Moda Aero-E Kini Rasmi di Malaysia dengan Harga Mampu Milik
Satu lagi pilihan skuter mampu milik telah memasuki pasaran tempatan apabila Mdua Motor Sdn Bhd hari ini memperkenalkan skuter Moda Aero-E, sebuah model kompak yang memfokuskan kepada kegunaan harian, ekonomi dan kemudahan untuk semua lapisan penunggang.

Moda Aero-E mengekalkan konsep “senang bawa, senang jaga” dan hadir dengan enjin 118.8 cc, 1-silinder, sejukan udara yang menghasilkan 9.1 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 6,000 rpm.

Kuasa ini disalurkan melalui transmisi CVT automatik, menjadikannya sesuai untuk kegunaan bandar, perjalanan ulang-alik dan tunggangan santai tanpa perlu banyak kawalan.

Untuk keselesaan, Aero-E menggunakan fork teleskopik di bahagian depan serta penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera depan dipadankan dengan brek gelendong di belakang, satu kombinasi asas namun mencukupi untuk sebuah skuter ringan dalam segmennya.

Walaupun berada dalam kategori mampu milik, Moda Aero-E tetap hadir dengan ciri yang memudahkan kehidupan harian, antaranya:
Lampu projektor LED berkembar

Lampu belakang LED

Paparan meter LCD

Port pengecasan USB Type-A & Type-C

Rim 14 inci untuk kestabilan lebih baik

Ruang bawah pelana 6.5 liter
Tangki bahan api 5.5 liter
Tinggi tempat duduk 780 mm – sesuai untuk kebanyakan penunggang
Reka bentuknya juga tampil kemas dan moden, sesuai sebagai skuter pertama atau kenderaan harian bagi mereka yang inginkan bajet rendah tetapi tetap nak gaya.
Harga & pilihan warna MODA Aero-E
Moda Aero-E ditawarkan dalam dua warna pilihan:
Cobalt Blue
Carmine Red

Harga jualan bermula RM5,189 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans), menjadikan ia antara skuter baharu paling mampu milik di Malaysia ketika ini.
Baca Juga : MODA Sporter-S – Skuter 250cc Bergaya dan Berprestasi Tinggi
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
KOVE Rasmi Dilancarkan di Malaysia, Model 450R dan 800X GT Kini Ditawarkan dari RM33,888

Kove 450R dan 800X GT Kini Ditawarkan dari RM33,888
Pasaran motosikal tempatan terus berkembang dengan kehadiran satu lagi pemain baharu dari China, apabila Kove Moto secara rasmi membuat kemunculan sulung di Malaysia menerusi acara Kove Brand and New Model Launch 2025 yang berlangsung di KEV Advenduro, Rawang. Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan jenama baharu, tetapi turut menandakan permulaan era baharu bagi motosikal berprestasi tinggi yang ditawarkan pada harga mampu milik.
Walaupun baru ditubuhkan pada tahun 2017, Kove Moto bukan nama asing dalam dunia dua roda global. Diasaskan oleh seorang peminat perlumbaan tegar di China, jenama ini tampil dengan falsafah “Focus on Performance” membina motosikal yang ringan, berkuasa dan dibangunkan untuk prestasi.
Dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D), rekabentuk serta pembuatan di bawah satu bumbung, Kove menonjol sebagai antara jenama baru yang agresif. Sejak penubuhannya, Kove sudah membina reputasi kukuh di pentas antarabangsa dengan penyertaan dalam perlumbaan besar seperti Dakar Rally dan World Supersport Championship, sekali gus membuktikan kemampuan teknologi serta kejuruteraan mereka setanding pengeluar global lain.
Kini, kehadirannya di Malaysia membuka peluang baharu untuk penunggang tempatan merasai kejuruteraan China yang dibangunkan khusus untuk pasaran antarabangsa dan bukan sekadar jenama ‘murah’, tetapi sebuah pengeluar yang fokus pada prestasi dan daya tahan.
MDua Motor Dilantik Sebagai Pengedar Eksklusif
Untuk pasaran tempatan, Kove Moto akan dikendalikan oleh MDua Motor Sdn Bhd, subsidiari kepada AFY Mobility Industries (AMI). Syarikat ini dilantik sebagai pengedar tunggal dan eksklusif bagi semua model Kove di Malaysia.
Kerjasama strategik ini bukan sahaja melibatkan urusan pengedaran, tetapi turut memastikan pelanggan mendapat jaminan perkhidmatan selepas jualan menyeluruh, termasuk penyediaan alat ganti asli, waranti rasmi dan khidmat teknikal bertauliah.
Walaupun kesemua model Kove yang diperkenalkan ketika ini adalah import sepenuhnya (CBU), pihak AMI memaklumkan bahawa rancangan untuk pemasangan tempatan (CKD) sedang dirangka bagi masa hadapan. Langkah ini dijangka dapat menurunkan harga jualan dan memperkukuh sokongan perkhidmatan di seluruh negara, seiring piawaian global jenama Kove.
Kove 450R – Naked Bike 4-Silinder yang Mengancam
Model pertama yang mencuri tumpuan ialah Kove 450R, jentera naked empat silinder yang menjadi bualan di serata dunia sejak diperkenalkan. Dikuasakan oleh enjin 443cc, empat silinder sebaris, model ini mampu menghasilkan 65.3hp dan tork 40Nm, dengan berat hanya 164kg menjadikannya antara motosikal paling ringan dan berkuasa dalam kelasnya.
Gabungan itu membolehkan Kove 450R mencapai kelajuan maksimum 205km/j, memberikan pengalaman tunggangan agresif dan lincah, sesuai untuk penunggang yang mencari adrenalin tulen di jalan raya mahupun di litar.
Selain reka bentuk sporty dengan lampu depan LED yang tampak moden, 450R turut dilengkapi paparan digital penuh, sistem brek cakera berkembar serta suspensi hadapan terbalik (USD fork). Dengan harga RM33,888 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans), model ini jelas menawarkan pakej prestasi tinggi pada nilai luar biasa.
Kove 800X GT – Motosikal Adventure Premium dengan Kuasa 97hp
Turut diperkenalkan ialah Kove 800X GT, model pengembaraan (adventure) yang dibina untuk ketahanan dan keselesaan jarak jauh. Ia dikuasakan oleh enjin dwi-silinder sebaris 799cc, menghasilkan 97hp dan tork 80Nm, dipadankan dengan sistem throttle elektronik (ride-by-wire) serta pilihan multi riding mode.
Untuk keselesaan optimum, Kove 800X GT menggunakan suspensi KYB berkualiti tinggi, tangki bahan api besar untuk perjalanan jauh, dan sistem brek ABS dwi-saluran. Berat kering sekitar 195kg memastikan pengendalian kekal stabil walaupun ketika membawa beban tambahan.
Model ini juga direka dengan ergonomik pengembaraan tempat duduk dua lapis, pelindung angin tinggi serta tayar dwi-guna untuk pelbagai jenis permukaan jalan.
Harga jualan rasmi ditetapkan pada RM48,888, dan sebagai penghargaan kepada pelanggan awal, 20 pembeli pertama akan menerima set kotak sisi (pannier box) eksklusif secara percuma.
Kini Dipamer di Petaling Jaya
Bagi peminat yang ingin melihat sendiri kehebatan Kove, semua model termasuk 450 Rally, 450R dan 800X GT kini boleh didapati di AMI Bumirai Showroom, PJ222 Petaling Jaya.

Kehadiran Kove Moto di Malaysia menjadi simbol permulaan baharu dalam landskap dua roda negara. Ia bukan sekadar memperkenalkan jenama baharu, tetapi menawarkan alternatif sebenar kepada penunggang yang mencari motosikal berprestasi tinggi tanpa perlu membayar harga premium.
Dengan strategi jangka panjang AMI dan reputasi global Kove yang semakin kukuh, jenama ini dilihat berpotensi besar untuk menjadi antara pemain utama dalam segmen sport naked dan adventure di rantau Asia Tenggara.
Harga Rasmi Kove Malaysia (2025):
Kove 450R: RM33,888
Kove 800X GT: RM48,888
Kove 450 Rally: Harga mengikut varian
Baca Juga : Kove 250RR Menakluk Pasaran Supersport dengan Prestasi dan Gaya
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
CFMOTO 675NK Lancar di Malaysia, Enjin 3 Silinder, Quickshifter, TCS & Banyak Lagi

CFMOTO 675NK: Naked Bike Terkini yang Serba Moden, Lincah dan Berteknologi Tinggi
Selepas kejayaan pelancaran model kembara 800MT-X di pembukaan rasmi CFMOTO Flagship Store oleh Men Huat Motors Sdn. Bhd., jenama motosikal ini terus mengorak langkah agresif di pasaran Malaysia dengan memperkenalkan model naked-bike terbaharu yang diberi nama CFMOTO 675NK.
Motosikal ini adalah sebuah motosikal serba fleksibel dan direka khusus untuk kegunaan harian serta tunggangan dalam bandar yang sporty.

Rekaan Agresif, Pilihan Warna Bergaya
Ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu Glacier White dan Tundra Grey, CFMOTO 675NK tampil dengan gaya minimalis moden yang menarik.
Dengan harga permulaan RM33,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), ia membuka peluang kepada ramai untuk merasai kehebatan enjin tiga silinder dalam segmen pertengahan.
Tempahan kini dibuka di semua pengedar sah CFMOTO seluruh negara.

Enjin Tiga Silinder Berkuasa Tinggi
Dikuasakan oleh enjin 675cc 3-silinder sebaris DOHC dengan penyejukan cecair, 675NK menjana kuasa maksimum 70kW pada 11,000rpm dan tork 70Nm pada 8,250rpm.
Ini merupakan satu angka yang menjanjikan prestasi mengujakan sama ada di jalan bandar mahupun lebuh raya.
Dengan piston dan lejang 72mm x 55.2mm serta nisbah mampatan 11.5:1, motosikal ini bukan sahaja berkuasa malah cekap penggunaan bahan api.
Sistem Bosch EFI menjamin penyaluran bahan api yang responsif dan lancar dalam pelbagai situasi tunggangan.

Pengendalian dan Keselesaan Bertaraf Tinggi
Turut dilengkapi dengan quickshifter (upshift), slipper clutch, serta transmisi 6-kelajuan.
Steering damper pula membantu meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh tajam dan pada kelajuan tinggi.
Sistem suspensi terdiri daripada fork USD boleh laras φ41mm di hadapan dan penyerap hentak belakang monoshock.
Kedua-duanya dengan panjang 130mm memberikan keseimbangan antara kestabilan dan keselesaan dalam pelbagai keadaan jalan.

Ciri Dimensi & Ergonomik Mesra Pengguna
Dengan dimensi 2,020mm panjang, 849mm lebar, dan 1,155mm tinggi, jarak roda 1,400mm serta berat hanya 189kg.
Motosikal ini cukup mudah dikawal dan mesra penunggang pelbagai saiz.
Ketinggian tempat duduk 810mm menjadikannya selesa untuk kegunaan harian, manakala tangki 15 liter membolehkan perjalanan lebih jauh.

Brek Premium dan Cengkaman Maksimum
Menggunakan jenama brek J.Juan, 675NK dilengkapi cakera berkembar 300mm di hadapan (kaliper 4 piston) dan cakera tunggal 240mm di belakang (kaliper 1 piston).
Ditambah pula dengan sistem ABS dua saluran untuk prestasi membrek yang lebih stabil dan selamat.
Rim aloi ringan dengan tayar CST bersaiz 120/70 R17 (depan) dan 180/55 R17 (belakang) pula menjamin cengkaman dan kestabilan di pelbagai permukaan jalan.

Keselamatan Tambahan & Teknologi Terkini
Model ini turut hadir dengan Traction Control System (TCS) dengan dua tahap kawalan, sistem TPMS (Pemantauan Tekanan Tayar), serta sistem pencahayaan LED penuh.
Untuk keselesaan harian, 675NK dilengkapi dengan port USB Type-A & Type-C, serta sokongan aplikasi CFMOTO Ride App.
Jaminan Tanpa Had Perbatuan
Setiap pembelian CFMOTO 675NK disertakan dengan waranti dua tahun tanpa had perbatuan dan Ini membuktikan komitmen CFMOTO terhadap kepuasan pemiliknya.
Baca Juga : CFMOTO 250NK Lite – Naked Termurah, Dari RM9,888
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Verstappen Dominasi Grand Prix Qatar dengan Kemenangan Hebat

Max Verstappen menampilkan aksi cemerlang dalam Grand Prix Qatar yang penuh aksi. Meraih kemenangan selepas melalui pelbagai cabaran dan tiga kali penampilan Safety Car.
Permulaan Perlumbaan
Walaupun kehilangan pole position akibat penalti satu tempat dalam sesi kelayakan. Verstappen memulakan perlumbaan dengan agresif. Beliau berjaya menewaskan George Russell dan Lando Norris dalam perebutan posisi pertama pada selekoh pertama.
Insiden dan Penampilan Safety Car
Perlumbaan memasuki fasa kritikal apabila Safety Car pertama muncul pada pusingan pertama akibat insiden yang melibatkan Franco Colapinto, Esteban Ocon, dan Nico Hulkenberg.
Ini diikuti dengan dua lagi kegunaan Safety Car sepanjang 57 pusingan perlumbaan. Menambah ketegangan dan strategi kepada aksi di litar.

Perkembangan Lando Norris dan Penalti
Lando Norris, yang sebelum ini bersaing rapat dengan Verstappen, menghadapi cabaran besar selepas dikenakan penalti 10 saat. Ini selepas dia gagal memperlahankan kenderaan di bawah bendera kuning.
Akibatnya, beliau terpaksa berjuang untuk mendapatkan mata, namun berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh.
Keputusan Akhir dan Pencapaian
Verstappen menamatkan perlumbaan dengan masa 1 jam 31 minit 5.323 saat. Diikuti oleh Charles Leclerc di tempat kedua, 6.031 saat di belakang.
Oscar Piastri melengkapkan podium di tempat ketiga. Russell menamatkan perlumbaan di tempat keempat, manakala Pierre Gasly dan Carlos Sainz masing-masing di tempat kelima dan keenam.

Komen Verstappen Selepas Perlumbaan
“Perlumbaan yang sangat baik,” kata Verstappen. “Kereta saya lebih baik berbanding semalam. Pada permulaan, saya dan Lando sentiasa berada dalam jarak 1.8 saat antara satu sama lain. Saling mendesak dan ia sangat menyeronokkan.
Litar ini mempunyai cengkaman yang tinggi dan tayar tahun ini sangat tahan lama, jadi ia sangat menyeronokkan untuk benar-benar mendorong tayar. Kami bertahan lama pada stint pertama.
Selepas itu, terdapat beberapa momen Safety Car yang perlu diambil kira, tetapi saya sangat gembira. Ia telah lama sejak kami begitu kompetitif dalam keadaan kering dan saya sangat bangga dengan semua orang dalam pasukan yang telah mengubah keadaan dalam sehari.

Perlumbaan Seterusnya
Perhentian terakhir dalam kalender F1 2024 adalah Grand Prix Abu Dhabi, dengan paddock bergerak terus ke Litar Yas Marina untuk penamat musim pada 6-8 Disember.
Perlumbaan ini dijangka menjadi penentu dalam perebutan kejuaraan pembina antara McLaren dan Ferrari.
Grand Prix Qatar ini bukan sahaja menyaksikan Verstappen menambah koleksi kemenangannya, tetapi juga menampilkan persaingan sengit dan strategi yang menarik, menjadikan ia salah satu perlumbaan yang paling mendebarkan dalam musim ini.
Dari Formula One
Baca Juga Cadillac Sertai Formula 1 Sebagai Pasukan Ke-11 pada 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






