Proton X50 Jadi SUV Paling Laris di Malaysia
Sejak dilancarkan pada 24 Julai lalu, Proton X50 Baharu terus mencatat sejarah apabila muncul sebagai SUV nombor satu di Malaysia pada bulan Ogos dengan jualan melebihi 4,000 unit. Penampilan luaran serba baharu, kabin yang lebih premium, serta ciri pintar terkini menjadikan model segmen-B ini pilihan utama khususnya dalam kalangan pembeli muda.
Fokus kepada Pasaran Sabah & Sarawak
Permintaan tinggi di Malaysia Timur mendorong Proton untuk melakukan persediaan rapi dari segi perkhidmatan selepas jualan. Pusat Alat Ganti Wilayah (Regional Parts Centre) di Kuching, Sarawak menjadi nadi utama dalam memastikan bekalan alat ganti X50 tidak terganggu.
Pusat ini mampu menghantar alat ganti dalam tempoh hanya 2 hari untuk pesanan segera, manakala permintaan stok biasa mengambil masa 7 hari. Dengan keluasan sekitar 28,000 kaki persegi iaitu tiga kali ganda lebih besar berbanding gudang lama dengan kapasiti penyimpanan meningkat 200% dan mampu memproses sehingga 20 kontena sebulan.
“Pusat alat ganti ini adalah yang terbesar antara pengeluar OEM di Kuching, dan ia berperanan sebagai hab pengedaran utama untuk Sarawak serta turut menyokong Sabah jika diperlukan,” jelas Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.
Jualan Kukuh di Malaysia Timur
Sepanjang 2025, Malaysia Timur menyumbang 20.6% daripada jumlah jualan Proton, dengan peningkatan pegangan pasaran daripada 19% pada 2024 kepada 19.5% tahun ini. Model Proton Saga kekal sebagai pilihan utama dengan 13,619 unit terjual sehingga kini, diikuti Persona (2,282 unit) dan X50 (1,387 unit).
Dengan lebih banyak kenderaan Proton berada di jalan raya, keupayaan selepas jualan yang mantap amat penting untuk memastikan kepuasan pelanggan terjamin.
Standard Servis Diperkasa Melalui POE
Proton meneruskan pelaksanaan Proton Operational Excellence (POE) di seluruh rangkaian perkhidmatan selepas jualan di Malaysia Timur. Program ini menekankan aspek proses servis, kemahiran juruteknik, pengurusan stok, dan penglibatan pelanggan bagi memastikan tahap kecekapan operasi yang konsisten.
Setiap pusat servis dinilai secara bulanan, dengan laporan prestasi dikongsi secara telus. Proton turut menganjurkan roadshow suku tahunan untuk mengiktiraf pusat servis berprestasi tinggi dan berkongsi amalan terbaik. Lima pusat terbaik setiap bulan dianugerahkan 5-Star Dealer Award sebagai penanda aras kecemerlangan selepas jualan.
Komitmen Proton terhadap Pelanggan
“Matlamat utama kami ialah kepuasan pelanggan. Setiap penambahbaikan membawa kami lebih dekat dengan standard perkhidmatan bertaraf dunia. Kami akan terus komited dalam memberikan produk berkualiti tinggi dengan sokongan selepas jualan yang setara,” tambah Zhang Qiang.
Dengan strategi menyeluruh ini, Proton bukan sahaja memperkukuh kedudukannya di Malaysia Barat, malah semakin dominan di Malaysia Timur menjadikan jenama nasional ini lebih bersedia untuk menghadapi persaingan SUV yang semakin sengit.
Baca Juga : Proton Perkenal Proton X50 Terbaharu kepada Umum
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.