Aksi Perlumbaan Malam Kembali Menyala
Festival perlumbaan paling ikonik negara, Malaysia Speed Festival (MSF), kembali menghangatkan kalendar permotoran tempatan dengan pusingan kedua yang diberi nama “Saturday Night Fever”.
Dengan sokongan rasmi daripada Tourism Malaysia, perlumbaan akan berlangsung di South Track Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 19 dan 20 April 2025.
Sudah pasti bakal menjanjikan suasana perlumbaan waktu malam yang mendebarkan serta penuh adrenalin.

Menjulang Warisan Sukan Permotoran Negara
Bermula sejak 2010, MSF telah menjadi antara platform paling konsisten dalam memartabatkan sukan permotoran di peringkat akar umbi.
Memasuki tahun ke-15, MSF terus berpegang kepada objektif asalnya — menyediakan ruang perlumbaan yang mampu milik, selamat dan menyeronokkan buat komuniti peminat automotif tanah air.
Untuk pusingan kali ini, MSF kembali ke akar tradisinya di South Circuit yang lebih mesra penonton.
Perlumbaan kategori SuperTurismo akan dimulakan seawal jam 6:00 petang hingga lewat tengah malam.
Kategori SuperBikes pula akan berlangsung keesokan harinya (Ahad) di laluan yang sama.
Lebih menarik ini adalah perlumbaan pertama kali dalam sejarah MSF superbike dilangsungkan di litar ini.

Sokongan Tourism Malaysia: Permotoran sebagai Tarikan Pelancongan
MSF edisi kali ini menerima sokongan padu daripada Tourism Malaysia, selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026.
Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperkasa ekosistem sukan permotoran tempatan, malah sebagai medium untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi sukan bermotor utama di Asia Tenggara.

“Kami amat teruja dengan sokongan daripada Tourism Malaysia. Ini bukan sahaja membuka peluang pendedahan lebih luas kepada komuniti pelumba tempatan, malah menarik perhatian pelumba dan peminat antarabangsa,” kata Adian Yein, Prinsipal MSF.
Tambah beliau, MSF bukan asing dalam kalangan pelumba luar negara, dengan penyertaan daripada Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Jepun dan juga benua Eropah.
Barisan Pelumba Elit dan Ikonik
Malaysia Speed Festival tidak pernah ketandusan bakat hebat.
Dalam pusingan pertama kategori SuperBikes, antara nama besar yang mencuri tumpuan termasuk Azlan Shah (bekas pelumba ARRC).
Selain itu Naomichi Uramoto (juara All Japan J-GP2 2016), Adam Norrodin (pelumba WorldSBK), dan Zulfahmi Khairuddin (bekas pelumba MotoGP dan pengasas ZK Racing).
Bagi kategori SuperTurismo, kehadiran legenda seperti Faidzil Alang, yang mencatat masa peribadi terbaik baharu di Sepang dengan catatan 2:16, turut memeriahkan perlumbaan.
Tidak ketinggalan, juara Gazoo Racing GT Cup Asia 2024, Taj Izrin Aiman, yang juga pelumba simulasi profesional, menambah dimensi baharu kepada pertandingan ini.

MSF Myvi Cup — Si Kecil Lincah, Kini Di Litar
Tahun ini turut menandakan kemunculan kategori baharu yang menarik perhatian.
Kategori tersebut adalah MSF Myvi Cup, yang memberi tumpuan kepada jentera ikonik rakyat Malaysia, Perodua Myvi.
Perlumbaan ini bakal menjadi tumpuan dalam pusingan kedua.
Tambahan pula dengan penganjuran di litar selatan yang lebih pantas, padat dan mencabar pada waktu malam.
Baca Juga : Malaysia Speed Festival Umumkan Pengenalan Myvi Cup dalam MSF Superturismo
Akses Untuk Semua — Motorsports Milik Rakyat
Mengukuhkan reputasi sebagai platform inklusif, MSF mengekalkan struktur kategori yang teratur serta bayaran penyertaan yang berpatutan.
Menurut Adian, ini adalah asas kepada kejayaan MSF yang berjaya menggabungkan pelumba profesional dan amatur dalam satu persekitaran kompetitif yang selamat.

“MSF bukan sekadar perlumbaan. Ia adalah jambatan antara dunia permotoran profesional dengan komuniti peminat. Inilah yang menjadikan MSF istimewa,” katanya.
Jom Ke Sepang — Tiket Bermula RM35
Pusingan 2 Malaysia Speed Festival akan diadakan pada 19 April (kategori SuperTurismo).
Manakala pada 20 April pula (kategori SuperBikes) di South Circuit Litar Antarabangsa Sepang.
Akses ke paddock boleh dibeli di pintu masuk pada hari acara dengan harga RM35 sehari.
Manakala tempat duduk Grandstand ditawarkan secara percuma.
Untuk peminat permotoran, inilah masa terbaik untuk menyaksikan keghairahan perlumbaan pada waktu malam di tanah air — MSF 2025.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Ketepatan Masa Perlumbaan, 2 Dekad Tissot Sebagai Penjaga Masa Rasmi MotoGP

Tissot dan MotoGP™: Sejarah Penjaga Masa Rasmi Lebih 2 Dekad
MotoGP™ adalah Perlumbaan Motosikal terbesar di dunia, dan juga yang paling lama dalam sejarah kejohanan motorsport, bermula sejak tahun 1949.
Sejak 2001, Tissot telah menjadi Penjaga Masa Rasmi MotoGP™, dan sejak itu, elemen motosikal telah menjadi sebahagian daripada DNA Tissot.
Inspirasi ini membawa Tissot menghasilkan jam tangan yang mencerminkan dunia motosikal yang dinamik dan penuh debaran.

Penghormatan Terhadap Kerjasama
Sebagai penghormatan terhadap kerjasama ini, jam tangan MotoGP™ pertama dilancarkan pada 2003.
Sejak daripada itu jam tangan ini menjadi kegemaran dan koleksi peminat MotoGP daripada seluruh dunia.

Memasuki tahun 2023, era baharu MotoGP™ bermula dengan pengenalan acara Sprint MotoGP™ .
Perlumbaan ini membolehkan pelumba mendapatkan lebih banyak mata, serta menambah lagi keghairahan di kalangan penonton yang hadir pada hari Sabtu.
Tissot, sebagai Penjaga Masa Rasmi, akan terus mengawal setiap detik dari barisan permulaan hingga ke podium.

25 Tahun Kerjasama Bersejarah
Selama dua puluh lima tahun kerjasama ini, Tissot merasa bangga menjadi sebahagian penting dalam pengalaman baharu ini.
Dari detik bersejarah hingga debaran di garisan penamat, Tissot sentiasa bersedia menyokong dan meraikan kejayaan para pelumba yang menonjolkan semangat keberanian.

Penjagaan Masa yang Tepat dan Terperinci
Tidak dapat dinafikan, MotoGP™ adalah antara sukan paling mendebarkan di dunia.
Pelumba-pelumba yang meluncur di selekoh dengan lutut hampir menyentuh permukaan litar menunjukkan kehebatan atletik, manakala motosikal yang mencapai kelajuan hampir 350 km/j adalah keajaiban teknologi.
Di sinilah Tissot berperanan sebagai penjaga masa rasmi.
Kelajuan motosikal yang tinggi dan jarak masa yang kecil antara pemenang membuatkan ketepatan masa amat penting dan sistem sokongan juga perlu sentiasa ada.

Operasi Penjagaan Masa Bergerak
Keseluruhan operasi penjagaan masa ini dipindahkan dari satu litar ke litar lain, di dalam konvoi trak kontena, dan dipasang semula setiap kali perlumbaan.
Tujuan utamanya adalah memastikan ketepatan masa yang terbaik.
Kerana keperluan untuk ketepatan mutlak, Tissot dan MotoGP™ tidak bergantung pada sistem masa yang sedia ada.
Mereka sebaliknya memasang sensor di setiap litar dan meletakkan kamera video berkelajuan tinggi di garisan penamat.
Setiap motosikal dilengkapi dengan transponder unik yang menghantar isyarat kepada antena di sekeliling litar dan di lorong pit bagi memantau kelajuan atas faktor keselamatan.

Pemprosesan Data Masa Nyata
Data yang diperoleh daripada setiap motosikal semasa perlumbaan dihantar kepada sistem komputer canggih yang menyusun maklumat ini dalam bentuk statistik yang berguna untuk pasukan, wartawan, MotoGP™ dan para penonton.
Sebagai tambahan, Tissot juga menyediakan kamera video berkelajuan tinggi dan kamera foto di garisan penamat.
Ini bertujuan bagi memastikan penentuan pemenang yang tepat jika berlaku perselisihan dalam data.

Maklumat dan Statistik untuk Semua
Maklumat yang dikumpul ini dihantar terus ke papan skor digital yang mengemaskini kedudukan pelumba dan masa pusingan.
Dalam masa yang sama maklumat ini juga dihantar ke stesen TV untuk paparan kepada penonton dengan logo Tissot sepanjang perlumbaan berlangsung.
Sistem Utama dan Sokongan Manual
Sistem utama adalah melalui transponder dan antena, dan Tissot juga mempunyai elemen sokongan manusia, iaitu pemerhati yang memastikan maklumat yang diterima adalah tepat.

Sebaik sahaja perlumbaan MotoGP™ tamat, pasukan Tissot mula menyalurkan statistik penuh perlumbaan kepada semua – laman web, media berita, stesen TV, MotoGP™, pasukan dan pelumba.
Penyelidikan dan Teknologi Masa Depan
Tissot sentiasa menjalankan penyelidikan teknologi masa baharu untuk memastikan peralatan mereka berada pada tahap terkini.
Mereka sedang menguji teknologi GPS, walaupun setakat ini teknologi tersebut belum cukup tepat untuk perlumbaan tetapi berguna dalam siaran TV untuk menunjukkan jurang antara pelumba.

Ketepatan yang Tidak Boleh Dikompromi
Dalam dunia MotoGP™, yang menjadi antara sukan berprofil tinggi di seluruh dunia, ketepatan masa dan statistik adalah amat penting.
Dengan jutaan penonton yang mengikuti perlumbaan ini, Tissot tidak boleh silap dalam memberikan maklumat yang tepat.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Selamat Hari Lahir, MotoGP !
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Belfield Tunnel Dibuka – Akses Lancar ke Merdeka 118!

Buat anda yang ingin mengunjungi Menara Merdeka 118, berita baik! Belfield Tunnel kini dibuka secara rasmi, menawarkan laluan lebih mudah dan lancar ke destinasi ikonik ini.
Dibangunkan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Terowong ini bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pusat bandar dan memberikan akses yang lebih baik ke menara kedua tertinggi di dunia ini.
Belfield Tunnel – Terowong Dua Tingkat Kedua di Malaysia
Dengan panjang lebih satu kilometer, Belfield Tunnel merupakan terowong dua tingkat kedua di Malaysia. Ia direka khas untuk menghubungkan kenderaan ke kawasan Merdeka 118, menjadikan perjalanan lebih lancar dan efisien.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud, projek ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pengunjung tetapi juga membantu mengurangkan kesesakan jalan utama di ibu kota. Selain itu, sebanyak 8,000 ruang tempat letak kereta telah disediakan bagi memudahkan parkir di kawasan ini.

Akses Masuk & Keluar Lebih Mudah
Pengguna boleh memasuki Belfield Tunnel melalui Jalan Syed Putra dan Jalan Damansara, yang membawa mereka terus ke tempat letak kereta bawah tanah 4 di Menara Merdeka 118. Manakala untuk keluar, kenderaan boleh melalui tempat letak kereta bawah tanah 5 dan memilih antara dua jalan keluar, iaitu Jalan Syed Putra dan Jalan Istana.
Dengan laluan baru ini, kesesakan di jalan utama seperti Jalan Hang Jebat, Jalan Hang Tuah, dan Jalan Maharajalela dapat dikurangkan, sekaligus meningkatkan kelancaran lalu lintas di sekitar presint Merdeka 118.

Akses Mudah ke Hotel & Pusat Beli-Belah
Selain kemudahan ke Menara Merdeka 118. Belfield Tunnel juga akan memudahkan akses ke destinasi premium lain seperti hotel mewah Park Hyatt Kuala Lumpur – dijangka buka pada Q2 2025. Pusat beli-belah 118 Mall – bakal beroperasi pada Q2 2026.
Dengan akses terus melalui terowong ini, pengalaman penginapan mewah dan beli-belah eksklusif kini lebih mudah dinikmati oleh semua pengunjung.
Panduan Video Disediakan
Bagi memastikan pengguna dapat menggunakan laluan ini dengan mudah, panduan video telah disediakan untuk membantu navigasi masuk dan keluar dari Belfield Tunnel. Ini akan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa kepada semua pengunjung.
Dengan pembukaan Belfield Tunnel, perjalanan ke Menara Merdeka 118 kini lebih mudah, selesa, dan pantas. Sama ada untuk urusan perniagaan, membeli-belah, atau sekadar menikmati pemandangan bandar dari menara tertinggi di Malaysia. Akses kini lebih mesra pengguna dan lancar!
Dari Careta
Baca Juga Kerajaan Pertimbang Langkah Pembangunan Sistem Tol Tanpa Palang
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Defender Edisi Khas Rayakan Semangat Camel Trophy

Land Rover Defender Trophy Edition: Semangat Kembara Era Camel Trophy Kembali
Land Rover sekali lagi mengangkat warisan kembara ekstremnya menerusi pelancaran Defender Trophy Edition.
Model edisi khas yang memberi penghormatan kepada jentera legenda Camel Trophy ikon kereta 4×4 era 1980-an dan 1990-an.

Inspirasi Retro, Sentuhan Moden
Berasaskan model Defender 110, versi Trophy Edition ini tampil eksklusif dengan pilihan warna ikonik Deep Sandglow Yellow atau Keswick Green.
Model ini tampil menyerlah bersama padanan bonet, bumbung dan lengkung tayar berwarna hitam.
Sentuhan klasik diteruskan ke bahagian dalam dengan kemasan kulit hitam serta panel papan pemuka yang dicat sepadan dengan warna luaran.

Aksesori Off-Road Serba Lengkap
Bagi mereka yang benar-benar serius mengenai “offroad”, Land Rover turut menawarkan Trophy Edition Accessory Pack bernilai £4,995 yang merangkumi:
Rak bumbung gaya ekspedisi
Pannier luar untuk simpanan tambahan
Snorkel udara
Tangga bumbung
Pelapik lumpur
Turut ditawarkan ialah filem pelindung badan dengan kemasan matte untuk meningkatkan ketahanan cat dalam persekitaran lasak.

Tanpa Nama Camel, Tetapi Ruhnya Tetap Hidup
Walaupun tiada sebarang penjenamaan rasmi Camel Trophy pada model ini dipercayai disebabkan sensitiviti terhadap penajaan tembakau Defender Trophy Edition jelas menjiwai roh pengembaraan dan ketahanan yang sinonim dengan perlumbaan tersebut.
Warna kuning khas itu sendiri dipilih sebagai simbol kepada jentera Defender yang digunakan dalam acara-acara “Trophy-style” antarabangsa.

Penampilan Perdana di Goodwood
Defender Trophy Edition dijadual membuat kemunculan umum di Goodwood Festival of Speed dari 10 hingga 13 Julai ini.
Harga permulaan ditetapkan pada £89,810, satu angka yang jauh lebih berpatutan berbanding model Defender klasik Camel Trophy hasil restorasi Land Rover Classic yang pernah dijual pada harga mencecah £195,000 dan habis terjual hanya dalam tempoh tiga hari.
Model edisi khas ini tidak ditawarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dan pelancarannya terhad kepada pasaran terpilih seperti UK dan Eropah.
Namun begitu, peminat Defender tempatan pastinya tetap teruja melihat bagaimana DNA pengembaraan klasik ini diterjemahkan semula dalam bentuk moden.
Baca Juga : Land Rover Range Rover Sport SV Edition One 2024, Gabungan Utiliti dan Kuasa
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



