Peminat jentera berprestasi tinggi, bersiap sedialah – Porsche Malaysia kini membawa masuk barisan terbaharu model ikonik mereka, Porsche 911 Carrera dan Carrera 4 GTS.
Kali ini, bukan sekadar pembaharuan kosmetik semata. Ini adalah evolusi yang menyeluruh. Dari rekaan enjin hinggalah ke kabin digital yang serba canggih. Harga permulaan? RM1.43 juta – dan ya, berbaloi bagi mereka yang menghargai kejuruteraan Jerman tahap dewa.
Kuasa Hibrid Pertama Dalam 911 – Bukan Gimik
Apa yang paling menarik dalam barisan baharu ini adalah kehadiran teknologi T-Hybrid dalam 911 Carrera 4 GTS. Kali pertama sebuah 911 menggunakan sistem hibrid prestasi tinggi.
Enjin boxer 3.6 liter enam silinder yang baru dibangunkan ini digabungkan dengan turbo elektrik dan motor elektrik yang disepadukan dalam transmisi PDK 8-kelajuan.
Hasilnya? 534 HP dan 610 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3 saat. Dan semua ini dengan pertambahan berat hanya 50 kg berbanding model terdahulu.
Turbo elektrik ni bukan biasa-biasa – ia menggunakan motor kecil untuk memutarkan pengecas turbo tanpa sebarang lagging. Lebih hebat, sistem ini turut bertindak sebagai penjana kuasa elektrik dari aliran gas ekzos.
Tambah pula dengan motor elektrik tambahan dalam transmisi yang beri tork tambahan 150 Nm. Sesuai untuk pecutan kilat dari kedudukan statik.
Enjin Boxer 3.0 Turbo – Masih Kekal, Tapi Lebih Garang
Bagi varian 911 Carrera, enjin 3.0 liter twin-turbo boxer masih menjadi nadi utama. Namun kini lebih bertenaga, menghasilkan 387 HP dan 450 Nm. Ia turut menggunakan intercooler daripada model Turbo. Serta turbo yang dahulunya eksklusif untuk GTS. 0-100 km/j? Hanya 4.1 saat (atau 3.9 saat dengan pakej Sport Chrono).
Reka Bentuk Aerodinamik dan Agresif
Secara visual, rekaan luar diberi sentuhan lebih segar dan fungsional. Lampu utama LED Matrix kini standard dengan semua fungsi disepadukan. Hasilnya? ruang lebih besar untuk lubang penyejukan.
Bahagian depan 911 Carrera 4 GTS hadir dengan flap penyejukan aktif dan diffuser adaptif – pertama kali dalam sejarah 911.
Semua ini menyumbang kepada aerodinamik yang lebih cekap dan kawalan suhu enjin optimum.
Bahagian belakang pula kini tampil dengan lampu melintang baharu bersama logo ‘PORSCHE’. Bampar dan diffuser yang direka semula. Exhaust GTS kini hadir dalam bentuk spesifik model dengan pilihan sistem ekzos sport untuk mereka yang mahu bunyi lebih ‘menggoda’.
Dalam Kabin – Minimalis Tapi Penuh Teknologi
Masuk ke dalam, anda akan disambut dengan paparan digital penuh 12.6 inci dan skrin tengah 10.9 inci yang mengawal sistem info hiburan PCM. Kawalan mod pemanduan kini di stereng, dan butang hidup diletakkan di kiri. Identiti klasik Porsche kekal dihormati.
Tambahan baru termasuk pengecas telefon tanpa wayar dalam ruang khas penyejuk, serta integrasi Apple CarPlay dan video streaming bila berhenti.
Suspensi Aktif, Stereng Belakang & Cengkaman Gila
Untuk pemanduan pula, 911 Carrera 4 GTS tampil dengan suspensi sport PASM dan stereng gandar belakang. Pertama kali ditawarkan sebagai standard. Rim bersaiz sehingga 21 inci di belakang digandingkan dengan tayar lebar untuk daya cengkaman yang lebih padu.
Sedia Untuk Tempahan
911 Carrera baharu ditawarkan dalam versi Coupé pacuan belakang. Manakala Carrera 4 GTS hadir sebagai Coupé atau Targa dengan pacuan semua roda. Kedua-duanya dilengkapi transmisi PDK sebagai standard.
Bagi yang berminat untuk menyaksikan sendiri kehebatan teknologi Porsche generasi baharu ini, tempahan kini dibuka. Lawati pusat Porsche terdekat atau klik di sini untuk maklumat lanjut.
Dari Porsche Malaysia
Baca Juga Porsche Malaysia 15 Tahun, Dari Glenmarie ke Arena Serantau
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.