
Porsche dilaporkan akan menutup tiga anak syarikatnya sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula operasi syarikat, dengan lebih 500 pekerja dijangka terjejas. Keputusan ini dibuat ketika pengeluar kereta sport dari Jerman itu mahu memberi semula tumpuan kepada perniagaan teras dalam keadaan pasaran EV global yang semakin mencabar.
Tiga anak syarikat yang terlibat ialah Cellforce Group, eBike Performance dan Cetitec. Cellforce sebelum ini memberi fokus kepada pembangunan bateri berprestasi tinggi, eBike Performance pula terlibat dalam pembangunan sistem pemacu e-bike, manakala Cetitec dikaitkan dengan pembangunan perisian serta teknologi rangkaian automotif.
Menurut Porsche, keputusan menutup tiga entiti tersebut dibuat bagi membolehkan syarikat kembali memberi tumpuan kepada operasi utama. Ketua Pegawai Eksekutif, Michael Leiters, menyatakan syarikat perlu kembali fokus kepada core business sebagai asas kepada strategi baharu mereka.
Langkah ini menunjukkan Porsche kini lebih berhati-hati dalam menentukan pelaburan luar daripada operasi automotif utama. Selepas beberapa tahun industri terlalu agresif dalam elektrifikasi dan pembangunan teknologi baharu, pengeluar premium kini mula menilai semula keutamaan masing-masing.
Antara unit yang paling mendapat perhatian ialah Cellforce Group. Anak syarikat ini sebelum ini memainkan peranan penting dalam pembangunan sel bateri berprestasi tinggi untuk masa depan EV Porsche.
Pada awalnya, pembangunan bateri dalaman dianggap penting bagi memastikan prestasi dan identiti jenama dapat dikekalkan dalam era EV. Namun perubahan pasaran global, kos pembangunan yang tinggi dan permintaan EV yang tidak sekata menjadikan projek seperti ini semakin sukar dipertahankan.
Penutupan Cellforce memberi bayangan bahawa, mungkin akan lebih selektif dalam menentukan teknologi yang mahu dibangunkan sendiri dan teknologi yang lebih sesuai diperoleh melalui kerjasama industri.
Selain bateri, Porsche turut menghentikan operasi eBike Performance. Unit ini sebelum ini terlibat dalam pembangunan sistem pemacu untuk e-bike termasuk teknologi berkaitan jenama Fazua.
Laporan antarabangsa menyebut lebih 300 pekerja di lokasi berkaitan terjejas susulan keputusan tersebut. Penutupan bahagian ini menunjukkan mereka tidak lagi mahu menanggung kos pembangunan sistem pemacu e-bike secara dalaman dalam keadaan pasaran yang semakin perlahan.
Walaupun begitu, Porsche masih boleh meneruskan penawaran e-bike berjenama sendiri melalui kerjasama dengan pengeluar lain tanpa perlu membangunkan keseluruhan sistem secara terus.
Anak syarikat ketiga yang terlibat ialah Cetitec, sebuah syarikat perisian yang membangunkan teknologi komunikasi dan rangkaian untuk Porsche serta kumpulan Volkswagen.
Penutupan unit ini berlaku ketika banyak pengeluar automotif global mula menilai semula strategi pembangunan perisian mereka. Walaupun industri bergerak ke arah kenderaan software-defined, kos pembangunan dan keperluan integrasi sistem semakin kompleks.
Dalam konteks Porsche, pengurangan unit seperti Cetitec boleh dilihat sebagai usaha menyederhanakan operasi dan mengurangkan pertindihan pembangunan dalaman.
Langkah Porsche ini turut memberi gambaran bahawa pasaran EV premium tidak berkembang secepat yang dijangka beberapa tahun lalu. Permintaan EV di beberapa pasaran utama masih tidak sekata, manakala kos pembangunan bateri, perisian dan platform baharu terus meningkat.
Dalam masa sama, pengeluar tradisional turut berdepan tekanan daripada jenama China, kos operasi tinggi dan perubahan selera pengguna global. Prestasi kewangan beberapa pengeluar premium juga mula menunjukkan tekanan selepas pelaburan besar dilakukan dalam sektor EV.
Walaupun Porsche menutup tiga anak syarikat ini, langkah tersebut tidak bermaksud syarikat meninggalkan EV sepenuhnya. Porsche masih mempunyai model elektrik seperti Taycan dan Macan Electric yang kekal penting dalam pelan jangka panjang syarikat.
Namun pengeluar itu dilihat mahu lebih berhati-hati dalam mengimbangi pelaburan antara EV, hibrid dan enjin pembakaran dalaman. Bagi mereka, prestasi, keuntungan dan identiti produk masih menjadi keutamaan utama.
Jika pasaran tidak bergerak sepantas jangkaan awal, strategi produk dan teknologi juga perlu disusun semula agar kekal menguntungkan untuk jangka panjang.
Penutupan Cellforce Group, eBike Performance dan Cetitec menunjukkan Porsche sedang melalui fasa penilaian semula strategi selepas beberapa tahun memberi fokus besar kepada elektrifikasi dan teknologi berkaitan.
Dengan lebih 500 pekerja terjejas, keputusan ini jelas bukan langkah kecil. Namun ia memberi gambaran bahawa pengeluar automotif premium kini semakin berhati-hati dalam menentukan hala tuju teknologi masa depan sambil memastikan perniagaan utama terus kekal kukuh.
Baca juga: Kenapa Kereta SUV dan Hatchback Perlukan Wiper Belakang
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.