Kembalinya Ikon VanVan Dalam Era Mobiliti Baharu
Suzuki menghidupkan semula model klasik mereka, VanVan, namun kali ini dalam bentuk elektrik sepenuhnya. Dikenali sebagai e-VanVan, motosikal ini mengetuai barisan konsep baharu Suzuki yang memfokuskan kepada mobiliti lestari generasi akan datang, dipertontonkan buat pertama kali kepada umum di Japan Mobility Show 2025 yang berlangsung di Tokyo pada 30 Oktober hingga 9 November lepas.

Mengambil inspirasi daripada model asal VanVan 125 yang popular sekitar tahun 1970-an dan diperkenalkan semula di UK pada 2003, e-VanVan mengekalkan gaya retro dengan tayar besar yang menjadi identiti uniknya. Namun kali ini, ia disertakan dengan sentuhan moden dengan kerangka yang lebih minimalis, tempat duduk panjang berbentuk rata, serta bahagian hadapan yang ramping menyerupai Honda Dax 125.
Dimensi keseluruhan mencecah 1,810 mm panjang dan 1,050 mm tinggi, menjadikannya sangat kompak serta mudah dikawal di kawasan bandar. Ketinggian tempat duduk pula sangat rendah, sesuai untuk penunggang baharu atau mereka yang mencari tunggangan yang santai.
Walaupun Suzuki belum mendedahkan angka rasmi bagi motor dan baterinya, prestasi e-VanVan dijangka sepadan dengan motosikal berkuasa 125cc. Motor elektriknya ditempatkan di belakang pek bateri dan memacu roda belakang melalui sistem tali sawat (belt drive) satu pilihan yang lebih senyap dan memerlukan penyelenggaraan minimum.
Untuk mengekalkan harga mampu milik, e-VanVan menggunakan fork terbalik (USD) dan penyerap hentak berkembar tanpa pelarasan, namun reka bentuknya tetap menonjol dengan rim 12 inci tertutup sepenuhnya, dipadankan tayar Dunlop bercorak bonggol untuk gaya lasak ala scrambler urban.
Menariknya, e-VanVan menampilkan paparan TFT bulat berwarna yang dikawal melalui joystick di bahagian kiri handle dan ini merupakan satu ciri yang lebih maju daripada beberapa model Suzuki enjin pembakaran. Lebar keseluruhan 825 mm membolehkannya menembusi kesesakan lalu lintas dengan mudah, dan tempat duduk pembonceng turut disediakan bagi perjalanan jarak pendek sekitar bandar.
Selain e-VanVan, Suzuki turut memperkenalkan dua lagi projek masa depan di acara sama iaitu Burgman bertenaga hidrogen, dan Gixxer SF250 FFV, model baharu yang boleh menggunakan campuran bahan api sehingga 85% bioetanol, pertama kali dilancarkan di India awal tahun ini.
Kesemua model ini menggambarkan hala tuju Suzuki terhadap mobiliti masa depan dengan menggabungkan gaya, kecekapan tenaga, dan keseronokan menunggang dalam satu pakej.
Baca Juga : Suzuki Hayabusa Special Edition 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



















