Buat peminat kenderaan klasik dan modifikasi acara RETRO HAVOC 2023 ENCORE UNLIMITED pastinya menjadi salah satu acara yang cukup dinantikan. Ia merupakan sebuah acara pameran yang menggamit semangat nostalgia retro dan keunikan dalam dunia modifikasi kenderaan.
Acara ini bakal diadakan di KL Base, Lapangan Terbang Lama Sungai Besi, Bandar Malaysia, Kuala Lumpur pada 2hb Disember 2023 (Sabtu), bermula daripada jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Dengan jumlah anggaran kenderaan pameran sebanyak 1200 unit termasuk kereta dan motosikal, RETRO HAVOC 2023 menjanjikan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan bagi pencinta kenderaan dari seluruh Malaysia. Anggaran pengunjung yang mencapai 40,000 orang menjadikan acara ini sebagai destinasi utama bagi peminat kenderaan dan modifikasi.
Acara ini tidak hanya menawarkan pameran kenderaan yang menarik, tetapi juga pelbagai tarikan lain yang pasti memuaskan pengunjung. Antara acara menarik termasuk Drift Show, Drift Taxi, ATV rides, Burnout Show, Car Show, Bikes Show, Foodtrucks, dan Booths yang menjual barangan berkaitan kenderaan.
Tetamu undangan antarabangsa yang terkenal turut memeriahkan acara ini. Max Orido, pemandu profesional dari Jepun, Khyzyl Saleem dari The Kyza United Kingdom, Rick Muda dari Speedhunters International Media, Ichiraku Toshiya dari 1048style, Kamiwaza, Fuelfest Japan, dan Charlie B, seorang jurugambar automotif terkemuka dari UK, akan menyertai acara ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan peminat.
Acara ini dianjurkan oleh ASDF Motorsport dan mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia. Dengan kerjasama ini, diharapkan RETRO HAVOC 2023 dapat menjadi satu acara berprestij yang mempromosikan budaya kenderaan modifikasi di Malaysia.
Peminat dan peserta dijemput menggunakan hashtag rasmi acara ini, iaitu #RETROHAVOCXASDF, #RETROHAVOC, dan #RETROHAVOC2023 untuk berkongsi pengalaman dan gambar-gambar menarik sepanjang acara. Ini juga memberikan peluang kepada mereka untuk terlibat dalam perbincangan dalam talian dan memperluaskan impak acara melalui platform media sosial.
Pihak penganjur berharap kehadiran semua peminat kenderaan, modifikasi, dan gaya hidup retro dapat memberi manfaat kepada semua.
Dengan gabungan antara pameran kenderaan, aktiviti menarik, dan sokongan penuh daripada pengunjung, RETRO HAVOC 2023 ENCORE UNLIMITED dijangka menjadi acara puncak bagi komuniti kenderaan modifikasi di Malaysia. Jom sertai dan nikmati kemeriahan ini bersama-sama!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Toyota TS010 – Kereta Yang Boleh Patahkan Rusuk Anda Tanpa Kemalangan

Isi Kandungan
ToggleDalam sejarah automotif, banyak pencapaian gemilang telah direkodkan. Ada yang memuji kereta, ada yang memuji pemandu, dan ada yang memuji kedua-duanya. Namun ini adalah kisah pemandu ujian dan Toyota TS010, di mana kedua-duanya berkongsi darah (barangkali) dan tulang yang retak.
Toyota TS010 Raksasa Litar Group C
Toyota TS010 dibangunkan untuk mematuhi peraturan baru Kejohanan Kereta Sport Dunia FIA 1992. Enjin V-10 mempunyai lima injap setiap silinder dan sudut V 72 darjah. Kereta ini menjadi asas ujian teknologi multi-injap Toyota.
Dalam tetapan maksimum, enjin ini menghasilkan 700 kuasa kuda. Untuk perlumbaan di Le Mans, enjin perlu diturunkan kepada 600 kuasa kuda. Gearbox manual enam kelajuan menghantar kuasa ke roda belakang. Dengan spesifikasi Le Mans, TS010 boleh mencapai kelajuan maksimum 215 mph (346 km/h) dan mempunyai berat kering 1,653.4 paun (750 kg), terima kasih kepada monocoque gentian karbonnya.

Spesifikasi Toyota TS010
– Enjin: 3.5-liter naturally-aspirated V-10
– Kuasa: 700 HP
– Kuasa De-tuned: 600 HP
– Transmisi: enam-kelajuan manual
– Kelajuan Maksimum: 215 mph (346 km/h)
– Berat: 1,653.4 paun (750 kg)

Kisah Pemandu Ujian Toyota
Kereta juga boleh mematahkan tulang rusuk tanpa kemalangan. Namun ada faktor luaran yang perlu diambil kira. Andy Wallace, pada masa itu pemandu ujian untuk Toyota, berkongsi kisahnya dalam satu temubual.
Ia berlaku pada Februari 1992 apabila pasukan lebih daripada 50 jurutera dan lima pemandu ujian ‘berkampung’ di litar perlumbaan Eastern Creek di Australia selama sembilan hari untuk ujian ketahanan dan kelajuan.
Muka Bumi Litar
Litar Eastern Creek mempunyai lurus yang panjang, diikuti oleh selekoh kiri berkelajuan tinggi yang boleh diambil pada 315 km/h (196 mph). Selekoh ini boleh diambil dengan kelajuan penuh, tetapi ada satu masalah – bonggol di tengah-tengahnya.

“Saya melalui selekoh itu dan merasakan retakan besar ini, dan dua tulang rusuk saya patah serta-merta hanya dengan memandu kereta,” kata Andy. Perkara yang sama berlaku kepada pemandu seterusnya, Hitoshi Ogawa. Seperti Wallace, pada penghujung jam pertama, di tempat yang sama, perkara yang sama berlaku kepada Ogawa.
Punca yang mungkin menyebabkan kejadian ini;
- Keletihan Tulang (Bone Fatigue): Seperti kerangka kereta dan komponen mekanikal yang boleh mengalami keletihan logam, tulang dalam badan manusia juga boleh mengalami keletihan tulang.
Keletihan tulang disebabkan oleh retakan tekanan. Faktor utama yang boleh menyumbang kepada ini termasuk latihan intensif dan pendedahan kepada persekitaran yang ekstrem. Perlumbaan ketahanan boleh dilihat sebagai salah satu bentuk pemanduan kompetitif yang paling ekstrem, jadi tidak mustahil keletihan tulang boleh berlaku dalam senario ini.

- Daya Mendap TS010 (Downforce): Selekoh Turn 1 di Eastern Creek boleh diambil pada kelajuan lebih daripada 190 mph (307 km/h). Dalam mod “corner carver” maksimum, kereta ini boleh menghasilkan dari 5,249 paun (2,381 kg) hingga 7,298 paun (3,310 kg) daya mendap, bergantung pada tetapan.
- Peralihan Daya Graviti (G-Force): Daya Graviti maksimum yang boleh dialami oleh manusia adalah 9G dan itu hanya untuk beberapa saat. Walaupun ada yang mencadangkan bahawa daya G yang dialami oleh Wallace dan Ogawa adalah sekitar 5G. Sebenarnya kadar peralihan daya G yang menyumbang kepada tulang rusuk yang patah. Bonggol di Turn 1 mencipta sentakan yang menyebabkan peralihan pantas dalam daya G, yang akhirnya menyebabkan tulang rusuk kedua-dua pemandu patah.
TS010 Diabadikan dalam Sejarah
Kesimpulannya, Toyota TS010 adalah sebuah mesin yang berkuasa dan mempunyai kejayaan perlumbaan. Kualitinya yang luar biasa adalah identitinya walaupun dengan enjin yang baru. Ia lebih boleh dipercayai daripada jangkaan jurutera dan pemandu. Selepas sembilan hari ujian (dan tulang rusuk yang patah), jurutera Jepun memuji kereta ini sebagai “lebih kuat daripada pemandu.”
Kereta lumba Group C ini akhirnya digantikan oleh Toyota TS020 dan seterusnya TS030. Andy Wallace sendiri berkata, “Toyota itu, sehingga hari ini, adalah salah satu kereta lumba terbaik yang pernah saya pandu – ia luar biasa. Sayangnya, Peugeot membina kereta yang sedikit lebih baik.”
Dari TopSpeed
Baca UMW Toyota Catat Angka Positif Setakat Mei 2024
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
BMW Motorrad Persembah 4 Model Facelift Di Malaysia Autoshow 2024

Isi Kandungan
ToggleBMW Motorrad Group Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan ketibaan BMW CE 02 baharu, berserta tiga motosikal premium yang terdiri daripada BMW F 900 GS, BMW R 1300 GS dan BMW S 1000 XR.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami berasa teruja untuk mempersembahkan barisan motosikal kami yang terbaharu di Malaysia Autoshow 2024.
Setiap motosikal melambangkan inovasi, yang mengintegrasikan aspek elektrifikasi, prestasi premium, serta reka bentuk yang canggih.”
BMW CE 02 Baharu
BMW Group Malaysia menegaskan komitmennya terhadap visi pengelektrifikasian bagi segmen Mobiliti Bandar dengan penawaran BMW CE 02. Jentera yang diberi jolokan “eParkourer” ini membawakan pacuan elektrik, reka bentuk dan juga solusi inovatif yang mengagumkan.
BMW CE 02 baharu tampil dengan teknologi dan rekaan futuristik yang mampu menambat hati para belia di Malaysia. Fokus untuk landskap urban, e-motosikal bertaraf premium ini hadir dengan roda bersaiz besar yang menjanjikan daya tahan serta pengalaman menunggang merentasi pelbagai permukaan jalan.
Roda hadapan BMW CE 02 dipadan oleh fork teleskopik hidraulik, manakala single-side swingarm serta komponen sistem suspensi di belakang. Tayar kenderaan dimuatkan pada roda aloi ringan yang mempunyai rekaan roda cakera kontemporari dan brek cakera.
Dimensi, Prestasi CE 02
Dengan fokus ke atas pengalaman tunggangan dinamik, e-motosikal premium ini hanya mempunyai berat 132 kg sahaj. Dari segi dimensi, ia berukuran panjang 1970 mm dan tinggi 1140 mm dari perisai anginnya.
BMW CE 02 membawakan output kuasa maksimum sebanyak 11 kW (15 hp) dan 55 Nm tork. Ia membolehkan pecutan 0 ke 50 km/j dalam tempoh sekitar 3 saat. Dirumus untuk persekitaran urban dan tunggangan bebas emisi, BMW CE 02 mampu mencecah kelajuan tertinggi 95 km/j.
Bateri, Jarak Perjalanan & lain-lain…
Dilengkapi dengan bateri ion litium 6 kWj, penunggang dapat menikmati jarak operasi maksimum sejauh 100 km. Proses pengecasan bateri ini juga dijadikan lebih mudah dengan rangkuman alat pengecas 900 W.
Tambahan lagi, keupayaan pengecasan pantas sehingga 1500W juga mampu mengurangkan waktu pengecasan kepada sekitar 1 jam 40 minit dari status bateri 20% hingga 80%. Manakala dari 0% hingga 100% akan mengambil masa 3 jam 30 minit, menjadikan pengalaman para penunggang lebih fleksibel.
Mod Tunggangan, Kosmetik CE 02
BMW CE 02 baharu menampilkan skrin paparan berwarna TFT 3.5 inci, dengan padanan aplikasi BMW Motorrad Connect. Aplikasi ini membekalkan kemudahan navigasi, status kenderaan serta statistik berguna untuk menaik taraf pengalaman menunggang.
E-motosikal premium ini turut didatangkan dengan tiga mod tunggangan secara standard, iaitu “Flow”, “Surf” dan “Flash”. Mod “Flow” mengoptimumkan tunggangan santai dalam landskap urban. Manakala mod “Surf” membekalkan pengalaman tunggangan serba dinamik untuk kesibukan kawasan bandar. Bagi mereka yang menginginkan ciri tunggangan yang lebih sporty, mod “Flash” adalah sempurna untuk anda.
Melengkapi perincian ini, BMW CE 02 baharu turut hadir dengan soket USB, fungsi tunggangan tanpa kunci, bantuan mengundur dan mod sangga (cradle) menerusi aplikasi BMW Motorrad Connect.
Ia membolehkan penunggang mengakses paparan tambahan melalui pad kekunci pada bar hendal dan ia merangkumi pendakap telefon bimbit secara standard, justeru memudahkan pengintegrasian teknologi semasa perjalanan.

BMW F 900 GS Baharu
Memperkenalkan F 900 GS baharu dengan keupayaan “offroad”, jelajah, dan kembara yang lebih unggul. Ia hadir dengan aneka fungsi dan teknologi serba inovatif yang disesuaikan untuk pasaran tempatan.
Memberi nafas baharu kepada kehandalannya, motosikal ini tampil dengan kegunaan offroad yang ditambah baik, pengurangan berat yang signifikan, iaitu sebanyak 14 kg yang menjadikan jumlah beratnya 219 kg.
F 900 GS baharu memuatkan teknologi pencahayaan yang canggih untuk menjamin daya lihat pada waktu siang dan malam yang lebih baik.
Kapasiti bahan api adalah sebanyak 14.5 liter dan tip ekzos dari Akrapovič. F 900 GS kini membawakan Enduro Pro Paket, yang meliputi fork teleskopik titanium terbalik yang boleh dilaras sepenuhnya dan pelbagai lagi perician untuk membantu penunggang.
Selain pembaharuan dari sudut dinamisme, BMW F 900 GS turut hadir dengan pelbagai kelengkapan yang praktikal serta mesra penunggang, ia termasuk pelindung enjin dan tangan, heated throttle dan menawarkan ciri kawalan dan ergonomik yang lebih sesuai.
Paparan instrumen TFT bersaiz 6.5 inci yang diperbaharui dengan pilihan Connect menawarkan ciri hubungan, navigasi dan sistem pengurusan panggilan telefon pintar. Para peminat juga pasti teruja dengan reka bentuk pelananya yang lebih ramping dan tirus, memastikan kestabilan dan juga keselesaan ketika menunggang secara offroad.

BMW R 1300 GS Baharu
Tunggangan BMW GS yang paling ikonik kini ditambah baik dengan pengurangan berat yang signifikan sebanyak 12 kg berbanding pendahulunya. Dengan menggabungkan ekzos baharu dan reka bentuk yang lebih ramping, BMW R 1300 GS memberikan pengendalian yang lebih lancar dan responsif untuk penunggang.
Model ini juga menampilkan enjin boxer 1300 cc baharu yang meningkatkan kuasa dan tork, memberikan prestasi yang lebih hebat dalam semua keadaan.
BMW R 1300 GS baharu menampilkan ciri pencahayaan yang canggih, termasuk pencahayaan waktu siang dan lampu hadapan LED matriks. Motosikal ini juga membawakan lampu hadapan LED tambahan yang meningkatkan daya lihat di luar jalan raya. Sementara Headlight Pro yang dinamik melaras dan mencahayakan laluan penunggang semasa membelok.
BMW R 1300 GS baharu hadir dalam warna Triple Black, Racing Blue Metallic dan Option 719 Tramuntana, setiap satu mencerminkan tema boxer GS yang ikonik dengan bentuk yang segak.
Prestasi R 1300 GS
Direka semula agar bersifat lebih kompak, jantung BMW R 1300 GS baharu ialah enjin boxer dua silinder yang ikonik. Hadir dengan nilai sesaran 1,300 cc, ia mampu menjana output berjumlah 107 kW (145 hp) dengan tork 149 Nm.
Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik (DSA) juga turut menerima kemas kini dan ia lebih responsif berdasarkan mod tunggangan dan keadaan jalan raya.
Model ini juga turut meningkatkan bilangan mod tunggangan yang ditawarkan. Kini hadir dengan empat pilihan berbanding tiga untuk memenuhi keperluan penunggang yang pelbagai.
Mod “Rain” dan “Road” menawarkan pengalaman tunggangan berciri boleh suai yang sempurna bagi pelbagai kondisi jalan raya. Mod “Eco” pula memaksimumkan penggunaan bahan api, membolehkan jentera ini ditunggang pada jarak maksimum dengan satu tangki penuh.
Sementara mod “Enduro” memperkayakan pengalaman menunggang off road dengan tetapan khas yang dirumus untuk laluan yang mencabar. Memudahkan penunggang untuk mengembara dengan lebih yakin.
Untuk perincian keselamatan, ia termasuk dengan ABS Pro untuk sistem brek yang lancar serta Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) untuk meningkatkan stabiliti. Motosikal ini menawarkan pengalaman tunggangan yang selamat dan mengujakan di atas semua jenis laluan.

BMW S 1000 XR Baharu
Untuk penunggang yang mencari prestasi tinggi dan pengembaraan jalan raya, BMW S 1000 XR baharu menawarkan pengalaman yang tiada tandingan. Dengan teknologi canggih, termasuk sistem suspensi dinamik dan mod tunggangan yang boleh disesuaikan. Jentera ini memastikan perjalanan yang selesa dan terkawal walaupun pada kelajuan tinggi.
BMW S 1000 XR baharu menampilkan teknologi pencahayaan yang canggih, hadir dengan indikator membelok LED, unit lampu belakang, serta lampu hadapan.
Lampu Tambahan LED yang baharu turut menambahbaik aspek pencahayaan. Sementara Headlight Pro DRL (Daytime Riding Light) meningkatkan tahap kebolehlihatan motosikal ini pada waktu siang. Penawaran warna yang standard bagi BMW S 1000 XR baharu meliputi Gravity Blue Metallic dan Blackstorm Metallic.
Prestasi S 1000 XR
S 1000 XR baharu dikuasakan oleh enjin sebaris empat silinder dengan output 170 hp dan 114 Nm tork. Kelajuan tertinggi melebihi 250 km/j.
Model ini juga membawakan empat mod tunggangan untuk kemudahan penunggang: Rain, Road, Dynamic, dan Dynamic Pro. Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan fungsi DTC Wheelie generasi baru.
Selain itu, model baharu juga menawarkan Shift Assist Pro yang membolehkan gear ditukar dengan lancar tanpa penglibatan klac, meningkatkan lagi aspek kawalan dan juga prestasi. Turut memperkayakan ciri-ciri kemudahannya ialah aneka aksesori standard seperti Tunggangan Tanpa Kunci dan sistem pengantara pengecasan USB.
Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi barisan jentera yang terbaharu ini ialah:
BMW CE 02 Baharu | RM 38,500.00 |
BMW F 900 GS Baharu | RM 88,500.00 |
BMW S 1000 XR Baharu | RM 129,500.00 |
BMW 1300 GS Baharu | RM 138,500.00 |
dengan tawaran warna Option 719 Tramuntana | RM 149,500.00 |
Kehadiran barisan motosikal baharu ini bukan sahaja mencerminkan komitmen BMW dalam memajukan industri ini. Namun untuk memberikan pengalaman tunggangan yang tidak dapat dilupakan bagi peminat motosikal di Malaysia.
Baca: BMW R 18 Roctane Penerus Warisan dengan Gaya Moden yang Mempesona
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Mercedes-Benz GLC 350 e Plug-in Hybrid

Isi Kandungan
ToggleMercedes-Benz sekali lagi mengukuhkan kedudukannya dalam dunia kenderaan mewah dengan pelancaran GLC 350 e 4MATIC versi Plug-in Hybrid. Dengan harga bermula RM 398,888. Model ini dipasang tempatan di Pekan, Pahang, dan menjanjikan pemanduan yang efisien serta berprestasi tinggi.
Kenderaan ini benar-benar mewakili gabungan antara kemewahan, teknologi canggih, dan inovasi untuk mobiliti masa depan.
Prestasi & Kecekapan yang Menakjubkan
GLC 350 e dikuasakan oleh enjin petrol 1,999 cc empat silinder yang mampu menghasilkan 204 hp dan tork setinggi 320 Nm.
Gabungan enjin petrol ini dengan motor elektrik berkuasa 100 kW memberikan output sistem keseluruhan sebanyak 313 hp dan tork sehingga 550 Nm.
Ciri Plug-in Hybrid ini juga menawarkan pecutan dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 6.7 saat, dengan kelajuan maksimum mencapai 218 km/j.
Yang menarik tentang GLC ini ialah jarak perjalanan elektriknya. Dengan sokongan bateri voltan tinggi (HV) berkapasiti 25.4 kWh, pemandu boleh menikmati perjalanan sehingga 131 km. Ini menjadikan GLC 350 e 4MATIC pilihan ideal untuk perjalanan harian di bandar tanpa menggunakan petrol.
Ciri Pemanduan Pintar & Keselamatan Termaju
Mercedes-Benz tak pernah main-main bila bercakap soal keselamatan. GLC 350 e 4MATIC dilengkapi dengan Driving Assistance Package Plus.
Ia merangkumi pelbagai ciri bantuan pemanduan seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Stop-and-Go Assist, serta Active Steering Assist. Sistem ini bukan saja memberi keselesaan, tetapi juga memastikan pemanduan yang lebih selamat dalam apa jua keadaan.
Antara ciri keselamatan lain yang membezakan GLC ini dengan model lain termasuk Active Brake Assist yang mampu mengesan kenderaan, basikal, dan pejalan kaki, serta Active Blind Spot Assist untuk mengurangkan risiko ketika menukar lorong.
Rekaan Luaran & Dalaman Mewah
Dari luar, GLC 350 e 4MATIC mengekalkan reka bentuk elegan yang biasa dilihat dalam keluarga SUV Mercedes-Benz. Pakej AMG Line memberikan penampilan sporty dengan apron hadapan AMG yang dilengkapi trim krom.
Serta roda aloi 20 inci AMG berbilang jejari yang menonjolkan lagi keyakinan pada jalan raya. Sistem pencahayaan DIGITAL LIGHT dan gril corak khas Mercedes-Benz melengkapkan penampilan luaran yang bergaya.
Di dalam pula, kabin GLC 350 e 4MATIC dilengkapi dengan rekaan AMG Line, menggunakan bahan premium seperti kulit ARTICO dan microfiber MICROCUT.
Sistem infotainment MBUX yang dipertingkatkan dengan MBUX Navigation Premium dan Augmented Reality membantu pemandu mendapatkan panduan jalan yang lebih jelas.
Untuk audio, sistem bunyi Burmester® 3D surround dengan 15 pembesar suara memastikan pengalaman mendengar yang mengasyikkan.
Kemudahan Harian yang Praktikal
Selain daripada ciri-ciri mewah dan berteknologi tinggi, GLC 350 e 4MATIC juga menawarkan ruang but yang luas, dengan kapasiti sehingga 490 liter.
Ia juga dilengkapi dengan Parking Package yang merangkumi kamera 360 darjah dan Active Parking Assist untuk memudahkan urusan parkir dalam situasi yang mencabar.
Kesimpulannya, Mercedes-Benz GLC 350 e 4MATIC bukan hanya sebuah SUV mewah, tetapi ia juga menawarkan gabungan sempurna antara prestasi, efisiensi, dan inovasi terkini.
Bagi mereka yang mahukan pemanduan yang lancar, selesa, dan mesra alam tanpa mengorbankan kuasa. GLC 350 e 4MATIC adalah pilihan terbaik.
Baca Juga Mercedes-Benz E-Class 2024 – Kemewahan dan Inovasi Terunggul
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.