ADV 350, NX500, CB750 Hornet dan XL750 Transalp.
Dilancarkan buat pertama kali di Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024). Jentera berprestasi tinggi ini hadir dengan reka bentuk yang maskulin dan lasak, mencerminkan nadi masing-masing yang sebenar.

Honda ADV350 – Skuter Adventure Mampu Milik
Honda ADV 350 dilengkapi dengan enjin 330cc, silinder tunggal, SOHC 4-lejang, dan 4-injap sejukan cecair. Skuter ini menawarkan casis yang mengagumkan, ciri-ciri menarik, dan reka bentuk yang tegap, sesuai untuk perjalanan harian dan pengembaraan off-road bagi penunggang bandar dan urban.
Dengan konsep ‘New Urban Adventure’, Honda ADV350 adalah pilihan terbaik bagi penunggang yang mencari pengembaraan hujung minggu sambil menikmati perjalanan di jalan-jalan bandar. Enjin SOHC 4-injap dengan teknologi eSP+ ini menghasilkan kuasa puncak 21.5kW pada 7,500rpm dan tork 31.8Nm pada 5,250rpm. Menjadikan skuter ini sesuai untuk perjalanan harian yang sederhana hingga panjang.
Honda ADV350 tersedia dalam tiga warna menarik. Mat Gun Powder Black Metallic, Pearl Smokey Gray, dan Mat Candy Tulip Red, dengan harga bermula dari RM33,999 (tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran).

Honda NX500 – Pengalaman Pengembaraan Moden
Boon Siew Honda turut memperkenalkan NX500, sebuah motosikal crossover yang dibangunkan berdasarkan konsep Pengembaraan Jalan Raya Moden. Dengan enjin 471cc, lapan injap, DOHC sejukan cecair, dua silinder selari, motosikal ini direka untuk merevolusikan pengalaman menunggang bagi peminat di semua peringkat, baik di bandar mahupun di laluan tanah.
Enjin dua silinder yang menghasilkan kuasa puncak sebanyak 37kW pada 8,500rpm dan tork 45Nm pada 6,500rpm. Dengan kerangka pengembaraan yang direka secara aerodinamik, motosikal ini menawarkan gaya crossover moden yang mudah, tangkas, dan mempunyai kehadiran yang tidak dapat disangkal di mana-mana jenis permukaan.
Honda NX500 akan tersedia pada suku akhir 2024 dalam tiga warna. Pearl Horizon White, Grand Prix Red, dan Matte Gunpowder Black Metallic dengan harga bermula dari RM37,099 (tidak termasuk cukai, insurans, dan dokumen lain).

Honda CB750 Hornet – Gabungan Kelajuan, Kelincahan, dan Keseronokan
Model ketiga, Honda CB750 Hornet dilengkapi dengan enjin 755cc, dua silinder selari, sejukan cecair, OHC 4-lejang Unicam lapan injap dengan crank 270°. Direka untuk memenuhi tiga kata: Pantas, lincah, dan menyeronokkan.
Dikuasakan oleh enjin berteknologi tinggi, CB750 Hornet menghasilkan kuasa puncak 67.6kW pada 9,500rpm dan tork 74.4Nm pada 7,000rpm. Direka untuk setiap penunggang mengeksploitasi sepenuhnya, dengan hantaran kuasa yang mengujakan, model ini menjadikan perjalanan harian di bandar lebih menyeronokkan.
Honda CB750 Hornet tersedia dalam tiga warna. Graphite Black, Pearl Glare White, dan Mat Goldfinch Yellow dengan harga bermula dari RM50,800.

Honda XL750 Transalp – Pengembaraan untuk Pejuang
Model terakhir adalah Honda XL750 Transalp, direka untuk jiwa yang berani, pencari kegembiraan, dan penakluk gunung. Dikuasakan oleh enjin 755cc, dua silinder selari, sejukan cecair, OHC 4-lejang Unicam lapan injap dengan crank 270°. XL750 Transalp adalah sempurna untuk perjalanan jarak jauh serta sesuai untuk bandar.
Motosikal berkonsepkan pengembaraan ini mempunyai 4 tahap Kuasa Enjin (EP) yang menghasilkan kuasa puncak 67.5kW pada 9,500rpm dan tork 75Nm pada 7,250rpm.
Pemilik mempunyai pilihan antara mod SPORT, STANDARD, RAIN, GRAVEL untuk menyesuaikan perjalanan. Ini di mana setiap mod mempunyai tetapan pratetap yang sesuai dengan keadaan perjalanan.
Terdapat juga mod pengguna khusus yang membolehkan penunggang menyesuaikan tetapan peribadi. Di mana setiap mod memberikan prestasi enjin yang berbeza untuk menyesuaikan keadaan menunggang.
Honda XL750 Transalp akan tersedia dalam tiga warna baru – Mat Iridium Gray Metallic, Ross White, dan Mat Ballistic Black Metallic dengan harga bermula dari RM56,800.
Baca: Honda ADV 350 Tembus Pasaran Malaysia Tahun Ini?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.