
Auto Bavaria baru-baru ini memperkenalkan MINI Paul Smith Edition kepada pelanggan dan peminat jenama MINI di Kuala Lumpur. Model edisi khas ini kini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu White dan Statement Grey, menampilkan gabungan rekaan unik serta sentuhan gaya daripada pereka terkenal, Paul Smith.
Pelancaran ini berjaya menarik kehadiran lebih 200 tetamu terdiri daripada pelanggan setia serta komuniti “MINIacs”, yang hadir untuk melihat sendiri perincian reka bentuk serta elemen estetika yang membezakan edisi ini daripada model MINI lain.
Menurut wakil MINI Malaysia, edisi Paul Smith ini mencerminkan semangat kreativiti serta kebebasan ekspresi yang sinonim dengan jenama MINI.
Ia bukan sekadar sebuah kereta, tetapi juga simbol gaya hidup dengan sentuhan eksklusif yang menonjolkan personaliti pemiliknya.
Selain model utama, Auto Bavaria turut mempamerkan beberapa edisi istimewa lain seperti MINI Countryman Stealth Limited Edition, Countryman Shadowline Limited Edition, MINI 1965 Victory Edition serta MINI John Cooper Works GP Inspired Edition.
Kesemua model ini dihasilkan dalam jumlah terhad, sekali gus mengekalkan elemen eksklusiviti dalam pasaran.
Tidak terhad kepada pameran, para tetamu turut diberi peluang mencuba sesi pandu uji pada waktu malam. Ini membolehkan mereka merasai sendiri karakter pemanduan “go-kart handling” yang menjadi keunikan MINI, dengan latar suasana bandar Kuala Lumpur yang lebih hidup.
Menurut pihak pengurusan Auto Bavaria, acara ini direka sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan melalui komuniti eksklusif mereka, Vibrant Society.
Pendekatan ini menekankan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh, bukan sekadar jualan dan servis selepas jualan.
Acara ini turut memperlihatkan komitmen Auto Bavaria dalam menawarkan pengalaman premium kepada pelanggan, selari dengan reputasi mereka yang telah meraih pelbagai anugerah selama lebih sedekad.
Dengan rangkaian bilik pameran di beberapa lokasi utama seperti Ara Damansara, Kuala Lumpur, Balakong, Pulau Pinang dan Tebrau, mereka terus memperkukuh peranan dalam membangunkan komuniti automotif berteraskan gaya hidup MINI.
Baca Juga : MINI 1965 Victory Edition, Legenda Monte Carlo Kini Dalam Era Elektrik
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.